Mana Sahabat Handainya?

>> Wednesday, July 27, 2011




MANA SAHABAT HANDAINYA?

Dalam kehidupan ini, baik lelaki atau perempuan, anda memerlukan ramai sahabat, rakan taulan, sahabat sejati yang saling kenal mengenali hati budi masing-masing.



Untuk mendapat seorang sahabat yang jujur dan setia tidaklah semudah yang disangkakan oleh kebanyakan orang. Berhubung melalui facebook, atau blog, bukan bererti persahabatan yang tulen, tapi hanya baru perkenalan yang perlu melalui berbagai-bagai peringkat lagi untuk boleh diterima sebagai sahabat sejati.



Apa lagi perkenalan menerusi facebook ini banyak menimbulkan berbagai-bagai fitnah dan musibah, banyak yang menjadi pemangsa dan lebih banyak lagi yang menjadi mangsa, terutama kaum wanita, justeru berhati-hatilah dengan media alam maya ini.


Banyak ujian-ujian yang perlu sebelum seseorang boleh dianggap sebagai sahabat sejati, seiring sejalan, seorang sahabat yang bila seorang rebah di kanan, dan seorang lagi rebah ke kiri demi kerana Allah.



Untuk mencari sahabat, seberapa ramai sahabat, ia lebih banyak bergantung kepada diri anda sendiri, di tangan anda terletak anak kuncinya, dengan erti kata untuk mendapat sahabat anda hendaklah terlebih dahulu bersedia menjadi sahabat.



Tegasnya anda hendaklah terlebih dahulu merelakan diri anda untuk dijadikan sahabat, buka kuncinya, buka pintunya dan persilakan orang masuk ke dalam hati anda.



Anda tidak mungkin memperolehi banyak sahabat jika anda hanya berpeluk tubuh menunggu orang datang ke tangga rumah tangga. Lebih buruk lagi, bila orang sampai ditangga maka anda tutup pintu.



Ahli-ahli psikologi telah menentukan beberapa ciri-ciri penting yang harus dimiliki oleh seseorang yang ingin mencari sahabat, dan di antara faktor-faktor itu ialah sebagai berikut untuk dikongsikan bersama dengan anda.



-Kegemaran


Seperti orang lain juga, sudah tentu anda mempunyai kegemaran anda sendiri, iaitu satu atau dua kegemaran, seperti kegemaran membaca buku, bertemu dengan orang dan sebagainya. Terserahlah kepada pilihan anda. Tidak ada masalah, apa-apa yang menjadi kegemaran anda, asalkan ia tidak merosak dan merugikan anda dan orang lain. Dari kegemaran inilah nanti akan berkembang menjadi hobi.



Tapi dari segi persahabatan, yang pentingnya kegemaran anda itu hendaklah merupakan kegemaran yang digemari oleh kebanyakan orang, bukannya merupakan kegemaran ganjil yang khusus untuk anda sahaja atau segelintir orang sahaja. Kerana kegemaran merupakan salah satu wadah yang berguna untuk menjalin persahabatan, dan ianya merupakan pintu yang akan membuka dunia persahabatan yang lebar kepada anda.



-Menaruh Minat


Andainya anda ingin mendapat banyak kenalan dan sahabat, anda hendalah menaruh minat kepada orang lain, lebih besar daripada menaruh minat kepada diri anda sendiri. Orang yang mementing diri sendiri, tidak digemari orang, kerana mempunyai jiwa yang kecil.



Bagaimana orang boleh menerima anda, kiranya anda mementingkan “Aku”, diri anda sendiri, kepentingan diri anda, malah semuanya berpusat kepada kepentingan diri anda belaka. Segala-galanya anda, segala-galanya terletak di bawah kepompong aku, anda.



Bukalah kepompong anda, bukalah tempurung anda, bukalah sayap anda, terbanglah, carilah orang lain, kenalilah orang lain dan fiikir dan utamalah kepentingan orang lain, jangan hanya berputar-putar di sekitar diri anda sahaja, “Aku” anda sahaja.



-Cari Kebaikan


Ada sebahagian dari kita, tidak berminat untuk mencari kebaikan atau kebajikan pada orang lain, kerana itu apa yang mereka cari dan nampak pada orang semuanya keburukan dan kesalahan belaka. Ini membawa mereka untuk mengumpat, ada sahaja perkara yang tidak baik atau tidak kena yang dicari-cari pada orang lain, untuk diumpat, dikeji dan dicela.



Sikap ini amatlah buruknya, kerana anda sepatutnya mencari dan mencungkil segala kebaikan dan kebajikan yang ada pada orang lain, untuk disanjung, dimulia dan dihormati, bukannya mencari sesuatu yang boleh anda jadikan bahan hinaan dan kejian, hingga kita sanggup membesar-besarkan perkara-perkara yang kecil dan remeh temeh sekali pun.



Sikap buruk ini menyebabkan anda tidak disukai, tidak digemari, malah menyebabkan anda menjadi bahan cacian dan kutukan orang, dan membuat mereka meminggirkan diri dari anda.



-Bekerjasama


Untuk menjadi orang yang mulia dan dihormati dan disukai orang, anda hendaklah menjadi manusia yang bersedia dan mudah memberi kerjasama dengan orang lain, mengenai sesuatu yang memang wajar diberikan kerjasama.



Kalau anda sudah yakin sesuatu itu memang patut diberikan kerjasama, kenapa lagi anda perlu menimbulkan sesuatu percanggahan atau pertentangan yang tidak perlu yang semata-mata akan membuktikan anda seorang yang angkuh?



Kawan keangkuhan adalah kebencian. Kenagkuhan dan kebencian adalah seiring jalan.



-Murah Memberi Pertolongan


Anda hendalah seorang yang ringan tangan dalam memberi pertolongan. Jika anda mengetahui sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan anda dengan mudah sahaja menghulurkan bantuan dan pertolongan, baik berupa material atau semangat.



Tangan dan jiwa anda selalu terbuka untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya, tanpa memilih bulu.



Agama pun menggalakkan kita bantu membantu dan menolong antara satu sama lain, ia merupakan semangat mahabah dan berkasih sayang yang mulia dan tinggi nilainya.



-Senda Gurau


Anda hendaklah mempunyai sikap lapang terhadap senda gurauan atau kelakar-kelakar yang melibatkan diri anda. Tidaklah wajar kiranya anda boleh menerima kelakar yang melibatkan orang lain, tapi tidak dapat menerima bila sesuatu kelakar itu melibat diri anda sendiri.



Jika anda telanjur membuat sesuatu kesilapan atau terlanjur bercakap, anda hendaklah bersedia menerima jika kesilapan anda itu dipergunakan oleh orang sebagai bahan kelakar. Kalau anda bersikap lokek dalam perkara seperti ini, sudah tentu kawan-kawan akan menjauhkan diri mereka dari anda



-Cepat Menyedari


Anda hendaklah mempunyai kemampuan untuk menyedari bila seseorang itu memerlukan bantuan, simpati dan perangsang. Pengalaman-pengalaman anda akan segera memberi petunjuk kepada anda bila seseorang berada dalam sitiwasi seperti itu tanpa perlu diberi tahu kepada anda secara lisan. Dan anda hendaklah menghulurkan segala bantuan tulus dan ikhlas kepada mereka.



-Mudah Memberi Pujian


Anda adalah seorang yang tidak kedekut untuk memberi pujian yang wajar kepada mereka yang wajar menerima pujian, kerana kejayaan mereka melakukan sesuatu yang berguna, atau pun melakukan sesuatu yang berfaedah kepada anda.



Janganlah bakhil untuk memberi sanjungan kepada seseorang, sebaliknya bermurah hatilah dalam memberi pujian; jangan jadi seorang yang bakhil memberi pujian dan bakhil pula untuk memberi bantuan kebendaan kepada seseorang yang amat memerlukannya.



Bersikap bakhil seperti ini akan merugikan anda, menjauhkan orang daripada anda, kerana mulut anda yang bisu dan tangan anda yang kaku untuk memuji orang itu.



-Memberi Layanan Baik


Anda memberi layanan yang baik kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja, tanpa mengira tempat dan masa, tanpa mengira keadaan atau sitiwasi anda pada masa itu.



Walau pun anda mempunyai banyak urusan, anda tetap melayan dengan baik orang yang menemui anda mengikut kemamapuan anda pada waktu tersebut, kerana setiap orang yang menemui anda tentu berharap akan mendapat layanan yang baik dari anda.



Dan anda melakukan semuanya itu dengan ikhlas, kerana Allah, tanpa mengharap dipuji atau diberi balasan, buat baik mengharap dibalas baik, konsep yang bercanggah dengan ajaran agama yang sebenarnya.- semuanya kerana Allah.



-Perhatian Kepada Orang


Di dalam sesuatu pertemuan sudah tentu timbul percakapan atau perbualan antara hadiran. Anda mungkin seorang yang suka bercakap, dan pandai bercakap, kerana itu mereka suka mendengar percakapan anda.



Namun begitu, walaupun anda seorang yang suka bercakap, tapi anda tidak pula melupa mendengar atau memberi peluang kepada orang lain untuk bercakap atau meluahkan pendapat mereka. Anda adalah seorang yang suka bercakap dan serentak itu juga suka mendengar.



Kalau anda hanya pandai bercakap, tapi tak pandai mendengar, akhirnya pendengar anda hanya akan terdiri dari kerusi dan meja dan juga dinding yang tidak bertelinga dan bermulut, tidak juga bermata. Itulah kawan-kawan anda.



-Pemaaf


Anda adalah seorang yang mudah memberi maaf kepada mereka yang melakukan kesalahan dan kesilapan kepada anda, kemudian melupakannya, di mana luka sudah sembuh, parut pun juga hilang.

Tidak guna memberi maaf, andainya peristiwa-peristiwa yang menyinggung anda itu terus dihidupkan dalam kenangan dan ingatan yang akhirnya akan menjadi bara api yang akan membakar kemaaafan yang telah anda hulurkan itu.



Ingatlah, Allah lagi Maha Pengampun yang bersedia memaafkan hamba-hambaNya yang bersalah yang memohon keampunan dan bertaubat, Rasulullah pun seorang pemaaf. Bagaimana pula dengan kita?



-Menyesuai Diri


Anda adalah seorang pandai dan bersedia menyesuaikan diri dengan orang lain. Kebanyakan kita ingat dan berharap semua orang dapat menyesuaikan diri dengan kita walau pun mereka ramai tapi kita hanya seorang.



Kita sangka kita selalu betul, dan dipihak yang benar, di mana semua orang harus tunduk hormat kepada kita, dan menyesuiakan diri mereka dengan kita.



Sikap ini membuktikan anda seorang diktator yang tidak akan membawa anda ke mana-mana, kecuali terkurung dalam sangkar keangkuhan anda semata-mata. Awaslah!



-Mengotakan Kata-kata


Anda hendaklah memberi kenyakinan kepada orang bahawa anda seorang yang boleh dpercayai, anda menunai segala janji anda, anda mengota segala kata anda.


Anda tidak hipokret, cakap lain bikin lain, cakap tak serupa bikin meneybabkan orang tidak percayakan anda, akibatnya anda dicemoh rang, diejek-ejek orang sebagai manusia yang tidak amanah, yang tidak boleh dipercayai.



Andainya anda seorang pemimpin, anda akan kehilangan pengikut, kerana hilangnya kepercayaan mereka kepada anda, kerana lain yang ada cakap, lain yang anda bikin, tidak serupa.



Siapa yang bersedia menjalinkan persahabatan dengan anda kalau tidak terpaksa?



-Menyimpan Rahsia


Anda juga hendaklah menyakinkan orang bahawa anda bukan sahaja seorang yang bersedia mendengar sesuatu yang hendak disampaikan orang kepada anda, tapi juga anda seorang yang pandai menyimpan rahsia orang.



Anda sedar bukan semua yang disampaikan orang kepada anda boleh diceritakan semula kepada orang lain, kerana ada di antaranya merupakan rahsia peribadi seseorang, ataupun boleh meletakkannya dalam keadaan keresahan atau keaiban bila diketahui oleh orang ramai.

Dalam istilah kewartawnan disebut “off the record”, di mana anda hanya diberitahu untuk pengatahuan, tapi tidak untuk siaran.



-Senang Hati


Anda merasa senang hati bila berbual-bual dengan orang yang bersedia atau ingin berbual dengaan anda, tidak melayan mereka ala kadarnya sahaja, kerana sebab-sebab yang anda sahaja mengetahuinya.



Jangan membuat orang merasa anda seorang yang payah diajak bercakap, diajak berbincang, dan seorang yang sombong yang menyebabkan anda dikutuk dan dihina yang kelak akan merugikan anda sendiri.



-Sedia Berkhidmat


Anda adalah seorang yang sentiasa bersedia untuk menolong, membantu dan berkhdimat kepada orang yang memerlukan bantuan anda. Anda tidak lokek untuk memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja, tanpa melakukan pilih kasih kepada orang yang sebulu dengan perjuangan anda sahaja.



Khidmat yang anda hulurkan di saat orang memerlukan bantuan itu amatlah besar ertinya, dan nanti Allah akan memberi ganjaran yang lebih besar kepada anda.



Sesiapa yang membantu orang yang kesusahan di dunia, nescaya Allah akan membantunya di akhirat nanti.



-Melayan Tetamu


Anda melayan dengan baik sesiapa yang datang menemui anda atau pun menjadi tetamu anda. Layanan yang anda berikan itu lebih baik daripada apa yang anda harap anda dilayan jika anda menjadi tetamu.



Para tetamu yang datang biasanya membawa berkah, justeru itu layanlah mereka dengan sebaik mungkin, supaya anda disayangi oleh makhluk di alam nyata dan di alam ghaib.



-Membuat Tetamu Selesa


Anda bukan sahaja melayan tetamu anda dengan baik, tapi juga boleh menyebabkan mereka merasa tenang dan selesa seperti berada di rumah mereka sendiri.



Sikap anda itu juga membuat mereka merasa mesra dengan anda yang akan menjadi ingatan mereka yang berpanjangan kepada anda.



Untuk berbuat demikian anda mesti mempunyai sikap silaturahim, mahabah dan berkasih sayang yang mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama.



-Meluaskan Hobi


Sebagai seorang yang suka mencari sahabat, anda sentiasa mengembangkan minat atau hobi, tidak hanya sekadar hobi yang sempit skopnya di sekitar diri anda sahaja.



Sebaliknya anda memperluaskan bidang hobi yang boleh membawa anda berkenalan dengan lebih ramai orang, seperti menceburkan diri dalam bidang amal kebajikan atau dalam bidang sukan yang ramai peminatnya.



Antara kegiatan-kegiatan yang boleh anda ceburi untuk tujuan tersebut ialah menyertai NGO-NGO tertentu dalam jurusan yang anda minati, seperti dalam memberi khidmat bakti kepada orang ramai, atau dalam bidang kesukanan seperti badminton, seni silat dan sebagainya.



-Suka Bertemu


Anda adalah seorang yang suka bertemu dan berjumpa dengan orang dan melayan mereka semua dengan sebaik-baiknya tanpa perbezaan kedudukan dan taraf.



Janganlah kerana seseorang itu mempunyai jawatan yang tinggi maka anda memberi layanan kelas satu pada mereka, tapi mereka yang tidak mempunyai kedudukan, anda berikan mereka layanan yang langsung tidak berkelas.



Layanan seperti ini merupakan amalan terpilih yang menyebabkan anda hanya mempunyai sahabat terpilih yang sesuai dengan selera dan kedudukan anda sahaja. Ini merugikan diri anda sendiri.



Sekianlah untuk renungan bersama. Wallahu’aklam.



xxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabath.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP