IBUKU

>> Saturday, August 10, 2019




IBUKU






Ibu yang kukasihi, aku senantiasa mengingatimu walaupun masa telah berlalu, Ibu yang menjagaku dengan penuh kasih sayang sebelum lagi aku dilahirkan ke dunia, dalam kandungan rahimnya.


Aku dijaga dengan penuh kasih sayang, dengan menanggung derita yang berpanjangan, penuh kesusahan yang membelit jasmani dan ruhaninya menunggu kelahiranku.


Sabarnya ibuku menangung penderitaan dan kesusahan yang panjang sehingga tiba masanya aku dilahirkan dengan air mata, darah dan nyawanya menjadi tagihan.



Setiap hari dan malam masa bayiku dibelainya aku dengan penuh kasih sayang.


Tidak pernah kurasa jari-jemarinya yang lembut itu memanaskan kulitku, dan tidak pernah kudengar dari mulutnya terpancar  kata-kata yang menyakitkan hatiku walaupun aku berbuat salah dan silap terhadapnya. Ditegurnya aku dengan kelembutan hati seorang ibu yang ingin melihat anaknya sentiasa gembira dan berjaya dalam hidupnya.






Aku merasa amat sedih dan terharu kerana pernah sekali sepanjang hayatku meluahkan kata-kata yang agak meninggi suaranya kerana membalas tegurannya, tapi beliau hanya membisu tanpa kata melainkan membalasnya dengan  senyum terukir dari bibirnya dengan penuh kesabaran. Alhamdulillah selepas itu perkara seumpamanya tidak lagi kuulangi.



Aku harap ibu telah memamaafkan aku, anakmu ini yang tidak sopan dan berbudi bahasa dengan ibunya yang amat menyayanginya. Menginggat peristiwa sejenak ini yang tercetus di larut senja di laman rumah tua menyebabkan mataku terasa  basah dan berkaca


Ketika aku sakit, ibu tidak dapat melelapakan mata hingga aku terlena, tangisanku menyebabkan air matanya gugur  membasihi pipinya, dijaganya aku dengan penuh kasih dan sayang. 


Tapi ketika ibu jatuh sakit aku tidak dapat melayan ibu sebagaimana ibu melayanku, kerana terikat dengan waktu kerja yang menghadang.  Kuharap semoga ibu memahami dan telah memaafkan daku.





Bila ibu menderita kesakitan, sepatutnya akulah yang menanggung kesakitan itu sebagaimana ibu menanggung kesakitan bila aku sakit.


Ketika ibu sakit, akulah sepatutnya menggendungnya di atas belakangku, sebagaimana ibu mendukung dan membawa aku bersamanya ke mana dia pergi.


Ketika aku pulang ke rumah dari berpergian, ibu menyambutku dengan ramah dan penuh keriangan dan kemesraan yang terpancar pada wajahnya, dan ketika aku akan berangkat berpergian, ibu akan melepaskan aku dengan doa dan restu walaupun dapat kurasakan degup jantungnya berdebar kencang untuk melepaskan pemergiankku.


Ketika orang-orang menjengkil, dan membenciku, ibu tetap menjadi pembelaku dengan segala kemampuannya.


Demikianlah sayangnya ibu pada diriku, anak yang tidak mampu membalas susu yang diberikannya kepadaku dan air matanya yang tumpah keranaku.


Ya Allah ampuni hamba Mu ini dan janganlah lemparkan daku dalam kalangan mereka yang durhaka kepada kedua ibu bapanya yang tidak akan mencium bau Syurga.


Ibu telah pergi dalam usia tua, yang perlu lebih banyak belaian dan jagaan, serta kasih sayang yang tidak dapatku korbankan kepadanya kerana kesempitan masa yang menghadang.


Selepas ibu meninggal, setiap minggu ku akan sampai ke rumah penginapannya, tapi akhirnya aku tidak mampu lagi untuk berbuat demikian.


Di situ jugalah terletak pusara menantu ibu, anak-anak ibu yang menyusul selepas pemergian ibu dan ramai saudara-mara ibu yang pemergiannya telah mendului ibu. 


Sekarang aku telah tua, ibu pun tiada lagi di sisi untuk mendengar luahan dan rintihan hatiku seperti biasa bila kami berdua.


Walaupun ibu telah lama pergi, tapi ibu sentiasa berada di lubuk hatiku menggamit kerinduan yang memanjang terhadap kasih sayangnya ibu terhadapku di sepanjang hayatnya.


Apa yang dapat kupersembahkan untuk ibu yang telah berpergian, hanya ke hadarat Allah aku memohon keampunan Nya untuk ibu yang tersayang. Semoga roh ibu termasuk dalam kalangan hamba-hamba Nya yang beriman dan disayangi yang dijanjikan Syurga abadi untuk mereka.


Cinta Ibu membawa ke syurga, sedangkan cinta manusia dibawa kemana arahnya jua.






Rasulullah saw pernah berdabda
“Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya,[ibu] kerana sesungguhnya syurga itu terletak di bawah kedua kakinya”.


Demikianlah sabda Rasulullah saw kepada seorang sahabat yang datang menemui baginda untuk bertanya tentang jihad yang ingin disertainya. Setelah diberitahu dia masih mempunyai ibu maka bersabdalah Rasulullah saw, “Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya, kerana sesunggunya syurga itu ada di bawah kedua kakinya”.
  • “Fainnaljannata tahta rijliha”.


Wassalam. Sekian.

Kg. Parit. Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
10 Ogos 2019
/9 Zulhijjah 1440

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP