Maka Berpesanlah Kuali

>> Tuesday, July 12, 2011



Maka BERPESANLAH KUALI


Namaku kuali. Sebuah kuali. Secara kasarnya diperbuat daripada logam. Tugasku terkenal dengan menggoreng.



Tapi aku ini kuali yang istimewa. Aku tidak bertelinga, tapi bertangkai seperti hulu yang dijadikan pemegang, terutama bila aku kepanasan kerana menjalankan tugasku di atas api.



Aku sebuah kuali istimewa. Agak besar dan tebal. Kerana itu aku diberikan lebih banyak tugas, bukan sahaja untuk menggoreng. Aku boleh digunakan untuk menjalankan berbagai-bagai aktiviti, kecuali menanak nasi, kerana aku tidak bertudung.



Rupaku hitam. Lebih hitam dari orang kulit hitam. Hitam di luar dan hitam di dalam. Semuanya hitam.



Kehitaman itu adalah statusku. Kerana berkulit hitam menandakan kualitiku yang tidak melekit atau melekat bila menggoreng, terutama ikan.



Sejarah


Aku mempunyai sejarah yang tersendiri. Aku ini dibeli oleh tuanku semasa aku sedang dipamer di sebuah pasar raya, berhampiran dengan Sogo, KL. Masa itu Sogo pun tak ada lagi. Tapi aku rasa pasar raya tempat aku dipamerkan itu sudah tidak ada lagi sekarang.



Mereka membeli aku di situ tiga puluh tahun lebih yang lalu. Itulah usiaku bersama dengan tuanku ini. Isterinya sudah kembali ke hadarat Ilahi kira-kra dua tahun yang lalu, [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] tapi aku masih lagi bertahan dengan keluarga mereka hingga hari ini.



Aku dibeli dengan wang royaliti penulisan tuan aku dalam sebuah akhbar mingguan untuk dijadikan kenangan mereka bersama,



Arwah menjaga aku dengan baik. Dimandi, disabun dan dibersihnya aku dan diletak di tempat yang sesuai dengan diriku sebagai sebuah kuali. Beliau tidak pernah membiar aku kotor. Walau pun rupaku hitam, tapi hitamku, hitam bermakna.



Bila mereka pindah ke KB, aku pun dibawa pindah bersama dengan mereka. Tidak rela mereka meninggal atau membuang aku, kerana khidmatku masih mereka perlukan.



Kiranya si hitam ini tidak ada lagi di dapur sudah tentu mereka akan mengalami kepayahan dan terpaksa mencari pengganti lain untuk membantu kerja mereka,



Dari Hitam Kepada Putih


Dulunya aku ini makhluk yang hitam depan belakang, atau atas bawah. Tapi hari ini keaadaan aku telah jauh berubah. Bahagian atasku atau depanku tidak lagi hitam, malah telah bertukar putih sejak sekian lama. Perubahan ini tidak sepatutnya berlaku ke atas diriku.



Pada suatu hari seorang anggota keluarga terdekat dari sebelah suami tuan aku bertandang ke rumah. Semasa keduanya keluar bekerja, tetamu yang rajin itu masuk ke dapur untuk memasak.



Sewakut dia mencari kuali untuk menggoreng ikan, dia ternampak aku, lalu megambilnya. Dia bersungut melihat wajahku yang begitu hitamnya, di luar dan di dalamnya.



“Budak-budak ini pandai pakai sahaja”, rungutnya sendirian, “Tak pandai nak cuci langsung benda ini”.



Lalu digosok dan disentalnya aku habis-habisan dengan menggunakan berus lembut, berus sabut dan berus besi. Tiap-tiap hari selama tiga hari dia tinggal di situ, aku dikerjanya begitu teruk sehingga tercucuilah sebahagian daripada mukaku menjadi putih di bahagian tengahnya.



Ditinggalnya aku setelah digondol sebehagian daripada jasadku itu. Sebahagian dari kulit mukaku yang hitam menjadi putih. Senanglah hati dia, walau pun tidak sepenuhnya.



Bila tuanku berdua balik petang itu, waktu masuk ke dapur, dia melihat perubahan yang begitu ketara pada jasadku, dari hitam menjadi putih berkilat.



Aku lihat kedua-dua suami isteri itu melerek senyum sahaja, bila anak-anaknya memberitahu, tetamu yang dihormati melakukannya dengan tujuan untuk memutihkannya, kedua-duanya lalu ketawa terbahak-bahak.



“Oh begitu”, katanya, dan ketawa mereka terus bersambung-sambung.



Bila tetamu itu balik, keadaan aku ditinggalnya dalam dua wajah, sebahagian daripadanya putih berkilat dan sebahagian lagi hitam dengan sebahagian belakangku tetap hitam.



Beberapa ninggu kemudian datang lagi seorang tetamu yang dihormati dari sebelah pihak isteri pula. Dia juga merasa tidak puas hati bila melihat aku mempunyai dua wajah, dengan separuh hitam, separuh cerah?



Pada suatu pagi selepas menggoreng, lalu dia pun menyental wajahku habis-habisan dengan berus besi selepas mengikisnya dengan sudu.



Kali ini dengan usahanya yang gigih itu, dia berjaya menghabiskan warna hitam pada wajahku. Semuanya menjadi putih berkilat.



Kini seluruh bahagian mukaku menjadi berkilat cerah, kecuali sedikit sahaja di kseliling tepinya, tetap tinggal bertumpuk-tumpuk hitam nipis.



Dalam keadaan wajah yang berubah itu, aku terus digunakan bertahun-tahun kemudian untuk pelbagai kegunaan.



Aku tetap disayangi, kerana keadaanku yang tebal, besar dan tidak berkarat, dan mempunyai berkualiti dan banyak kegunaannya.



Kemana sahaja tuanku pindah, aku pasti dibawa bersama mereka untuk menjadi raja dapur.



Terbakar


Kejadian terbaru yang menimpaku ialah terbakar. Pada suatu pagi, salah seorang daripada anggota kelurga yang aku dihormati ini menjerang aku di atas dapur. Dicurahkannya sedikit minyak, kemudian dimasukkannya sebiji telur ayam untuk memasak telur mata kerbau. Kemudian ditinggalnya aku di situ.



Malangnya dia telah melupakan aku yang diletaknya atas dapur yang sedang menyala apinya itu, dan pergi bermain-main dengan anaknya buat sementara menunggu telur masak. Tapi dia terus melupakan aku, walau pun aku telah memberi amaran yang berpanjangan dengan mengeluarkan bau yang hangit yang kian meningkat dari masa ke masa.



Akhirnya kerana begitu lama terdedah kepada kepanasan, aku pun terbakar, minyak dalam kuali bersama dengan telur telah hangus. Tapi nasib baik, penggunaku itu segera mengambilku dan melarikannya ke luar rumah untuk mengelak api daripada melarat membakar rumah.



Nasib baik dia bertindak segera, kalau tidak, tak tahulah apa akan terjadi. Aku pun tidak mengalami apa-apa kersoakan selain meninggal sedikit tumpuk-tumpuk hitam yang tipis pada wajahku yang telah berubah putih itu. Tumpuk-tumpuk hitam yang baru itu pun hilang juga bila dicucui.



Pesanku


Demikianku kisah singkat hidupku sebagai sebuah kuali dalam sebuah keluarga yang kusayangi ini, yang menjaga aku dengan sebaik-baiknya di mana aku dengan rela mencurahkan khidmat kepada mereka dengan sebaik-baiknya pula.



Ketahuilah sebagai sebuah kuali, nasibku telah ditentukan untuk menjadi bahan bakar, tapi aku bersyukur kerana itulah caraku untuk mencurahkan khidmat baktiku kepada makhluk Allah yang dipanggil manusia ini.



Tapi anda manusia tidak seperti aku. Nasib anda tidak ditentukan untuk dibakar. Anda makhluk yang lembut lonak, tak tahan panas. Terkena sedikit sahaja dengan diriku yang kepanasan bila dibakar, kulit dan daging anda akan melepuh tercedera, dan kalau banyak sudah pasti anda terus menderita.



Oleh itu anda hendaklah menjalani hidup dengan hati-hati, supaya anda tidak menyesal di akhirat nanti, setelah anda dihumbankan ke dalam api neraka kerana dosa-dosa yang anda lakukan semasa hidup di dunia ini.



Ingatlah masa itu, penyesalan tidak berguna lagi. Ingatlah pada masa itu, musim menyemai telah habis, dan yang ada hanya masa untuk menuai



Kalau anda menanam padi, maka pandilah yang akan anda tuai, tapi jika anda menanam lalang, maka lalanglah yang akan tuai. Kalau anda memasak lalang, bagaimana anda hendak makan roti? Jika anda menanak pasir, bagaimana anda berharap untuk makan nasi? Sudah tentulah, pasir jugalah yang akan jadi habuan anda.



Manusia tidak mampu menanggung api neraka, malah tidak ada siapapun yang mampu menanggungnya. Api dunia pun mereka sudah tidak mampu menanggugnya, apa lagi api akhirat.



Bersiap-siaplah untuk melangkah ke syurga, dan bukan melompat ke neraka.



Ingatlah panas aku kuali pun, anda manusia sudah tidak tahan, apa lagi panas kawah neraka, di akhirat nanti.



Aku suka mengingatkan, kepada tuanku dan siapa-siapa sahaja yang bermakud untuk menggunakan kemudahan yang ada pada diriku ini, supaya sentiasa menyebut nama Allah ketika memulakan kerja menggunakan diriku. InsyaAllah anda akan menerima banyak berkah.



Pulau Pinang anak mami,


Kepala Batas singgah dahulu


Badan dah hancur ditelan bumi


Baik budi dikenang selalu.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulur Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP