Di Penghujung Jalan
>> Thursday, July 7, 2011
DI PENGHUJUNG JALAN
Setiap jalan ada penghujungnya.
Hujung itulah pengakhiraannya.
Dan hidup ini satu perjalanan
Mati itulah penghujungnya.
Pada tengah hari, hari Khamis 30 Jun 2011 [28 Rejab 1432], handfon saya “memanggil”. Bila saya menjawabnya, kedengaran adik bongsu perempuan saya, dengan suara cemas memberitahu berita yang mengejutkan tentang abang iparnya, Osman Omar yang telah dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Terengganu, nama barunya Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Katanya keadaan abang Osman yang dipanggil “Ayah Cik” oleh anak-anak saudaranya membimbangkan. Pada masa Su dan suaminya dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Selepas bercakap dengan adik bongsu saya itu, namanya Maryam, tapi nama timangannya Su, dan suaminya, Usman pula dipanggil Ayah Su, saya ternampak sebuah meseg terbaru dalam handfon saya yang masih belum saya buka.
Melihat meseg itu lebih mengejutkan lagi. Ia SMS daripada Ahmad Nobli, anak suadara kami, anak kepada Osman, yang kami panggil “Abang Mad Nobli”.
Pesanan yang mendebarkan itu berbunyi:
“Salam. Doktor kata Bak [Bak itu panggil orang Terengganu kepada ayah] makin tenat. Minta doa dan Baca Yasin. Heratbeat dengan BP pun dah tak menentu. Doakan saja untuk kesenangan segala urusan”.
Pagi besoknya hari Jumaat kami bertolak ke Kuala Terengganu untuk menziarahi adik Osman di Hospital. Adik saya Su dan keluarganya, serta kakak saya, Kak Dah bermalam di Kuala Trengganu.
Kecut hati saya melihat adik Man terbaring di atas katil dengan alat-alat pembantu pernafasan pada badannya. Matanya telah tertutup, nafasnya hampir tidak kelihatan lagi, kaku dan lesu. Terpaku saya melihatnya.
Saya masuk bersama dengan anak perempuan saya, Nurbaiti Zaini dan suaminya Sayafi, dan ketiga orang anak saudara, anak kepada Osman.
Keadaannya sungguh kritikal. Allah sahaja yang Maha Mengetahui yang menentukan segala-galanya.
Mengikut Abang Nobli, Baknya telah beberapa hari ditahan di wad. Pada mula-mulanya dia dimasuk ke wad kerana gula darahnya rendah, kemudian setelah keadaan stabil, buah pinggangnya yang bermasalah itu didailisis, dan juga berjaya. Keadaan kesihatannya bertambah pulih, tapi tiba-tiba dia diserang strok, menyebabkan dia tidak sedarkan diri hingga ke hari itu.
Osman ialah suami kepada arwah adik saya, Sofiah yang telah meninggal dunia secara trajis kira-kira dua tahun lebih yang lalu. Beliau telah dijirus dengan minyak petrol kemudian dibakar oleh seorang pemuda yang tidak siuman. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.
Suaminya Osman merasa terpukul dengan kematian isterinya yang tidak diduga-duga itu. Beliau telah mengabadikan pemergian isterinya itu dalam sebuah puisi yang ditulis pada sebuah bena besar yang digantung di rumahnya, dan puisi itu telah disiar dalam sebuah majalah terbitan kerajaan Terengganu.
Saya sedang mencari puisi itu tapi masih belum ketemu. Beliau adalah seorang penggiat sastera dan pernah memain peranan penting dalam Persatuan Penulis Terengganu [PESISIR] .
Kami kembali ke rumah dengan hati yang rawan. Ternamapak-nampak keadaannya yang tidak berdaya dan terlantar di atas katil menunggu keadilan Ilahi.
Saya teringat, kira-kira seminggu yang lalu, Ayah Cik telah menelefon saya memberitahu dia sihat, dan memaklum anaknya, “Kak Adik” telah melahirkan seorang anak perempuan, melalui pembedahan, dan bayi juga masih ditahan dalam wad di hospital kerana komplikasi yang tertentu.
Kami pun bercadang hendak pergi menjenguk mereka, menunggu masa yang sesuai.
Sambil menghitung-hitung hari yang berlalu, tiba-tiba pada pagi Isnin, 4 Julai 2011 [2 Syaaban 1432] handfon saya memanggil. Sayup-sayup di hujung sana kedengaran suara Ayah Su memberitahu bahawa “Ayah Cik telah tiada”, telah kembali ke rahmatullah kira-kira pada pukul 7.30 pagi tadi di hospital..
“Inna Lillaahi wa inna Ilaihi raaji’uun”.
“Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Allah” .
Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan mati. Itulah janji Allah yang tidak dapat dimungkiri. Allah itulah penentunya.
Ingatan saya kembara jauh. Pada suatu pagi, kira-kira setahun, selepas kematian isterinya, Sofiah, adik saya, Ayah Cik menelefon saya, dan dengan suara yang tersekat-sekat memberitahu hasratnya hendak berkahwin.
Kemudian kedengaran dia menangis dan dengan tersedu-sedu memberi tahu saya, bahawa tindakannya itu bukanlah bererti dia tidak ingat lagi kepada arwah isterinya Sofiah, adik saya itu.
Beliau bukan sahaja setakat menangis, tapi semacam meraung kesedihan di dalam telefon.
Saya sabarkan dia, dan beritahu bahawa saya faham dengan keadaannya, kerana selepas pemergian isterinya, kehidupannya tidak ada siapa yang mengurusnya, dua orang anak perempuannya Kak Ngah, Kak Adik bekerja, dan seorang anak lelakinya pula, Abang Nobli, bekerja di Kuantan Pahang.
Lama juga saya mendengar dia menangis dan terisak-isak, dan saya terus menenangkanya, hinggalah dia menjadi tenang kembali. Pada masa itu dia bercakap di rumahnya, di Gong Badak, KT.
Saya juga terkenangkan isteri saya, Asiah Yaacob yang juga kembali ke rahmatullah pada bulan yang sama, iaitu 1 Julai 2009 berpunca daripada fitnah manusia yang dipengaruhi oleh hawa nafsu. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.
Ya Allah limpahilah rahmatMu ke atas mereka semua.
Mereka telah sampai ke penghujung jalan hidup dunia yang fana untuk menuju alam baru yang abadi.
Setiap yang hidup pasti mati. Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Kematian tidak memilih. Siapa sahaja yang sampai ajal mesti mati, baik yang muda, yang tua, dan juga yang bayi dan kanak-kanak.
Rasulullah SAW bersabda, “Maut adalah hadiah Tuhan kepada Si Mukmin”.HR:Baihaqi.
Wahai Tuhan
[Buat Asiah,Sofiah, Othman]
Wahai Tuhan kami
Mereka hamba-hambaMu
Dalam perjalanan kembali
Bersama dengan doa-doa kami!
Terimalah mereka.
Wahai Tuhan kami
Terimalah mereka
Sambutlah mereka dengan tanganMu
Pangkulah mereka dalam pelukanMu
Cucurilah mereka dengan rahmatMu
Yang melempah-ruah dan abadi.
Wahai Tuhan kami!
Basahkan mereka:
Dengan ampunanMu
Dengan redaMu
Dengan kasihMu
Dengan sayangMu
Dengan rahmatMu,
Wahai Tuhan kami
Engkau Maha Pengampun
Maha Pereda
Maha Pengasih
Maha Penyayang
Maha Pelimpah Rahmat
Yang tidak bertepi.
Wahai Tuhan kami
Yang tinggal bersama kami
Hanya untaian-untaian kenangan
Lakaran air mata rindu
Yang tidak berhujung.
Yang tidak bertepi
Dalam titian masa.
Amin!
xxxxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment