Gemuk Atau Kurus Sama Sahaja
>> Tuesday, June 28, 2011
Gemuk Atau Kurus Sama Sahaja?
Seperti biasa, setiap pagi, selepas solat Subuh bila saya kuak tingkap kamar saya ini saya akan mendengar kicauan beburung dari pokok-pokok yang berdekatan. Berbagai ragam bunyinya, ada yang cit-cit, ciat-ciat, twit-twit dan berbagai-bagai nada yang merupakan muzik alam yang harmonis.
Kadang-kadang bila mata hari terbit, kawanan-kawanan burung itu berlabuh di atas atap pondok kami sambil bercuit-cerapet dan tingkah meningkah kicauan.
Semuanya bergembira menyambut ketibaan pagi yang damai, dan keluar mencari makan yang dikurniakan Allah, tanpa menggunakan sebarang alat bantuan atau kemudahan seperti insan manusia di dunia ini ketika keluar mencari rezeki.
Bagi unggas-unggas itu tidak ada kebimbangan kepada mereka, kerana rezeki di tangan Allah, yang perlu ialah berusaha, menurut sunnah Allah.
Pandangan Yang Cantik
Saya terkenangkan arwah isteri saya, Asiah Yaacob, [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] yang hampir setiap pagi selepas solat subuh atau selepas solat asar, di waktu petang suka duduk di atas katil menghala ke luar tingkap ini, mendengar dan memerhati alam di luar.
Di samping itu bertentangan dengan tingkap kami itu terletak rumah jiran di sebelah. Di bumbung rumah jiran itu ada sekeping papan yang dilapiskan dengan zink untuk melindunginya dari cuaca panas dan hujan dan kepingan papan itu pula dijadikan pengemas di hujung kerangka bumbung rumah. Entah bagaimana, pada zink itu, ada terbentuk pandangan perkampungan yang begitu indahnya. Ada tiga kelompok perkampungan terpampang di situ.
Arwah isteri saya sering meminta saya mempotretkan pemandangan-pemandangan itu, tapi sampai ke hari ini tidak dapat saya lakukan kerana kamera saya yang sesuai untuk mempotretkan pandangan itu telah rosak.
Selepas setahun lebih pemergian isteri saya pemandangan-pemandangan indah lakaran hujan dan panas itu masih ada lagi tertera di zink tersebut, dan saya juga suka melihatnya sendirian di waktu-waktu tertentu.
Gemuk
Arwah isteri saya tidak slim atau langsing, dan tidak pula gemuk yang ditakuti oleh wanita-wanita hari ini. Tapi dalam keadaan-keadaan yang tertentu, tubuhnya boleh capat naik sedikit dengan timbangan berat badannya meningkat.
Seperti wanita-wanita yang lain juga beliau tidak sukakan gemuk, kerana katanya gemuk boleh menjadi sarang penyakit, dan dia bimbang akan menyusahkan saya.
Saya selalu menegaskan kepadanya, “Gemuk atau kurus tidak menjadi soal penting, yang lebih pentingnya sihat”.
Tambah saya lagi, “Kalau slim pun, tak sihat buat apa? Kalau sakit, nanti susah, semua kerja tergendala”.
Mendengar kata-kata saya itu dia tersenyum.
Setelah melihat beliau senang hati dengan penjelasan itu, saya sambung lagi. Saya katakan kepadanya, dalam kaca mata seorang suami, tidak ada bezanya, isterinya gemuk atau kurus, semuanya mempunyai keistimewaan masing-masing.
Kebahagiaan Rumah Tangga
Kebahagian sesebuah rumahtangga bukan terletak pada isteri kurus atu gemuk, bukan di situ keutamaannya. Sementelah pula kesukaan dan kecintaan manusia itu berbeza-beza.
Seorang suami tetap merasa gembira di sisi isterinya yang dikatakan gemuk itu, [kebanyakannya tidak gemuk pun, hanya sekadar gempal sahaja], kerana pada waktu-waktunya mereka merasa seolah-olah mereka hidup dan belayar di atas sebuah kapal besar yang indah, yang selalu tenang tanpa bergoncang walau pun laut bergelora dan bergelombang dalam ribut dan topan, justeru itu dia merasa aman, selesa dan tenang untuk sampai di pengkalan di pesisir.
Demikian juga, seorang suami merasa tenteram bersama dengan isterinya yang dikatakan kurus, [kebanyakannya tidak kurus pun, tapi langsing], kerana pada waktu-waktunya mereka merasa seperti mereka sedang berlayar dalam sebuah kapal kecil yang cantik yang sedang dialun oleh ombak-ombak, menyebabkan mereka merasa gembira dan mabuk untuk terus bermain-main dengan percikan-percikan air dan lambungan ombak yang melekakan sebelum sampai ke pengkalan di pesisir
Semuanya sama, semuanya membahagiakan. Hanya suami yang buta mata dan buta mata hatinya atau bermata keranjang sahaja yang tidak dapat melihat keindahan wanita yang dinamakan isterinya itu, kerana mereka menyamaratakan antara cinta dan nafsu.
Cakap-cakap Orang
Namun begitu, isteri saya kadang-kadang makan berdiet juga untuk menguruskan badannya, bila ada kawan-kawan yang menegurnya dia kelihatan gemuk.
Katanya mereka akan berkata, “Awak sihatkah? Nampak gemuk sangat ni? Tak ada penyakitkah?”.
Sedangkan waktu itu dia tidaklah gemuk sangat. Naik sedikit sahaja timbangannya.
Dan bila dia diet lebih sedikit, berat timbangan badannya turun sedikit sahaja, kawan-kawan akan menegur pula,” Kenapa nampak kurus ni? Sakitkah? “.
Bila dijawab tak ada, mereka bertanya lagi, “Tak ada kencing maniskah? Awak ni lebih cantik berisi macam biasa. Menarik”.
Saya katakan kepada beliau, kita tidak boleh dengar cakap orang. Mereka buat tafsiran masing-masing, mengikut selera masing-masing. Macam repoter surat khabar juga. Laporan yang mereka suka dengan berita yang tidak mereka suka, sudah tentu berbeza.
Katakan mereka membuat laporan perlawanaan bola sepak. Kalau pasukan yang kalah itu menjadi kegemaran mereka, tentunya mereka akan membuat laporan yang positif yang bermaksud, “semua pemain telah bermain dengan baik, tapi nasib tidak menyebelahi mereka”, tapi kalau pasukan yang kalah itu memang menjadi kebencian mereka, tentu mereka akan membuat ulasan yang berbau negatif yang bermaksud, “macam mana tak kalah, pemain-pemainnya bermain dengan tidak sungguh-sungguh, ada sesuatu yang tak kena”.
Jangan Terpengaruh
Saya juga menceritakan kembali kisah orang dua beranak dengan seekor keldai. Mulanya mereka tidak tunggang keldai itu kerana kasihankannya, tapi ditegur oleh orang yang bertemu dengan mereka sebagai perbuatan yang bodoh, kerana tidak menaiki keldai itu.
Lalu kedua-dua beranak itu pun menunggang keldai itu. Perbuatan mereka ditegur pula sebagai perbuatan yang zalim, sepatutnya mereka menunggang keldai itu seorang sahaja.
Si ayah lalu turun dari keldai, dan membiarkan anaknya sahaja menunggang keldai itu. Perbuatan itu ditegur juga oleh orang sebagai perbuatan yang tidak patut, kerana kata mereka sepatutnya lelaki yang sudah tua itu yang menunggang keldai dan anaknya yang patut berjalan kaki menonton keldai.
Kemudian si anak pun turun dari keldai, dan membiarkan pula ayahnya naik menunggang keldai itu. Tapi perbuatan mereka ditegur pula oleh orang sebagai perbuatan yang tidak bertimbang rasa, kerana membiarkan anaknya berjalan kaki, sepatutnya dia yang tua yang berjalan kaki, dan anaknya yang masih mentah itu menunggang keldai
Nampaknya semua perbuatan mereka tak kena, tak patut, salah dan kena tegur orang.
Saya peringatkan, demikian juga dengan diri kita, kalau kita dengar cakap orang, kita akan kebingongan seperti manusia dua beranak dengan seekor keldai tadi.
Kita boleh mendengar cakap orang, malah kita boleh minta pendapat mereka, tapi kita kena teliti, kaji buruk dan baik, sesuai atau tidak dengan diri kita. Walau pun kata-kata mereka sesuai dengan orang lain, tapi mungkin pula tidak sesuai dengan kita. Kita hendaklah melakukan pertimbangan yang teliti sebelum mengikuti sesuatu pendapat ataupun nasihat. Ia mungkin berguna untuk mereka sahaja, tapi tidak sesuai dengan kita.
Begitu juga dengan makanan, ada makanan yang baik untuk orang lain, tapi makanan yang sama juga tidak sesusai dengan kita, malah mungkin menimbulkan kesan negatif pada badan dan perasaan kita, kerana berbezanya keadaan jasmaniah kita dengan jasmaniah orang lain itu, walaupun semuanya asal dari tanah dan mempunyai kerangka badan yang serupa.
Ada orang boleh hidup dengan memakan roti sahaja sepanjang hayat mereka, tapi kita kalau tak makan nasi sekurang-kurangnya dua hari sekali boleh menyebabkan kita menjadi tidak bermaya.
Demikian juga yang lain-lainnya, termasuk dalam usaha untuk meramping, atau melangsingkan [slim] badan yang diimpikan oleh kebanykan wanita.
Bila Gemuk
Setiap orang wanita tentu menyedari bilakah waktunya mereka dikatakan memasuki daerah gemuk, kerana pengertiannya berbeza di antara seorang dengan seorang, bergantung kepada kerangka badan mereka, dan mereka juga dapat membezakan antara tubuh yang dikatakan gempal dan gemuk gedempol, dan dapat pula mengenali pengertian kurus dalam erti kata yang sebenarnya.
Bertolak dari sinilah langah-langkah melangsing badan mereka ambil, dan itu pun dengan cara yang sebaik-baiknya berdasarkan kepentingan dan kesesuaian diri sendiri, kerana tersalah langkah nanti, bencana yang akan menimpa badan sebagaimana yang pernah kita dengar dan lihat di sekeliling kelalang kita.
Saya suka mengatakan, seperti yang selalu saya katakan, semua wanita adalah sebahagian daripada ciptaan Allah yang cantik, demikan juga semua lelaki adalah cantik, hasil daripada ciptaan Allah yang teragung. Tidak ada keraguan dalam hal ini, dan yang perlu dan penting ialah menjaga kesihatan jasmaniah dan rohaniah, menjaga kurniaan Allah itu dengan sebaik-baiknya. Dan jangan pula lupa berdoa kepada Allah SWT.
Bagi seorang lelaki yang dengan reda mengawini seorang wanita, akan menerima isterinya itu seluruhnya, lahir dan batinnya, dengan segala kelebihan dan kelemahannya, dengan segala keindahan dan kekurangannya, kerana lelaki seperti ini sedar tidak ada kejadian manusia yang sempurna secara mutlaknya seratus peratus.
Tidak semua lelaki seperti warga emas dalam cerita yang akan saya beritahu ini. Lelaki ini sudah beberapa tahun menduda kerana bercerai dengan isterinya entah yang ke berapa. Pada suatu hari anak lelakinya mencadangkan kepadanya supaya berkahwin lagi, kerana memandang kehidupan orang tuanya itu tidak terurus. Lelaki itu menyatakan persediaanya untuk berkahwin, tapi dengan memberi syarat, calon isterinya itu mestilah secantik wanita-wanita yang muncul di kaca tv [maksudnya pembaca berita]. Anaknya tersenyum dan kerana isterinya ada di sebelah lalu berkata dalam hati, “Kalau secantik tu, saya pun nak kahwin seorang lagi”.
Jangan pula lupa dengan sabda-sabda Nabi SAW. tentang wanita, “Dunia adalah tempat kesenangan, dan sebaik-baik kesenangan adalah wanita yang saleh”.Hadis Syarif.
“Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah benda[makhluk], dan sebaik-baik benda adalah wanita yang saleha”.HR:Muslim.
Dan sabda baginda, “Sebaik-aik kaum wanita adalah wanita yang apabila engkau melihat ia menyenangkan, taat apabila kamu perintah dan dapat memelihara dirinya dan hartamu di waktu kamu tidak ada di tempat”.Hadis Syarif.
xxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih,Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment