Awaslah!Tipu-tipuan Dalam Masakan

>> Tuesday, June 7, 2011


Awaslah! Tipu-Tipuan Dalam Masakan


Para pengguna atau pembeli di zaman ini banyak terdedah kepada berbagai-bagai ancaman penjual atau pengusaha yang rakus yang ingin mengejar keuntungan secara lebih mudah, tidak kira ia Islam atau bukan Islam.



Mereka mengguna apa sahaja peluang-peluang yang boleh mereka gunakan untuk tujuan tersebut tanpa mengira halal atau haram, atau mengancam keselamatan para pengguna. Mereka adalah kapitalis-kapitalis kecil dan besar yang hanya memngutamakan kepentingan sendiri dan langsung membelakangkan kepentingan awam.



Kita para pengguna sering menjadi mangsa kepada kerakusan para peniaga yang tidak bertanggungjawab yang dengan sewenang-wenangnya membelakangkan kita dalam mengejar keuntugan.



Banyak perkara yang boleh mereka lakukan untuk mencapai maksud mereka dan memangsakan kita sebagai pengguna. Banyak perkara-perkara yang tidak kita sangka-sangka atau duga sama sekali telah menjerat kita sekian lama.



Namun begitu kita masih boleh berterimakasih kiranya bahan-bahan yang digunakan itu sekadar untuk menambahkan keuntungan, tanpa mengguna bahan haram atau bahan-bahan beracun yang boleh mengancam keselamatan kita.



Awaslah dan berhati-hatilah.



Nasi Lemak



Nasi lemak memang telah lama termasyur, terutama sekali sebagai sarapan pagi. Baru-baru ini nasi lemak telah menjadi geger-riuh di seluruh negara, fasal nasi lemak dihidangkan untuk makanan pagi kanak-kanak sekolah dan juga dijual di kantin-kantin sekolah.



Walau bagaimanapun kebanyakan nasi lemak di warung-warung atau di jual di gerai-gerai atau di bangsal-bangsal di pinggir jalan atau di kawasan perumahan sejak kebelakangan ini tidak lagi membangkitkan selera, dan bila dimakan, rasanya tidak lagi seperti nasi lemak di masa-masa yang lalu.



Kenapa?



Pada masa yang lalu bahan utama nasi lemak ialah santan kelapa yang menjadikan nasi itu lemak. Tapi sejak kebelakangan ini, terutama bila harga kelapa telah mahal dan sukar diperolehi, penjual-penjual nasi lemak tidak lagi menggunakan santan, tapi menggantikan santan dengan planta untuk membuat nasi lemak.



Inilah yang menyebabkan nasi lemak itu tidak lagi original dan rasanya kurang sedap seperti menggunakan santan kelapa. Ia bukan nasi lemak dalam erti kata yang sebenarnya, tapi nasi lemak planta atau nasi planta sahaja. Ia telah merosakkan nasi lemak itu dan merosakkan baunya yang harum.



Adakah teknik ini merupakan penipuan atau pembaharuan dalam membuat nasi lemak?



Air Manisan


Ada sesetengah kuih tradisional menggunakan manisan atau gula melaka yang dicairkan sebagai pemanis ketika kita hendak memakannya.



Antara makanan-makanan itu ialah cendol bersantan, sejenis makanan yang dikenali dengan nama “lopat tikam”, pemanisnya biasanya diperbuat dari manisan kelapa atau gula melaka.



Tapi oleh sebab sejak kebelakangan ini, manisan kelapa itu sukar diperolehi dan harganya juga mahal, pengusaha-pengusaha kueh-mueh telah mengubahnya dengan menggunakan nescafee o atau kopi o yang dicampur dengan gula dan dikacau hingga sebati sebagai pemanisnya.



Jika dipandang, keadaan rupanya yang kehitaman itu memang seperti air manisan sebenarnya yang dicairkan.



Kadang-kadang penjual cendol akan bertanya kepada pembeli-pembelinya, mereka hendak air gula atau manisan, dan kalau air manisan dimasukkanlah air kopi bergula itu. Lagi pun kebanyakan pembeli biasanya menganggap air manis tersebut memang manisan atau gula melaka yang dicairkan.



Adakah ini satu teknik pembaharuan dalam masakan atau penipuan untuk mengelirukan pengguna?



Kepala Santan


Ada sesetengah masakan tradisonal menggunakan santan pekat atau “kepala santan” sebagai kuah atau merupakan sebahagian daripada kandungan masakan tersebut.



Antara masakan-masakan itu ialah lauk yang jenis percik, seperti ayam, daging dan ikan percik yang menggunakan kepala santan sebagai bahan masakannya.



Ramai pula orang yang gemar memakan masakan percik, menggunakan kuah percik yang pekat itu sebagai kuah untuk digaulkan dengan nasi.



Pada masa dahulu kuah percik hanya dibuat dengan santan semata-mata yang dimasak hingga pekat setelah dicampur dengan sedikit perencah untuk menambahkan kesedapannya. Tapi sejak kebelakangan ini, bila kelapa sukar diperolehi dan harganya pun mahal, penjual masakan percik telah mencampur sedikit santan dengan tepung, terutama sekali gandum.



Kadang-kadang bila kita membeli ayam percik pada hari ini, kepala santan itu ada yang berbutir-butir atau berketul-ketul kerana gandum pemekat itu tidak diadun dengan baik.


Bagaimana dengan teknik masakan ini?



Di samping itu kuih-muih pula yang menggunakan kepala santan ialah tepung pelita, di mana di bahagian atasnya ditututp dengan kepala santan, sedangkan di bahagian bawahnya tepungnya yang juga telah dimasukkan air gula.



Seperti juga dengan kepala santan percik, kepala santan tepung pelita juga santannya mungkin dicampurkan dengan debu-tebu tepung untuk memekatkannya.



Tidaklah hairan hari ini masakan-masakan itu telah kehilangan keasliannya dan tidak enak lagi untuk dimakan.



Demikian juga dengan kepala santan kuih lopat tikam dicampur dengan tepung untuk mengurangkan kosnya.



Kiaskanlah sendiri dengan masakan-masakan yang lain lagi itu, seperti taufu fa.



Madu Asli


Penjual-penjual madu juga banyak karenahnya. Biasanya semua penjual madu mendakwa madunya asli, tanpa campuran. Sedangkan ada sesetengah penjual mencampurkan madu yang mereka dakwa asli itu dengan air gula.



Di pasar-pasar raya pula ada madu bukan sahaja tidak tulen, tapi juga diproses secara kimia, sebagaimana telur-telur tiruan di luar negara.



Kerana itu ada penjual madu meminta pembekal madunya bersumpah bahawa madunya itu memang madu tulen, dan bukan tiruan sama sekali.



Ini untuk mengelak dia sebagai penjual menanggung dosa mengaku madu yang tidak tulen sebagai madu yang tulen, sebagaimana diakui oleh pembekalnya.



Kuah Laksa


Kuah laksa kalau daicmpur dengan tepung, boleh juga tahan, tapi tak tahannya bila dicampur dengan kertas-kertas tisu yang digunakan sebagai pengelap tangan untuk membuat kuah laksa itu menjadi pekat.



Goreng pisang pula dimasukkan plastik ke dalam minyak panas untuk menjadikan pisang rasa ranggup dan sedap. Biasanya satu kilo minyak masak itu dicampak ke dalam minyak panas dalam kuali bersama-sama dengan kampet-kampet plastiknya sekali untuk menggoreng pisang.



Ini tidak termasuk lagi makanan-makanan yang dicampur dengan bahan-bahan bahaya dan haram dimakan oleh orang Islam, seperti makan-makanan yang dicampur dengan anggota-anggota manusia atau haiwan, seperti rambut yang diproes menjadi protein, anggota babi yang dijadikan DNA dan sebagainya untuk menambahkan rasa sedap makanan atau sesuatu minuman.



Ini tidak termasuk juga lagi penggunaan bahan-bahan pelaris untuk melariskan jualan yang dibekalkan oleh dukun-dukun atau bomoh-bomoh yang mengarut, bahan-bahan itu mungkin merupakan bahan yang haram dimakan oleh orang Islam, seperti tulang babi yang dicampurkan ke dalam masakan, untuk menyedapkan rasanya.



Itulah sebabnya ada sesetengah makanan yang dijual mempunyai rasa yang sedap yang cukup istimewa, menyebabkan pelanggan-pelanggannnya menjadi ketagih atau kemaruk yang menarik begitu ramai pengunjung untuk menikmatinya walaupun harganya tinggi daripada biasa.



Adalah dibimbangi makanan-makanan haram yang dimakan itu telah meroskkan tingkah laku manusia pemakannya. Perangai manusia hari ini, terutama anak-anak muda mempunyai aneka perangai yang tidak dapat diduga, tak ubah seperti haiwan yang tidak berotak. Kenapa tidak? Ada manusia hari ini sangggup menyeksa ibu bapa sendiri, merogol anak dan saudara mereka sendiri? Bukankah perangai tersebut lebih keji daripada tabiat sesetengah binatang?



Sebaliknya banyak pula terdapat makanan-makanan yang tidak sedap rasanya, kerana diadun dengan bahan-bahan yang telah merosakkan keenanakn sesuatu makanan akibat mengejar keuntungan yang berlebihan, dan ditambah pula dengan tidak ada kepandian dalam ilmu masak memasak, kerana enggan untuk belajar.



Justeru tidaklah kita takjub kiranya kebanyakan makanan-makanan di pasar-pasar hari ini, terutama makanan tradisional rasanya tidak seperti dahulu-dahulu lagi, kurang sedap, malah ada yang tak sedap langsung.



Saya sering melihat, pemakan-pemakan nasi meninggalkan nasi-nasi yang mereka makan, ditinggalkan begitu sahaja, walaupun belum separuh pinggan mereka makan. Kadang-kadang keadaan lebihan nasi dalam pinggan itu berada dalam keadaan “huru hara”, seolah-olah menunjukan protes senyap pemakannya yang tidak puas hati dengan layanan penjual.



Cubalah perhatikan! Malah anda sendiri pun mungkin pernah melakukakanya, terutama bila harganya tinggi, tapi makanan yang dihidangkan amat tidak memuaskan hati, dan sebagai tanda geram, anda “kacau-kacaukan” nasi atau apa-apa yang ada dalam pinggan anda itu sebelum meninggalkannya.



Ada juga makanan-makanan yang baru kita beli, bila sampai ke rumah, tidak boleh dimakan, kerana sudah basi. Perkara seperti ini sering berlaku di bulan Ramadan.



Oleh itu marilah kita berhati-hati ketika membeli makanan-makanan di mana sahaja, supaya tidak termakan makanan yang haram dan juga makanan-makanan yang boleh membahayakan kesihatan kita untuk jangka masa pendek dan juga jangka panjang.



Jika merasa ragu-ragu ketika hendak membeli atau memakan sesuatu, janganlah beli atau makan, berilah keutamaan kepada keraguan itu, kerana keraguan itu mungkin ada kebenarannya nanti, sebagaimana hakim yang bertanggungjawab membebaskan tertuduh jika timbul keraguan fakta untuk mensabitkanya bersalah.



Kepada para peniaga pula, terutama peniaga-peniaga Islam, baik peniaga kecil atau besar, supaya tidak melupakan tugas dan tanggungjawab mereka bukan sahaja kepada manusia, tapi kepada Allah SWT yang akan mengurniakan ganjaran yang setempal kepada semua perbuatan-perbuatan manusia di dunia ini.



Jangan kejar dunia, melupakan akhirat, dan jangan pula mengejar akhirat melupakan dunia.



Jangan lupa matlamat agong kita: Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Justeru jangan beli dunia dan jual akhirat.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP