Zainab Hussin Penyair Wanita Pertama Malaysia?

>> Friday, January 28, 2011




Zainab Binti Hussin-

Penyair Wanita Pertama Malaysia?

Pancaran Mahabah Di Antara Suami Dan Isteri ialah jodol sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 1923.


Buku itu sebuah buku yang ditulis dalam bentuk syair oleh seorang penyait wanita, Zainab binti Hussin, dalam tulisan Jawi.


Buku itu sebuah buku kecil, bersaiz 81/2 sm x 12.2 sm, mengandungi 38 muka surat, dan sebanyak 109 rangkap syair Mahabah antara suami isteri.


Tidak ada kenyataan siapakah penerbit buku kecil, tapi nama pencetaknya terdapat pada bahagian bawah buku itu, iaitu "Bon Hua Press", Klang


Buku yang ada dalam simpanan saya ialah buku yang telah diulang cetak untuk kali ketiga bertarikh tahun 1948 yang tercatat pada kulit hadapannya.


Buku “pengenalan” pada kulit dalam buku itu, ia telah dicetak kali yang pertama pada 24 Julai tahun 1923 sebanyak 2,000 naskah, dan cetakan kedua pada 10 Febuari 1926 sebanyak 1,000 naskah.


Menurut “pengenalan” tersebut semua buku itu telah habis dijual, dan harganya tidak pula tercatat pada buku tersebut.


Menurut “pengenalan” itu lagi, mungkin daripada penerbitnya[?] tujuan buku itu diterbitkan ialah, “Yang pertama menunaikan permintaan orang ramai. Kedua menggalakkan kaum bangsa ke medan bacaan yang berguna”.


Adakah Zainab ini merupakan penulis wanita Melayu yang pertama, khususnya penyair Malaysia yang pertama?


Mengikut “pengenalan” pada buku tersebut, Zainab adalah penulis wanita pertama di Malaysia dengan katanya,”Dan yang ketiga menimbulkan nama seorang kaum ibu yang mula-mula sekali membuka tarikah masuk ke medan karang mengarang dalam Malaya pada tahun 1923”.


Seterusnya “pengenalan” itu menegaskan tujuan buku itu diterbitkan juga ialah untuk “Supaya menjadi perangsang dan ikutan kepada kaum-kaum ibu bagi dewasa yang akan datang”.


Izinkan saya petik beberapa rangkap syair “Pancaran Mahabah” itu untuk tatapan anda:, ia dimulai dengan pujian kepada Allah dan Salawat kepada Rasul dan diikuti gambaran keindahan alam selepas Asar dan menjelang senja:



“Bahawa pada suatunya hari


Lepas daripada waktu Asri


Mata hari memancar cahaya berseri


Terang saujana merata negeri.



Angin bertiup sepoi bahasa


Burung berterbangan atas angkasa


Sementelahnya ayam itik dan angsa


Sibuk mencari rezeki dan mangsa



Sekunyang mata hari cahayanya silam


Menunjukkan hari hampir malam


Reduplah rupa sekalian alam


Angin pun senyap bagi dipalam



Sibuk burung mencari tempat


Ke hutan ke gunung mana yang sempat


Mencari dahan daun yang rapat


Ke hujung ke pangkal berlompat-lompat



Saya pun menung dalam hati


Melihat kekayaan Rabbil izzati


Begitulah terang cahaya dilihati


Sekunyang redup malam berganti



Sekejap lagi nampaklah cahaya


Di sebelah timur terbitnya dia


Iaitu bulan rupa yang mulia


Menyinari bumi kolam dan paya



Dan kumpulan syair itu diakhiri dengan:



Majukan pelajaran janganlah lena


Sebarang buatan jadikan guna


Jadikan perniagaan ke sini sana


Boleh dipakai mulia dan hina



Bantulah suami dengan sungguhnya


Apa yang boleh kita membuatnya


Supaya bertambah rezeki baginya


Kita pun dapat senang adanya.


Sekianlah diharap mendapat perhatian sekalian pembaca dan khusunya daripada ahli-ahli sastera tanah air.

Sekian.


Bahan-bahan lain dalam rangkaian ini:


1.Puaka Pantai


2.Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri


3.Sepucuk Surat Bersejarah Dari Dato, Mohd Arifin

xxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP