JUS ALPUKAT KOSONG PAK
>> Sunday, August 25, 2019
Dari Tuban:
Saya pernah memijak
kaki di bumi Tuban beberapa tahun yang lalu. Justeru kami hanya tinggal sekejap
pada hari itu, tidak sempat kami menikmati Tuban sepenuh hati, kerana kami
terus ke Lamongan dan bermalam di sebuah resort di Lamongan selama beberapa
hari.
Dalam hati saya
memang ada hasrat untuk pergi lagi ke Tuban kalau diizinkan Allah. Saya
mempunyai ramai rakan kenalan di Tuban yang sentiasa menunggu kunjungan kami.
Baru-baru ini
beberapa orang rakan saya berkunjung ke Tuban dan beraidiladha di sana selama
beberapa hari. Salah seorang dari mereka adalah anak saya, Arham Zaini. Saya
memang berhajat untuk pergi, tapi ia berada di luar daya saya untuk berbuat
demkian.
Anak saya itu
membawa balik beberapa keping foto Tuban
dan sedikit informasi tentangnya.
Sambutan
Aidiladha amatlah meriahnya di Tuban, meriah sekali. Laungan Takbir akan bergema
di seluruh bumi Tuban mulai petang hari menjelang Aidiladha dan berterusan
hingga sampai ke hari raya keesokannya. Insyaallah saya akan ceritakan perkara
yang menarik ini dalam tulisan saya yang akan datang. Shabat saya Pak Tom
Badawi dan Pak Wandi Muallimin berjanji akan membantu saya dalam perkara ini.
Kali ini saya
hanya ingin menceritkan sebuah kisah lucu yang melibatkan anak saya yang
merayakan Aidiladha di Tuban sebagaimana diceritakan oleh beliau sendiri.
Jus Alpukat
Kosong
Pada suatu
ketika dia dan seorang kawannya masuk ke sebuah resturan untuk menikmati
makanan dan minuman. Setelah membuat tempahan pembantu resturan itu seorang
wanita bertanya, “Minumannya apa
pak?”.
Anak saya menjawab,
“Jus alpukat”. [avocado].
Pembantu
resturan membalas, “Jus alpukat kosong”.
Anak saya,
menjawab ”OKlah”.
Bila pelayan ini
datang lagi membawa makanan yang dipesan, dia bertanya lagi, “Minumnya apa
pak?”.
Anak saya
menjawab sama juga dia ingin minum jus alpukat.
Tapi wanita itu
memberi jawapan yang sama juga, “Alpukat kosong pak”.
“Oklah.Kosong
pun tak apa”. Jawab anak saya.
Muka wanita itu
kelihatan berkerut, dan berlalu pergi.
Tidak lama
kemudian wanita itu datang lagi dan bertanya tentang minuman, anak saya memberi
jawapan yang sama dan wanita itupun memberi jawapan yang sama juga “alpukat kosong
pak”.
Ini membuat anak
saya termenung seketika, terlintas dalam benaknya mungkin perkataan kosong itu
lain ertinya daripada bahasa Melayu Malaysia yang bermaksud minuman yang tidak
dicampur dengan susu atau gula, iaitu minuman tawar.
Pada waktu itu
tiba-tiba datang seorang rakan dari Tuban bertanya tentang masalah yang mereka
hadapi, dan bila diberitahu dia pun ketawa dan menjelaskan bahawa maksud kosong
itu ertinya jus alpukat sudah habis
dijual.
Ini membuat
semua mereka ketawa berderai termasuk pembantu resturan itu. Lalu anak saya
menukar minuman yang lain.
Asal Tuban
Saya ingin
cerita secara ringkas asal usul nama Tuban itu. Ada beberapa versi tentang asal
usul nama Tuban. Salah satu daripadanya ialah membawa pengertian bahawa perkataan
Tuban itu bererti “Batu yang jatuh dari langit”.
Mengikut
ceritanya, dalam zaman pemerintahan Majapahit, ada sepasang burung terbang membawa
batu pusaka dari Majapahit ke Demak, tapi batu itu terjatuh di Kota Tuban. Orang
Belanda memangilnya “Toeban”. Batu dari langit itu dikatakan masih ada lagi
tersimpan dengan baik di Muzium Kembang Putih di Tuban.
Di samping itu
patut juga disebut bahawa di Negeri Kelantan pun ada sebuah tempat yang bernama Tok
Uban, iaitu hampir sama dengan nama Tuban,di Indonesia itu. Bagaimana ia
dinamakan Tok Uban tidaklah dapat dipastikan dengan
konkrit hingga ke hari ini kerana tidak ada kajian yang mendalam dan
menyeluruh pernah dijalankan.
Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu,
Kelantan Darulnaim.
25 Ogos 2019
/24 Zulhijjah 1440
25 Ogos 2019
/24 Zulhijjah 1440
0 comments:
Post a Comment