Benarkah Bertudung Merosakkan Rambut Di kepala?
>> Monday, December 13, 2010
Benarkah Bertudung Merosakkan Rambut Di Kepala?
Raja Permaisuri Agong lagi bertudung [gambar sebelah] kenapa anda tidak?
Benarkah bertudung boleh merosakkan rambut anda?
Benarkah bertudung menyebabkan rambut anda berbau hapak?
Benarkah bertudung boleh menyebabkan kepala anda gatal?
Benarkah bertudung boleh menyebabkan rambut anda berminyak?
Benarkah bertudung boleh menyebabkan rambut anda gugur?
Rambut dikatakan berbau hapak kerana sepanjang hari rambut berbungkus dan tidak didedahkan kepada udara dan cahaya mata hari. Benarkah?
Sebuah syarikat pengeluar sejenis penyegar rambut menerusi iklannya yang disiarkan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini meramalkan bahawa wanita-wanita Malaysia yang bertudung mungkin menghadapi problem seperti itu.
Iklan tersebut mendakwa lebih daripada 4 juta wanita Malaysia yang bertudung mungkin menghadapi berbagai-bagai problem rambut akibat bertudung.
Sebenarnya sejak kebeakangan ini kecenderungan wanita Malaysia yang beragama Islam bertudung amatlah membanggakan.
Ia mungkin berpunca daripada meningkatnya kesedaran menutup aurat di kalangan wanita-wanita Islam, ataupun mungkin juga untuk dijadikan sebagai satu bentuk fesyen penutup kepala.
Golongan kedua itu memakai berbagai-bagai jenis tudung yang menawan, sebenarnya bukan untuk menutup aurat tapi hanya sebagai fesyen sahaja, sebagaimana fesyen-fesyen pakaian yang lain, kerana itu mereka tidak peduli, walau auratnya terdedah di sana, terkoyak di sini, asalkan atas kepala tersangkut sehelai tudung, malah kadang-kadang rambut di kepala pun tak habis ditudungnya, terjuis di depan, terjuntai di belakang atau menonjol keluar di bahagian tengah tudung.
Kita merasa ragu-ragu dengan dakwaan mengaitkan problem rambut dengan pemakaian tudung kepala seperti itu yang dibuat secara andaian dan bukan berdasarkan kajian, takut-takut ia boleh mencetuskan keraguan di kalangan mereka yang ingin berjinak-jinak dengan kain tudung untuk menutup aurat?
Kita bimbang kalau-kalau mereka berfikir, buat apa kita bertudung kalau bertudung menyusahkan diri?
Kalau mereka berfikir secara positif tidaklah mengapa,- kita tidak perlu bimbang untuk bertudung, kerana kalau kita menghadapi problem rambut kerana tudung, kita dapat menyelesaikannya dengan mudah?
Dalam zaman ini, di mana terdapat banyak contoh tauladan yang negatif di kalangan umat Islam sendiri lebih mempengaruhi orang awam, terutama di kalangan muda-mudi daripada contoh tauladan yang positif walaupun ianya sesuai dengan ajaran Islam?
Dalam hal ini daripada begitu ramai wanita Malaysia yang bertudung, berapa ramai yang merungut kepala mereka telah menjadi hapak kerana bertudung?
Daripada begitu ramai wanita Islam di seluruh dunia yang memakai tudung berapa ramai yang merungut rambut mereka gugur akibat memakai tudung?
Hari ini seluruh wanita beriman yang menyedari kepentingan menutup aurat telah bertudung, baik di mana mereka berada.
Sebenarnya ada berbagai-bagai faktor yang boleh menyebabkan rambut bermasaalah, terutama kerana kurang penjagaan yang mencukupi, seperti tidak mencucui kepala, tidak mengering rambut selepas mandi, tidak memakai minyak rambut dan syampo pencucui rambut yang sesuai, tidak memakai makanan-makanan berzat yang mampu menyuburkan rambut, rambut dibiarkan berkelumumur, rambut tidak disikat dengan betul dan sebagainya lagi.
Wahai wanita-wanita Islam janganlah mudah terpedaya dengan pendapat-pendapat yang negatif yang boleh menjauhkan anda dari agama anda, jangan merasa bimbang untuk bertudung, kerana menutup aurat itu wajib, bukan sahaja kepada wanita, tapi juga kepada lelaki dan yang berbeza hanya batas-batas aurat anda keduanya sahaja.
Ingatlah yang dikatakan aurat wanita itu ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua tapak tangan mereka.
Justeru wanita Islam hendaklah konstan memakai tudung. Jangan pakai “cerlang-cerlup”, sekejap pakai, sekejap buang; jangan hanya bila rasa sesuai pakai, dan bila rasa tak sesuai ditinggalkan, kerana bertudung itu menutup aurat dan menutup aurat itu sebahagian daripada perintah agama kepada umat Islam.
Jangan jadikan wanita-wanita yang tidak bertudung sebagai ikon, lalu ikut mereka membogelkan kepala di khalayak ramai, tidak bertudung. Jangan kerana mereka terjun sungai, kita pun ikut terjun sungai, nanti mereka tenggelam, kita pun ikut lemas.
Jangan ikut jadi bodoh dan bebal, kerana sudah terang dan nyata antara yang halal dan yang haram, yang hak dan yang batil.
Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, maksudnya:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat mereka [daripada memandang yang haram], dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatakan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak dairpada saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”. An-Nur:31.
Ayat suci tersebut antara lain mengingatkan wanita yang beriman supaya menjaga pandangan mata mereka, memelihara kemaluan mereka, serta melarangkan mereka memperaga-ragakan perhiasan mereka kecuali yang nyata, seperti tangan dan muka, serta diperintah pula memanjangkan selendang yang sedia ada di kepala itu hingga menutupi dada supaya terlindung lubang baju yang menampakkan sebahagian dari dada mereka yang boleh menggoda lelaki yang liar pandangannya.
Allahyarhamah isteri saya [Asiah Yaacob-semoga Allah limpahi rahmat ke atasNya] pada suatu masa mendapat kenalan baru di sebuah NGO. Pada masa itu sebahagian daripada mereka tidak memakai tudung kepala. Beberapa orang daripada mereka memperli isteri saya kerana memakai tudung, dan tanpa usul periksa mengecam suaminya kerana memaksa beliau bertudung.
“Tak patutlah suami awak”, antara lain kata mereka, “dia paksa awak memakai tudung. Dia tu lebai sangatkah? Pakai tudung ni panaslah, rimaslah, tak selesalah, sebab itu kita orang tak pakai.......”.
Isteri saya katanya tidak menjawab apa-apa selain daripada berkata, “ta apalah”, sambil tersenyum. Nasib baiknya dia tidak terpengaruh dengan kata-kata mereka walaupun saban hari diperli, dan terus juga bertudung sampai ke akhir hayatnya.
Dan akhirnya semua kawan-kawan yang mencemuhnya dahulu kerana bertudung, juga turut menyarung tudung di kepala mereka sampai ke hari ini. Alhamdulillah.
Seorang kawan saya menceritakan pengalamannya bila meminta isterinya memakai tudung. Untuk beberapa hari isterinya terus mengomel tidak selesa bertudung, katanya membuat dia panas dan rimas.
Maka pada suatu hari menjawab sang suami kawan saya itu, “Kalau begitu senang sahaja. Kau pilih salah satu, nak rasa panas di duniakah atau nak rasa panas di neraka?”.
Isterinya tidak menjawab, dan sejak hari itu katanya isterinya itu terus bertudung hingga ke hari ini tanpa mengomel lagi. Dan katanya isterinya itu kelihatan lebih cantik ketika bertudung daripada ketika membogelkan kepala.
Lagipun hari ini, tudung itu ada berbagai-bagai bentuk dan fesyen dan berwarna-warni dengan berbagai-bagai cara pemakaiannya.
Dan tidak pernah pula saya mendengar ada wanita yang dimasukkan ke hospital kerana bertudung kepala.
Tidak pula pernah saya dengar ada wanita yang dimasukkan ke hospital kerana kepalanya terbakar akibat memakai tudung.
Sesungguhnya seseorang wanita kelihatan lebih cantik, manis dan lebih anggun ketika memakai tudung, dan sesugguhnya keseronakan melihat wanita tidak bertudung itu adalah di mata nafsu.
Tidakkah anda sedari, buah-buahan yang berkulit itu lebih menjadi pilihan daripada buah-buahan yang digundulkan kulitnya. Hanya orang-orang yang terpaksa dan tidak mengerti peraturan sahaja yang memilih buah-buahan yang ditelanjangkan isinya untuk diperagakan dan terdedah kepada pencemaran dan berbagai-bagai jangkitan virus.
Kalau anda pergi ke Tendung,
Singgah sekejap di tengah padang;
Sungguh manis wanita bertudung
Nampaknya sopan sedap dipandang.
Xxxxxxx
Rennglah:
“Pada suatu hari seeorang lelaki datang menemui Rasulullas saw.yang pada masa itu sedang berjalan bersama para sahabat.
Lelaki itu bertanya kepada baginda, “Ya Rasulullah, amal apakah yang paling dicintai Allah?”.
Baginda menjawab, “Beriman kepada Allah”.
Lelaki itu bertanya pula, “Kemudian ap?”.
Baginda menjawab, “Menyambung silaturahim”.
Kemudian lelaki itu bertanya, “Amal apakah yang paling dibenci Allah?”
Baginda menjawab, “Mempersekutukan Allah”.
Lelaki itu bertanya lagi, “Kemdian apa lagi, ya Rasulullah?”.
Baginda menjawab, “Memutuskan silaturahim”. Maksud Hadis.xxxxxx
Bisik: pondokrahmat.blogspot.com
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment