Thosai Dan Sekuntum Kenangan

>> Monday, April 22, 2013




THOSAI DAN SEKUNTUM KENANGAN

Thosai adalah salah satu makanan yang menjadi kegemaran kami, terutama untuk sarapan pagi. Justeru bila kami berada di KL, kami akan cari resturan atau kedai makan yang menjual thosai.

Biasanya pada masa yang lalu, kami pergi ke Ampang dan kemudiannya bila kami tinggal lebih jauh dari KL kami beralih makan thosai ke bandar Rawang untuk makan thosai.

Di Kelantan agak payah hendak mencari thosai. Kalau ada pun rasanya tidak selari dengan selera kami yang biasa makan thosai di Kuala Lumpur. Sejak kebelakangan ini di bandar Kuala Krai, bertempat di stesen keretapi terdapat kedai makan jual thosai selain daripada nasi beriani.

Pembuat thosainya seorang warga India yang katanya berasal dari Madras. Katanya dia mempunyai isteri dan dua orang anak serta ibunya di Madras. Dia hanya balik ke neganya bila visanya tamat tempoh dan kemudian datang kembali ke Malaysia untuk mencari rezeki. Dia seorang Muslim.


Dia sering berseloroh dengan pelanggan-pelanggannya dengan bertanya adakah mereka hendak makan thosai dengan menyebut kata thosai itu berbunyi seperti “tak sir”, yang dalam loghat Kelantan bererti “tak nak” atau “tak mahu”.

“Kalau nak makan thosai cakap elok-elok, kalau “tak sir” saya tak buatlah”.Katanya.

Kisah jenaka itu dikatakan bermula di KL. Sepasang suami isteri masuk ke sebuah kedai makan. Suaminya meminta roti canai. Bila pelayan bertanya apa dia hendak makan, si isteri menajwab “tak sir”. Pelayan kedai itu menyangka dia meminta thosai lalu kemudiannya membawa sekeping thosai untuknya.


Saya teringat kisah Allahyarham [Datok] Yusuff Zaky Yaacob ketika berada di Lapangan Terbang Singapura ketika balik dari Mesir. Pelayan resturnan bertanya beliau nak minum apa dan dijawabnya “biar dulu”. Pelayan itu menyangka dia meminta beer lalu membawanya sebotol beer, sedangkan dalam percakapan orang Kelantan “biar dulu” itu bererti “tunggu dulu” atau “tunggu sekejap”.

Kami suka makan thosai dengan  kuah dhal. Sedikit gula, ayam goreng, dengan chutney. Tapi saya tak suka chutney, kerana rasanya yang hangat dan pedas. Ia diperbuat dari kelapa yang dikisar, dan dicampur dengan rempah-rempah tertentu dan cili.

Thosai sejenis makanan yang berasal dari negara India, dan merupakan makanan tradisi penduduknya. Di sesetengah tempat di India thosai merupakan makan ruji mereka. Bahagian-bahagian negeri yang populer dengan thosai di India ialah Tamil Nadu, Karnataka, Andhara, Pradesh dan Krala.

Dalam bahasa India ia mempunyai banyak nama, seperti dosa, dosay, dose, dhosa dan thosai adalah nama alternativnya yang lebih populer dari nama- nama lain itu.

Thosai juga mempunyai berbagai-bagai versi dan mempunyai rasa yang berlainan, seperti thosai massala, thosai kertas, thosai telur, thosai bawang, thosai majerin, thosai minyak sapi. Walau bagaimanapun saya lebih sukakan thosai kosong dan thosai massala.

Untuk menyedikan thosai tidaklah sukar. Ketika berada sebuah kedai makan di Medan Tasik Puteri, saya dan isteri Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] meminta thosai sekeping seorang. Sementara menunggu thosai sampai kami berbual-bual tentang kesukaan kami makan thosai dan cara-cara membuatnya serta tidak mudahnya kami untuk mendapat thosai di tempat kami.

Bila mendengar kami bercakap tentang thosai itu, tuan kedai makan itu, seorang India, mencelah perbualan kami di mana meja kami terletak dekat dengan mejanya. “Kakak nak buat thosai tak payah. Bahan-bahannya pun tak banyak. Saya boleh tunjukkan cara membuatnya, dan kakak boleh buat sendiri di rumah.” Katanya.

Dia lalu menulis bahan-bahan thosai di atas secarik kertas dan menyerahkannya kepada kami. Kemudian dia memberitahu  kami cara untuk membuat thosai itu. Memang cukup mudah.

Resepi thosai yang diberi oleh beliau dan masih ada dalam simpanan saya ialah:

Beras 1 cawan, ulunthu ¼ cawan dan halaba ½ sudu besar. Rendam semuanya selama 6 jam. Kemduain campurkan dengan ½ cawan nasi..

Cara yang ditunjuk oleh beliau yang baik hati itu mungkin berlainan sedikit daripada apa yang terdapat dalam buku-buku dan internet.

Bila kami pergi beberapa bulan seleaps itu, kedai makan yang terletak di lorong belakang bangunan di Tasik Petri itu telah pun ditutup. Tidak ada thosai lagi di situ.

Kemudian beliau menerangkan cara-cara untuk membuat thosai seterusnya. Kisar bahan-bahan tersebut hingga menjadi adunan yang pekat.

Setelah itu curahkan adunan itu di atas kuali yang leper, dan leper-leperkan thosai itu supaya menjadi nipis. Goreng dengan sedikit minyak hingga rupanya menjadi kuning keemasan.

Kemudian bila masak hidangkan dengan kuah dhal, atau kari ayam dan chutney. Thosai rasanya masam sedikit. Kalau masam sangat pun tak sedap juga dimakan.

Thosai kaya dengan kabohidrat dan protein, tapi mengandungi sedikit gula, garam dan minyak.

Demikianlah sekeping thosai telah mengoyak begitu jauh kenangan saya kepada masa-masa yang lalu yang tidak mungkin lagi untuk dinikmati di masa-masa yang akan datang walaupun dibayar dengan dinar dan emas. Masa lalu itu telah tersimpan kemas dalam peti masa yang berkucni utuh, yang tidak mungkin lagi dibuka untuk dirasai, dinikmati dan diulangi lakun keculai dengan imaginasi dan ingatan semata.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP