Kerengga, Alangkah Mulianya Engkau

>> Sunday, April 15, 2012

ma

KERENGGA, ALANGKAH MULIANYA ENGKAU




Tengah hari semalam saya begitu bertuah kerana dapat melihat suatu peristiwa menarik yang belum pernah saya lihat selama ini. Ianya semata-mata membuktikan kebesaran Allah SWT. Ia berlaku di kalangan makhluk kecil yang tidak berakal, kerengga.



Waktu itu saya sedang memeriksa pokok jambu mawar di halaman pondok saya, kerana sejak hari-hari kebelakangan ini pokok jambu itu telah dikuasai oleh sejenis makhluk kecil yang dikenali dengan panggilan kerengga.



Sudah beberapa kali saya menyingkirkan kerengga-kerangga itu daripada pokok tersebut, tapi beberapa hari kemudian ratusan kerengga kelihatan menguasainya kembali.



Kerengga-kerengga sedang bersiap sedia menjalan tugas masing-masing



Semalam, saya perhatikan pokok itu dengan lebih teliti, dan memerhati pergerakan kerengga-kerengga yang begitu ramai merayap di dahan-dahan dan di ranting-ranting pokok jambu mawar itu. Waktu itulah saya terlihat suatu pandangan anih yang menarik.



Saya mengawasi sekumpulan kerengga yang agak ramai di sebatang ranting kecil pokok jambu itu. Ia menarik perhatian saya untuk melihatnya dengan lebih teliti, Apakah yang mereka buat sebenarnya?



Di sebelah pokok jambu itu ada sepohon pokok bunga raya berwarna merah. Ia terletak di tepi pagar. Sebatang daripada ranting pokok bunga raya itu terletak hampir dengan ranting pokok jambu di mana kumpulan kerengga itu berkumpul.



Bila saya teliti, saya lihat di hujung ranting bunga raya itu terdapat juga sekumpulan kerengga lagi. Mereka juga berkumpul di hujung daun dan kelihatan sibuk seperti kerengga-kerengga di hujung daun pokok jambu mawar itu.



Mereka kelihatan seolah-olah memanggil-manggil antara satu sama lain, antara kerengganan ranting-ranting pokok bunga raya dan pokok jambu itu. Malah mereka masing-masing kelihatan menghulurkan kaki hadan mereka ke hadapan untuk berpegangan, semacam manusia yang ingin menyeberangi sebuah parit, di mana mereka yang telah berjaya melintasinya menghulurkan tangannya untuk membantu kawan yang masih berada di sebarang parit.



Antara daun jambu dan daun bunga raya yang mereka berkumpul itu dipisahkan oleh jarak sejauh kira-kira setengah inci lebih menghalang mereka untuk berjangkit dari pokok jambu ke pokok bunga raya atau sebaliknya. Tapi tengah hari ini, ada angin bertiup perlahan-perlahan yang menyebabkan pokok-pokok itu bergoyang sedikit, dan menyebabkan daun-daun di mana mereka berkumpul itu kian mendekat walau pun tidak bergesel antara satu sama lain.



Bila daun-daun itu hampir bersentuh, maka sebahagian daripada kerengga-kerenggan itu yang berada di bahagian hadapan pada daun jambu dan daun pokok bunga raya itu akan berpaut antara antara satu sama lain dengan kemasnya untuk dijadikan sebagai titian atau jambatan.



Pada masa itulah, sebahagian daripada kerengga-kerengga di daun jambu itu akan segera meniti melintasi jambatan tubuh kerengga yang menjadikan badan mereka sebagai jambatan itu. Walau pun daun itu bergoyang, tapi kerenggga-kerengga yang menjadikan diri mereka sebagai jambatan itu terus bertahan sehingga semua yang hendak melintas selesai menyeberang. Kemudian barulah mereka pun segera melepaskan pegangan mereka dan berundur dari situ.


Peristiwa ini membuat saya terpesona. Hasrat saya untuk menghalau kerengga-kerengga itu dari pokok jambu yang mulai berbuah itu saya tangguhkan buat sementara waktu.



Kerengga-kerengga sedang bertindak



Pandangan itu amat mempesonakan saya. Bagaimana makhluk yang begitu kecilnya, dan tidak berakal dan berfikiran boleh bertindak sebegitu rupa, mencabar kewibawaan sesetengah manusia yang berakal dan berfikiran?



Ini semua membuktikan kebesaran Allah S.W.T. yang telah mengurniakan ilham kepada kerengga-kerengga itu untuk melakukan perbuatan yang begitu indahnya untuk dicontohi oleh manusia, khsusunya kami yang melihat peristiwa itu dengan mata kepala kami sendiri.



Alangkah mulianya hati engkau wahai kerengga.



Kerengga adalah sejenis serangga, warna merah, pinggangnya ramping, kebanyakannya terdapat di hutan-hutan tropikal, seperti di Afrika dan India. Dalam bahasa ilmiahnya ia dipanggil ocoephylla samaradgina.



Kerana rampingnya bahagian pinggang kerengga, maka mana-mana wanita yang mempunyai pinggang yang begitu rampingnya, dikatakan, “pinggangnya ramping seperti kerengga”.




Kerengga sejenis serangga yang hidup berkoloni, hidup secara bermasyarakat. Tempat kediamanya di atas pokok-pokok.



Mengikut kajian dalam sebuah masyarakat kerengga itu terdiri daripada angggota masyarakat yang dipanggil ratu, raja, pekerja atau askar, anak atau larva, dan kepompong yang semuanya masing-masing memikul tanggungajwab yang tersendiri sebagaimana dalam masyarakat manusia juga.



Dalam sebuah kerajaan kerengga ini terdapat sebuah tempat kediaman, iaitu sarang kerengga yang diperbuat dari daun-daun yang dilekat bersama pada tepinya menjadikan seperti sebuah kelongsung. Daun itu dijahit dengan tali-tali sutera yang dikeluarkan dari badan keengga itu dengan cara yang tertentu.



Tugas membina sarang itu diserahkan kepada para golongan pekerja atau askar yang bertanggungjawab mencari daun-daun yang lembut untuk dilentur dan dicantumkan tepinya untuk dijadikan sarang. Kerja-kerja itu dilakukan secara gotong royong beramai-ramai.



Sarang Kerengga jangan diusik



Kerengga-kerengga itu bukan sahaja bertindak menjaga sarang atau tampat kediamannya daripada dicerobohi, tapi juga menjaga seluruh pokok yang dikuasainya daripada dicerobohi oleh sesiapa sahaja, seperti burung-burung, reptila-reptila, dan juga serangga-serangga lain daripada mengancam pokok itu. Malah anda juga akan menjadi mangsa jika menceroboh pokok tersebut, wlaupun anda adalah tuan punya kepada pokok yang dihuninya tanpa izin itu.



Kerengga-kerengga itu akan menyerang para pencerobohnya dengan gigitan yang kuat, dan tidak akan melepaskannya walaupun dia telah mati dibunuh ditempat dia mengiggit itu, seperti di kulit manusia



Justeru itulah, ada para petani yang menggunakan kerengga untuk menjaga keselamatan pokok mereka, seperti pokok kelapa sawit dengan melepaskan kerengga-kerengga hidup di pokok tersebut.



Malah orang-orang China telah lama menggunakan kerengga untuk menyelamatkan kebun-kebun limau mereka daripada ancaman serangga-serangga lain.



Justeru itu sejak di kebelakangan itu mengikut laporan kian banyak para petani menggunakan kaedah memelihara kerengga untuk menyelamatkan tanam-tanaman mereka.



Di samping itu kerengga-kerengga juga pernah digunakan sebagai bahan ubat tradisional, seperti merendamkan kaki yang bermasalah dalam air suam yang telah dimasukkan kerengga bersama dengan sarangnya ke dalamnya.



Mengikut kajian dalam badan kerengga itu terdapat sejenis bahan kimia yang kuat iaitu farmic acid yang boleh digunakan untuk menentang serangan-serangan penyakit tertentu,



Jika kaum pekerja atau askar-askar kerengga itu dikumpulkan dan dihancur untuk dijadikan bancuhan ia boleh digunakan untuk mencegah jangkitan-jangkitan yang tertentu.



Tapi kepada petani-petani kecil di kampung kehadiran kerengga-kerengga ini pada pokok-pokok tanaman mereka adalah merupakan gangguan, kerana menyukarkan mereka untuk memetik buah-buah pada pokok-pokok yang berkerengga, seperti pokok mangga, jambu dan sebagainya.



Siapa yang berani memanjat pokok yang banyak berkerangga, malah tidak juga beruk atau kera yang biasanya diupah untuk memanjat pokok kelapa.



Pada masa dahulu mereka menggunakan tulang-tulang lembu yang busuk sebagai umpan yang diletak di perdu sesebuah pokok yang berkerengga, dan bila kumpulan-kumpulan kerengga ramai-ramai menghurung untuk memakannya maka mereka pun membunuh kerengga-kerengga itu, biasnyanya dengan membakarnya hidup-hidup. Demikianlah dilakukan sampai kerengga itu tidak bersisa lagi di pokok tersebut, dan dapatlah mereka memetik buah-buahnyanya.



Pokok Jambu Mawar Ditakluki Oleh Kerengga-kerengga



Tapi hari ini bahan yang digunakan untuk membunuh kerengga ialah bahan-bahan racun yang dijual di pasar-pasar sebagai racun serengga atau makhluk perosak.



Saya teringat firman Allah dalam kitab suci al-Quran yang memberi ilham kepada semut. Dalam Surat An-Naml, ayat 18 dan 19 Allah berfirman,



“Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, “Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari”.



“Maka dia [Sulaiman] tersenyum lalu tertawa kerana [mendengar] perkataan semut itu”...... An-Naml: 18-19,



Demikianlah sedikit pengalaman kami sekadar untuk dikongsi bersama.



xxxxxxxxxxxxxx



Bisik Podok Rahmat:



Pautkan Iman:


Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


6 comments:

Anonymous,  April 5, 2013 at 1:37 AM  

salam kpd semua pembaca, serangga kerengga, kumbang ladybird dan mentadak mentadu tugasnya menjaga n melindungi pokok drpd perosak.....

Anonymous,  April 5, 2013 at 6:46 AM  

tapi kita bakar dia...huhu

pwd October 6, 2013 at 12:51 PM  

Belakang rumah saya ada pokok mangga kecil, pokok nangka dan pokok jambu air. Kat pokok memang banyak kerengga dan lepas baca kisah ni rasa tak sampai hati pulak nak menghapuskan kerengga2 tersebut. Hanya Allah yg maha Mengetahui rahsia adanya kerengga2 ni. Walaupun kerengga kalau dah banyak boleh menyusahkan kita manusia.

Unknown March 2, 2016 at 8:39 AM  

D laman rumah saya ada sepokok buah mangga yg bila berbuah memang lebat rasanya nya juga x la masam sangat
masaalah saya sekarang saya nak buat khemah
untuk kenduri perkahwinan ank saya bagai mana
tetamu nak makan jika d ganggu dng kerenga yg
banyak 2
nak d bunuh x sampai hati
ada sesiapa yg blh bantu tuk selesaikan masalah ni


nak d bunuh x sampai hari
ada sesiapa yg blh bantu tuk selesaikan masalah ni x

Unknown November 8, 2017 at 6:08 AM  

sy ada sebatang sahaja pokok durian tembaga..masalah skrg terlalu byk kerengga kt pokok durian tu..tp bkn pasal kerengga..sy nk panjat pokok tu untuk bersihkn pokok parasit yg blh mereputkan dahan durian tu..tak sampai hati nk beli racun utk bunuh kerengga semata mata nk hapuskn pokok duit2 tu..

Anonymous,  October 2, 2021 at 11:39 PM  

Jgn bunuh keerengga.. Saya suka kerengga.. Sebab jga pokok n buah. Buah x rosak klau ada semut ni

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP