Curi Lembu Dan Lembu Curi

>> Wednesday, April 11, 2012


CURI LEMBU DAN LEMBU CURI



Pada suatu masa dahulu, kecurian lembu amat bereluasa di negeri Kelantan. Hampir setiap malam ada sahaja berita-berita lembu yang kena curi.



Ia dipercayai rancak bermula dalam masa Perang Jepun tahun 1940an dan terus berlanjutan berpuluh-puluh tahun kemudiannya.



Berita kecurian lembu ini jarang sekali atau hampir tidak mendapat liputan dalam media-media massa tempatan tanah air pada waktu itu.

Allahyarham Ustaz Rafie Hj.Taib [paling kanan], wartawan Utusan Melayu pernah menulis berita kecurian lembu-lembu di Kelantan........



Berita Kecurian Lembu


Pada suatu hari, sekitar tahun 1970an, sahabat saya Allahyarham, Ustaz Rafie’ Hj. Taib, wartawan Utusan Melayu di Kelantan memberitahu bahawa bosnya di Kuala Lumpur sukar untuk mempercayai sebuah laporan berita yang dibuatnya mengenai kejadian pencurian lembu yang baru sahaja berlaku di Kelantan.



Pada masa itu saya berada bersama Allahyarham [Dato’] Yusuf Zaky Yaacob, dan kalau tidak silap saya bosnya waktu itu, wartawan terkenal, Allahyarham Samad Ismail. Katanya bosnya itu telah menelefonya dengan ragu bertanya bagaimana kecurian lembu boleh berlaku, kerana dia tidak pernah mendengarnya.



Saya tidak pula pasti adakah berita itu dimasuk atau tidak dalam Utusan Melayu pada hari keesokannya.



Pada masa itu semua orang-orang kampung yang menternak lembu tidak lena tidur malam. Itulah sebabnya kandang-kandang lembu peliharaan dibuat di bawah rumah untuk mengelaknya daripada terkena curi.



Tidak Lena Tidur



Walaupn bau busuk tahi lembu dan kencing lembu menganggu penghuni-penghuni rumah, dan mengotorkan suasana rumah, tapi mereka terpaksa menanggung sabar. Keselamatan lembu-lembu lebih penting, kerana itulah sebahagian daripada harta benda mereka.



Lembu-lembu itu biasanya dicuri pada waktu malam ketika berada dalam kandang, biasanya di bawah rumah, ataupun di tambat di halaman rumah.



Ataupun lembu-lembu itu dicuri di waktu siang hari ketika ditambat di tempat meragut rumput, mungkin jauh sedikit dari tempat kediaman, mungkin di sawah atau di hujung kampung.



Lembu itu akan diheret dari situ dan disembunyikan terlebih dahulu di sesuatu tempat yang tersorok, mungkin dalam semak samun yang tebal yang jauh dari orang. Pencuri menahan lembu itu buat beberapa waktu, dan bila difikir selamat barulah lembu itu dikeluarkan dari situ untuk tindakan selanjutnya.



Lembu itu mungkin dibawa ke sesuatu tempat yang telah ditentukan untuk dijual secara gelap dengan harga yang istimewa sebagai barang curi.



Ataupun lembu itu dibawa ke sesuatu tempat untuk disembelih, kemudian dagingnya dilapah-lapah untuk dibawa ke tempat penjualan daging, mungkin di pasar-pasar atau di gerai-grai di pinggir jalan.



Biasanya daging-daging lembu curi itu dicampur dengan daging biasa yang mempunyai kebenaran disembelih, di mana pada masa dahulu kebenarannya boleh diperolehi penggawa atau ketua kampung dengan dikenakan bayran yang tertentu.



Jika daging lembu curi itu dicampurkan dengan daging lembu halal, anggota-anggota tertentu badan lembu itu tidak akan disertakan, seperti kaki, kepala dan sebagainya supaya tidak dapat dikesan khususnya oleh pihak berkuasa, yang mungkin melakukan pemeriksaan mengejut jika mendapat laporan ada lembu yang hilang kecurian.



Saya juga pernah diberitahu tentang seorang penjual daging telah disoalsiasat oleh pihak berkuasa kerana diyaki menjual daging lembu curi yang dicampur dengan daging lembu halal. Dia disoal bagaiamana daging yang dijualnya itu jauh lebih banyak daripada daging yang sepatutnya berdasarkan kelulusan menyembelih lembu yang diperolehinya.



Diceritakan juga, kerana terkejut dengan kejadian itu menyebabkan dia jatuh sakit dan membawa kepada kematiannya tidak lama kemudian. Wallahuaklam.

Pada masa yang lalu, tidak jarang pula lembu-lembu curi itu diseludup ke negara jiran dengan menyeberangi sungai, samada dengan menaiki rakit atau mengheretnya berenang di dalam sungai.



Demikian jugalah dengan kereta-kereta curi pada masa-masa yang lalu, di mana kereta itu diseludup ke seludup ke negara jiran menerusi sungai dengan dinaikan ke atas rakit yang di buat khas.



Desas desus orang ramai mengatakan pada masa dahulu penyeludupan kereta curi menyeberangi sempadan itu dilakukan dengan mendapat kerjasama daripada pihak-pihak yang tertentu negara kita sendiri.



Saya juga semasa bersekolah dahulu terlibat dalam gerakan mencari lembu orang kampung yang hilang dicuri. Masa itu bulan Ramadan, saya ikut serta dengan sekumpulan orang-orang kampung yang melancarkan gerakan mencari lembu-lembu itu, melintasi beberapa kampung. Tapi tidak berhasil, dan pulang dengan tangan kosong.



Dan lembu itu tidak pernah ditemui lagi selepas itu, dan dipercayai telah disembelih dan dagingnya telah dijual, dan mungkin orang kampung kami juga telah membeli dan memakannya tanpa sedar.



Tapi pada hari ini, perkara sebaliknya berlaku, di mana lembu-lembu dari negara jiran pula yang diseludup menyebrang sempadan untuk dijual di negara kita, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar.



Akhbar Harian Metro, 10 April 2012 pernah menyiarkan laporan kejayaan pihak berkuasa menahan beberapa ekor lembu yang hendak diseludup dari negara jiran ke Kelantan yang bernilai kira-kira RM 40,000.00



Penyeludupan lembu dan bahan-bahan makanan dari negara jiran ke negara kita, tidaklah membimbangkan sangat sebagaimana jika berlakunya penyeludupan dadah dan senjata api untuk penjualan di negara kita, kerana ia boleh menjadi ancaman besar kepada negara.



Lembu-lembu yang diheret berenang dalam sungai itu biasanya tidak tenggelam atau lemas bila tali yang dicucuk pada hidungnya itu ditarik betul-betul di atas paras air oleh orang yang memegang talinya yang berada di atas perahu atau sampan untuk menyeberang. Lembu-lembu itu juga tidak boleh memberontak kerana di sekelilingnya adalah air yang menghalang pergerakannya.


Dibiar Berkeliaran


Kerana itu juga kadang-kadang lembu curi itu disembunyikan dalam air buat beberapa waktu dengan hidungnya digantung betul-betul di atas paras air dengan tali hidungnya diikat pada sesuatu yang kuat, seperti dahan kayu atau pancang.



Emak saudara kami, Allahyarhmah Salamah dan keluarganya juga pernah terkena percikan bahana pencurian lembu pada tahun 1960an. Pada tahun itu mereka tinggal di Kampung Sungai Pinang dan memelihara beberapa ekor lembu yang kandangnya dibuat di bawah rumah untuk tujuan keselamatan.



Tapi sebaik-baik sahaja suaminya meninggal dunia, masa itu saya masih bersekolah rendah, timbul ancaman-ancaman bukan sahaja terhadap lembu-lembu mereka, tapi juga nyawa mereka sebagai tuan empunya lembu. Ancaman itu datangnya daripada gengster-gengster pencuri lembu yang telah berusaha untuk mencuri lembu-lembunya itu tapi tidak berjaya.



Kerana keadaan telah selamat, tuan-tuan lembu membiarkan lembu-lembu mereka berkeliaran sesuka hati hingga sampai menganggu ketenteraman penduduk..........



Kerana merasa takut dengan ancaman-ancaman itu, mereka terpakasa “angkat tungku lekal” pindah balik ke kampung kelahirannya. Pada masa itu anak-anaknya masih muda dan belum bekerja, dan salah seorang daripadanya sempat bersekolah bersama saya.



Andainya lembu atau barang-barang curian lain itu berjaya diseludup menyeberangi sempadan, biasanya harapan untuk mendapatnya kembali amatlah tipis. Pencarian akan terhenti, bila ada berita mengatakan barang yang dicuri itu telah berada di seberang, di negara jiran.



Pada masa dahulu, keadaan keselamatan di sempadan dan di negara jiran tersebut, tidaklah terkawal atau tidaklah lebih baik daripada sekarang. Jenayah berlaku berleluasa.



Sekitar tahun 1980an pihak berkenaan di negeri Kelantan telah melancarkan projek kandang bersama, kandang besar, berkelompk, di mana bilangan lembu yang ramai boleh ditempatkan di situ pada waktu malam dan dijaga secara bergilir-gilir antara tuan-tuan lembu itu, terutama kepada penterank-penternak lembu yang terletak berhampiran dengan sempadan.



Tindakan ini amat berkesan dan kecurian lembu tidak lagi kedengaran berlaku di Kelantan buat sekian lama hingga sampai ke hari ini. Kalau berlaku pun ia hanya secara terpencil. Kerana itulah pada hari ini, kita boleh melihat lembu-lembu itu ditambat mana-mana sahaja, atau dilepas berkeliaran di merata-rata tempat, sehingga menganggu sekitar, dengan tahi dan kencingnya, menganggu tanaman-tanaman penduduk, terutama pokok-pokok bunga dan juga dengan menimpakan ancaman kepada kenderaan jika lembu-lembu itu dibiarkan berkeliran di jalan-jalan raya.



Demikian kisah lembu curi dan curi lembu.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.



Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sakalung Harmoni.


1 comments:

lloni April 14, 2012 at 4:19 PM  

ada kena mengena jugak dgn nama gertak lembu...tok saya kata dulu org curi lembu kemudian susup bawah gertak tu..

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP