Wejangan Membina Kekuatan Diri
>> Tuesday, April 17, 2012
WEJANGAN MEMBINA KEKUATAN DIRI
Untuk memiliki sebuah diri yang kuat, peribadi yang utuh, kita perlu berusaha, beramal dan melatih diri sendiri. Kita tidak boleh mengharap ianya datang menggolek tanpa sebarang usaha.
Menurut ahlijiwa, salah satu daripada cara untuk membina peribadi yang sihat dan kuat, kita tidak boleh menjadi manusia yang menerima sahaja apa yang berlaku, tanpa sebarang tindak balas yang sewajarnya.
Tegasnya, kita tidak boleh menjadi manusia “pak sanggup” atau “yes man” dalam semua keadaan yang mendatang, tanpa sebarang reaksi yang sewajarnya,
Malah dalam keadaan yang tertentu, kita perlu bertindak, antaranya dengan membantah ataupun tidak menjauhi sesuatu yang perlu kita hampiri atau mendekati sesuatu yang kita perlu jauhi.
Perkara-perkara yang berikut perlu mendapat perhatian anda untuk megelak anda daripada terjebak menjadi manusia yang menerima apa sahaja yang berlaku, menjadi pak sanggup atau yes man yang pasif terhadap semua keadaan.
Menurut ahlijiwa-ahlijiwa, jika anda menjadi seorang pasif yang menerima apa sahaja yang berlaku walaupun anda tidak menyukai atau pun menyetujuinya, dalam jangka masa panjangnya, ia akan membahayakan diri anda, di mana jiwa dan raga anda yang menerima akibatnya dalam berbagai-bagai ragam yang boleh menganggu kesejahteraannya.
-Terus Terang
Jika ada seseorang menceritakan kepada anda mengenai sesuatu perkara yang anda telah pun mendengar atau mengetahuinya, maka adalah tidak perlu kepada anda untuk mebiarkanya terus bercerita hingga selesai, dengan berpura-pura anda tidak pernah mendengarnya lagi dan terus setia mendengarnya, dengan tujuan untuk menyukakan hatinya, kerana dapat menyampaikan sesuatu kepada anda yang pada sangkaannya anda belum pernah mendengarnya.
Tindakan anda ini boleh menyebabkan jiwa anda tertekan kerana memaksa diri anda mendengar sesuatu yang memang anda percaya anda tidak lagi perlu mendengarnya.
-Jangan Lari
Ketika anda sedang berjalan di sebatang jalan, tiba-tiba anda ternampak di hadapan anda ada seseorang yang baru anda kenali atau tidak begitu anda kenali sedang berjalan ke arah yang bertentangan dengan anda, maka anda pun segera melinatasi jalan kerana tidak ingin berjumpa dengan orang tersebut.
Kenapa anda selalu berbuat demikian, memaksa diri anda melintasi jalan tanpa sebab-sebab yang wajar selain daripada tidak ingin berjumpa dengannya tanpa sebab-sebab yang logik.
Anda bertindak tidak patut, dan boleh menjadi gangguan kepada ketenteraman dan keamanan perasaan dan jiwa anda di masa hadapan, kerana telah bertindak tidak wajar.
-Meminta Penjelasan
Jika anda menempah sesuatu barang daripada seseorang atau sebuah institusi perniagaan tapi mereka gagal menghantarnya pada tempoh yang dijanjikan, sebagaimana janjinya kepada anda, anda tidak wajar menerima sahaja penjelasan yang dibuat oleh pihak tersebut tanpa sebarang sungutan atau teguran atau pertanyaan.
Kerana dalam keadaan seperti itu, anda sepatutnya melahirkan sungutan dan teguran dengan cara yang sopan dan berhemah supaya kejadian itu tidak berulang lagi di masa-masa akan datang.
-Beri Pandangan
Jika anda menghadiri sesuatu majlis perjumpaan orang ramai, dan anda juga terlibat dalam perkara yang dibincangkan itu, anda sepatutnya bercakap mengeluarkan pendapat-pendapat anda jika anda mempunyai buah fikiran yang bernas.
Dalam keadaan seperti itu, anda tidak patut sama sekali mengambil sikap mengunci mulut daripada melahirkan buah fikiran anda dalam persoalan yang menjadi perbincangan, kerana ianya mungkin akan berguna kepada majlis dalam membuat pertimbangan dan keputusan yang berfaedah demi kepentingan bersama.
-Menghulur Pertolongan
Jika anda berkebetulan berada berhampiran dengan sesuatu tempat berlakunya kemalangan, anda sepatutnya memberi pertolongan dan bantuan yang perlu dan mampu anda hulurkan terhadap orang yang malang itu. Tapi anda hendaklah melakukankannya dengan berhati-hati supaya tidak mendedahkan diri anda kepada mara bahaya yang mungkin mendatang.
Dalam keadaan seperti itu, tidaklah wajar kepada anda untuk segera melarikan diri anda, dengan membiarkan orang yang kemalangan itu tanpa memberi bantuan yang memang diharap dan diperlukannya.
Tapi awas dan waspadalah.
-Jangan Malu
Jika anda diperkenalkan kepada orang kenamaan, orang besar ataupun pemimpin, anda tidak wajar sama sekali merasa malu-malu, kekok-kekok atau merasa hina diri.
Anda sepatutnya bersikap gentelman, dan seperti biasa sahaja, sebagai seorang yang mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri.
-Tegurlah
Jika anda berada dalam barisan atau queue, umpamanya untuk menaiki kenderaan awam atau membeli teket, jika ada orang memintas di hadapan anda, anda tidak sepatutnya berdiam diri tanpa sebarang protes, macam orang bodoh.
Anda sepatutnya dengan berhemah dan sopan membuat teguran terhadap orang berkenaan bahawa perbuatannya itu tidak wajar dilakukannya.
-Bertemu Tuan Rumah
Jika anda menghadiri sesuatu majlis atau memenuhi sesuatu jemputan seperti majlis kahwin atau keraian, anda sepatutnya berusaha untuk bertemu dengan tuan rumah atau penjemput atau penganjurnya sebelum meninggalkan majlis sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang yang secara senyap-senyap meninggalkan majlis, kerana sebab-sebab yang tertentu.
"Greeting" ketika bertemu adalaj amalan yang mulia
Tidaklah wajar kepada anda untuk meninggalkan majlis tanpa bertemu dengan tuan rumah atau mereka yang berkenaan yang mengundang anda. Berbuat demikian bererti anda kurang beradab sopan.
Cuba perhatikan orang-orang kampung. Bila mereka sampai ke sesuatu majlis undangan, mereka segera mencari dan bertemu dan bersalaman dengan tuan rumah terlebih dahulu, demikian juga sebelum meninggalkan majlis, mereka akan bertemu dengan tuan rumah, bersalam dan mengucap ribuan terima kasih.
-Biarkan Orang Memilih
Jika anda bersama suami atau isteri anda makan di tempat ramai, seperti di restoran atau di kedai makan. anda hendaklah secara jujur mendesak pasangan anda, baik suami atau isteri anda memilih makanan yang hendak anda nikmati bersama itu.
Tidaklah wajar kepada anda, secara melulu memilih sendiri menu yang hendak dimakan bersama dengan suami atau isteri anda itu yang menunjukkan anda seorang suami atau isteri yang tidak beradab sopan dan mementingkan nafsu sendiri.
-Jangan Dibiarkan
Jika anda didatangi oleh seseorang penjual di muka pintu rumah anda, anda tidak sepatutnya membiarkan dia terus berbicara dengan panjang lebar mengenai barang-barangnya walaupun anda tahu anda tidak meminatinya.
Anda sepatutnya memberitahu kepadanya dengan sopan dan alasan-alasan yang wajar bahawa anda tidak berminat dengan perkara yang hendak dijualnya itu.
Sekian sedikit wejangan atau tip untuk membina sebuah peribadi yang kuat dan bermutu. Semoga memberi manfaat kepada kita semua.Insyallah.
xxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.
Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment