Rahsia Silaturahim

>> Friday, January 7, 2011


ADAKAH Anda Mempunyai Mahabah?


Adakah anda seeorang yang mahabah, iaitu mempunyai perasaan persahabatan dan kemesraan?


Kalau ada sejauh mana pula sikap mahabah itu mempengaruhi kehidupan anda? Atau adakah anda sekadar mahabah di bibir mulut sahaja?


Ada berbagai-bagai perkara yang boleh dilakukan untuk melahirkan rasa mahabah itu? Di sini diberikan sedikit contoh amalan mahabah yang boleh kita dapati dalam sejarah kemanusiaan.


Mahabah Orang Ansar


Kerana mematuhi perintah baginda Rasulullah S.A.W. orang-orang Islam di Makah berhijrah ke Madinah demi kepentingan agama dn umat Islam pada masa itu yang mendapat tekanan dan ancaman yang hebat daripada orang-orang kafir Makkah. Mereka disambut oleh penduduk-penduduk Madinah yang pada masa itu dikenali dengan nama Yathrib.


Bagindalah yang menukar nama Yathrib kepada nama Madinah Al-Munawarah yang bererti Kota yang bercahaya.


Orang-orang Makah yang berhijrah bersama dengan Rasulullah S.A.W. itu dipanggil Muhajirin, sementara penduduk asal Madinah yang beragama Islam dikenali dengan panggilan kaum Ansar.


Kaum Ansar adalah terdiri dari suku kaum Aus dan suku kaum Kazraj. Sebelum ini mereka dikenali dengan nama Qailah. Panggilan Ansar ini digunakan juga kepada keturunan mereka yang kemudiannya.


Orang-orang Muhajirin di Madinah hidup dalam kesusahan dan kesempitan, kerana semua harta benda dan kekayaan mereka, terpaksa ditinggalkan di Mekah yang pada ketika itu terletak di bawah kekuasaan kaum kafir Quraish. Malah ramai di antara mereka yang kaya raya ketika di Mekah yang mereka tinggalkan kerana menyahut seruan agama berhijrah ke Madinah dengan sehelai sepinggang.


Justeru itu setelah berjaya mendirikan masjid di Madinah, Baginda S.A.W. pun melancarkan usaha untuk mengeratkan hubungan antara kaum Muhajirin, iaitu orang-orang yang berhijrah dengan orang Ansar, iaitu orang-orang yang membantu atau menolong. Dalam usaha murni ini Baginda Rasullullah S.S.W. mengikat tali persaudaran antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar, di mana mereka dikehendaki saling beranggapan sebagai saudara kandung mereka sendiri antara satu sama lain. Justeru mereka dikehendaki saling bantu membatu dalam usaha yang mereka lakukan, termasuklah dalam kerja-kerja kemasyarakatan.


Sumbangan kaum Ansar terhadap Islam di Madinah amatlah besar, malah melebih isumbangan kaum yang lain. Mereka menjaga seluruh keperluan Rasulullah S.A.W dan orang-orang yang berhijrah bersama dengan baginda S.A.W. Mereka sanggup menginfakkan segala harta benda mereka untuk melaksanakan tujuan tersebut, walaupun mereka sendiri amat memerlukannya. Malah mereka lebih mengutamakan Rasulullah S.A.W. dan orang-orang yang berhijrah bersama dengan Rasulullah daripada diri mereka sendiri.


Tindakan Rasulullah S.A.W. mempersaudarakan mereka itu juga amat penting kerana umat Islam di Madinah masa itu terancam oleh musuh-musuh Islam dari segenap jurusan yang sentiasa bersedia untuk bertindak menghancurkan Islam. Sementara itu dalam kota Madinah sendiri terdapat orang-orang Yahudi yang sentiasa mencari kesempatan untuk meruntuhkan kerajaan Islam Madinah yang baru diasaskan oleh Baginda S.A.W. itu.


Justeru dengan terjalin ikatan tali persaudaran itu, maka tidak ada lagi perbezaan antara kaum Ansar dan kaum Muhajirin, baik dari segi sosial atau ekonomi. Mereka hidup bersama di bawah lambang perpaduan Islam


Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi agama Islam yang suci. Tidak seperti umat Islam hari ini yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri, termsuklahlah tindakan melanyak-lanyak dan mengorbankan agama mereka sekali pun.


Hinggakan Baginda Rasulullah S.A.W. memberi penghormatan yang tinggi kepada kaum Ansar, dengan sabdanya, “Tidaklah mencintai kaum Ansar kecuali orang yang beriman, barangsiapa yang mencintai mereka maka ia dicintai Allah”. HR:Al-Bukhari.


Sabda baginda lagi, “Tanda keimanan adalah mencintai kaum Ansar”.HR:Al-Bukhari.


Mahabah Sayyidina Hussin


Ada sebuah kisah cinta yang menarik telah berlaku ratusan tahun yang lalu yang ada kaitannya dengan Khlaifah Muawiyah, seorang pemimpin Islam yang pertama menjadi Khalifah Bani Umayyah yang terkenal bijaksana dan terkenal dengan putar belit politiknya yang licin dalam usaha untuk mengauk kuasa.


Kisah cinta ini melibatkan beberapa tokoh ternama, iaitu Muawiyah sendiri, anaknya iaitu putera mahkota Yazid, Abdullah bin Salam, cucu Rasulullah, Hussin bin Ali dan seorang jelitawan bernama Arinab.


Putera Mahkota Yazid telah jatuh cinta kepada seorang wanita bernama Arinab, tapi malangnya wanita yang terkenal dengan kejelitaan dan berbudi bahasa yang mulia ini telah menjadi isteri orang, iaitu isteri kepada Abdullah bin Salam, Gabenor Muawiyah di wilayah Iraq. Abdullah bin Salam adalah sepupu kepada Muawiyah, dan begitu besar jasanya kepada Muawiyah, kerana itu beliau disayangi oleh Khalifah Muawiyah.


Bila Muawiyah mengetahui anaknya, putera mahkota Yazid berada dalam keadaan dukacita yang amat sangat kerana mencintai isteri Abdullah bin Salam itu, maka Muawiyah pun menjalankan siasat dan tipu helahnya yang licik iuntuk membolehkan Yazid berkawhwin dengan Arinab.


Dengan mempergunakan seorang sahabat Nabi S.A.W., Abu Darda’, Muawiyah telah berjaya mempengaruhi Abdullah bin Salam menceraikan isterinya yang tidak berdosa dengan diberi pengharapan akan dijadikan menantu Muawiyah, iaitu berkahwin dengan puterinya, Safiah.


Setelah Abdullah menceraikan isterinya, barulah beliau menyedari bahawa beliau telah menjadi mangsa kepada putar belit Muawiyah, kerana selepas itu puteri Muawiyah, Safiah menolak lamaran Abdullah bin Salam. Perceraian itu telah menimpakan kesan yang buruk terhdap Abdullah, hingga dia terpaksa melepaskan jawatanya sebagai gabenor dan hidup merempat ke hulur ke hilir.


Walau bagaimanapun Arinab telah penolak pinangan putera Yazid dan sebaliknya menerima pinangan cucu Rasulullah S.A.W., iaitu Hussin bin Ali, iaitu anak kepada Khalifah Ali bin Abu Thalib dengan isterinya Fatimah, puteri Rasulullah. S.A.W. Peristewa ini merupakan tamparan yang hebat kepada Muawiyah yang selama ini terkenal sebagai manusia lecek dan halus dalam setiap usahaya untuk mendapatkan sesuatu yang dicita-citanya. Akhirnya Arinab berkahwin dengan Hussin dan hidup bahagia bersamanya.


Tapi pada suatu hari Abdullah bin Salam yang berada dalam kemiskinan dan kesempitan hidup terpaksa menemui Hussin untuk meminta bantuannya supaya Arinab menggembalikan kepadanya harta yang pernah diamanahkan kepada bekas isterinya itu dahulu.


Tapi Hussin enggan berbuat demikian, malah mempertemukan mereka kedua bekas suami isteri itu di rumahnya sendiri. Dalam pertemuan yang singkat itu kedua-duanya telah menangis terisak-isak mengingatkan nasib malang yang telah menimpa diri masing-masing. Dalam suasana yang diselubungi oleh kesedihan itu, datanglah Hussin.


Beliau segera melepaskan isterinya Arinab untuk dikembalikan kepada Abdullah. Beliau menjelaskan dia berkahwin dengan Arinab bukan kerana tamakkan kejelitaannya atau kerana kekayaannya, tapi semata-mata untuk menyelamatkan Arinab dari rampasan keluarga Muawiyah yang lecek, serta bertekad akan menyerahkan Arinab kembali kepada Abdullah bin Salam pada suatu masa nanti. Kedua-duanya amat gembira dan lidah mereka menjadi kelu untuk berkata.


“Semua yang saya lakukan ini kerana Allah, tanpa mengharap sebarang upah atau terimakasih. Saya doakan semoga saudara kembali hidup bahagia”.


Demikian antara lain kata Hussin ketika menolak tawaran Abdullah kepadanya untuk membayar balik maskahwin yang telah dibayar oleh Hussin kepada isterinya itu dahulu


Mengenai Sayyidina Hussin baginda Rasulullah S.A.W. bersabda, “Hassan dan Hussin keduanya adalah pemimpin para pemuda ahli syurga”. HR:Al-Bukhari.


Sabda baginda lagi, “Hussin adalah dariku dan aku adalah darinya, Allah mencintai orang yang mencintai Hussin”. HR;At-Tirmidzi.


Ertinya orang yang mencintai Hussin bererti dia dicintai oleh Allah.


Mahabah Di Zaman Mutakhir


Adakah lagi manusia di zaman ini yang begitu mulia sifatnya seperti cucu Rasulullah saw., Hussin dan orang-orang Ansar di Madinah yang sanggup berkorban begitu rupa demi kepentingan silaturahim? Mereka sanggup berkorban apa sahaja kerana Allah dan bukannya kerana yang lain.


Itulah salah satu bentuk cinta yang dikatakan cinta kerana Allah, bukannya kerana nafsu beralaskan kepentingan diri sendiri masing-masing untuk mencari kepentingan dunia yang fana ini.


Malah sebagai hamba Allah anda hendaklah mengmahabahkan diri anda kepada semua manusia, malah kepada semua makhluk Allah, tanpa mengira jenis, bangsa dan kaum. Jika anda mencintai seseorang, sudah tentu anda mencintai semua yang berkaitan dengan orang tersebut, demikian juga jika anda menyayang seorang penulis, anda bukan sahaja menyintai batang tubuhnya bernama Muhammad atau Zaini, tapi anda akan menyintai segala karya-karya yang dihasilkannya. Demikianlah dengan Allah, yang mencipta dan mengatur setiap sesuatu yang wujud ini, justeru itu menyintai Allah bererti anda menyintai semua ciptaan-ciptaanya. Mahabah kepada Allah bererti mahabah kepada segala ciptaanNya.


Tapi hari ini keadaan yang sebaliknya sering berlaku. Ada sesetengah sahabat dan kawan-kawan yang terpesona dengan isteri-isteri atau suami-suami kawan-kawannya sendiri akan berusaha untuk merampasnya, tanpa mengira halal haramnya. Tak dapat dijadikan isteri atau suami, dijadikan sebagai gundik tempat pemuas nafsu di belakang suami atau di belakangnya isterinya pun tak apa, asalkan nafsu kebinatangan terpuas. Perkara buruk sperti ini sering berlaku di pejabat-pejabat di mana suami orang dan isteri orang terlibat dalam perbuatan maksiat perzinaan yang terkutuk itu.


Sang lelaki atau perempuan yang terpesona dengan suami atau isteri orang itu akan menggunakan segala kemampuannya, termasuk rupa paras, wang dan kedudukannya untuk menggoda wanita-wanitaitu supaya merelakan dirinya diratah secara haram oleh mereka, sedangkan sang wanita juga akan mempergunakan apa sahaja kemampuannya, terutama kecantikannya dan gayanya untuk memikat seseorng lelaki supaya bersedia untuk mengikut kehendaknya, walaupun dengan menyerahkan kehormatannya sendiri.


Awaslah anda yang bekerja, baik lelaki atau wanita, baik anda tanpa isteri ataupun punya isteri, baik mereka solo atau isteri orang, kerana perangkap-perangkap maksiat atas nama mahabah ini sentiasa bersedia untuk memerangkap anda yang alpa dan lalai dalam melayari bahtera hidup yang begitu banyak ombak dan karangnya.


Saya kerap dimaklumkan, di pejabat-pejabat di ibu kota sering berlaku perzinaan di kalangan kakitangan-kakitangan mereka, termasuklah dengan isteri-isteri orang kerana sebab-sebab yang mereka sendiri sahaja yang mengetahuinya. Labih parah lagi perzinaan itu kadang-kadang berlaku di pejabat-pejabat tempat mereka bekerja sendiri. MasyaAllah.


Justeru itu tidaklah hairan kalau suatu ketika nanti Allah akan menimpakan bala bencana, bukan sahaja ke atas para penderhaka semata-mata, tapi meliputi semua orang, tanpa mengira orang yang berdosa atau tidak berdosa. Demikianlah bila Allah turunkan bencana, bukan pesalah sahaja yang menderita, malah orang-orang baik-baik juga akan menanggung musibahnya.


Harga Mahabah


Ada seorang pemimpin lelaki dari kalangan bangsawan. Dia jatuh cinta dengan seorang wanita pramidona pentas hiburan. Suami wanita itu juga seorang anak pentas. Masa itu mereka semua masih muda, dalam usia tiga puluhan tahun. Lelaki itu telah tergila-gilakan wanita tersebut, dan berusaha sedaya upayanya untuk memilikinya.


Sebagai seorang yang berpengaruh dan berharta, mempunyai banyak wang, dia telah menemui suami wanita itu. Berlakulah perundingan antara keduanya. Tidak lama selepas itu lelaki tersebut telah menceraikan isterinya, dan tidak lama selepas itu pula wanita pramidona itupun berkahin dengan lelaki yang menggilainya itu. Dan hidup terus berkekalan sampai ke akhir hayat mereka.


Mengikut cerita yang tersebar di kalangan awam, suami wanita itu telah menerima bayaran sejumlah wang daripada lelaki kaya itu untuk melupuskan isterinya yang dikahwinnya sejak muda sama muda lagi. Tidaklah diketahui berapa jumlahnya, hanya mereka bertiga sahaja yang mengetahuinya.


Bolehkah dikatakan ini mahabah? Atau adakah ia suapan? Atau iakah mahabah berbayar?


Terserahlah kepada anda untuk menilainya.


Dan ingatlah jika anda mempunyai rasa mahabah yang tinggi, anda tidak mempuyai ruang untuk mendengki atau mempersalahkan orang lain; kerana bila berlaku sesuatu yang tidak diingini, anda akan segera merenung diri anda sendiri, memeriksanya, dan akhirnya akan terdedahlah berbagai-bagai kepincangan dan kelemahan yang bersarang pada diri anda, dan ini membuat anda lebih bersedia untuk menyalahkan diri anda sendiri daripada menyalahkan orang lain. Dan ini akan membuat anda merasa lebih bahagia.


xxxxxxxxxx


Sehari Sepatah Kata:


-Keldai itu tetap keldai juga walaupun disalut dengan emas.


-Biri-biri hitam dapat menumbuhkan bulu yang putih.


-Hati-hatilah! Yang dikejar biar dapat, yang dikendung tidak keciciran.


xxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

1 comments:

Anonymous,  March 11, 2011 at 5:41 PM  

kisah sebenar abdullah salam :

http://bacaanku.web44.net/?pilih=news&mod=yes&aksi=lihat&id=19

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP