Bersuap-suapan

>> Thursday, July 14, 2011

Bersuap-suapan

Salah satu acara penting dalam adat bersanding ialah acara bersuap-suapan di antara pengantin lelaki dengan pengantin perempuan ketika mereka duduk berdua-duaan di atas singgahsana pelamin raja sehari.



Adat bersanding ini dilakukan oleh pihak pengantin perempuan, biasanya di rumah, tapi hari ini kepada mereka yang berduit dilakukan di dewan-dewan, termasuk di dewan-dewan hotel yang menelan belanja puluhan ribu ringgit.



Ancara ini dijalankan oleh ibu pengantin perempuan sebagai tuan rumah. Acara simpel tanpa cukup bermakna kepada kedua pengantin baru.



Dalam acara ini, ibu pengantin akan berdiri di hadapan kedua pengantin baru yang duduk bersanding di atas pelamin, lalu mengambil sedikit pulut kuning yang diletak dalam par, meletaknya ke dalam tangan pengantin perempuan yang mengambilnya dengan dua jarinya. Kemduian ibu pengantin memegang tangan pengantin perempuan itu lalu dibawa ke mulut pengantin lelaki dan menyuapnya.



Kemudian cara yang sama juga dilakukan oleh pengantin lelaki terhadap pengantin perempuan dengan bantuan ibu pengantin perempuan seperti itu juga.



Biasa juga acara itu dilakukan secara simbolik sahaja, di mana ibu pengantin perempuan tidak benar-benar menyuap pulut kuning itu ke mulut pengantin perempuan dan pengantin lelaki, tapi dibawa sahaja hampir ke mulut mereka seolah-olah menyuapnya.



Pulut kuning ini kadang-kadang dipanggil nasi kunyit, dan kadang-kadang juga pulut semangat atau nasi semangat.



Kemudian barulah kedua pengantin direnjiskan dengan air mawar yang telah disediakan dalam bekasnya yang khusus. Biasa juga para-para jemputan yang dihormati akan dijemput merenjis air mawar kepada pengantin.



Selepas itu barulah kedua pengatin dibawa turun dari pelamin untuk upcara selanjutnya sebagai sepasang pengantin baru yang penuh dengan kesibukan.



Pengatin Lelaki Hilang


Seorang pemuda, kawan kepada arwah isteri saya, Asiah Yaacob [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] hari itu berada di atas pelamin, bersanding. Pemuda itu seorang mekanik elektrik. Ketika acara bersuap-suapan hendak dimulakan, tiba-tiba lampu rumah pengantin perempuan padam, kerana “overload”, lebih api yang digunakan.



Keadaan dalam rumah menjadi gelap, kerana upacara persandingan diadakan di waktu malam. Keadaan menjadi hiruk-pikuk sedikit dengan berbabagi-bagai ragam suara kedengaran, termasuk suara kanak-kanak mulai menangis, kerana diserbu ketakutan.



Tapi keadaan begitu tidak berlanjutan lama, kerana tiba-tiba lampu menyala semula. Masa itu, pengantin lelaki sudah hilang, tidak ada atas pelamin, tinggal pengantin perempuan seorang diri sahaja.



Dalam keadaan tertanya-tanya itu, tiba-tiba muncul pengantin lelaki dari arah pintu. “Baiki lampu. Fius jetat, banyak pakai api”, dia memberitahu tanpa diminta penjelasan.



Para hadirin pun ketawa. Ada yang tergelak-gelak kerana pengantin lelaki meninggalkan pelamin. Kanak-kanak pun turut ketawa juga walaupun tidak mengetahui apa sebabnya.



Selepas itu acara bersuap-suapan yang telah terhenti itu di diteruskan.



Tapi saya suka meningatkan, jika anda bercadang untuk mengadakan majlis persandingan terbuka kepada semua orang, untuk diri anda, untuk anak anda, untuk cucu-cicit anda berhati-hatilah, kerana kebanykan majlis seperti itu berlangsung dalam suasana yang bercanggah dengan syariah agama; dengan tujuan untuk menunjuk-nunjukkan persiapan-prsiapan yang canggih, pakaian yang cantik dan mahal, alat-alat perhiasan, intan berlian penuh bersalut badan, pakaian yang tidak menutup aurat, termasuk pengantin dan para tetamu, kedudukan yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan yang boleh dinikahi, melanggar waktu solat lima waktu, serta diiringi pula oleh hiburan-hiburan yang melekakan. Oleh itu berhati-hati.



Saya pernah menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga kami di mana majlis tersebut diringi oleh berbagai-bagai lagu hiburan….Tuan iman yang baru selesai menikahkan pengantin pada pagi itu, turut menghadiri majlis makan untuk meraikan pengantin, bila mengetahui saya adalah keluarga pengantin, dengan kesal beliau membisikkan ke telinga saya, “Kalau saya tahu majlis ini seperti ini, saya tak akan datang…Dalam keadaan hari ini kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan itu lebih banyak memerlukan doa dan zikir untuk memberi keberkatan kepada mereka suami isteri…”



Suap Di Hospital


Pada suatu hari kami pergi ke hospital untuk menziahari seorang jiran yang sakit kronik. Kebetulan pada waktu itu, waktu makan malam sedang diangkat kepada pesakit.



Untuk jiran kami itu sepinggan nasi dan seketul gulai ayam. Sudah hampir suku jam, makanan itu terletak di hadapannya, tapi masih juga tidak diusiknya, macam tak nak makan sahaja. Kami faham, dia tak lalu makan.



Dua tiga orang pelawat yang berada di sisinya meminta wanita itu makan, tapi dia menjawabnya dengan mengeleng-glenengkan kepala lesu.



“Biar Kak Yah suap, ya?”. Tiba-iba kata arwah isteri saya mempelawakan diri. Wanita itu mengangguk-anggukan kepalanya perlahan-lahan membenarkan.



Isteri saya menyuapnya dengan sudu yang telah disediakan. Pesakit itupun makan, habis tak bersisa.



“Alhamdulillah”, kata isteri saya, “habis juga nasi ni. Mujurlah. Tak lama sihatlah tu”.



Bila menjelang waktu Maghrib kami memohon untuk balik. Isteri saya merasa lega kerana dapat berkhidmat kepada seorang kawannya itu.



Tapi seminggu kemudian bila kami balik ke rumah, kami diberitahu wanita itu telah meninggal dunia di rumah barunya akibat penyakit yang begitu pentas menyerang beliau. Kami segera ke rumah beliau, untuk bertemu dengan keluarganya mengucap takziah. Begitu sedihnya hati kami usah dikata.



Suap Jiran


Tidak begitu lama sebelum isteri saya kembali ke rahmatullah ada seorang jiran wanita kami yang jatuh sakit yang tidak dapat dikesan jenisnya. Telah beberapa bulan berlalu, penyakitnya bukan sahaja tidak bertambah baik, malah kian merosot.



Arwah isteri saya telah beberapa kali menjengoknya. Katanya wanita itu tidak ada selera langsung untuk makan. Pada sautu hari dia memberitahu, beliau telah berjanji dengan wanita itu untuk memasakkannya sedikit makanan.



Pada keesokannya arwah memasak makanan khusus untuk wanita itu dan membawa ke rumahnya. Beliau diberitahu oleh keluarganya wanita itu sudah beberapa hari tidak makan, biasalah orang sakit kritikal mana ada selera nak makan.



Beliau meminta izin itu menyuap wanita itu makan, dan Alhamdulillah, wanita itu pula terbuka seleranya untuk makan. Tidak bersisa lagi makanan yang dibawanya itu.



Katanya beliau merasa amat gembira dapat menghulur khidmat yang diberikannya itu. Dan keluarga wanita itu juga menyatakan amat berterimakasih kepada beliau, dan berharap beliau boleh datang lagi untuk masa-masa yang terdekat.



Tapi apa boleh buat, beberapa hari kemudian wanita itu menghembus nafasnya yang terakhir. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.



Ketika bertemu dengan suami wanita itu pada hari kematiannya itu, beliau antara lain berkata, “Seorang isteri, jika sempurna sembahayang dan puasanya, jika dia mati, dan suaminya meredakannya, maka masuk suurgalah ia”.



Ayahanda


Ketika ayahanda saya Salih dimasukkan ke wad selama beberapa minggu pada awal-awal tahun perkahwinan kami, isteri saya setiap pagi menziarahi mengunjungi mertuanya itu, dengan membawa nasi bungkus dan sedikit kueh untuk makanan orang tua itu.



Beliau tidak segana-segan memandikan ayahanda saya itu, menemananya masuk tandas, dan menyuapnya makan serta memberinya makan ubat, sehinggalah dibenarkan keluar wad.



Dalam kedaan tertentu, isteri saya suka memperingatkan kepada saya, terutama di hadapan anak-anaknya kata-kata yang pernah dilafazkan oleh arwah ayahanda saya itu, “Zain, kau pandai cari isteri. Jaga isterimu baik-baik, jangan aniayakan dia….”. Walau hampir setengah abad kata-kata itu diucap oleh orang tua saya yang telah meninggal di tanah suci Mekah, arwah masih boleh menyebut kata-kata tersebut dan menambah, “Yah masih ingat lagi pesan Cik [panggilan kami kepada ayah] tu, dia kata pada “Papa” macam tu”.



Saya hanya menyambutnya dengan senuyum sahaja.



Dalam Perjalanan Jauh


Saya juga masih ingat setiap kali ketika dalam perjalanan yang jauh, beratus-ratus kilometr dan kami pergi dengan motokar yang dipandu sendiri, kami selalunya membawa bekalan makanan-makanan ringan untuk dimakan dan menghilangkan mengantuk dalam perjalanan. Malah kadang-kadang kami juga membawa bekalan nasi.



Biasanya sayalah yang jadi pemandunya, kecuali jika saya terlalu mengantuk, isteri sayalah yang membawanya. Selepas berjalan tidak berapa jauh, biasanya kami pun mulai makan, seperti kueh-kueh tradisonal, biskut dan sebagainya. Yang istimewanya, bila saya memandu motokar, beliau akan menyuap makanan ke mulut saya, dan demikian juga sebaliknya, jika beliau yang memandu motokar, sayalah yang menyuap makanan ke mulutnya.



Biasanya makanan-makanan yang kami bawa jarang bersisa, habis dalam perjalanan, dan biasanya berselera sungguh kami memakannya.



Dan inilah di antara peristiwa suap-menyuap yang masih menjadi memori yang indah untuk saya kenangkan sepanjang hayat yang saya yang diharap akan menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan cucu-cucu bagaimana baik hatinya ibu dan neneknya dan bagaimana kemesraan kami suami isteri terjalin.



Usahakanlah untuk meninggalkan sesuatu kenangan manis ketika anda hidup berkeluarga bersama dengan suami atau isteri anda, kenang-kenangan yang tidak dapat dilupakanya selagai dia hidup di dunia sebagai bunga-bunga cinta kasih anda yang sentiasa semarak di hatinya. Teket-teket kehidupan ini merupakan teket terbuka yang misteri, ia tidak membuat sebarang penentuan siapa di antara anda yang akan berangkat terlebih dahulu dan siapa pula yang akan berangkat menyusul kemudian. Oleh itu sentiasalah berbuat baik selama hayat masih dikandung badan, jangan menunggu sekejap, besok atau lusa, kerana arus masa tetap berjalan pentas tanpa menunggu anda.



Allah telah menjanjikan segala perbuatan kita di dunia ini tidak akan lesap, walau pun sebiji zaharah untuk diangkat ke neraca timbangan. Semoga kita bahagia di dunia dan senang di akhirat.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabat.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP