Bau-bau Memberahikan

>> Sunday, July 10, 2011

BAU-BAU MEMBERAHIKAN

Setiap orang yang normal, baik lelaki atau perempuan, tentu sukakan bau yang wangi.



Kenapa? Kerana bau wangi itu menyenang dan menyelesakan perasaan dan hati.



Mereka ingin dirinya berbau wangi, tempat tinggalnya berbau wangi dan sekitarnya juga berbau wangi.



Justeru mereka tidak lokek berbelanja untuk mewangikan, terutama diri mereka, dan juga sekitar mereka



Sumber wangi itu mungkin diperolehi dari bahan-bahan asli seperti daripada bunga-bungi, dan kulit-kulit kayu yang tertentu.



Bau-bau wangi bunga biasanya boleh terus dinikmati secara langsung daripada bunga itu sendiri, tapi kulit-kulit atau akar kayu pula biasanya terpaksa dibakar terlebih dahulu, seperti membakar kemenyan, setanggi atau kayu cendana.


Setiap orang mempunyai citarasa yang khusus mengenai bau-bau yang menjadi kegemaran mereka yang mungkin berbeza-beza antara seorang dengan seorang.



Anda juga sudah tentu mempunyai bau-bau pilihan anda sendiri. Anda tentu mengetahui bau yang menjadi pilihan anda.



Oleh itu jika anda ada mempunyai pasangan, buah hati pengarang jantung, sebagai tunang, isteri atau suami, anda hendaklah berhati-hati dalam memilih bau-bau yang wangi itu supaya selaras dengan citarasa orang yang anda kasihi.



Jika anda memamakai bau-bau yang bercanggah dengan citarasa mereka, maka sudah tentu akan mencetuskan suasana yang tidak diingini yang boleh mengeruhkan hubungan anda dalam jangka masa yang panjang.



Oleh itu pastikan bau wangi yang anda pakai itu disukai oleh pasangan anda, baik suami atau isteri anda, terutama ketika anda berdua-duaan di kamar pengantin.



Bau Asli


Di samping itu mengikut kajian ada lagi sejenis bau, yang tidak mestinya berbau wangi tapi mempunyai kesan terhdap penghidu baunya.



Bau itu mungkin boleh mencetuskan rasa tertarik kepada penghidunya, bukan kerana kewangiannya, tapi bau keasliannya yang mungkin mempunyai berbagai-bagai jenis bau, termasuk bau yang tidak menyenangkan.



Bau ini mungkn terdapat pada manusia, pada haiwan dan juga pada tumbuh-tumbuhan.



Bau sejenis haiwan dengan sejenis haiwan yang lain adalah berbeza. Bau kuda berbeza dengan bau lembu, bau lembu berbeza dengan bau kerbau, bau kerbau berbeza dengan bau kambing. Bau ayam berbeza dengan bau itik.



Orang-orang kampung dengan mencium bau-bau binatang itu sudah dapat mengenali jenis haiwannya, lembu, kerbau atau kambing atau biri-biri.



Demikian juga dengan binatang-binatang mengeluarkan bau yang tersendiri, seperti semut dan lipas. Bau-baunya ada yang keras dan ada yang tidak keras.



Anda tentu dapat membeza antara bau semut dengan bau lipas, dan bau semut itu pula berbeza antara sejenis semut dengan sejenis semut, walau pun mereka sama-sasma semut.



Ada sejenis semut kecil mempunyai bau yang keras, seekor sahaja jika terjatuh ke dalam secawan air, meninggalkan bau yang tidak dapat diminum airnya.



Tumbuh-tumbuhan juga mempunyai berbagai-bagai bau yang berbeza-beza antara sejenis pokok dengan sejenis pokok.



Bau-bau ini biasanya terdapat pada daun-daun dan juga kulitnya. Bau-bau itu dapat dihidu bila daun-daun itu digenyeh-genyeh atau digentel dengan tapak tangan. Bau-baun pada kulit kayu pula dapat dihidu jika kulit pokok itu dikoyak dari batangnya, dan digesel-geselkan kepada benda-benda keras.



Itulah bau pokok langsat berbeza daripada bau pokok rambai, bau pokok durian berbeza dengan bau pokok nangka, bau pokok “kapal terbang” yang keras itu berbeza dengan bau pokok “jebat musang” yang juga keras baunya.



Bau-bau pokok bunga dapat dihidu daripada bau-bau bunganya yang berbeza, seperti pokok ros berbeza dengan bau bunga melur, bunga melur berbeza baunya dengan bau bunga cempaka atau bunga cina; demikianlah seterusnya.



Bau-bau Berahi


Mengikut kajian sains, haiwan memang mempunyai bau-bau yang tertentu yang dikategorikan sebagai bau seks atau bau berahi.



Biasanya haiwan-haiwan betina akan mengeluarkan bau-baunya untuk menggoda haiwan jantan



Perkara seperti ini banyak terdapat di kalangan serangga betina yang mengeluarkan bau mereka untuk memikat serangga jantan.



Penganalisis mengatakan bau-bau itu merupakan sebatian kimia yang amat penting.



Dalam satu ujian yang pernah dijalan, para penyiasat telah mengambil bau-bau dari lipas betina dan menggunakan bau-bau itu mereka telah berjaya memikat lipas jantan untuk berkejaran datang mendekaktinya.



Dengan menggunakan bau-bau yang diambil daripada 10,000 ekor lipas betina dalam masa 9 bulan mereka telah berhasil mengumpul sebanyak 12.2 miligram bau-bau tersebut.



Dengan menggunakan bau-bau itu mereka dapat menarik lipas-lipas jantan berkumpul di sesuatu tempat yang strategik, dan dapatlah dibubuh tanpa menggunakan semburan racun seperti biasa yang boleh mengancam makhluk-makhluk lain.



Justeru itu dengan tidak ada lipas jantan, maka sudah tentu lipas betina tidak akan dapat melahirkan turunan, maka dengan itu makhluk lipas akan musnah dengan sendirinya.



Musuh Manusia


Serangga-serangga memang telah lama menjadi musuh manusia. Kebanyakan haiwan-haiwan kecil ini, seperti lalat, belalang, lipas dan nyamuk menimpakan kerosakan kepada manusia dan membunuh ribuan manusia setiap tahun.



Binatang-binatang kecil seperti lalat membawa kuman-kuman penyakit yang boleh membunuh manusia, sementara belalang-belalang pula merosakkan binasa tanaman-tanaman yang diusahakan manusia.



Setiap tahun ratusan ribu ringgit tanaman-tanaman yang menjadi seranga belalang.



Oleh itu manusia telah lama berusaha untuk memerangi serangga-serangga itu. Berbagai-bagai cara telah mereka gunakan dari masa ke masa.



Malah tujuan kajian berhubung dengan bau-bau berahi ini dibuat adalah untuk mencari jalan memerangi makhluk-makhluk yang menjadi musuh manusia itu.



Antara berbagai-bagai cara yang sering digunakan ialah racun-racun yang dibuat khusus dengan bahan-bahan kimia. Racun-racun ini sering digunakan oleh para petani untuk membunuh seranga-serangga yang menjadi ancaman kepada tanaman-tanaman mereka.



Kalau di rumah, jika sering menggunakan semburan racun untuk menghalau nyamuk dan lipas, atau pun menggunakan ubat nyamuk lekar yang mengeluar asap bila dibakar untuk menghalau nyamuk.



Tapi penggunaan racun-racun kimia ini sentiasa mendapat bantahan, kerana ia bukan sahaja membunuh serangga yang menjadi musuh tanam-tanaman, tapi mungkin juga membunuh binatang lain yang berguna dan boleh juga dimakan.



Antara binatang-bintang yang sering menjadi korban pembunuhan yang tidak senghaja ialah ikan-ikan dan burung-burung di sawah ladang.



Sawah-sawah yang banyak menggunakan racun, termasuk racun rumput-rampai, hari ini tidak banyak lagi mengandungi ikan, seperti di masa-masa yang lalu, kerana sentiasa terdedah kepada berbagai-bagai jenis racun yang menyebabkan ikan-ikan itu mati terbunuh.



Selain daripada haiwan-haiwan yang terancam, malah manusia juga mungkin terancam oleh racun-racun itu, mungkin secara mendadak atau dalam masa yang panjang setelah menggunakannya dari masa ke masa.



Bau Manusia


Andainya haiwan dan tumbuh-tumbuhan mempunyai bau-bau seks yang khusus, bagaimana pula dengan manusia?



Manusia juga sudah tentu mempunya bau, dan bau-bau itu berbeza bukan sahaja antara seorang dengan seorang, tapi juga antara satu bangsa dengan satu bangsa. Dalam hal ini bau asli orang Cina, berbeza dengan bau asli orang Melayu, kecuali bau itu dilindungi oleh bau-bau minyak wangi.



Bau asli Muhammad berbeza daripada bau asli Ali. Bau Maimunah berbeza daripada bau Rogayah.



Justeru seorang suami dapat mengecami bau asli isterinya, dan demikian seorang isteri dapat mengenali bau asli suaminya. Dengan menghidu baunya sahaja, seorang suami atau isteri dapat mengenali suaminya atau isterinya yang berada dalam kamar yang tertutup.



Itulah sebabnya seorang ayah yang hendak meninggalkan rumah dalam jangka masa yang agak panjang diminta supaya meninggal pakaiannya yang telah dipakai untuk dijadikan selimut atau pengalas belakang bayi atau anaknya yang masih kecil. Bau yang ditinggalkan oleh si ayah yang melekat pada kainya boleh menenangkan kerinduan si anak kepada ayahnya.



Adakah anda tidak mengenali bau suami anda atau bau isteri anda?



Isteri saya telah meninggal kira-kira dua tahun yang lalu, tapi saya masih belum lupa bau-baunya, dan juga bau wangi-wangian yang digemarinya.[Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya].



Ketika berada di sebuah pasar raya di ibu kota baru-baru, dan ketika berada di bahagian jualan bahan-bahan kecantikan, cucu saya yang sulung,yang berada bersama saya ketka tu tiba-tiba berhenti di sebuah rak minyak wangi, sambil memegang sebotol minyak wangi lalu berkata kepada saya, “Minyak wangi inilah yang Wan [panggilan kepada neneknya] suka pakai”.



Tapi bau-bau asli seseorang lelaki atau seorang wanita juga menjadi faktor yang menyebabkan seseorang mungkin jatuh hati atau jatuh cinta kepada seseorang dan seterusnya membawa mereka ke jinjang pelamin?



Adakah bila seorang gadis yang telah sampai waktunya untuk mencari jodoh akan mengeluarkan bau-bau asli yang tertentu, dan bila bau itu dihidu oleh seorang pemuda yang juga sedang mencari teman hidup, dan dia pun menyukai bau itu, maka pemuda itu akan datang mendapatkan gadis itu untuk berkenalan dan bercinta dan akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin?



Demikian juga mungkin berlaku kepada seorang wanita, seorang janda, bila timbul keinginanya untuk mencari teman hidup baru, mungkin akan mengeluarkan bau-bau tertentu, dan bila bau itu dihidu oleh lelaki yang menyukainya, maka terjalinlah hubungan antara keduanya.



Selepas mereka mendirikan rumah tangga, entah bagaimana si isteri berhenti mengeluarkan bau yang pernah digemari oleh suaminya itu, atau pun si suami tiba-tiba menyedari bau isterinya tidak benar-benar disukainya, atau tidak disukainya lagi, apa akan berlaku?



Dalam keadaan seperti itu, mau tidak mau, si lelaki mungkin kehilangan perhitungan dan mencari wanita lain yang mempunyai bau-bau yang disukainya, justeru itu perkahwinan yang mereka bina itu mungkin berakhir dengan penceraian.



Bau Wangi Untuk Wanita


Oleh sebab bau-bau itu, khususnya bau-bau yang wangi boleh menimbulkan kesan-kesan yang tertentu terhadap seseorang, khususnya kesan seks, maka kaum wanita Islam diminta berhati-hati ketika memakai bau-bauan



Walau pun kaum Muslimah dibenarkan memakai minyak wangi, tapi yang kurang kuat bau wanginya, warnanya terang; sementara minyak wangi untuk kaum lelaki pula kuat baunya tapi tidak berwarna.



Seorang wanita yang keluar rumah dilarang memakai bau-bauan yang keras yang serbak harumnya, kerana andainya dia berbuat demikian maka selama itulah dia seolah-olah berada dalam keadaan zina.



Wanita juga dilarang memakai wangi-wangian dalam idah suaminya ketika berlaku perceraian.



Demikianlah alam raya di mana kita hidup ini penuh dengan berbagai-bagai misteri yang masih belum terdedah, dan tidak akan habis-habis untuk diteroka dan dibongkar, kerana ilmu Allah itu tidak berhujung dan tidak bertepi, makin banyak yang dikaji, makin banyak yang diteroka, makin banyak yang belum ditemui, makin banyak yang perlu dikaji selagi dunia ini terus berkembang.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP