Bila Langsir Ramadan DiKuak

>> Saturday, July 30, 2011



MARHABAN YA RAMADAN

____________________________


BILA LANGSIR RAMADAN DIKUAK


[29 Syaaban]



Bila masuk sahaja bulan Rejab, generasi warga emas di kampung-kampung, terutama pada masa-masa yang dahulu mulai menyebut-nyebut ketibaan sebuah bulan yang mulia yang akan menyusul selepas itu, iatu bulan Ramadan bila berakhirnya bulan Syaaban nanti.



Dari masa ke masa, jika ada ruang mereka akan menyebut-nyebutnya, “kita ni bulan puasa dah dekat, tak lama lagi puasalah kita”.



“Yalah bulan ni dah bulan Rejab, selepas ini Syaaban, dan selepas itu datanglah bulan Ramadan”, yang mendengarnya kendengaran menjawab.



Demikianlah hebatnya, agungnya bulan Ramadan itu, berbulan-bulan sebelum kedatangannya, sinarnya telah memancar, orang telah menyebut-nyebutnya dan bersiap sedia untuk menyambut kunjungannya yang penuh keberkatan.



Hari ini kita berada di hujung bulan Syaaban, dan sekali gus bererti kita berada di ambang bulan Ramadan yang akan dirayakan dengan ibadat puasa selama sebulan, mungkin selama 29 hari atau mungkin juga 30 hari, dan tidak lebih dari itu mengikut takwin Hijriah.



Andainya hari-hari bulan Syaaban itu jumlah bilangnnya 29 hari, maka 1 Ramadan tahun 1432 ini akan jatuh pada besok hari,Isnin bersamaan dengan 1 Ogos 2011, tapi andainya bilangan hari bulan Syaaban itu 30 hari, maka 1 Ramadan 1432 akan jatuh pada hari Selasa bersmaan dengan 2 Ogos 2011.



Mengikut Ijhtimak yang terdapat pada takwin 1432 Hijriah, bilangan hari bulan Syaaban pada tahun ini ialah 29 hari, jatuh pada hari Ahad bersamaan dengan 31 Julai 2011, jam 2.45 pagi, justeru 1 Ramadan akan jatuh pada hari Isnin bersamaan dengan 1 Ogos 2011.



Jika kiraan itu benar, maka itulah harinya kita memulakan puasa pada tahun ini. Malam ini tabir bulan Ramadan akan terkuak lebar, dan besok kita akan menikmati puasa pada bulan Ramadan yang tirai telah dibuka.



Pengumuman mengenai permulaan tarikh puasa itu akan dibuat oleh Kerajaan, menerusi Penyimpan Mohor Raja-raja Melayu pada malam ini, Ahad, 31 Julai 2011.



Sabarlah menunggu ketibaan hari yang mulia itu.



Sejak akhir-akhir ini bila masuk bulan Syaaban, telah timbul tradisi menggantung sepandok-sepandok dan billboard atau papan-papan iklan menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak di sana sini, terutama di kawasan-kawasan perbandaran.



Tok-tok guru yang mengajar di masjid, di surau akan mengambil kesempatan menyentuh bulan Ramadan dalam kuliah-kuliah mereka, demikian juga imam-imam ada yang menyentuh tentang ibadat puasa dalam khutbah Jumaat mereka bila bulan Syaaban mendekati penghujungnya.



Akhbar-akhbar dan majalah-majalah juga, termasuk yang mendekati picisan pun tidak akan melepas peluang untuk turut bersama-sama membicarakan tentang bulan Ramdan dan ibadat puasa.



Dalam keghairahan menyambut Ramadan itu, akan lebih menonjol di kalangan para peniaga yang kecil dan besar, mengambil kesempatan yang seluas-luasnya mengucap selamat berpuasa dan selamat berhari raya dengan kemepen-kempen hebat untuk memasarkan aneka barang dagangan mereka dari yang sekecil-kecil benda membawa kepada sebesar-besar benda.



Biasasnya daya tarik utama yang digunakan untuk memaparkan iklan-iklan barangan kaum kapitalis itu ialah kaum wanita, wanita-wanita jelita yang dipakaikan dengan pakaian yang mendedah aurat, yang terbuka di atas dan terselak di bawah. Hinggakan kadang-kadang kita merasa gerak-geri watak dalam iklan itu telah melampau daripada barang-barang yang dipasarkan, dengan tujuan semata-mata untuk menarik perhatian.



Alhamdulillah, sejak tahun-tahun ke belakangan ini gambar-gambar wanita iklan yang mendedah aurat di sepanduk-sepanduk atau di billboard-billboard di seluruh negeri Kelatan telah tidak kelihatan lagi, dan digantikan dengan wajah-wajah wanita yang berpakaian sopan dan menutup aurat. Bukan sahaja dalam bulan Ramadan, tapi di sepanjang masa.



Sebenarnya kehadiran bulan Ramadan bukan sahaja membuka pintu yang luas kepada umat Islam untuk medamba keuntungan rohani, tapi juga membuka pintu yang lebar untuk mengejar keuntungan jasmani, antaranya dengan jalan membuka perniagaan di pasar-pasar Ramadan yang wujud berselerak hampir di segenap jeruk ranatau di negara ini.



Biasanya pasar-pasar Ramadan itu dikendalikan oleh pihak berkuasa, atau pun pihak-pihak tertentu yang mengenakan bayaran tertentu sepanjang peniaga-peniaga itu berniaga di Pasar Ramadan itu.



Tempahan-tempahan untuk mendapat gerai atau tapak berniaga di Pasar Ramadan itu biasanya dibuka awal-awal lagi, iaitu beberapa bulan menjenlang bulan Ramadan.



Sebaliknya sepanjang bulan Ramadan ini, ahli-ahli takwa pula berusaha menimba seberapa banyak keuntungan kerohanian, sementara para peniaga pula mengejar seberapa banyak keuntungan dari hasil dagangan mereka.



Tapi alangkah baiknya, kalau kita dapat mengautkan kedua-duanya sekali, keuntungan dunia dan keuntungan akhirat menerusi amalan-amalan yang kita lakukan setiap hari berdasarkan Islam yang suci dan tulin dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari.



Para ahli takwa akan berusaha keras untuk memburu saham-saham akhirat yang dikurniakan dengan banyak oleh Allah yang Maha Pemurah di sepanjang bulan Ramadan. Mereka akan melipatgandakan usaha yang bersungguh-sunguh untuk meraihkan saham akhirat itu, walau pun dalam kehidupan seharian mereka dihimpit oleh berbagai-bagai beban dan tugas yang terjunjung di atas batu jemalan mereka.



Marilah kita semua berazam untuk mempertingkatkan amalan dalam bulan Ramadan yang mungkin akan bermula besok, dengan usah-usaha yang lebih gigih daripada tahun-tahun yang lalu. Kalau di Ramadan-ramadan tahun-tahun yang lepas kita lemah dan cuai dalam pengisiannya, maka marilah kita berazam pada Ramadan tahun ini kita tidak akan lalai dan cuai lagi, sebaliknya akan mempertingkatkan usaha semaksimun mungkin supaya kita mendapat limpahan rahmat dari Allah berkat bulan suci dan mulia ini.



Kalau Ramadan-ramadan di tahun-tahun yang lalu, kita terlampau banyak menyediakan bekalan-bekalan makanan yang melimpah-ruah untuk dimakan; kerana bimbang takut-takut tidak berselera untuk berbuka dan bersahur lalu kita menyimpan berbagai-bagai stok makanan, telur masin atau telur jeruk berbotol-botol, daging kering berkilo-kilo, sambal daging berbungkus-bungkus, kueh-kueh kering dan basah dan sebagainya di mana sebahagian besarnya setiap hari menjadi habuan bakul dan tong sampah, tapi untuk Ramdan tahun ini kita lupakan semuanya itu dengan menyediakan makanan sekadar yang perlu dan sesuai dengan kemampuan diri masing-masing.



Menyambut Ramadan degan penuh keimanan dan ketakwaan.



Selamat berpuasa.



Abu Hurairah berkata, “Rasulullah saw. berkata:”Berpuasalah kamu sekalian kerana melihat hilal [anak bulan] dan berbukalah kamu [berhari raya] sekalian kerana melihat hilal. Apabila hilal terhalang oleh awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Syaban tiga puluh hari”.HR:Ahmad.



Marhaban ya Ramadan.



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.




xxxxxxxxxxxxxx



- ORANG CINA PUN ”BERPUASA” DI BULAN RAMADAN


[28 Syaaban 1432]



Bulan Syaaban yang kita berada di dalamnya sekarang hampir melabuhkan tiranya, untuk menyambut ketibaan bulan yang mulia, bulan Ramadan, bulan kita umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan.



Hari ini hari Sabtu, 28 Syaaban 1432 Hijriah [30 Julai 2011]. Malam besok adalah malam penentuan bilakah tibanya satu Ramadan itu; andainya bulan Syaaban 29 hari, maka 1 Ramadan akan jatuh pada hari Isnin, bersamaan dengan 1 Ogos 2011, dan itulah hari kita memulakan puasa Ramadan kita pada tahun ini.



Sejak akhir-akhir ini kerinduan kita umat kepada Ramadan kian kencang setelah berpisah setahun lamanya di mana kita telah mengharungi berbagai-bagai rona kehidupan.



Kita berharap dan berdoa semoga kita dapat mempertringkatkan amalan kita lebih daripada masa-masa yang lalu sepanjang bulan Ramadan tahun ini, dan semoga kita dikurniakan rahmatNya yang berganda dalam bulan yang mulia kali ini.



Sebagai seorang perantau, kita mungkin terkenangkan kehidupan kita di masa-masa yang lalu, terkenangkan kampung halaman di mana kita dibesarkan, tapi telah kita tinggalkan sekian lama kerana memburu kehidupan, ayah bonda mungkin masih ada di kampung, mungkin telah tiada, pergi untuk selama-lamanya, sanak saudara masih dada di desa, kawan dan taulan masih ada di kampung, hanya kita telah meninggalkan kampung laman dan membuka kehidupan baru di bumi perantauan. Hanya dalam kenangan kembali ke zaman silam yang mugkin telah jauh berbeza dengan kenyataan hari ini.



Kami adalah sebahagian daripada mereka yang pernah menjadi perantau dalam usia muda, walau pun telah lama kembali ke negeri sendiri, tapi kenangan kepada kampung laman sentiasa subur dalam ingatan kami, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan yang akan disusli dengan hari lebaran, Aidilfitri.



Semuanya merupakan sebahagian daripada warna-warna kehidupan kami, kerana di situlah kami dilahirkan, dibesarkan, diasuhkan bersama ayah dan bonda serta keluarga tercinta yang akhirnya terpaksa berpisah kerana ketentuan takdir dalam arus kehidupan masing-masing.


Banyak yang subur dalam ingatan, lebih-lebih lagi, selepas kehilangan orang-orang yang tersayang, ayah dan bonda, kehilangan orang yang rercinta, isteri yang sentiasa di samping........semuanya berkembang dalam kenangan yang tidak berpenghabisan.



Kampung Laman


Banyak yang menjalar dalam ingatan mengenai kampung kelahiran saya, Kg. Salor. Di antara berbagai-bagai kenangan itu, kali ini saya sorot satu sudut kecil dairpadanya untuk dikongsi dengan anda sekalian.



Dalam kampung kecil kami pada masa tidak begitu lama dahulu terdapat beberapa keluarga Cina yang hidup di kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Kehidupan seharian mereka tidak ubah orang Melayu, cuma agama mereka sahaja bukan Islam.



Sepanjang bulan Ramadan yang mulia itu mereka tahu dan menghormati bulan mulia kepada umat Islam itu. Di siang hari, mereka makan secara sembunyi-sembunyi dan tidak makan di khalak ramai, kerana meghormati orang Islam yang berpuasa. Sebuah kedai kopi Cina yang ada di kampong kami itu ditutup di waktu siang hari sepanjang bulan Ramadan, dan hanya dibuka beberapa hari selepas hari raya. Dalam bulan Ramadan kedai kopi itu hanya dibuka pada waktu malam sahaja.



Di kampung kami ini ada sebuah pasar, bangunannya masih ada sampai ke hari ini. Pasar ini sebelum tahun 1970an adalah sebuah pasar yang termasyur yang ramai dikunjung oleh peniaga dan pembeli yang datang dari berbagai-bagai tempat yang jauh. Sepanjang bulan puasa, pasar itu terus hidup malah lebih rancak daripada hari-hari biasa dengan berbagai-bagai barang dagangan, di samping kueh-mueh. Pasar ini berakhir menjelang waktu zohor.



Di sepanjang bulan Ramadan berbagai-bagai jenis kueh-mueh yang biasa dan yang istimewa diperniagakan, seperti akok, jala mas, koleh kacang, koleh tahi minyak, tahi itik, cek mek molek, karipap dan sebagainya. Kueh-mueh ini biasanya tidak bersisa, kerana pembelinya bertambah ramai sepanjang bulan Ramadan.



Orang Cina pun turut menjual juga di pasar tersebut, di samping itu ramai pula yang datang membeli-belah. Mereka datang dari kampung-kampung sekitarnya dan ada juga di antara mereka yang datang dengan menyeberangi Sungai Kelantan menggunakan perahu kecil yang dikayuh sendiri.



Sepanjang bulan Ramadan, kita nampak orang-orang Cina pun semacam berpuasa juga. Mereka bukan sahaja tidak makan, tapi juga tidak kelihatan merokok di khalayak ramai, walau pun rokok daun.



Walau pun nama sebenar mereka dalam bahasa Cina, tapi semua mereka, terutama golongan muda seangkatan dengan saya, mempunyai nama khas dalam bahasa Melayu, kadang-kadang disesuaikan dengan nama Cina mereka. Kebanyakan mereka menggunakan nama-nama yang hebat-hebat, seperti nama nabi-nabi atau nama para sahabat, iaitu Muhammad, Saleh, Yaakob, Yunus, Idris, Ali dan sebagainya. Yang perempuan pula memakai nama Maryam, Hamidah, Aminah, Aisyah, Kalsom. Mek Fah dan sebagainya.



Kepada golongan tua pula, walaupun nama mereka dikenali dengan panggilan nama Cina mereka, tapi di hadapan nama itu biasanya dibubuh dengan panggilan hormat, sebagaimana panggilan kepada orang Melayu juga, seperti nama lelaki Pak [Hang], Pak [Chee], dan orang perempuan tua pula ditambah dengan panggilan Tok atau Mek, seperti Tok [Mek Yu], Mek [Yok], Mek [Tee] dan sebagainya.



Mereka juga makan makanan yang serupa dengan makanan orang Melayu, seperti nasi dagang, nasi kerabu, nasi berlauk, nasi tompang, tapai, akok, nasi kaya dan sebagainya.



Dan yang pasti mereka juga suka makan budu seperti orang-orang Melayu Kelantan untuk menambah selera makan.



Kalau ada yang uzur mereka saling jengok menjengok. Ada orang Melayu sakit mereka pergi tengok, dan kalau ada orang China sakit, orang Melayu seperti jengok.



Tidak jarang pula orang-orang Cina itu akan mengundang tok-tok bomoh Melayu untuk merawat si sakit.



Kalau ada majlis perkahwinan, menyambut menantu, orang Melayu akan mengundang orang Cina dan sebaliknya orang Cina pula akan menjemput orang Melayu ke majlis mereka masing-masing.



Kalau orang Melayu beri hadiah, biasanya duit “mengelan kepada orang Cina tuan rumah, orang Cina juga beri duit mengelan kepada orang Melayu yang menggundnag mereka ke majlis kahwin.



Sejauh yang diketahui ada di antara mereka yang mempunyai nama-nama panggilan yang hebat itu telah mendapat hidayah, memeluk agama Islam.



Seperti dengan orang-orang Cina di tempat-tempat lain juga di negeri Kelantan ini, orang Cina di kampung saya itu bercakap dengan dialek Kelantan, tak ada bezanya dengan orang Melayu Kelantan.



Mereka juga menerima pendidikan yang sama. Kanak-kanak Cina pun belajar di sekolah Kebangsaan bersama-sama dengan kanak-kanak Melayu. Mereka belajar mata pelajaran yang sama.



Sewaktu giliran mata pelajaran agama Islam, mereka diberi kebebasan untuk meninggalkan kelas, tapi tak ada seorang pun yang meninggalkan kelas, mereka turut belajar agama. Kerana itu mereka tahu perkara-perkara asas tentang agama Islam, seperti puasa dan sembahayang.



Walau bagaimana pun mereka hanya sekadar tahu, tapi tidak beriman.



Mereka juga pandai menulis tulisan Jawi, malah ada yang dapat menulis Jawi dengan elok. Itu zaman persekolahan saya dahulu, hari ini saya tidak tahu.



Tapi sejak kebelakangan ini orang Cina tidak lagi tinggal di kampungku. Mereka telah berpindah, sebahagiannya ke kampung yang berhamprain, di mana masyarakat Cina lebih ramai di situ. Mereka jual rumah dan tanah-tanah mereka untuk berpindah dan membina kehidupan baru.



Orang-orang Cina itu menghormati agama Islam, mereka tidak menganggu ibadat orang Islam, dan mereka senang hidup di kalangan kami masyarakat Islam. Demikian juga sebaliknya, kita orang Islam tidak menganggu agama mereka, dan mereka bebas mengamal upacara agama mereka.



Orang-orang di China di kampong saya, Kg.Salor, tidak ada yang pelihara anjing, jauh sekali daripada memelihara babi.



Mereka hormatkan bulan Ramadan, dan mereka menghormati orang Islam yang berpuasa.



Saya percaya, pada masa itu tidak ada orang Melayu, termasuk kanak yang tidak menunaikan ibadat puasa. Walau pun mungkin ada yang tidak bersolat, atau bersolat sekali seminggu, hari Jumaat, tapi puasa tetap puasa.



Oleh itu amat ganjilnya, andainya ada orang Islam yang tidak berpuasa, dan tidak menghormati bulan Ramadan dengan berbuka puasa di siang hari, sedangkan orang-orang Cina bukan Islam pun tahu menghormati bulan yang mulia itu. Janganlah dalam kepercayaan ini, orang Islam lebih kafir dari orang kafir.



Sekianlah sekadar renungan tentang sebuah kehidupan masyarakat kampung yang berbilang bangsa dan agama di negara kita yang menjadi asas kepada kukuhnya perpaduan bangsa pada masa itu.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP