Sebuah Catatan Dalam Penerbangan
>> Thursday, June 2, 2011
Sebuah Catatan DALAM PENERBANGAN
Semalam, dari KL saya balik ke KB dengan penerbangan Firefly. Berlepas dari Lapangan Terbang Subang, kalau mengikut jadualnya sepatutnya pukul 9.15 malam.
Sebelum melepasi pintu pemeriksaan keselamatan saya terlebih dahulu berhenti di musala yang terletak dekat situ untuk solat. Saya tidak solat di luar tadi, sengaja untuk solat di situ.
Dalam musala itu sudah ada seorang lelaki sedang duduk bersandar di dinding. Mungkin sedang menunggu waktu untuk solat Isa’.
Bila saya bertanya waktu solat Isa’ sudah masuk atau belum, dia menjawab “Belum. Tunggu lima minit lagi, masuklah waktu Isa’. Pak Cik tunggulah sekejap”. Katanya sambil memerhati jam tangannya.
Sementara itu, dia bertanya saya datang dari mana dan hendak ke mana? Bila saya katakan saya dari Kelantan dan hendak balik ke KB, dia bertanya lagi dengan sopan, adakah saya datang ke KL urusan perniagaan? Saya jawab tidak.
Dari pakaian yang menyalut badannya itu, nyatalah dia seorang pekerja di Lapangan Terbang Subang itu.Tubuhnya tegap dan berusia dalam lingkungan tiga puluhan tahun.
Dia berkata lagi, “Orang kata, orang Kelantan ni miskin-miskin, kerana diperintah oleh parti pembangkang”.
“Yakah?” Tanya saya.
Dia tidak menjawab, tapi melanjutkan katanya, “Tapi saya lihat yang ramai naik kapal terbang setiap hari ialah orang Kelantan. Macam mana kata tak ada duit?”.
“Oh begitu”, kata saya.
“Yang paling ramai orang naik kapal terbang setiap hari ialah ke Pulau Pinang. Dia orang ada urusan kerja di sana. Dan yang kedua ramai ialah orang Kelantan. Itu ikut perhatian saya. Orang Kelantan ni ramai berniaga barangkali, Pak Cik?”.
Saya tak berkata apa-apa lagi dan hanya tersenyum.
“Boleh dah sembahayang Isa’ ni Pak Cik”, katanya, “Dah lebih dua minit. Nanti ditinggal kapal terbang”.
“Pak Cik nak sembahayang jamakkah, dua rakaatkah?”. Tanyanya lagi.
Saya mengiakan, dan terus sembahayang. Selepas solat, saya terasa nak mendengar lagi perbualannya, tapi masa tak mengizinkan jam sudah pukul 9.00 malam.
Saya mengambil beg komputer dan sebuah beg palstik berisi sedikit makanan dan sebotol air mineral, saya terus keluar musala dan menuju ke arah pintu pemeriksaan keselamatan yang terletak beberapa langkah sahaja dari situ.
Ada beberapa orang sedang menunggu giliran untuk pemeriksaan keselamtan, termasuk tiga orang anak gadis, yang nampaknya bermasalah. Rupa-rupanya salah seorang daripadanya memang hendak naik kapal terbang, tapi yang dua orang lagi hanya hendak menghantar kawannya itu sahaja dan telah masuk melepasi kawasan larangan yang hanya dibenarkan untuk orang yang hendak menaiki kapal terbang sahaja.
“Saya tak tahu”, kata salah seorang dari mereka, “nak buat macam mana?”.
Kemudian datang dua orang beruniform, pekerja di lapangan terbang itu. Mungkin hendak mengiring kedua orang gadis itu keluar dari kawasan larangan itu.
Selepas memasukkan barang-barang saya ke tempat pemeriksaan, saya pun terus melewati pintu pemeriksaan keselamatan selepas terlebih dahulu menghulurkan boarding pass Firefly kepada salah seorang petugas yang berdiri sebelah luar pintu.
Dalam kepala saya terlintas, murah-murah teket pun, dua hala pergi balik, harga bersihnya tiga ratus ringgit lebih.
Di tempat menunggu orang tidak begitu ramai, walau pun nampaknya ada dua penerbangan, satu Air Asia untuk ke Penang yang telah terlewat, kerana kelewatan tiba kapalterbang dari KB mengikut pengumuman yang dibuat, dan satu penerbangan lagi untuk Firefly ke KB yang saya akan menjadi salah seorang penumpangnya sekejap lagi.
Tidak lama kemudian, penumpang-penmpang Firefly ke KB dijemput menaiki pesawat terbang. Seperti biasa kami diminta berbaris dalam dua barisan mengikut nombor teket tempat duduk untuk melepasi pintu pemeriksaan boarding pass sekali lagi.
Ketika menaiki anak-anak tangga untuk memasuki pintu kapal terbang, saya terkejut, kerana terasa bahang panas mengenai badan saya bersama dengan hembusan angina dari badan kapal terbang itu. Biasanya di masa-masa yang lepas saya tidak merasa sepanas begitu rupa.
Walau bagaimana pun saya tidak menyangka apa-apa. Mungkn perkara biasa yang tidak saya fahami.
Setelah mengambil tempat duduk sebagaimana tercatat pada boarding pass itu, saya sedar di hadapan saya ada sepasang suami isteri dan seorang bayi berusia beberapa belum ada di atas riba ibunya yang duduk di sebelah tingkap, sedangkan saya duduk di tempat duduk sebelah luar di belakang mereka. Dari celah-celah di antara dua kerusi mereka, saya nampak bayi itu berkulit putih, sihat dan comel.
Masa berlepas sudah berlalu, tapi kapal terbang masih belum ada tanda-tanda untuk bergerak. Saya perhati jam tangan saya, sudah pukul 9.15 lebih. Dalam hati saya timbul pertanyaan, kenapa lambat begini, sedangkan biasanya tidak begitu?
Beberapa orang permiaguri penerbangan sentiasa bergerak, sekejap ke depan, sekejap ke belakang, berutkar ganti, macam ada sesuatu yang tak kena.
Salah seorang dari mereka, bila sampai di tempat duduk di hadapan saya akan berhenti sekejap, mengagah-agah bayi di atas riba ibunya itu. Bayi itu pun memberi respon yang menyenangkan kepadanya. Setiap dia lalu, dia akan berhenti mengagah-agahkan bayi itu.
Saya merasa senang hati melihat gelagatnya itu. Saya tersentuh dengan rasa keibuan yang ada padanya. Adakah dia juga bermimpi untuk mendapat seorang bayi yang secantik itu?
Ini mencetuskan ingatan saya kepada keluarga saya; kepada isteri saya, anak-anak saya, dan juga cucu-cucu saya, bagaimana gembiranya kami bila anak-anak dan cucu-cucu kami ketika masih kecil itu disantuni orang seperti itu kerana karenah-karenahnya yang menyenangkan hati.
Di tempat duduk sebelah kanan saya pula ada dua orang lelaki sedang asyik rancak berbual dengan suara yang agak meninggi. Dari perbualan mereka saya dapat meanngkap seorang bekerja sebagai pegawai di sebuah institusi kewangan dan seorang lagi seorang peniagawan.
Mereka hanya bercakap tentang perniagaan sahaja. Lelaki yang duduk di sebelah tingkap banyak bercakap memeberitahu tentang perniagaannya, berapa banyak pendapatannya sebulan, berapa modal yang dimilikinya, apa rancangan bisnesnya di masa hadapan, yang disebutnya bukan ribu, bukan ratus ribu, tapi jutaan ringgit. Syarikat yang berurusan niaga dengannya ialah syarikat yang besar-besar, salah satu yang saya ingat PETRONAS. Dia juga memberitahu kepada kawan yang baru dikenalinya itu hasratnya untuk menambah modal, dan menjemput lelaki itu melawat ke firmanya nanti.
Tiba-tiba kedengaran pengumunan, penerbangan ditangguhkan kerana kapal terbang mengalami kerosakan teknikal. Para penumpang diminta turun dripada pesawat bersama dengan barang-barang mereka. Bila pula akan bertolak, tidaklah dapat dipastikan lagi.
Saya yang tidak begitu larat membimbit barang berat ini, terpaksa pula mengepit beg komputer turun semula, dan pergi ke terminal tempat menuggu untuk berlepas.
Saya merasa amat bersyukur, kerana amat bernasib baik kerosakan itu dapat dikesan lebih awal sebelum kapal terbang berlepas, kalau tidak, kalau kerosakan itu hanya dapat dikesan sesudah kapal terbang bergerak, keadaan tentu lebih kompliketed.
Alhamdulillah! Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Sementara menunggu panggilan untuk berlepas, sambil menunggu, sempatlah saya menyelesaikan tanggungjawab saya yang masih belum selesai selepas Maghrib tadi.
Kira-kira 45 minit kemudian, para penumpang pun dipanggil untuk menaiki kapal terbang. Kami dimaklumkan kapal terbang adalah kapal terbang lain, bukan yang rosak itu.
Nombor tempat duduk tidak berubah, justeru tidak ada perebutan tempat duduk, seperti yang berlaku ke atas penumpang-penumpang bas, bila bas rosak dan ditukar dengan bas baru, di mana para penumpang terpaksa berebut-rebut untuk memilih tempat duduk baru.
Dua orang lelaki itu masih duduk di sebelah kanan saya. Mereka masih berbual tajuk yang sama, fasal bisness, sehingga ke Bangkok dan Shanghai.
Saya bukan mencuri mendengar perbualan mereka, tapi kerana mereka bercakap dengan suara yang lantang, ramai orang yang di hadapan, di belakang dan di sebelah kiri seperti saya, dapat mendengarnya dengan jelas, walau kami suka atau tidak suka mendengarnya.
Sehingga sampai ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengakalan Chepa mereka masih bercakap atas tajuk yang sama. Bila kami bangun untuk turun, mereka kedua nampaknya, seolah-olah masih belum bersedia untuk berpisah, dan masih terus bercakap tanpa bangun dari tempat duduk masing-masing.
Saya merasa gembira dalam hati, melihat dua orang sahabat baru itu yang kedua-duanya terlibat dalam urusan bisness begitu berminat dalam bidang kerjawan masing-masing. Dari jauh saya doakan semoga mereka berjaya, dan nanti akan bertambah bilangan kaum bumiputera dalam bidang perniagaan yang akan menjangkau bukan sahaja di bumi Malaysia, tapi ke seluruh dunia.
Saya terkenang kembali kepada kata-kata sanjungan seorang pemimpin negara, Alllahyarham Tun Dr. Ismail yang pada suatu masa dahulu pernah menyanjung tinggi tentang semangat perniagaan orang-orang Melayu Kelantan yang katanya patut dicontohi dan ditauladani oleh orang-orang Melayu di negeri lain.
Sila Lihat: Rakyat Kelantan Dalam Sorotan Tun Dr. Ismail
Saya juga teringatkan permaiguri itu, bukan kerana wajahnya, tapi kerana keletahnya terhadap bayi penumpang tersebut.
Saya pun teringat akan sabda Baginda Rasulullah SAW yang begitu menghargai kelahiran anak perempuan, dengan belaian mahabah dan kasih sayang, bila baginda bersabda:
“Sekuuntum bunga harum semerbak, kita cium. Dan rezekinya sudah dijamin oleh Allah”.
Demikianlah sebuah catatan singkat saya dalam penerbangan yang juga singkat kali ini, untuk dikongsikan bersama dengan anda semua yang saya kasihi dan hormati.
Sambutlah salam mahabah dari saya.
xxxxxxxx
Bisik Pondok Hormat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment