Kota Bharu Dan Legenda Berlaga Kerbau

>> Thursday, April 25, 2013




KOTA BHARU DAN LEGENDA BERLAGA KERBAU

 
Pada masa yang lalu pelaga kerbau atau lembu adalah merupakan temasya yang meriah di kalangan rakyat jelata, walaupun tidak jarang pesta seperti itu menjadi punca tercetusnya berbagai-bagai sengketa di kalangan anggota masyarakat, sebagaimana temasya belaga ayam atau ikan sepilar yang boleh mengeruhkan keadaan, walaupun ia menggembirakan. Tulisan itu diangkat daripada tulisan Al-Yubi Ismail yang kita panggil “Pak Usuf” mengenai sebuah legenda pelagaan kerbau dalam sejarah Kelantan.

Ikutilah seterusnya.

Mengikut sejarah negeri Kelantan, setelah Long Senik Mulut Merah ditabalkan menjadi Sultan  Muhammad yang ke-2 dalam tahun 1253 Hijriah bersamaan 1838 M, keadaan perang saudara telah dapat dibendung. Enam tahun kemudian terbinalah sebuah kota di dalam satu kawasan tanah seluas 4 ekar, di dalamnya tersergam sebuah istana dan kubu-kubu yang kuat. Kota inilah  asalnya KOTA BHARU sekarang.

Pada suatu petang tatakala baginda sedang bersemayam di taman bunga, datanglah permaisuri baginda sambil mengangkat sembah:

“Kanda kita telah dapat menduduki di atas puncak kemuliaan dan kebesaran negeri ini menerusi pengorbanan rakyat yang bukan sedikit”.

“Benar adinda! Persetiaan rakyat kita, selama kita sendiri setia kepada pemerintah dan kepada negeri tumpah darah kita bersama”. Permaisuri menyambut sabda itu dengan sebuah senyuman yang luar biasa, hingga dimasyurkan orang sampai ke zaman kita ini dengan kata-kata sakti, “Senyum Istana”.

-“Jika demikian adinda memohon izin kanda, agar dapat adinda bermain-main dan bersukaria bersama-sama rakyat, dengan tidak ada campur tangan kanda, keluarga diraja dan orang-orang besar negeri”.

Baginda amat terharu, hendak menyatakan sesuatu kesamaran ke atas cadangan permaisuri itu, baginda merasa berat, kerana permaisuri tentulah dapat mengagak akan kelemahan baginda untuk mengulahkan sesuatu kejadian atau pembahuran di dalam pentadbiran pemerintahan; jusetru baginda pun memberi persetujuan penuh, tanpa syak dan waham.

Dengan keputusan baginda inilah permaisuri mengistiyarkan kepada seluruh rakyat supaya memelihara kerbau dengan baik, kerana baginda permaisuri sendiri hendak mengadakan  temasya  pelagaan kerbau itu di tanah lapang di luar kota, iaitu di Padang Merdeka sekarang. Peraturan pelagaan itu ditetapkan ialah  empat bulan pada tiap-tiap tahun, iaitu dimulai musim hujan. Peristiyaran ini disambut oleh rakyat dengan gembira.

Cerita-cerita kemeriahan pelagaan kerbau telah menarik perhatian Raja Penambang, iaitu bekas musuh ketat baginda. Utusan Raja Penambang pada suatu hari telah masuk menghadap Sultan Muhammad yang ke-2, membawa titah rajanya ingin melagakan kerbaunya yang masyur dengan nama “Jebat Bulu Halus” dengan kerbau permaisuri sendiri yang bergelar “Rabit”, Permohonan ini telah ditolak oleh permaisuri, kerana baginda berpegang pada asas-asas temasya itu diadakan. Permaisuri menyesali akan kejadian ini dan mengeluh:

-“Kanda! Mereka mulai mencari bala”.

Di dalam keadaan yang demikian, bertiuplah udara muram, sebam dan gelap di kalangan istana dan rakyat, antara kedua-dua kerajaan itu, berita-berita kononnya permaisuri memperbodoh-bodohkan rakyat dengan melagakan kerbaunya yang gemuk dan besar itu dengan kerbau-kerbau kepunyaan rakyat yang kurus lagi kecil, tapi bila ada lawan yang standing, permaisuri pun menolak.

Sebagai seorang perempuan yang lahir dari manusia biasa, permaisuri pun memberi persetujuan dan menyambut cabaran Raja Penambang itu dengan kemurkaan yang meluap-luap.

Ketika Permaisuri hendak berangkat ke tempat pelagaan itu, bersabdalah baginda:

-“Kanda adinda berangkat menyambut bala”.

Baginda sultan menerimanya dengan kebingongan, kerana baginda sendiri tidak boleh hadir di gelanggang pelagaan kerbau itu.

Setelah kerbau itu siap di tempat masing-masing, iaitu jarak antara kedua-duanya lebih kurang 800 ela, maka gong [tatawak] dibunyikan orang, kerbau pun dilepaskan oleh juaranya, kerbau Rabit yang garang itu meluru ke hadapan seperti harimau garang.

-“Oh pengelatnya Temenggong Amat”. Murka Premaisuri, di dalam tepuk sorak yang bergemuruh itu, kerana Temenggong Amat, juara kerbau Jebat Bulu Halus itu tidak melepaskan kerbaunya, Temenggng Amat lalu menunjukkan kepahlawanannya, ia menengking dengan kuat, hingga Rabit terdiri tegak tercengang-cengang, iaitu lebih kurang 10 depa dari lawannnya itu, kerbau Jebat  mulai meronta-ronta meminta lawan. Di dalam keadaan yang kelam kabut inilah, lagi sekali Permaisuri menyeru, “Sambutlah bala Temenggong Amat!”.

Di saat itulah si Rabit memesong diri ke kanan Temenggong itu, kerbau Jebat pula berpusing ke kanan. Sekarang Temenggong itu telah berdiri di tengah-tengah antara kedua ekor  kerbau yang garang itu, dia tak sempat mengelakkan diri, si Rabit sepantas kilat menikam perut Temenggong itu dan dijunjung badan Temenggong itu ke atas, kemudian dihempas ke bumi.

Pertarungan kedua-dua kerbau itu makin hebat dan dasyat, bunyi sorak manusia seolah-olah meruntuhkan menara masjid, sewaktu ini pulalah Permaisuri itu memekik:

-“Bala dicari sudah dapat kau padah dibunuh”.

Berakhirlah temasya itu dengan kenangan-kenangan yang pahit dan menyedihkan, walaupun kerbau Rabit menang dan Temenggong Amat mati.

Demikianlah serba ringkas, petikan daripada tulisan Alyubi Ismail, Pengarang “Kalau Syaitan Mogok”], mengikut cerita yang disampaikan kepadanya oleh Pak Cik Omar Pendekar Kelantan.








disampaikan  oleh Pak Cik Omar Pendekar Kelantan.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP