Menadah Al-Quran Di Ulul Al-Bab Kota Putra
>> Tuesday, January 11, 2011
MENADAH Al- Quran Di MSRM Ulul Al-Bab Kota Putra
KAMI telah membawa cucu kami, Nik Nur Syafiqah Zaini [nama timangannya Kakak], puteri sulung kepada anak perempuan tunggal kami, Noorbaiti Zaini dan suaminya Sayafi bin Fa melapor diri di MRSM Ulul-Albab, Kota Putra, Besut pada hari Isnin, 10 Januri 2011 yang lalu.
Dijangka seramai 180 pelajar akan mendaftarkan diri. Tapi pada hari ini, mungkin ada pelajar yang tidak sempat melaporkan diri, kerana terlewat menerima tawaran daripada MARA.
Tapi justeru itu kami terlebih dahulu berhubung dengan MSRM Ulul -Albab Kota Putra dan secara tanpa hitam putih telah diberi keputusannya. Kami hanya menerima surat tawaran sehari sebelum tarikh pendaftaran, andainya kami menunggu kesampaian surat tawaran itu, tentulah agak sukar kepada kami untuk membuat persedian untuk menghantar “Kakak” pada hari itu.
Walau bagaimana pun kami berterimakasih kepada MARA dan bersyukur kepada Allah kerana semuanya berjalan dengan sebaik-baiknya., dan kakak sekarang berada di MSRM Ulul-Albab Kota Putra untuk mengikuti pengajiannya. Semoga Allah kurniakan kejayaan kepadanya dan juga kepada rakan-rakan seperjuangan dengannya.
Idea untuk menghantar Kakak belajar hafaz ini dicetuskan oleh Allahyramah neneknya, yang dipanggil “Wan” [Asiah Yaacob, semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang sentiasa menyebut cucunya itu akan melanjutkan pelajaran di bidang hafaz al-Quran.. Malah setiap kali melihat sekolah tahfiz, beliau akan menyebut perkara yang sama, bukan sahaja untuk kakak, tapi juga untuk semua cucu-cucunya yang lain.
Justeru itu, kami dapat merasakan bagaimana gembiranya beliau jika mengetahui Kakak telah memenuhi cita-cita beliau yang mulia itu. Dan kami dapat merasakan bagaimana gembiranya beliau ikut bersama dengan kami menghantar kakak ke Ulul Al-Bab Kota Putra pada hari itu.
Di Ulul Al-Bab ini pelajar bukan sahaja mengikuti pelajaran membaca al-Quran dan hafaz al-Quran, tapi juga belajar pelajaran akademik yang biasa. Sungguh hebat!
Sebelum ini anak bongsu kami, Ahmad Syaibani Zani terlebih dahulu belajar hafaz al-Quran dan hari ini sedang melanjutkan pelajarannya dalam tahun akhir di UKM, Bangi. Allahyarhamah Mamanya yang sentiasa mendorong, memberangsang dan menggalak dia supaya meceburi bidang tersebut sejak dia masih kecil lagi. Beliau yang bersungguh-sunguh mahu anak bongsunya itu bealajar hafaz al-Quran.
Namun begitu ada juga orang yang menempelak kami dengan mengatakan tindakan kami itu tidak betul, kerana bidang tersebut kata mereka tidak ada masa hadapan. Justeru dengan berbuat demikian mereka menuduh kami telah menzalami anak kami itu.
Tak apalah, biar apa mereka katakan, kerana kami yakin tindakan kami tidak tersasar, malah memang tepat pada masanya. Dan hari ini kami boleh bersyukur kepada Allah di atas limpah rahmatnya yang tidak terkira.
Baginda Rasulullah SAW. bersabda, “Bacalah al-Quran. Sesunggunya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat keapda tuannya”. HR:Muslim
.
Dan sabda Baginda SAW. lagi, “Sesiapa yang membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya, Allah akan memakaikan kedua ibu bapanya satu mahkota pada hari kiamat kelak. Cahaya mahkota tersebut lebih indah daripada cahaya matahari terhadap rumah-rumah di dunia. Maka apakah pandangan kamu tentang balasan yang akan diperolehi oleh orang yang membaacanya sendiri”. HR:Abu Daud.
Belajar dan belajarlah wahai putera puteri hingga tenggelam di lautan ilmu yang tidak bertepi, kerana ilmu menjadi ramuan yang penting untuk mencapai kejayaan ulung di dunia dan di akhirat.
Syukur cucu saya, Nik Nur Shafiqah Zaini [Kakak] telah menyambung langkah yang telah diambil oleh bapa saudaranya itu. Malah cucu-cucu yang lain pun diharap tidak mempunyai halangan untuk mengikuti aliran yang sama.
Justeru kalau mereka ingin menjadi guru, jadilah seorang guru yang hafiz, kalau hendak jadi doktor, jadilah seorang doktor yang hafiz, dan kalau ingin menjadi enginer, jadilah seorang enginer yang hafiz, kalau ingin jadi seorang penulis, jadilah seorang penulis yang hafiz, dan demikianlah seterusnya.
Taklimat Pengetua
Pada hari pendaftaran itu Pengetua MSRM Ulul-Albab telah membuat penjelasan panjang lebar mengenai sejarah dan rancangan-rancangan maktab tersebut.
Dalam ucapannya beliau menjelaskan tujuan program itu dilancarkan antara lain ialah:
-Untuk melahirkan pelajar yang mampu untuk memberi pandangan dan menyelesaikan masalah ummah.
-Memaksimakan keupayaan berfikir, serta berfikir dengan kreatif dan inovatif.
-Menguasai bidang teknologi secara legkap dan terkini.
Untuk tujuan tersebut pelajar-pelajr dikehendaki menghafaz al-Quran 30 juzuk dalam masa tiga tahun.
Dengan itu katanya diharap akan lahir ahli profesional dan teknorat serta mahir dalam bidang keagamaan, berdasarkan al-Quran dan Sunah sebagai generasi Ulul- Albab.
MSRM Kota Putra adalah MSRM yang ke 24 dripada 31 MSRM yang ada, dan mulai beroperasi pada 1 Januari 1998, ia dibina atas tapak seluas 26.5 hektar.
Beliau menyeru para ibu bapa supaya memberi kerjasama yang sebaik-baiknya demi kejayaan anak-anak mereka dan mendukung cita-cita MARA untuk melahirkan manusia yang berwibawa dari segi rohani dan jasmaninya.
Cerita Yang Menarik
Dalam ucapannya yang panjang lebar itu Pengetua menceritakan dua kesah pengalaman beliau semasa bertugas. Beliau menasihati ibu bapa pada hari itu supaya tindak memberi wang tunai yang banyak kepada anak-anak mereka, tidak memberi kamera dan handphone yang mahal harganya, kerana takut-takut ianya “dipinjam” oleh pelajar-pelajar senior yang tidak diketahui bila akan dikembalikan kepada tuannya. Boleh pakai handphone tapi yang basic sahaja di mana harganya pun murah.
Katanya pernah kejadian sebuah kamera mahal didapati beredar dari tangan ke tangan para pelajar yang tidak diketahui bermula dari siapa dan siapa empunya yang sebenarnya, kerana tidak dapat dipastikan dari siapakah kamera itu bermula beredar, kerana tidak ada siapa bersedia untuk mengakuinya dan di mana kamera itu mereka ambil.
Beliau juga memberi ingatan kepada ibu bapa supaya tidak gusar tentang makan minum dan kesihatan para pelajar. Katanya mereka diberi makan 6 kali sehari dengan makanan-makanan yang berkualiti.
Katanya pihak maktab juga mengambil berat tentang kesihatan para pelajar. Mereka yang sakit tidak akan dibiarkan. Katanya pernah kejadian, di mana pada suatu hari, beliau terkejut kerana salah seorang bapa pelajar datang ke sekolah dengan membawa doktor dan ambulan untuk mengambil anaknya yang dikatakan sedang sakit dan telah menelefon ayahnya tanpa memberitahu peihak maktab. Tapi bila diperiksa pelajar itu hanya mengidap demam selsema biasa sahaja. Justeru itu nasihat beliau janganlah bertindak dengan terburu-buru.
Ada serangkap pantun mengakhiri ucapan Pengetua yang berbunyi:
Pagi hari di Kota Putra
Gembira hati tiada terperi
Anak Tuan kami terima
Sebagai amanah seikhlas hati.
Dan kami mengakhirinya:
Kota Putra di malam purnama
Cahaya merata di seluruh buana
Anak kami anda terima
Harap dididik sampai sempurna.
xxxxxxxxxxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment