KISAH JANDA KAYA

>> Saturday, April 27, 2013





JANDA KAYA


Ada seorang pemuda yang telah beberapa lama menduda, berpisah dengan isterinya kerana sebab yang hanya mereka berdua sahaja yang mengetahuinya. Sekarang dia sedang berusaha keras untuk mencari seorang teman hidup yang baru untuk menghilangkan kesunyian hatinya yang tidak berteman lagi itu.

Pada suatu pagi, dia mengikuti dua orang pak ciknya berjalan kaki untuk pergi ke sebuah gerai untuk sarapan pagi. Kedua-dua pak ciknya itu asyik berbual-bual mengenai bebagai-bagai perkara. Melompat dari satu topik ke satu topik.

Pemuda itu hanya mendiamkan diri sahaja tapi mengikuti dengan teliti segala-segalanya yang diperbualkan oleh kedua pak ciknya itu. Kadang-kadang dia tersenyum sendirian bila  mendengar kelakar mereka.




Sewaktu melintasi sebuah rumah besar di tepi jalan itu, tiba-tiba salah seorang daripadanya kedengaran berkara, “Tengok tu, Janda Kaya, cantikkan?”.

“Yalah! Sungguh cantik. Saya dah lama cari tapi tak juga dapat……”. Balas pak cik yang seorang  lagi. Perbualan kedua-dua pak ciknya mengenai Janda Kaya itu menarik hati sang pemuda.

Sambil berpaling ke kanan, melihat rumah besar itu, dia berkata, “Janda kaya pak cik? Mana? Tuan rumah itukah?”.

Kedua-dua pak ciknya itu ketawa berderai-derai. Geli hati. Sang pemuda menjadi kebingongan, dan bertanya, “Kenapa pak cik?”.

Kemudian salah seorang daripada mereka kedengaran berkata,”Janda Kaya yang kami katakan itu ialah pokok bunga yang tumbuh di hadapan pintu pagar rumah besar itu. Berbunga lebat hingga tak nampak daunnya. Putih. Kau lihat tu?”.

Pak cik yang seorang lagi pula berkata, “Itulah baik-baik ada isteri bercerai. Sudah tak ada isteri, nak kahwin pula”.

Pemuda itu pun turut ketawa mendengar komen kedua pak ciknya.”Janda kaya! Alangkah beruntungnya kalau dapat janda kaya. Tapi orangnya, bukan pokok!”.

Kita tinggal si pemuda dengan cita-cita dan angan-angannya untuk mencari seorang janda kaya.

Pokok janda kaya ialah sejenis tumbuhan renek yang berbunga lebat dan banyak memenuhi pokoknya, hinggakan daunnya hampir tidak kelihatan. Ia mempunyai beberapa jenis, berdasarkan warna bunganya. Ia berbunga sepanjang tahun.

Namun begitu hanya ada dua jenis sahaja yang paling terkenal, iaitu Janda Kaya Putih dan Janda Kaya Merah.

Sesuai dengan nama dan rupanya, ia biasanya ditanam sebagai tanaman hiasan di kawasan-kawasan perumahan, di pejabat-pejabat dan juga di taman-taman untuk lebih menyerikan lagi suasana.

Ia boleh hidup di bawah limpahan sinar mata hari, dengan syarat tidak ditakungi air.

Pokok yang dipercayai berasal dari Ghana dan Filifina ini seperti pokok bunga kertas, boleh dibiak degan semaian keratan batang dan juga ditutkan.

Janda Kaya lebih kuat merimbun jika dahan-dahannya sering dipotong atau dipangkas.

Sampai sekarang masih lagi belum terbongkar rahsianya kenapa pokok ini dikenali dengan nama Janda Kaya. Sebuah nama yang cukup menarik dan menggoda. Mungkinkah kerana suatu masa yang lampau, pokok ini banyak di tanam oleh janda-janda yang kaya, hingga ia diperkenalkan sebagai Bunga Janda Kaya?

Janda kaya ini merupakan salah sejenis tumbuhan yang terdapat di halaman Pondok Rahmat, iaitu yang berwarna putih dan sedang lebat berbunga, sementara Janda Kaya Merah, baru sahaja ditanam dan menunggu masa untuk berbunga. Insya-Allah.

 


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP