Dato' Asri Dalam Lipatan Kenangan

>> Sunday, June 19, 2011


Dato’ Asri Dalam Lipatan Kenangan

Baru-baru ini ketika menghantar anak saya, Ahmad Syaibani Zaini ke kampusnya di UKM di Bangi, dalam keadaan masa yang terdesak itu kami sempat singgah di kedai buku universiti itu. Pada masa itu kami baru selesai menghadiri majlis pertunangan anak saudara di Bangi, sementara anak saya yang memandu kereta itu, Arham Zaini pula ada urusan kerjanya yang penting untuk menghadiri mesyuarat, dengan seseorang dari luar negara.



Dalam masa yang singkat itu, saya sempat meninjau sebahagian daripada buku-buku yang ada dalam toko itu. Kerana masa yang amat terbatas itu, saya hanya sempat membeli sebuah buku yang telah agak lama diterbitkan, berjodol:



MEMOIR POLITIK ASRI MENITI ARUS dengan kata pengantar oleh Wan Hashim Wan Teh



Bila sampai ke rumah di KB, saya membelek-belek buku itu, melihat-lihat tajuk kandungannya dan juga memerhati gambar-gambar yang terdapat dalam buku itu. Seingat-ingat saya, sekeping dua gambar di dalam buku itu sama dengan gambar-gambar yang ada dalam simpanan saya di Maktabah Asiah Zaini.



Kenangan saya melayang jauh beberapa puluh tahun yang lalu ketika saya bekerja di Pustaka Dian, dan bertugas dengan Dian Daiges dan akhbar MINGGUAN KOTA BHARU, di Kota Bharu. Di antara berbagai-bagai tugas yang diserahkan kepada saya ialah menjadi wartawan mingguan tersebut, kerana hanya saya seorang yang bertugas untuk menyiapkan mingguan itu setiap minggu.



Oleh itu, saya sering membuat liputan berita tentang Dato’ Mohd Asri. Saya sering mengikuti majlis-majlis yang dihadiri oleh beliau di mana-mana sahaja yang sempat saya ikuti di seluruh Kelantan. Dalam setiap ucapannya ada unsur berita. Walaupun di majlis kecil, bila melihat ada kaum wartawan, beliau akan menyentuh sesuatu yang menarik dalam ucapannya yang boleh dijadikan berita. Itulah keistimewaan beliau.



Saya masih ingat, pada suatu pagi, saya dan beberapa orang kawan pergi ke kediaman rasmi beliau, di JKR 10, Kampung Sirih. Tujuan kami ke sana ialah untuk menemubual isteri beliau, Datin Sakinah. Berkebetulan pada masa itu Dato’ Asri sedang bersiap-siap untuk turun ke pejabat, beliau sedang menyarung stoking ke kakinya sambil duduk di atas kerusi dekat pintu besar JKR 10.



Selepas mengucap salam dan bersalaman, beliau meminta diri untuk berangkat. Kami merasa kemesraan beliau dengan kami yang tiba di rumah beliau di pagi-pagi hari itu.



Saya lihat sebelum beliau melangkah turun memijak tangga rumah, beliau berdiri di muka pintu, sambil membaca doa, kemudian selepas menyapu tangan ke mukanya barulah beliau melangkah turun.



Selepas beliau pergi, kami pun meneruskanlah tujuan kami datang tersebut. Datin Sakinah pun melayan kami dengan ramah mesra.



Ada satu peristiwa lain yang mengingatkan saya kepada Dato’ Asri. Pada suatu hari beliau sebagai Menteri Besar berangkat meresmikan satu majlis anjuran kerajaan negeri Kelantan di sebuah sekolah di Kampung Kor, tak berapa jauh dari Kedai Ketreh.



Saya pergi bersama dengan seorang kawan setugas, Ustaz Rafie Hj.Taib, wartawan Utusan Melayu di Kelantan. Seperti biasa saya menumpang kereta beliau, pejabat Utusan masa itu terletak di sebelah pejabat saya, di Jalan Tengku Chik,



Semasa dalam perjalanan dari Kota Bharu itu, Ustaz Rafie [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] meminta saya mewakilinya bertemu khusus dengan Dato’ Asri supaya memohon maaf daripada beliau atas kesilapan berita yang telah dilakukannya yang diterbitkan dalam Utusan Melayu.



Berita itu telah menggemparkan negara. Saya telah lupa apakah berita yang menyebabkan Dato’ Asri dan pemimpin-pemimpin PAS marah kepada pemberita tersebut dan juga kepada Utusan Melayu. Beliau dan pemimpin-pemimpin PAS secara terbuka mengecam Utusan dan mengumumkan akan segera mengambil tindakan undang-undang terhadap pemberita dan akhbar tersebut.



Ustaz Rafie meminta saya menyampaikan permintaannya memohon maaf itu dan meminta supaya Dato’ Asri tidak menyamannya dan Utusan Melayu.



Sebaik-baik sahaja majlis tamat, dan Dato’ Asri masih berada di meja di bawah pentas, saya pun segera menuju ke arah beliau, dan meminta kebenaran untuk becakap sedikit denganya.



Beliau membenarkan dan memnta saya duduk di sebuah kerusi yang berkebetulan kosong di hadapannya.



Saya pun menceritakan apa yang diminta oleh sahabat saya itu. Beliau dengan tenang sahaja mendengarnya dan tersenyum-senyum. Tidak pula dia bertanya kenapa kawan saya tidak datang sendiri berjumpa dengannya?



“Tak apalah”, kata beliau, “Beritahu dia [Ustaz Raffie] lain kali kalau nak buat berita, berhati-hatilah sedikit. Jangan ikut suka hati sahaja”.



Setelah mengucap terima kasih dan berbual-bual sedikit, saya pun meminta diri sambil menghulur tangan untuk bersalaman dan lalu meninggalkan majlis tersebut.



“Tak apalah, “katanya lagi, “lupakan sajalah”.



Saya terus berjumpa dengan Ustaz Raffie yang sedia menunggu saya di luar bangunan dan menceritakan perkara tersebut. Saya lihat kegembiraan pada wajahnya..



“Oh mujurlah, kalau begitu”, katanya.



Beberapa tahun kemudian, semasa Dato’ Asri telah berpindah ke Kuala Lumpur kerana dilantik menjadi Menteri Kerajaan Pusat, seorang penempah makanan yang sering menyediakan makanan di majlis yang diadakan di JKR 10 semasa Dato’ Asri menjadi MB [beliau baik dengan isteri saya, Asiah Yaacob, semoga Allah limpahkan rahmat ke atas mereka] memberitahu salah satu masakan kegemaran Dato’ Asri ialah isi buntut ayam yang di goreng. Mak Cik Ce Esah, panggilannya memberitahu demikian setelah mengetahui pada waktu itu saya pun menggemari masakan tersebut.



Tan Sri Dato’ [Dr] Mohd Asri Hj. Muda dilahirkan pada 10 Oktober 1923 dan pulang ke rahmatullah pada 28 Ogos 1992. Beliau pernah menyandang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan 1959-1961, Anggota EXCO Dewan Undangan Negeri Kelantan 1961-1964, Menteri Besar Kelantan 1961-1964 dan Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah 1973-1977 semasa PAS menyertai kerajaan campuran Barisan Nasional



Demikianlah secebis memeori terhadap Dato’ Asri yang terdapat dalam lipatan kenangnan saya.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP