Seekor Burung, Seekor Manusia
>> Friday, December 31, 2010
Seekor Burung, Dan Seekor Manusia
SEMUA makhluk bernyawa mengetahui cara-cara untuk survival bangsa mereka. Demikian juga dengan unggas yang dipanggil burung yang begitu banyak jenisnya, serta boleh terbang dan melayang-layang di udara.
Allah S.W.T merojok kepada burung untuk membuka minda manusia supaya berfikir tentang kebesaran dan keagonganNya. Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, maksudnya:
“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang di angkasa bebas. Tiadaa siapa yang menahannya selain Allah”.An-Nahl:79.
Haiwan Yang Pengasih
Burung adalah sejenis haiwan yang pengasih dan penyayang. Burung amat mengasihini keturunannya. Kerana itu selepas bertelur, burung-burung itu menjaga telur-telur mereka dengan sebaik-baiknya supaya boleh melahirkan anak burung untuk mereka.
Justeru itu, ibu burung itu akan mempastikan telurnya sentiasa berada dalam keadaan hangat dengan jalan duduk di atasnya. Teluru-telur itu akan diram oleh burung-burung betina, atau bergilir-gilir antara burung betina dengan burung jantan, ataupun diram oleh burung betina sahaja sampai telur itu menetas.
Telur yang hangat dan selamat inilah yang akan melahirkan embrio yang sihat yang akan melahirkan seekor anak burung. Tanpa kehangatan telur itu tidak akan menetas, tapi menjadi tembelar dan busuk.
Kebiasaannya masa yang diambil oleh kebanyakan burung untuk mengeram ialah selama dua minggu. Kemudian barulah telur itu menetaskan anak burung. Tapi ada juga bangsa burung yang mengambil masa yang jauh lebih lama untuk mengeram telur, iaitu selama tiga bulan.
Walau berapa lama pun masa yang diambil untuk mengeram, burung itu tetap sabar menunggu kelahiran bayi yang akan melanjutkan turunannya. Tapi manusia hari ini tidak begitu sabar menunggu masa kelahiran, kerana itu jika terlewat sedikit sahaja dari tarikh kelahiran daripada perhitungan masa yang mereka kira-kirakan, maka sang ibu yang mengandung itu akan “dipisah” dengan berbagai-bagai cara supaya ia segera melahirkan anak pada waktu yang mereka sendiri andaikan itu atas alasan keselamatan.
Kita tentu melihat telur burung seperti juga telur ayam mempunyai kulit yang membungkus kandungan cairan di dalamnya yang berwarna putih dan kuning. Telur yang putih membungkus telur yang kuning. Sebahagian daripada cairan itu akan berguna untuk membentuk menjadi seekor burung, sementara sebahagian lagi untuk dijadikan makanan dalam masa telur itu diram oleh ibunya hingga ia menetas.
Bagaimana cara cairan putih dan kuning masuk ke dalam kulit pembungkusnya, dan bagaimana pula telur putih berada dalam keadaan berasingan tanpa bercampur dengan telur merah? Itulah adalah rahsia penciptaan Allah S.W.T.
Bila tiba masa untuk menetas, bayi burung yang berada dalam sarung atau kulitnya itu akan menebuk kulit telur itu untuk membebaskan dirinya ke alam maya. Ataupun sebaliknya ibu burung yang sedang mengram telur itu akan mematuk-matuk kulit telur yang diramnya supaya pecah untuk mengeluarkan anak burung dari dalamnya bila dia menyedari masa telur itu menetas telah tiba. Maka dengan itu lahirlah seekor bayi burung yang masih kecil.
Ibu burung itu hanya meninggalkan telur yang diramnya itu bila menyedari telur-telur telah buruk, busuk atau menjadi tembelar tidak dapat ditetaskan lagi. Ini berbeza dengan sesetengah manusia, benih-benih manusia yang masih baik dalam kandungannya dibuang dengan sengaja bila mereka tidak mengingininya walaupun terpaksa menghadapi risiko yang berat, di mana nyawa jadi taruhannya.
Untuk keselamatan bayinya itu, maka si ibu burung akan memindahkan kulit-kulit telur yang pecah itu jauh ke tempat lain supaya musuh-musuh atau pemangsa-pemangsanya tidak menyedari di situ ada anak burung yang baru menetas untuk dijadikan habuan.
Demikianlah kita lihat bagaimana sang burung sayangkan anaknya yang masih kecil itu. Dengan kelahiran itu tugas mereka bertambah berat untuk menjaga keselamatan bayi mereka daripada ancaman musuh-musuh yang sentiasa mengintip untuk memangsakan mereka.
Antara pemangsa mereka ialah ular-ular, burung-burung gagak dan helang, dan tidak jarang juga manusia yang suka mencuri anak-anak burung untuk dijadikan mainan dan hiburan mereka, tanpa memikirkan seksanya si ibu burung berpisah daripada bayi yang dilahirkannya itu.
Kedua-dua ibu bapa burung itu akan menjaga untuk mempastikan anak kecil mereka sentiasa berada dalam selamat. Untuk tujuan tersebut burung betina dan burung jantan akan bergilir-gilir memberi makan dan menjaga keselamtan anak mereka. Mereka tidak keberatan untuk terbang beratus-ratus kali dalam sehari pun untuk mencari makanan kepada anak kecil mereka itu.
Sebelum makanan itu disuap ke mulut bayi burung, ibu burung itu terlebih dahulu melecekkan atau mencernakan makanan itu dalam mulutnya kemudian barulah disuapkan kepada anaknya yang masih kecil itu. Ia tidak akan menyuap makanan-makanan keras berupa biji-bijian kepada anaknya yang masih bayi itu, kerana mereka tidak dapat memamahnya tanpa gigi seperti bayi manusia juga.
Demikianlah setiap hari ibu bapa burung terpaksa keluar ke sana ke mari untuk mencari makanan bayinya itu yang memerlukan makanan seberat setengah daripada berat badannya.
Ibu bapa burung itu terpaksa memberi perlindungan yang lebih ketat kepada anak-anak burung yang baru lahir itu, kerana sebagai bayi burung itu masih belum mampu untuk menjaga keselamatan dirinya sendiri, jkerana bulu-bulunya masih belum tumbuh pada badannya dan matanya pun masih belum boleh dibukakan untuk melihat sesuatu di persekitarannya.
Dalam menjaga keselamatan bayinya itu, ibu burung sanggup mengorbankan dirinya sendiri. Justeru itu bila ada musuh yang menghampiri sarangnya, sang burung akan berjuang bermati-matian untuk menyelamatkan anaknya yang masih kecil itu, dan dia akan berusaha mengalihkan perhatian pemangsa dengan menjauhkan dirinya daripada sarang di mana anaknya berada itu, maka dengan itu pemangsa mungkin akan mengejarnya dan melupakan anak burung yang berada dalam sarang itu.
Tugas ibu burung menjaga anaknya itu hanya dikira baru selesai setelah burung-burung itu ditumbuhi bulu dalam masa beberapa minggu dan belajar terbang untuk menguruskan kepentingannya sendiri. Maka dengan itu bermulalah putaran hidup baru untuk anak burung itu memebentuk keluarga sendiri dan mencari pasangan yang sesuai untuk berkelamin bagi melanjutkan turunan mereka.
Demikianlah generasi demi generasi itu burung-burung itu berkembang di bawah naungan kasih sayang kedua ibu bapanya yang sentiasa menjaga dan memelihara keperluan dan keselamatan ana-anaknya hingga dapat berdikari.
Burung-burung melakukan semua itu tanpa mempunyai sebarang kepentingan ataupun menaruh harapan untuk mendapat balasan daripada anak-anaknya itu sebagaimana manusia mengharapkan sesuatu daripada anak-anak mereka, seperti dapat melanjutkan turunan mereka, membawa tuah, anugerah ataupun rezeki kepada mereka di kemudian hari. Demikianlah!
Seekor Manusia
Tapi hari ini manusia yang dikurniakan Allah dengan akal dan fikiran tidak lagi menaruh kasih sayang terhadap anak-anak mereka sendiri, kerana itu anak-anak itu dibuang dan dilempar di merata-rata tempat sekehendak hati mereka tanpa menaruh sebarang kasihan belas terhadap anak yang masih kecil itu.
Malah hari ini kes pembuangan bayi itu kian meningkat dari masa ke masa di kalangan umat manusia. Bayi-bayi itu dilempar di tepi-tepi jalan, dicampak ke dalam tong-tong sampah, diletak ditangga masjid dan surau, ditinggalkan di hospital-hospital, dibiarkan di tepi-tepi longkang, di letak di hadapan rumah orang, di bawah jambatan, disumbat di dalam peti sejuk, dalam mesin basuh, dalam saluran najis, dicampak ke dalam sungai, tali air dan sebagainya.
Bayi-bayi itu dibuang kerana merupakan hasil daripada perzinaan yang dilakukan “ibu bapanya” yang boleh memalukan ibu dan keluarganya jika tidak dibuang. Anak-anak zina yang tidak berdosa ini menjadi mangsa daripada nafsu serakah “ibu dan bapanya” yang melakukan hubungan terlarang tanpa perkahwinan yang sah, akibat pergaulan bebas.
Ataupun bayi itu merupakan anak luar nikah hasil perogolan yang dilakukan oleh keluarga yang terdekat yang tidak direpotkan kepada pehak berkuasa, kerana takut menimbulkan malu kepada keluarga ataupun untuk memperlindungi penjenayah daripada diseret ke mka pengadilan, kerana perogol itu mungkin terdiri daripada ayah, ayah tiri, bapa saudar, adik beradik dan datok sendiri yang akan mencotengkan arang ke muka keluarga andainya terdedah kepada umum. Justeru itu perbuatan jahat itu dipendamkan begitu sahaja sehingga bayi itu dilahirkan dan dibuang di mana-mana tempat untuk menutup aib keluarga.
Kebanyakan mereka yang terlibat dalam kes pembuangan bayi ini adalah terdiri daripada remaja-remaja Melayu yang kehilangan pedoman yang terpengaruh dengan berbagai-bagai gaya hdup yang merosakkan yang begitu banyak terdedah sejak kebelakangan ini.
Mengikut kajian pula sebahagian besar daripada lelaki yang bertanggungjaab membuntingkan wanita hingga mengandung dan melahirkan anak haram itu adalah terdiri dari tupai-tupai tua yang pandai memujuk dan bijak menahan jerat di pergentingan yang menyebabkan gadis-gadis mentah yang tidak berpegalaman atau berada dalam kesempitan terperangkap dalam perzinaan.
Dan bila kelapa telah ditebuk tupai, dan akhirnya menjadi rosak dan buruk serta busuk menunggu masa untuk gugur ke bumi, maka sang tupai, apa lagi terus meninggalkan buah kelapa itu untuk mencari buah kelapa baru yang masih hijau dan sedap dimakan.
Pembuangan bayi ini merupakan jenayah dari segi undang-udang negara dan pelakunya boleh dihukum jika didapati bersalah oleh mahkamah.
“Mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, bapa atau ibu kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun yang mendedah atau meningalkan kanak-kanak dengan niat membuangnya, boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”.
Mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, sesiapa sengaja menyembunyi kelahiran bayi dengan cara mengkebumikan atau membuang mayat, samada bayi itu mati sebelum, selepas atau ketika dilahirkan, boleh dikenakan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali”.
Pembuangan bayi berlaku dari masa ke masa walaupun tidak ada laporan dalam medda massa. Tanpa laporan bukanlah bererti tidak ada peristiwa yang berlaku. Janganlah kita tertipu. Air yang tenang jangan disangka ak ada buaya.
Kebanyakan bayi buangan yang ditemui itu telah pun mati dan berada dalam keadaan yang amat mengerikan, seperti telah busuk, berulat, dihurung lalat dan semut, menjadi mangsa makanan anjing-anjing yang kelaparan ataupun dileneyek oleh kenderaan yang kebetulan lalu di kawasan itu.
Tapi mana-mana bayi buangan yang bernasib baik, ketika ditemui berada dalam keadaan masih hidup, maka bayi itu akan diberikan perlindungan, khususnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengambil tanggugjawab memikul beban-beban yang ditinggalkan itu.
Perbuatan membuang bayi hari ini jauh lebih kejam dan tidak beretikal daripada amalan orang-orang Arab zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan itu. Tapi yang menjadi mangsa pembunuhan hanya anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup kerana ditakuti akan mencoteng arang ke muka keluarga dan menyebakan mereka kesempitan rezeki. Tapi hari ini, bayi-bayi yang menjadi mangsa buangan itu tidak kira lelaki ataupun perempuan, semuanya dibuang atau dibunuh terlebih dahulu sebelum dibuang di merata-rata tempat.
Sesiapa sahaja yang sanggup membuang bayi, bererti mereka telah membuang ciri-ciri kemanusiaan yang ada pada diri mereka- mereka bukan lagi manusia, dan tidak juga binatang, kerana haiwan pun sayangkan anak mereka, sebagaimana burung yang kita ceritakan di atas. Dan kita juga tidak pernah mendengar kisah syaitan membunuh anaknya sendiri, yang ada ialah syaitan menghasut manusia membunuh anak, membuang anak dan mendorong mereka melakukan berbagai-bagai kerja maksiat lagi.
Kes membuang bayi ini mempunyai pertalian yang erat dengan perzinaan, kerana anak-anak zina yang dibuang itu merupakan anak-anak yang tidak diingini yang boleh menyusahkan diri dan seluruh keluarga. Ini merupakan satu topik yang menarik untuk dibincangkan secara tersendiri– kenapa banyak berlaku perzinaan?
Satu-satunya jalan untuk mengelak pembuangan bayi ialah dengan jalan mengelak perzinaan, dan perzinaan dapat dielakkan dengan menjauhkan lelaki dan perempuan yang bukan suami isteri daripada berdua-duaan yang boleh menimbulkan maksiat, atau tegasnya mendorongkan mereka melakukan perzinaan.
Demikian juga pertemuan-pertemuan di alam siber hari ini, melaui facebook, chi-chat yang yang panjang, berlarut-larutan sampai ke tengah malam buta antara dua orang kekasih yang saling rindu merindukan, rayu merayukan, juga boleh mengundang padah yang akan mendorong mereka ke arah pertemuan berdua-duaan yang boleh membawa mereka kepada maksiat
Anak perlu dikasihi dan disayangi
Bginda Rasulullah saw.besabda, maksudya, “Tidak bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan syaitan yang ketiga antara mereka”.
Allah berfirman, maksudnya:
“Seseorang itu dilarang menghampiri perbuatan yang boleh membawa kepada zina, kerana zina itu perbuatan keji dan paling jahat”. Al-Isra:32.
Dalam Surah An-Nur, ayat 30 Allah berfirman, maksudnya:”Katakanlah [wahai Muhammad] kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka”.
xxxxx
Sehari Sekapur Sirih:
-Seekor burung dalam gengaman lebih baik daripada dua ekor dalam belukar.
-Kita Lebih banyak mendapat musuh daripada apa yang kita katakan daripada mendapat sahabat kerana apa yang kita lakukan”.-Collin.
-Fikiran seperti payung terjun hanya berguna kalau dibukakan.-Dewar.
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment