Pengorbanan Wanita Untuk Mendapat Hak Mengundi

>> Friday, April 12, 2013



PENGORBANAN WANITA UNTUK MENDAPAT HAK MENGUNDI


Pilihanraya untuk negara kita Malaysia yang ke-13 telah ditetapkan. Hari penamaan calon pada 20 April, dan hari mengundinya pada 5 Mei, 2013. Setelah melalui begitu lama suspen dan keadaan tertanya-tanya, dan menunggu-nunggu, yang melahirkan berbagai-bagai teka teki, kecaman dan sanjungan, akhirnya lahirlah juga tarikh pilihanraya itu.



Di negara kita, semua orang yang berusia 21 tahun ke atas berhak mengundi mengikut undang-undang, baik lelaki atau perempuan, semuanya  berhak mengundi untuk memilih pemerintah negara yang baru untuk selama lima tahun yang akan datang.


Pada masa permulaan sejarah demokrasi dahulu, baik di Britain atau di Amerika Syarikat hak mengundi hanya khusus untuk kaum lelaki sahaja, sementara kaum wanitanya diketepikan daripada mengambil bahagian dalam pengundian untuk memilih pemerintah baru.


Justeru kaum wanita pada masa itu terpaksa berjuang berhabis-habisan untuk mendapat hak mereka yang dinafikan itu. Mereka menubuhkan gerakan khusus untuk memperolehi kuasa mengundi yang hanya dimonopoli oleh kaum lelaki sahaja. Di England gerakan kaum wanita untuk mendapat hak mengundi ini dinamakan  Suffragette yang bermaksud hak memilih.


Salah seorang daripada anggota gerakan itu yang terkenal sampai ke hari ini, bukan sahaja di England, kerana sikap militannya, tapi juga di seluruh dunia, ialah Emily Wilding Davison yang berjuang dengan gigih untuk mendapat hak mengundi dan hak berpolitik kepada kaum wanita.


Dia merelakan dirinya terkorban dalam perjuangannya itu. Dia telah membunuh dirinya dalam satu temasya perlumbaan kuda di Epsomm England. Pada Hari Perlumbaan Derby pada tahun 1913, beliau telah berlari keluar dari kawasan penuntun dan masuk ke laluan perlumbaan dan mencampakkan dirinya di hadapan kuda kepunyaan King Geoge V yang sedang berlari di garis hadapan dalam  perlumbaan itu. Akibatnya dia telah tercedera parah.


Orang ramai berkejaran mendapatkannya, tapi tidak apa-apa yang dapat  mereka lakukan. Bahagian kepalanya trecedra parah. Beliau dikejar ke hospital dan dan kepalanya dibedah. Tapi nyawanya tidak dapat di selamatkan, dan dia menghembuskan nafasnya yang akhir.


Tindakan Wilding yang nekad itu menarik perhatian seluruh rakyat Britain untuk menyedari perjuangan Surregatte untuk mendapat hak mengundi dan berpolitik kepada kaum wanita. Peristiwa itu memberi erti kaum wanita sanggup mati dalam memperjuangkan hak-hak mereka untuk berpolitik dan hak mengundi.


Beliau adalah seorang terpelajar, lulusan universiti, tapi sukakan kekerasaan, malah dicap sebagai seorang militan. Kerana kegiatan militannya itu beliau pernah ditangkap dan dipenjarakan sebanyak sembilan kali. Beliau suka menganggu mesyuarat, membaling batu dan membakar bangunan. Dalam penjara beliau sering mogok lapar dan enggan diberi makan dengan paksaan.


Ketika berada dalam tahanan di penjara Holloway, beliau dan beberapa rakan seperjunagnnaya pernah mencederakan diri sendiri dengan terjun dari tangga besi setinggi sepuluh meter. Ini menyebabkan kepala dan saraf tunjangnya tercedera yang menimpakan gangguan sepajang hayat kepadamua.


Beliau juga merengkok dalam tahanan Penjara Strangeway pada tahun 1909 kerana kesalahan membaling batu ke arah kereta kuda yang dinaiki oleh Chanslor David Lloyd George. Di penjara itu dia enggan makan dan tidak mengizinkan dia diberi makan dengan paksa. 


Pada suatu hari, beliau mengurungkan dirinya dalam bilik di penjara tersebut, dan ini mencetuskan kemarahan seorang pengawal penjara. Pengawal itu lalu menyumbat wayar getah ke dalam bilik tahanan itu dan memasukan air ke dalam biliknya menerusi wayar tersebut.Tapi nasib baik pintu bilik penjara pecah itu dan dia terselamat. Berikutnya dia telah menyaman pengawal tersebut mendapat bayaran sebanyak 40 syiling.dan 


 
Namun mengikut  ahli sejarah, tindakan militan Wilding itu tidak menimpakan impak yang besar kepada kerajaan British untuk memberi hak berpolitik dan mengundi kepada kaum wanita. Kekerasaan tidak berguna.


Kata mereka, yang membantu mereka untuk mendapat hak mengundi dan berpolitik di Britain ialah kerana kesediaan kaum wanita  menolong dan membantu dengan sepenuh hati kerajaan dan tentera merek dalam Perang Dunia Pertama.


Bila Perang Dunia Pertama tamat pada tahun 1918, Parlimen British telah mengundi membenarkan kaum wanita mengundi seperti kaum lelaki juga. Pada mula-mulanya hanya untuk kaum wanita yang berusia 30 tahun ke atas sahaja, tapi pada tahun 1928 hak mengundi itu telah diturunkan kepada wanita yang berusia 21 tahun.


Demikianlah sedikit latar belakang perjuangan kaum wanita untuk mendapat hak berpolitik dan mengundi dalam musim pilihanraya yang begitu penting untuk menentukan parti yang akan menerajui kerajaan negara mereka.

 



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP