Pesan Ibu Tersayang

>> Monday, July 25, 2011

PESAN IBU TERSAYANG.....



Hari masih pagi lagi. Daun-daun dan rumput rampai yang menutp bumi masih dibasahi oleh embun. Matahari masih tersembunyi di sebalik pokok-pokok yang menyelubungi kampung yang tenang damai di pagi itu.



Di tanah perkuburan yang sepi di kampng itu kelihatan beberapa orang sedang duduk di sisi sebuah perkuburan yang telah dipasang dengan belendan batu. Tidak seperti biasa, rumput-rampai telah tumbuh meliar dan meninggi di tanah perkuburan itu yang biasanya berada dalam keadaan yang bersih, rumput-rampai dipotong rendah, daun-daun yang gugur tidak bertaburan seperti hari itu.


Sudah kira-kira tiga bulan kubur itu tidak terjaga seperti biasa. Biasanya setiap hari Jumaat, siapa yang menziarah tanah perkuburan itu akan bertemu dengan penjaga kubur sukarela yang bekerja dengan tekunnya membersih kubur tua itu.



Sejak kira-kira tiga bulan yang lalu, kerana hujan hampir turun setiap hari, khususnya pada hari Jumaat, maka tidaklah dapat pencucui kubur sukarela itu berkhidmat membersih tanah perkuburan itu.



Sebenarnya penziarah kubur itu tidaklah ramai setiap minggu, malah boleh dikatakan tidak ada siapa yang datang mengunjunginya, selain daripada beberapa orang yang telah menjadi pengunjung tetapnya sejak beberapa tahun yang lalu, termasuklah kumpulan beberapa orang yang sedang duduk di sisi sebuah pusara di pagi yang sepi itu.



Pusara yang mereka kunjungi itu ialah pusara orang yang amat mereka kasihi yang begitu besar jasanya kepada mereka, iaitu ibu mereka sendiri yang telah berpulang ke rahmatullah secara yang tidak diduga. Ibu yang selama ini memberi mereka asuhan, pendidikan, pelajaran, hingga mereka semua berjaya dalam kehidupan masing-masing sekarang.



Setiap pagi Jumaat, jika tidak ada halangan besar, semua mereka akan berkunjung menziarahi bonda mereka, kalau tidak semua pun seorang dua dari mereka akan datang, mendoakan ibunya. Kasih ibu dan pengorbanan ibu tak akan terbalas, dari dunia hingga ke akhirat. Itulah dikatakan kasihkan ibu sepanjang zaman..........



Pemergian Ibu


Salah seorang dari mereka, ialah seorang lelaki muda yang begitu merasa kehilangan besar dengan pemergian ibunya itu, dia merasa sebahagian daripada perahu hidupnya telah terbenam dalam laut kehidupan yang maha dalam, tidak berdasar dan maha luas tidak bertepi. Dia merasa hidupnya terkatung-katung, tanpa tempat berjemak-kira, mengadu nasib di untung badan, menyampaikan rasa senang dan gembira...semuanya telah putus. Siapa yang dapat mengganti seorang ibu yang pengasih dan penyayang?



Mereka semua duduk di atas sebuah tikar yang dihampar di ruang kosong di sisi pusara itu yang masih belum berpenghuni. Julai-julai pokok yang menjulur masuk ke tanah perkuburan itu, memberi peneduhan kepada mereka dalam masa yang agak lama, walau pun kiranya matahari telah terbit memancarkan cahayanya.



Selepas berdoa, mereka semua diam menyepi, melayan perasaan dan fikiran masing-masing, mengenangkan bonda mereka yang telah besemadi di situ selama hampir dua tahun. Pergi yang tak akan kembali lagi, menuju kepada rahmat Allah.



Terkenang mereka, bagaimana gembiranya mereka ketika bonda mereka masih ada bersama, gelak dan tawa, puji dan sanjung, terasa-rasa dia masih ada di sisi. Terasalah amat bahagianya saat-saat yang telah hilang itu. Terasalah amat berhargaya saat-saat yang lesap dari sisi dan dari pandangan mata itu.



Lelaki muda itu yang duduk paling hampir dengan pusara ibunya. Dalam merenung itu, tiba-tiba dia merasa perasaan yang amat ganjil menyelubunginya. Perasaan yang tidak dapat dibayangkan oleh kata-kata.



Tiba-tiba dia merasa macam berada di suatu alam lain, bukan lagi alam dunia ini. Entah bagaimana dia seolah-olah mendengar ibunya berbicara kepadanya.



“Selalulah datang ke kubur mama ni”, dia mendengar ibunya berpesan, “datanglah ramai-ramai. Sentiasalah berdoa untuk mama”.



“Mama gembira di sini. Di tempat mama ini ada sebuah tingkap yang sentiasa terbuka. Pandangannya begitu indah. Mama nampak ada seekor burung hijau yang selalu terbang ke sana ke mari dengan gembiranya”.



“Ada sebuah pintu besar”, kata ibunya lagi, “pintu ini tidak selalu terbuka. Ia hanya terbuka bila Papa kamu datang, bolehlah mama melihatnya dengan jelas dan bermesra-mesra dengannya”.



“Datanglah selalu,” pesan ibunya lagi. Sampai di situ dia tiba-tiba sekelip mata sahaja, di dikembali ke alam nyata. Kesayuan menerpa dan mengigit hatinya. Kenangan kepada ibu amat memilukan.



Air Mata


Salah seorang daripada mereka yang berada di sisi bertanya apa yang telah berlaku ke atasnya? Kesedihan kian membalut hatinya. Dengan hati yang bergayut berat dia menceritakannya dengan dada yang sebak.



Selepas bercerita itu, dadanya bertambah sebak, air matanya tak dapat ditahan lagi lalu mengalir dari takungan matanya.



“Insyallah kita akan tunaikan pesan ibu. Kita akan datang seperti biasa. Doakan untuk ibu tersayang”, Demikian kata pula yang bertanya tadi.



Demikianlah setiap minggu mereka akan melapang masa menjenguk pusara bonda. Kesanalah semua yang hidup akan dijemput pergi, singgah sementara di dunia dalam perjalanan ke alam abadi. Amin.



Salahkah meratapi pemergian ibu tersayang?



Baginda Rasulullah saw. pun tersedu-sedu menangis kesedihan di perkuburan puteranya Ibrahim yang meninggal dunia di Madinah. Perbuatan baginda itu telah ditegur oleh sahabat Usamah dengan katanya, “Mengapa tuan menangis ya Rasulullah, sedangkan tuan sendiri melarang kami menangis terhadap orang mati”?.



Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w.,”Wahai Usamah, Ibrahim anakku, belahan jiwaku. Ia meninggal dalam waktu menyusu. Mudah-mudahan kelak anak-anak bidadari dalam syurga akan mencukupkan susunya. Saya ini hanya manusia seperti engkau juga, mataku menitikkan air, hatiku tetap khusyuk kepada Tuhan. Tidaklah ada perkataan yang keluar dari mulutku kecuali apa yang diredai Tuhanku. Demi Allah, kalau bukan kiranya mengingat bahawa semuanya ini adalah ajal yang telah tertentu, janji yang tidak dapat dimungkiri, dan waktu yang telah dijangkakan, maka aku akan bersedih lebih daripada ini. Kami semunya sangat bersedih hati atas kematianmu hai Ibrahim!”.



Wallahhu’aklam.



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP