Kembara Silaturahim-Mencari Menantu

>> Monday, January 17, 2011




KEMBARA Silaturahim- Mencari Menantu


SALAH ada tradisi perkahwinan dalam masyarakat kita Melayu ialah adat merisik.


Dalam acara ini pihak pengantin lelaki akan bertandang ke rumah bakal pengantin perempuan. Tujuannya untuk merisik atau bertanya khabar adakah sekuntum bunga dalam keluarga tersebut sudah berpunya atau belum berpunya, kerana ada kumbang hendak menyerinya?


Walaupun di antara teruna dan dara sudah kenal mengenali antara satu sama lain, malah cinta mencintai dan sudah pun diikat dengan janji setia “kita berdua” serta mendapat restu keluarga kedua belah pihak, tapi adat merisik ini masih diteruskan juga.


Kalau memang sudah ada restu dari keluarga terlebih dahulu, maka pada hari merisik itu, akan diterima jawapan hitam putihnya dari keluarga pihak si dara, sekuntum bunga mekar di taman masih belum berpunya dan bersedia untuk disunting.


Kemudian akan dilakukan perbincangan secara ringkas, bilakah rancangan pihak lelaki untuk datang melamar secara rasmi bunga di taman, iaitu memetraikannya dengan adat pertunangan yang akan membawa kedua-dua ternua dan dara ke jinjang pelain selepas diijabkablakan sebagai suami isteri.


BKebiasaannya pada hari itu keluarga lelaki akan membawa sedikit cendera hati untuk bakal menantu berupa sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda dan sehelai kain untuk bakal besan serta sedikit juadah.


Sementara itu tuan rumah pula akan mengadakan sedikit jamuan untuk rombongan yang berkunjung mengikut kesesuaian waktu, dan biasanya rombongan itu mengandungi beberapa orang sahaja terdiri dari keluarga yang hampir, termasuk seorang jurucakap mereka.


Jurucakap inilah mewakili keluagra lelaki berbincang dengan jurucakap keluara pihak perempuan. Biasanya diakhir perbicangan akan ditutup dengan doa selamat.


Adat merisik ini adalah salah satu adat yang menggambarkan ketinggian budi bahasa dan budaya kita orang-orang Melayu yang penuh dengan sopan santun. Walaupun ia mungkin menyusahkan sedikit mereka, tapi ia banyak memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, sebelum kedua-duanya diikat dengan cincin pertunangan dan seterusnya diijabkabulkan sebagai suami isteri.


Rombongan Merisik


Untuk tujuan merisik itulah kami, iaitu keluarga pengantin lelaki telah berkunjung ke rumah keularga pengantin perempuan, di Bandar Baru Bangi untuk menyunting sekuntum bunga di situ.


Dalam rombongan kami itu terdiri dari “Ayah Cik” [Abdul Halim] dan ieterinya “Acik”, [Noorlida]anak-anaknya iaitu bakal pengantin lelaki “Amin”, dan anak perempuannya “Kakak” [Nenyi], dan anak bongsunya “Adik”. Anak sulungnya “Kak Long” [Nani] dan suaminya yang bertugas di Perlis tak dapat serta kerana “on-call” yang tak dapat dibatalkan.


Hari itu hari Sabtu, tanggal 15 Januari 2011 bersamaan dengan 10 Safar 1432 Hijriah. Cuaca sekitar hari itu cukup baik, tak panas dan tak hujan. Menyenangkan.


Sementara saya, bapa’ saudara kepada bakal pengantin lelaki yang dipanggil “Papa” bersama dengan anak-anak dan menantu-menantu perempuan dijemput menyertai rombongan, iaitu anak sulung saya, iaitu “Ayah Long” [Arham Zaini] dan isteriya “Mak Long”, [Adina], anak bongsunya “Idris”, serta anak bongsu saya, “Ayah Su “ [Ahmad Syaibani Zaini] dan isterinya “Mak Su”. [Imi].


Anak saya yang panggilan timang-timangnya “Ateh” [Ahmad Faris Zaini] yang bertugas di Sabah bercadang hendak ikut serta bersama dengan isterinya “Mak Teh”, [Aszaliza] tapi tidak dapat hadir kerana isterinya, “Mak Teh” sedang menghadiri seminar di KLCC, Kuala Lumpur berhubung dengan ilmu pergigian. Anak perempuan saya “Mak Long” [Noorbaiti Zaini] dan suaminya “Ayah Long” [Safayi] juga tak dapat ikut serta kerana urusan persekolahan anaknya “Kakak” [Nik Noor Syafiqah Zaini] di MSRM Kota Putra.


Yang menjadi jurucakap kami pada hari itu ialah “Ayah Long” diberi mandat oleh “Ayah Chik”nya untuk berbincang dengan wakil pihak keluarga perempuan. Perbincangan berjalan dengan lancar dan dengan semagat mahabah dan kemesraan.


Bakal pengantin perempuan, ialah Maryam Husna puteri kepada Tuan Haji Firdaus. Sebenarnya isteri Tuan Haji Firdaus ialah keluarga dekat dengan Allahyarhamah isteri saya [Yah-semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] kakak kepada “Acik” yang pangkal keturunannya setakat yang dapat dijejaki ialah bermula dari “Wak Leh” dari Kg. Raja Besut, Terengganu.


Salah seorang yang cukup biasa dengan kami menunggu ketibaan kami di rumah keluarga perempuan, ialah “Kak Dah”, isteri “Abang Tar”. yang kini tinggal di Ampang, KL.


Dalam perbincangan singkat ini pihak lelaki memberitahu upacara merisik itu akan disusuli dengan upacara pertunangan dalam masa yang terdekat. Tarikhnya akan diberitahu kelak.


Setelah kata sepakat diperolehi, maka majlis pun ditutup dengan bacaan doa selamat oleh “Ayah Su”.

Ketika perbincangan bermula, “Ayah Cik” beberapa kali berbisik tentang ketiadaan “gemulah” [maksudnya isteri saya Kak Yah- semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang tiada di majlis tersebut yang menyebabkan beliau merasa satu kelowongan yang sukar diisi.


Sewaktu perbincangan sedang berjalan tiba-tiba kami dikejutkan dengan “adik” terjatuh ke dalam kolam mandi yang terletak di sisi rumah ketika sedang bermain-main dengan cucu “Papa” Idris. Dia terjatuh ketika cuba mengambil bola yang terlempar ke dalam kolam, dan mujur segera ditarik naik oleh Idris.


Kepada kami ia merupakan pertanda yang baik tentang suasana sejuk yang aman yang akan meliputi keluarga kami semua. Semoga hubungan ini merupakan tali sutera kasih yang akan menambah eratnya lagi jambatan silaratulrahim dalam keluarga serumpun ini. Insya-Allah.


Dan majils di akhiri dengan jamuan makan tengah hari. Setelah semuanya, selesai sebahagian dari kami bertolak balik ke Kota Bharu, dan sebahagian balik ke Tasik Puteri, Rawang.


“Papa” sampai ke Sungai Durian, KK. pukul 3.15 pagi, sementara “Ayah Cik” dan keluarganya meneruskan perjalanan ke Pasir Tumbuh, KB sejauh kira-kira 65 kilometer lagi.


Alhamdulillah, kami semua selamat sampai ke distinasi masing-masing.


“Arak-arak kelapa puan


Tiada puan kelapa bali;


Harap hati kepada kelian


Tidak kelian siapa lagi?’.


Nukilan ini merupakan cebisan-cebisan dalam berbagai-bagai catatan kembara kami dalam mencari keredaan Ilahi. Isya-Allah.


xxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

2 comments:

TheActuary January 19, 2011 at 10:16 PM  

wah, topik yg menarik..
nanti jemputlah datang ke rumah lagi ye pakcik... :)

Pondok Rahmat January 23, 2011 at 3:25 PM  

Assamalaikum. Barakallahufiq. Insyallah

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP