Berhijrahlah

>> Wednesday, January 19, 2011


Berhijrahlah

Hijrah dari sudut bahasa bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, seperti berpindah dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Dalam sejarah Islam hijrah yang terkenal ialah Hijrah Nabi SAW dan umat Islam dari Mekah ke Madinah.


Dalam Hijrah Nabi SAW itu Baginda SAW. diriwayatkan telah sampai ke Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiuawal, dan disambut gembira oleh umat Islam di Madinah.


Peristiwa Hijrah ini telah dirakamkan oleh penyair Norman Lewis sebagaimana diperturunkan di sini:



HIJRAH


[Rasulullah SAW. dari Mekah ke Madinah]

[Oleh:Norman Lewis]

Muncul dari gua dan lalu berhijrah

Justeru fajar menabiri malam di padang pasir

Dan bintang-bintang yang gemerlapan diperjalanan anda


Akan segera sirna ke dalam kegermerlapan siang.

Jalan ke Yathrib sukar dan panjang,

Jalan wira-wira, jalan yang gagah,

Tapi Abu Bakar ada di sisi


Membantu anda sehingga jalan-jalan berpecah.

Akhirnya, di bawah bayang-bayang tembok batu-batan,

Mereka dan unta-untanya berihat seketika,

Dan tidur sedaya mampu dalam relau pancaran


Dalam panahan cahaya dan sorotan mentari.

Malam menjelma lagi bersama gelap pekat

Membawa kerdipan bintang-bintang dan sakit serta seksa

Kembara tanpa air melintasi padang pasir,


Hingga fajar menjelma lagi menerangi bumi.

Tapi cahaya itu musuh,dan juga teman

Kepada kepala Badui kini akan mengutus

Kuda yang terlatih menjejaki jauh jejak mereka


Untuk cuba mambawa kembali Muhammad.

Dan Pesuruh Allah melihat Suraqah datang

Dan dia mendengar dengungan tali-tali busur panahnya yang besar

Dan melihat melayangnya anak panah maut


Cuba menamatkan nafas Rasul.

Tapi tangan Allah di atas kuda

Kakinya terangkat pantas mencakar udara,

Dan Suraqah terlempar ke lantai pasir


Mengugat pelarian tidak lagi.

Muhammad, benaknya berfikir tentang Allah

Kini berpaling, perhitungkan tanah berumput di lembah,

Dan nomad tanpa kuda di dataran


Dan busur serta tombak dibawanya menghampakan.

“Apa yang ingin kau lakukan, wahai Temanku?

Adakah engkau ingin mengikutiku sampai ke hujung kembara?

Atau engkau datang untuk menyambut insan


Dan menawarkan mereka lagi dengan makanan dan minuman?”

“Muhammad”, ujar Suraqah, kini menyesal,

“Aku takut melihat alis yang luhur,

Maafkan aku, dan biarkan aku berlalu


Aku janji dengan engkau....tiada siapa akan menyedarinya”.

Justeru Muhmmad mengotakan apa yang dipinta.

Dan meneruskan perjalanan.

Tanpa beburung mesra


Berdendang di tanah terbiar tanpa pokok

Di kejauhan memudar gerumbulan nomad yang mengancam.

Hari demi hari, dan malam demi malam

Kedinginan kegelapan, letupan siang,


Persis beban kekuatan haiwan dan insan,

Mara, mara dan terus mara.

Di hari ketujuh, jejak-jejak yang panjang berliku-liku,

Sebuah oasis kabur muncul, padang pasir berakhir,


Dan Muhammad telah sampai ke tempat berair

Menamatkan dahaga perlombaan yang mencemaskan.

Justeru Muslim menyanjung satu-tatunya Hijrah

Di mana Allah di atas daripada bulan dan mata hari,

Allah kepercayaannya kini memperlindunginya

Berjauhan daripada sempadan padang pasir yang membakar.


Norman Lewis


Kenangan Di Madinah

Membaca puisi Norman Lewis di atas [yang dialihbahasa secara bebas] membuat saya terkenang kota Madinah semasa kami singgah selama beberapa hari dalam perjalan an ke Tanah Suci Mekah untuk menunai ibadat Haji.


Di Madinah ini terdapat sebuah masjid suci yang dikenali dengan nama Masjid Nabawi. Ia terletak di tengah-tengah kota Madinah dan salah sebuah masjid yang penting dalam Islam.

Di dalam agama Islam kedudukan dan taraf Masjid Nabawi ini yang kedua selepas Masjidilharam di Mekah.

Di dalam Masjid Nabawi ini terdapat makam Baginda Rasulullah SAW.

Para jemaah Haji dianggap tidak sempurna ziarahnya ke Tanah Arab kiranya mereka tidak melawat Masjid Nabawi dan seterusnya kubur Baginda Rasulullah SAW.

Masjid ini dibina oleh Rasulullah SAW. selepas baginda dan umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah Al-Munawarrah dalam usaha untuk menjauhkan diri daripada kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang kafir ke atas umat Islam di Mekah.

Pada masa itu Madinah terkenal dengan panggilan Yathrib, yang terdiri daripada beberapa buah kampung yang bertaburan letaknya. Kemudian baginda menukarnya kepada nama Madinah.

Setelah baginda berjaya menyatukan umat Islam di Madinah, antara golongan Ansar, iaitu penduduk asal Madinah dengan orang-orang Muhajirin, iaitu mereka yang berhijrah dari Mekah ke Madinah, maka baginda SAW berusaha untuk membina masjid tersebut yang akhirnya dikenali dengan Masjid Nabawi. Luas Nasjid Nabawi ialah 16326 meter persegi.

Hotel tempat kami tinggal ini terletak di hadapan dan berhampiran dengan Masjid Nabawi ini. Kami, iaitu saya dan allahyarhmah isteri, Asiah Yaacob [ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya] tinggal di tingkat satu bersama dengan beberapa orang teman yang lain yang berada dalam rombongan kami dari Kota Bharu.

Sepanjang beberapa hari dan beberapa malam di Madinah kami tidak pernah mis pergi solat jemaah di Masjid Nabawi, bermunajat di Raudhah dan menzairahi Makam Nabi SAW.

Mengenai Masjid Nabawi ini Rasululah SAW. bersabda, maksudnya“Kembara suci yang harus dilakukan hanya untuk menyelamatkan tiga buah masjid, iaitu Masjidilharam, masjidku ini dan Masjid al-Aqsa”.

Dengan mengujungi Masjid Nabawi amnya, dan makam Rasulullah SAW. dan tempat-tempat bersejarah yang ada kaitannya dengan sejarah Baginda SAW. akan membuka lautan ingatan kita kepada Baginda SAW. dan begitu besar jasanya yang telah ditaburkan oleh Baginda SAW. dan keagungan seruan Baginda SAW. ke seluruh alam buana ini dan ke seluruh jagat kemanusiaan serta menjadi payung rahmat ke seluruh alam buana dari dunia hingga ke akhirat.

Waktu pagi di kakilima-kakilima di belakang hotel kami ramai orang menjual masakan-masakan Kelantan, antaranya nasi kerabu, nasi dagang, nasi lemak, nasi berlauk dan juga beberapa jenis kueh-mueh. Peniaga-peniaganya wanita-wanita Islam dari Selatan Thailand.

Walaupun masakannya tidak seindah di tanah air, tapi sekali sekala boleh di makan oleh mereka yang rindukan masakan tanah air, untuk menghilangkan rasa jemu. Tapi setiap hari kami lebih suka makan roti bersama ayam panggang.

Jemaah kami juga sempat dibawa melawat ke pekan kurma di Madinah, dan membeli sedikit buah kurma yang terbaik untuk dibawa balik ke tanah air nanti setelah selesai menunaikan ibadat haji. Yang menjadi kesukarannya buah kurma itu terpaksa kami bawa dahulu ke tanah suci bersama dengan kami.

Madinah memang terkenal sebagai pengeluar buah kurma dan juga hasil-hasil pertanian yang lain.

Pada umumnya penjual-penjual di Madinah ini baik-baik, ramah mesra dan menyenangkan

Makam Rasulullah SAW. yang selalu dikunjungi

Pada mula-mulanya untuk selama beberapa hari setiap selepas solat ada seorang lelaki akan berdiri dan dengan suara yang lantang merayu bantuan untuk rakyaat Palestin dan lain-lain di mana kehidupan umat Islamnya bergolak. Ada rakan-rakan kami bermurah hati menghulurkan derma yang bukan sedikit pula. Tapi bila kami tanya kepada penganjur kami tentang pemungutan derma itu, beliau memberi nasihat kepada kami supaya berhati-hati dalam keadaan dan suasana seperti itu berbagai-bagai perkara boleh berlaku, dan kita tidak dapat mempastikannya mereka bercakap memohon bantuan itu benar atau tidak.

Setelah beberapa hari di Madinah, kami terpaksa meninggalkan kota suci itu untuk meneruskan misi suci kami menunai ibadat haji di Mekah, bagi melengkapkan diri sebagai seorang Muslim serta mencari keampunan dan kerdaan Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun dalam memburu Haji Mabrur.

Ingatlah, kalau kemampuan sudah ada, janganlah menunggu-nunggu, menangguh-nangguh, melengah-lengah untuk menunai ibadat Haji, dengan alasan belum sampai seru, siapa tahu bila sampai seru nanti, kemampuan telah sirna, lagi pun siapa tahu jangka hayat seseorang, kerana kebiasannya buah yang putik pun gugur, buah yang muda pun gugur dan buah yang tua pun gugur, malah bunga-bunga yang belum berputik pun gugur juga ke bumi? Di mana anda nanti dalam menunggu seru?

Kami mersa amat sedih sayu untuk meninggalkan kota Madinah ini, kerana terpaksa berpisah dengan Junjungan kami, Rasulullah SAW yang bersemadi di Masjid Nabawi. Sewaktu melakukan kunjungan pepisahan ke makam baginda, kami antara lain berdoa kepada Allah supaya diberi kesempatan lagi untuk mengunjungi Baginda saw. di masa-masa akan datang semasa hayat kami masih ada.

Demikianlah dengan hati sendu bercampur gembira kami tinggalkan juga Madinah dengan Masjid Nabawi dan makam Rasulullah dan Khalifah Sayyidina Umar al-Farook dengan harapan kami ditakdirkan untuk datang lagi suatu hari nanti. Kami gembira untuk ke tanah suci Mekah al-Mukaramah.

Dan yang pentingnya setiap insan mesti berhjirah. Berhijrahlah dari lemah kepada kuat, dari lembab ke cergas, dari malas kepada rajin, dari jahat kepada baik, dari bodoh kepada pintar, dari mundur kepada maju, dari lemah kepada kuat, dari gelap kepada terang, dari tidur kepada bangun, dari dosa kepada pahala......Bangkitlah, dan berhijrahlah dari negatif kepada positif.

Rasulullah SAW. bersabda, “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggal kankejahatan, maka dia menjauhinya”.HR:Ahmad.


Semoga doa kami diperkenankan oleh Allah SWT. Amin.

xxxxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP