KAMPUNG SALOR PEMANGKIN AGAMA

>> Friday, August 30, 2019





KAMPUNG SALOR SEBAGAI PEMANGKIN AGAMA


                                Masjid Kg. Salor

DALAM artikel-artikel saya yang lalu antara lain saya telah mengutarakan tentAng Kampung Salor sebagai pusat dagang dan budaya yang berpusat di Kampung Kedai Salor.

Kali ini pula saya ingin mengutarakan sekadar apa yang saya tahu tentang Kampung Salor sebagai pemangkin agama Islam.

Masjid Salor
Seluruh penduduk Kampung Salor adalah terdiri dari oang Melayu atau Islam. Dulunya ada juga orang-orang China yang datang bermaustautin di sini, tapi hampir seluruh  mereka sebagai penyewa untuk berniaga. Mereka datang bertukar ganti. Tapi sekarang tidak ada lagi.


Sebagaimana kebiasaannya di mana orang-orang Islam bermasyarkat mereka akan membina rumah-rumah ibadat mereka, seperti masjid suraua dan madrasah.


Di Kampung Salor terdapat sebuah masjid yang dikenali dengan nama Masjid Salor. Masjid ini sebenarnya telah lama dibina oleh penduduk-penduduk tempatan.


Masjid Salor ini asalnya terletak arah ke tepi  Sungai Kelantan, dan telah dipindahkan ke tempat sekarang kira-kira pada tahun 1925  setelah masjid kayu lama itu dirobohkan, mungkin salah satu sebabnya kerana hakisan sungai. Sejauh yang saya ketahui setiap tahun tebing Sungai Kelantan akan roboh, hanyut  dibawa arus, terutama di musm banjir.




Masjid baru yang dibina daripada simin itu siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada tahun 1926. Senibina Masjid itu bercorak kolonial yang masih dapat dilihat sampai sekarang.


Masjid Salor bukan sahaja dijadikan tempat solat lima kali sehari, tapi juga dijadikan sebagai pusat dakwah dan menyebar pengaaran Islam.


Di bahagian belakang masjid dibina sebuah ruang yang bersambung dengan bangunan masjid untuk penduduk belajar Fardu Ain yang diadakan dari pukul 1.30 hingga 3.30 petang setiap hari mulai hari Isnin hingga Khamis


Pondok
Saya pernah diberitahu oleh kakak saya, Khadijah bte Saleh, meninggal dalam usia 89 tahun, bahawa sebelum Perang Kedua dulu di Kg. Salor ada pondok yang termasyur, yang pelajarnya datang dari berbagai-bagai tempat yang jauh termasuk Kuala Krai.

Pondok ini didirikan oleh Tuan Guru Hj. Che Leh Salor, nama sebenarnya Mohamd Saleh bin Haji Hasan; ia dibina di atas tanah kepunyaan beliau sendiri berhampiran jalan besar, Pasir Mas - Kota Bharu sekitar tahun 1920an dan letaknya tidak jauh dari Masjid Salor  sekarang.

Penubuhan pondok ini mendapat sembutan daripada warga -Kg. Salor dan juga orang-orang dari tempat-tempat lain dari seluruh negeri Kelantan yang datang untuk menuntut ilmu.

Tuan Haji Che Leh ini pernah belajar dengan Tok Jerulong , seorang tokoh ulama terkenal di Salor. Kemudian beliau pergi ke tanah suci Mekah.

Pondok-pondok itu dibangun oleh Tuan Haji Wak Leh sendiri dengan bantuan daripada keluarganya.

Pelajar-pelajar yang baru masuk belajar tidak dikenakan apa-apa bayaran, namun begitu seperti biasalah mereka membawa buah tangan untuk guru. Justeru itu guru-guru pondok sentiasa mendapat bantuan daripada ibu bpa dan orang-orang kampung yang menghantar anak-anaknya belajar di pondok.

Haji Wak  Leh meninggal dunia pada pada 22 Disember 1941.
Tapi Pondok Hj Wak Leh itu tidak kekal, kerana di sekitar tahun 1950an ia nya ditukar menjadi sekolah tahfiz al Quran.
Kemdian Sekolah Tahfiz itupun telah dibubar, dan tapaknya telah didirikan rumah tempat tinggal keluarga  Tuan Haji Wak Leh sampai ke hari ini.

Ulama
Pada awal abad 20 telah muncul beberpa tokoh agama yang terkenal di Kampung Salor. Antara mereka ialah 

Tuan Guru Pak Nik Awang bin Awang Sungai, Tebing Sungai Serah [meninggal1946], 

Haji Abbas bin Diman, Kg. Tok Syeikh Salor, meninggal akhir tahun1983, 

Tuan Guru Lebai Deraman bin Pak Cu Mamat Salor, 

Lebai Pak Da Mat San bin Hj Ahmad, Kg, Jerulong 
Tuan Guru Haji He Leh [Wak Leh]. Nama penuh Muhammad Saleh bin Haji Hasan , meninggal pada22 Disember 1941. Beliaulah yang mendirikan pondok Salor itu.

Pak Nik Haji Hamzah bin Abdul Rahman, Gertak Lembu Salor dan 

Tok Jerulung yang merupakan salah seorang ulama yang terkenal di Kelantan.

Semua mereka yang disebut di atas itu ialah murid kepada Tok Jerulong.

Kebiasaannya orang-orang alim akan dikurniakan Allah dengan satu-satu kebolehan yang luar biasa, yang boleh dianggap kekeramatannya. Demikian juga dengan Tok Jerulong dikatakan ada mempunyai kekeramatannya yang tersendiri, iaitu beliau dapat menyelam dalam sungai selama berjam-jam lamanya untuk memasang dan menyirat bubu dan sebagainya.

Beliau kembali kerahmatullah pada 13 Mei 1939 [12 Rabiulawal 1358 Hijriah] kerana penyakit kencing manis.

Secara ringksanya menurut Ismail Che dau, Tok Jerulong dilahirkan pada tahun 1868 M bersamaan dengan 1285 Hijriah di atas tapak lama Sekolah Kebangsaan Salor [Sekolah A, kerana pada suatu ketika Sekolah Kebangsaan Salor, mempunyai tiga buah bangunan, A, B dan C. 

Nama sebenarnya Muhammad Said bin Muhammad bin  Abu berasal dari Bugis. Beliau digelar Tok Jerluong kerana dilahir dan tinggal di Jerulong.

Untuk sedikit penjelasan saya petik pendapat Ismail Che Daud yang berbunyi, “Kuliah Tuan Guru Haji Said bermula dari tahun kedua sepulangnya dari Mekah.[ Beliau pulang ke Kelantaan sekitar tahun 1912 M /1330 Hijriah]. Tahap  pertama ialah dari tahun 1914 hingga lebih kurang ke tahun 1920 di Kampung Jerulong.

“Lapan tahun berikutnya di Pengkalan Kubor, Kota Bharu [bukan Pengkalan Kubor Tumpat], iaitu di kediaman mentuanya.

Selepas itu kembali menetap di Salor.[ Sebenarnya tempoh beiau betul-betul mengajar  ialah 15 tahun sahaja kerana gangguan pengelihatannya. Ringkasnya, kuliah tahun-tahun 1930an terpaksa dibantu oleh seorang kepala telaah, sementara Tuan Guru Hj. Said selaku juru tegur sahaja.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Tok Jerulong  bacalah rencana TOK JERULONG Oleh Ismail Che Daud dalam buku Toko-Toko Uama’ Semenajung Melayu [1] yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tidak banyak penduduk-penduduk Kg. Salor, terutama golongan  yang terkemudian mengetahui  tentang Ulama-ulama dan Tok Jerulong, kecuali mungkin di kalangan penduduk Jerulong sendiri. Kita tidak pernah mendengar nama Tok Jerulong disebut oleh generasi-generasi tua tentangnya.

Saya sendiri tidak mengetahui adanya ulama-ulama di Kampung saya, Kampung Salor, walaupun saban hari saya melalui  Kampung Jerulong untuk belajar di Sekolah Melayu Salor, malah pernah juga masuk ke dalam kampungnya, malah keluarga saya pun ramai juga menetap di kampung tersebut. Saya hanya mendengar nama Tok Jerulong lewat kemudiannya.

Saya percaya masih ramai warga Salor yang seangkatan dengan saya, yang tidak pernah mengetahui kisah Tok Jerulong atau mendengar namanaya kerana ia tidak pernah disebut oleh generasi yang terdulu.
Saya merasa amat bernasib baik kerana sahabat saya Ismail Che Daud pernah membuat kajian mengenai Tok Jerulong dan menulis sebuah biograpi pendek mengenai ulama yang berjasa itu. 

Alangkah baiknya, jika turunannya, cucu dan cicitnya andainya masih ada membuat kajian dan menulis tentang Tok Jerulong supaya menjadi lebih menarik dan lengkap untuk hidangan masyarakat, terutama penduduk-penduduk Salor yang tidak pernah mendengar namanya.



                                    Dewan Tok Jerulong
Dewan Tok Jerulong
Walau bagaimana pun ada sebuah dewan orang ramai di Kampung Salor diberi nama  Tok Jerulong semepena dengan namanya dan sebagai ingataan kepada jasa-jasanya yang besar itu. 

Dewan Tok Jerulong ini dibina di atas tapak Sekolah Melayu Salor [A] pada tahun 2002 setelah bangunan itu dirobohkan bila bangunan sekoah yang baru siap didirikan. Di sekitar kawasan persekolahan inilah Tok Jerulong dilahirkan.

Justeru mengatakan dewan itu dinamakan Dewan Tok Jerulong kerana mengambil sempena Kampung Jerulong tidaklah tepat. 

Sekolah Tahfiz
Penduduk Kampung Salor, terutama generasi tuanya amatlah memandang penting kepada pendidikan agama. Maka pada tahun 1999 mereka telah membina sebuah Sekolah Tahfiz baru berhampiran dengan Kedai Salor.

Sekolah Tahfiz itu dibina di Kg. Sagu oleh Encik Abdul Hamid bekas seorang pegawai Kerajaan Kelantan dengan sokongan dan kerjasama orang ramai. 

Sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dengan Allahyarham Cik Abdul Hamid sebagai Penegrusi dan Cik Gu Abdulrahman Awang Besar sebagai Setiausahanya. Sebuah asrama baru telah dibina untuk menempatkan para pelajar, sementara madraah yang sedia ada di situ digunakan untuk tempat solat dan juga belajar yang diadakan di sebelah pagi dan malam.

Pelajar-pelajarmya bukan sahaja penduduk Negeri Kelantan, tapi ada yang datang dari Sabah dan Sarawak untuk belajar tahfiz.

Kita harap Sekolah Tahfiz ini terus hidup dan berkembang subur di sepanjang masa mengatasi badai dan gelumbang yang mendatang.






WAHAI PUTERA PUTERI SALOR

Wahai Putera Puteri Salor

Angkatlah bendera perjuangan

Mara ke hadapan untuk membangun tanah pusaka

Engkau telah larut diulit buaian

Bangkitlah

Singsing lengan dan kaki

Menyusun barisan perjuangan

Untuk bumi tercinta.

Wahai Putera Puteri Salor

Di mana bumi kau pijak

Ingatlah tanah airmu

Buminya pernah kau injak

Airnya pernah kau teguk

Udaranya pernah kau sedut.

Wahai Putera Puteri Salor

Di mana para jutawan

Di mana para karyawan

Di mana para cendakiawan

Di mana para usahawan

Di mana para dermawan

Ayuh segeralah bangkit

Pikul bendera perjuangan

Ayah dan bonda sentiasa menunggu kepulanganmu

Jangan jadi anak derhaka

Membiarkan ayah bonda  mati kerinduan

Wahai Putera Puteri Salor

Bangkitlah

Susun barisan perjuangan

Kembali ke tanah pusaka

Yang sentiasa merindukanmu.

Ayunkan langkah

Bismillahirahmanirahim

“Aku pulang sekarang”. 

"Aku pulang sekarang!".



 Sekian.



Kg. Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
30 Ogos, 2019
/29 Zulhijjah 1440.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP