CINTA KUCING

>> Saturday, April 21, 2012



CINTA KUCING



Bila kami sampai di rumah kenalan kamai di sebuah kondo mewah di ibu negara, kami disambut oleh tuan rumah bersama dengan seekor kucing belaannya. Kucing itu cantik, berbulu lebat dan mempunyai warna yang indah, dan kelihatan bersih.



Berapa nilainya? Lebih dari seribu ringgit. Kucing itu tidak kencing atau berak sesuka hati, tapi dalam tandas yang disedikan untuknya.



Bila saya pergi ke rumah sahabat saya, sebuah bunglo di suatu kawasan perumahan di PJ, saya dapati mereka juga memelihara beberapa ekor kucing. Pada masa itu kucing-kucing itu dikurungnya dalam sangkar supaya tidak menganggu para tetamu. Rupa kucing-kucing itu juga cantik-cantik dan bersih. Harganya juga tidak murah, tidak tidak lebih dari seribu ringgit seekor.



Bila saya sampai di rumah anak saya di Rawang, cucu saya juga memelihara seekor kucing. Kucing itu kucing pungutan yang dibuang oleh orang dan sering berada di rumah mereka. Maka cucu saya pun, bermurah hati memeliharanya, dengan memberinya makan dan menjaga kucing itu, serta diberinya nama,



Pada sutu malam, ketika saya menghadiri suatu majlis tazkirah, guru pada malam itu berbicara tentang sifat kasih sayang, dan beliau antara lain menyeru para hadiran supaya menjaga kasih sayang bukan sahaja kepada sesama manusia, tapi juga kepada binatang-bintang seperti kucing dan tidak boleh dianiayai.



Beliau antara lain menyebut Hadis-hadis yang bersangkut paut tentang kucing, antaranya beliau menyebut Hadis yang bermaksud, “Seorang perempuan masuk neraka dengan sebab seekor kucing yang diikatnya tanpa memberinya makanan dan tidak pula membiarkannya mencari makanan daripada serangga yang melata di bumi”. HR:Bukhari.



Kucing binatang yang penyayang



Di samping menyeru manusia supaya mengasihi dan tidak menzalami binatang seperti kucing, Hadis ini juga menegaskan bahawa dalam Islam, jika kekejaman dilakukan terhadap binatang yang tidak berakal fikiran pun manusia terpaksa menerima hukuman yang berat, apa lagi kiranya kezaliman itu dilakukannya terhadap sesama manusia yang berjiwa dan berakal fikiran.



Kucing Disayangi



Antara binatang jinak yang paling digemari manusia memeliharanya ialah kucing. Ramai pengarang-pengarang jempulan dunia, seperti nobelis dan penyair Scoland, Walter Scott [1771-1832], pengarang Inggeris, Dr. Samuel Johnson [1709-1784] dan pengarang Amerika, Mark Twain [1835-1910] semuanya amat menyukai kucing dan memeliharanya sebagai teman kesepian mereka.



Malah orang-orang Mesir zaman purbakala pernah memuja kucing sebagai tuhan mereka, kerana pada masa itu kucing berjasa besar menyelamatkan tanaman-tanaman mereka daripada serangan-serangan tikus-tikus yang bermaharajalela ketika itu. Pada zaman purba, iaitu 3,500 tahun S.M, orang-orang Mesir memelihara kucing untuk menjaga bijian-bijian mereka. Selain itu, orang-orang Viking di Scandinavia dan orang China pernah menyembah kucing.



Kucing binatang sebangsa dengan singa atau harimau penghuni hutan rimba yang makan binatang itu. Kesebangsaan itu dapat dilihat pada titik-titik keserupaan yang terdapat pada keduanya, seperti pada gigi-gigi mereka yang tajam dan kuat untuk mengoyak-koyak daging, pada kuku-kuku mereka yang melengkung tajam, pada keserupaan bentuk muka mereka yang ditumbuhi misai dan pada gerak geri mereka yang tangkas.



Tapi kucing tidak seperti singa yang ganas itu, kerana kucing dapat hidup aman damai dengan manusia, kerana sejarah hubunganya dengan manusia telah lama berlaku, iaitu dipercyai kira-kira 3,000 tahun sebelum Masihi lagi.



Kucing ada beratus-ratus jenis. Tapi secara kasarnya dapat dibahagi kepada dua jenis mengikut bulu-bulunya, iaitu kucing yang berbulu pendek dan kucing yang berbulu panjang. Antara kedua jenis kucing itu, adalah dipercayai kucing berbulu pendeklah yang paling disukai orang, seperti kucing Siam umpamanya.



Umur kucing jauh lebih pendek dari umur manusia. Biasanya kucing boleh hidup selama 12 tahun, namun begitu ada juga kucing yang boleh hidup sampai berusia kira-kira 30 tahun.



Kucing dianugerahkan Tuhan dengan berbagai-bagai anggota yang amat sensitif atau mudah merasa [murasa] yang amat berguna sebagai benteng untuk menyelamatkan dirinya dari bahaya, seperti untuk mengelakkan dirinya daripada bertembung dengan haiwan-haiwan ganas yang akan memangsakannya.



Kucing ditugas mengawal tikus daripada merosakkan makanan dan menyebarkan penyakit



Ia dilengkapkan dengan alat penciuman dan pendengaran yang amat tajam. Mengikut penyiasatan yang pernah dilakukan telah terbukti bahwa pendengaran kucing dua kali ganda lebih kuat daripada pendengran manusia, kerana itu ia dapat mendengar bunyi-bunyi yang halus yang sukar untuk didengar oleh telinga manusia biasa.



Misai kucing juga amat sensitif atau mudah merasa [murasa] dan berguna besar kepadanya sebagai pemandu jalan ketika berjalan di malam hari. Seekor kucing, tidak akan memasuki sesebuah lubang, andainya misainya bergesel dengan kiri kanan lubang itu.



Kaki kucing, selain daripada berguna untuk berjalan dan membasuh muka, ia juga berguna besar kepadanya sebagai senjata di dalam perkelahian, kerana jari jemarinya dilengkapi dengan kuku-kuku yang melengkung tajam. Kucing menjaga kuku-kukunya supaya sentiasa tajam dengan jalan menarik kuku-kukunya itu ke dalam ketika berjalan, supaya tidak haus atau menjadi tumpul kerana bergesel dengan lantai dan sebagainya, dan juga dengan jalan sentiasa megasahkan kuku-kukunya itu dengan mencakar-cakar, terutama sekali pada batang-batang kayu.


Matanya jernih indah, mengandungi mistri yang sukar dibaca apa tersirat di sebaliknya



Biasanya kucing mempunyai lima jari pada setiap belah kaki hadapannya, dan empat jari pada kaki belakangnya. Setiap jari dan tapak kaki kucing ada mempunyai bahagian-bahagian tapak yang lembut yang digunakan untuk berpijak ketika berjalan di masa yang tenang lenang tanpa mengeluarkan kukunya yang tajam itu, dan di bahagian-bahagan kaki yang lembut inilah kucing mengeluarkan peluh-peluhnya.



Kucing adalah salah satu daripada binatang-binatang yang dapat dianggap cerdik. Kecerdikan kucing itu dapat dilihat daripada kepandaian sesetengah kucing mengambil dan memakan makanan-makanan yang terletak dalam botol dengan menggunakan kakinya, dan kebanyakan kucing pula dapat membuka pintu yang tertutup. Selain itu banyak lagi perbuatan-perbuatan yang dapat dianggap cerdik yang boleh dilakukan oleh kucing, seperti menyapu tingkap-tingkap kaca yang berdebu untuk meninjau keluar dan sebagainya.



Cinta Kucing



Kucing mempunyai rasa cinta yang amat besar. Kecintaan kucing kepada sesuatu tempat melebihi daripada kecintaan segolongan manusia kepada tanah airnya sendiri. Kucing sanggup meninggalkan tuannya yang disayangi yang berpindah ke tempat baru, kerana ia ingin kembali ke tempat tinggal asalnya, di mana ia hidup dari kecil sampai ke besar, walaupun jarak antara kedua-dua tempat itu berkilo-kilo meter jauhnya. Namun kebanyakan kucing yang mendapat layanan yang sebaik-baiknya dari tuannnya akan tetap tinggal bersama-sama dengan mereka, walau pun ke mana sahaja mereka berpindah.



Kucing binatang yang bertanggungjawab kepada keluarganya. Kesayangan kucing kepada anak-anaknya amatlah besar. Ia sanggup berkorban apa sahaja walau pun dengan menggadai nyawanya sendiri demi kepentingan anak-anaknya itu, seperti mengharungi air, atau merempuh api untuk menyelamatkan nyawa anak-anaknya yang sedang teancam bahaya.



Dalam satu peristiwa kebakaran di kota New York, orang-orang menjadi kaget melihat seekor ibu kucing yang berkali-kali keluar masuk dalam sebuah rumah yang sedang terbakar, kemudian mengonggong anak-anaknya seekor demi seekor keluar mencari tempat pelindungan yang selamat.



Kucing binatang yang sukakan kebersihan. Stiap hari kucing selalu menghabiskan sebilangan besar masanya dengan menjilat-jilatkan bulu-bulu di seluruh anggota badannya.



Siapa kata kucing dan anjing tidak boleh berbaik?



Kucing juga binatang yang mudah mengerti, jarang benar ada di antara mereka yang sengaja melakukan perkara-perkara yang tidak disukai oleh tuannya, andainya sejak kecil lagi mereka dipelihara dan dilatih dengan baik. Kucing yang tidak diberi tunjuk ajar itulah biasanya berak dan kencing merata-rata tempat, menganggu orang lain dan jiran-jiran tetangga dengan tahi dan air kencingnya.



Anggapan lama yang mengatakan kucing dan anjing tidak dapat hidup damai selama-lamanya sebagaimana kata pepatah “seperti kucing dengan anjing” tidak lagi dapat dipegangi sebagai satu kebenaran, kerana sudah ada banyak bukti-bukti menunjukkan bahwa kucing dan anjing dapat hidup bersama dengan aman damai, berkawan setia, semakan seminum, kalau kedua-duanya dipelihara dam dibesarkan bersama-sama. Tapi sebaliknya jika kucing dan anjing dipertemuksn dengan mendadak di sesuatu tempat, maka sudah tentu perkelahian sengit akan meletus, kerana kedua-duanya saling dengki mendengki dan benci membenci yang sukar dimegerti oleh manusia apakah sebabnya.



Kita hendaklah jangan lupa bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. sukakan kucing dan menyayanginya.



Demikian juga dengan para sahabat, seperti Abdulrahman bin Sakhir al-Azdi yang diberi nama jolokan oleh Rasulullah SAW sebagai “Abu Hurairah” yang bererti bapa para kucing”, kerana beliau gemar memelihara kucing.



Sabda Baginda SAW lagi, “Kucing itu tidak najis. Ia binatang yang suka berkeliling di rumah [binatang perumahan]”. HR:At-Tirmizi, An-Nasa’i, Abu Daud & Ubnu Majah,



Ahli-ahli Sufi sukakan kucing, Mereka percaya dengkuran nafas kucing itu memiliki irama yang sama dengan zikir memuji Allah SWT. Cubalah anda perhatikan, jika anda memelihara kucing atau ada kucing berhampiran dengan anda.



xprprprprx



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP