Wanita Berhati Waja
>> Tuesday, June 14, 2011
WANITA BERHATI WAJA
Hidup ini penuh dengan cubaan dan ujian. Allah jadikan ujian itu dalam berbagai-bagai bentuk yang berbeza-beza antara seorang dengan seorang. Ubat yang mujrab ketika menghadapi ujian adalah reda dan sabar.
Kepada manusia beriman, ujian dan kesabaran adalah dua perkara yang satu yang tidak dapat ditanggal-pisahkan.
Allah berfirman, “Dan sesunguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. Al-Baqarah:155.
Antara berbagai-bagai ujian berupa ketakutan yang dihadapi oleh manusia ialah penyakit atau kesakitan yang ditimpakan ke atas mereka. Penyakit itu ada berbagai-bagai jenis pula, ada yang berat, ada yang ringan, ada yang biasa dan ada yang dikelaskasn sebagai penyakit kronis, ada yang dikelaskan tidak bahaya dan ada pula yang dikelaskan bahaya yang mengancam nyawa seseorang.
Seperti dengan ujian-ujian yang lain juga, kesabaran amatlah penting dalam menghadapi kesakitan. Sesiapa yang sabar dalam menerima ujian, nescaya dia akan menerima hadiah kebajikan dari Allah.
Bercakap tentang kesabaran lebih mudah daripada mengamalkannya. Banyak orang boleh bercakap tentang kesabaran, berbuih-buih mulutnya, tapi berapa ramai dari kita sanggup bersabar ketika mendapat dugaan? Ramai orang boleh memberi nasihat kepada orang yang mendapat musibah, tapi berapa ramai yang boleh bersabar, bila mereka sendiri ditimpa musibah?
Bercakap mengenai kesabaran ini saya merasa kagum dengan kesah-kesah kesabaran yang ditanggung oleh para wanita yang ditimpa musibah, khusunya dilanda penyakit. Dalam hal ini hati saya tersentuh dengan sikap sabar dua orang wanita yang begitu menderita kerana diserang penyakit yang mengacam nyawa mereka.
Bagaimana reda, bagaimana berani, dan bagaiaman sabarnya mereka berdua menghadapi dugaan, semoga mendapat ganjaran dari Allah SWT.
Saya angkatkan kesah itu untuk dijadikan iktibar kepada kita semua, dalam mengharungi hidup yang penuh dan pancaroba ini.
Kesah Pertama
Ummu Hanik, berusia 59 seorang pesara, di sebuah jabatan di Jawa, Indonesia. Semasa bekerja, beliau seorang pekerja yang dedikasi dengan tugasnya yang menjadi rahsia kepada kejayaannya.
Hobinya ialah menanam pokok bunga. Bila beliau bersara katanya, beliau mempunyai lebih banyak waktu untuk merawat bunga-bunganya itu. Menurut Hanik bunga-bunga itu membuat kehidupanya menjadi lebih bermakna.
“Saya merasa lebih dekat dengan Gusti Allah”, Hanik memberitahu seorang penulis akhbar Jawa Pos ketika berbicara tentang kegemarannya kepada bunga-bunga itu.
Beliau dilahirkan di suatu tempat bernama Bengkalan sejak 59 tahun yang lalu menjadi inspirasi kepada puteri tunggalnya, Sany Nurwidayanti untuk mencontohi kegiatan ibunya yang tersayang itu.
Selain daripada berhobi dengan bunga-bungi,Ummu Hanik juga gemar berbincang dengan orang lain, terutama mengenai penyakit yang mereka hadapi.
Beliau menegaskan, “Saya sangat bahagia kalau bisa memberikan nasihat atau solusi yang bermanfaat bagi orang lain”, tegas beliau. Terutama kepada anggota-anggota majlis zikir yang beliau pimpin.
Beliau memang terkenal sebagai seorang yang suka berkongsi bukan sahaja material tapi juga, ilmu dan pengetahuan yang dimilikinya.
Dengan perkongsian seperti itu, beliau bukan sahaja mendapat kepuasan batin tapi juga bertambah ramai bilangan sahabat-shabatnya.
Kerana itu beliau terus mengabdikan diri dalam berbabagai-bagai kegiatan masyarakat, lebih-lebih lagi selepas beliau bersara dari jawatannya. Beliau memegang berbagai-bagai jawatan dalam kegiatan kemasyarakatan.
Beliau menegaskan, “Memperbanyakkan silaturahim melalui berbagai kegiantan merupakan tip untuk sihat”.
Ummu Hanik adalah salah seorang daripada wanita di Indonesia yang menjadi mangsa kepada salah satu penyakit yang merbahaya, iaitu kanser payu dara sejak tiga tahun yang lalu.
Katanya beliau amat panik bila diberitahu oleh doktor bahawa dia mengidap penyakit kanser payu dara.
Walau bagaimana pun dengan rasa berat bergayut di hati, beliau akur dengan saranan doktor supaya paudaranya yang menderita sakit itu dibuang.
Kata beliau, “Sebenarnya berat, siapa sih yang mau kehilangan sesuatu yang begitu berharga”. Walau bagaimana pun demi untuk hidup seihat, beliau merelakannya.
Tapi beliau menolak tawaran doktor untuk menambalkan paudaranya yang rata lepas dipotong itu dengan otot-otot dan kulit yang diambil dari perut, dengan alasan berbuat demikian sakit yang akan dialaminya akan berganda.
Sebagai gantinya dia memilih untuk menganjalkan payu daranya. Namun begitu beliau tidak pernah bermaksud untuk menempah pakaian atau bra khusus untuk memperindahkan penampilannya, dan beliau tetap berdandan seperti biasa sebagaimana beliau dalam keadaan sihat dahulu.
Seterusnya beliau terus mendekatkan dirinya kepada Tuhan, mempebanyakkan sedekah, menghindarkan stres dan terus berikhtiar.
Walau pun begitu, beliau meneruskan perjuangannya untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan semangat wajanya yang tidak pernah kendur walaupun menderita sakit yang begitu membahayakan.
Semangat inilah yang menarik hati saya untuk mengketengahkan kembali kesah ini untuk dikongsi bersama dan menjadi tatapan umum.
Kesah Dua
Di Malaysia pula saya tersentuh dengan kesah selebriti, Datuk Sarimah Ahmad yang juga diserang oleh penyakit kanser, tapi nampaknya lebih berat daripada Ummu Hanik itu.
Dalam masa yang serentak, beliau telah diserang oleh tiga jenis penyakit, iaitu kanser otak, hidung dan kanser lidah yang menyebabkan beliau cukup menderita. Beliau dikesan menghidap penyakit tersebut sejak tahun 2008.
Malah doktor yang menjalankan pemeriksaan ke atasnya memberitahu beliau hanya mempuyai usia tiga bulan sahaja lagi untuk hidup. Sejak itu, katanya beliau lebih banyak mendekatkan dirinya kepada Allah.
“Nyawa saya terletak di tangan Tuhan bukan di tangan manusia. Biar seteruk manapun keadaan saya sentiasa istiqamah dan berdisiplin menjaga kesihatan diri”. Tegas beliau kepada penulis Metro dan Kosmo.
Namun begitu, beliau menolak untuk menjalankan rawatan secara pembedahan atau kemoterapi, sebaliknya memilih rawatan alternatif.
Katanya, beliau bertawakal dan berdoa kepada Allah, mengamalkan minum air zam-zam setiap hari, membaca al-Quran dan bersolat tengah malam.
Katanya, walau bagaiaman pun, beliau tidak panik dan tetap reda dengan apa yang berlaku ke atasnya. Walaupun seteruk mana beliau sakit dan tidak mampu bersolat seperti biasa, tapi beliau tetap solat secara isyarat mata.
Beliau juga mengelak daripada menerima tekanan dan menjaga tidur. Tidur tiga empat jam sehari tidak mengapa asalkan tidur itu berkualiti, katanya.
Kata Sarimah yang dilahirkan pada 28 April 1942 itu, kalau beliau datang ke dunia dengan cukup sifat, maka beliau juga ingin kembali kepada Allah dalam keadaan yang serupa.
Demikian cekalnya wanita ini mengharung ujian Allah, bagaimana cekalnya beliau menghadapi cabaran hidup!
Katanya beliau sekarang telah pulih dari penyakit dan bersyukur kepada Allah kerana melimpah rahmat ke atasnya.
Demikianlah kesah dua orang wanita, Datuk Sarimah Ahmad-Ummu Hanik walau pun kedudukan mereka berjauhan, dipisah oleh lautan, tapi mereka senasib dalam menempuh ujian Allah, dan kedua-duanya berhati waja.
Berkat Sabar
Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah sesuatu kebaikan [keuntungan], maka ia diberikan penderitaan”.HR: Bukhari riwayat Abu Hurairah.
Sebuah Hadis lagi dari Anas Radhiallahu’anhu bermaksud, “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hambaNya, nescaya Dia mempercepat seksa [penderitaan] kepadanya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki kebinasaan kepada hambaNya, nescaya Dia akan menahan pembalasan dosa daripadaNya hingga akan dilakukan kelak pada hari kiamat”.
Allah juga memberi jaminan, Dia akan sentiasa berada bersama dengan orang yang sabar
“Sesungguhnya, Allah bersama orang yang sabar”.Al-Baqarah: 153.
Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atas mereka berdua dan juga ke atas orang-orang yang senasib dengan mereka. Amin.
xxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment