ANAK-ANAK Seumpama Malaikat
>> Monday, December 20, 2010
ANAK-ANAK Seumpama Malaikat
Biasanya orang-orang berkeluarga, berkahwin, bersuami dan beristeri ingin mendapat anak untuk dijadikan cahaya mata, penyeri rumah dan penyambung keturunan supaya tidak mengalami kepupusan sesudah mereka meninggal nanti. Berkeluarga dan beranak pinak adalah naluri semula jadi kepada semua makhluk hidup di dunia ini, baik dia haiwan atau manusia.
Justeru pasangan suami isteri yang tidak normal sahaja yang tidak inginkan anak yang begitu besar manfaatnya dari segi dunia dan akhiratnya. Selain daripada menjadi pengikat tali kasih sayang antara suami dan isteri, anak-anak itulah yang akan mendoakan untuk mereka, bila mereka sudah tiada lagi, dan doa anak-anak baik lelaki atau perempuan untuk kedua orangtua mereka akan memberi keberuntungan yang besar kepada mereka yang berada di alam ghaib selepas kematian mereka.
Justeru itu, suami isteri yang masih belum dikurniakan dengan rezeki anak oleh Allah biasanya akan bermohon kepada Allah supaya mereka dikurniakan anak yang menjadi pewaris kepada turunan mereka. Di samping itu berbagai-bagai usaha juga mereka lakukan untuk mempastikan mereka dikurniakan keturunan oleh Allah.
Tidak ada kebimbangan dari segi ekonomi kepada mereka untuk menimang cahayamata, kerana mereka sedar, setiap yang hidup ada mempunyai kurniaan rezeki masing-masing di di sisi Allah hingga sampai ke akhir hayatnya. Jika rezekinya terputus, maka bererti ajalnya telah tiba.
Walau bagaimanapun seorang anak yang baru dilahirkan ke dunia itu perlu membesarkan di bawah naungan kasih sayang kedua orangtuanya. Di samping memerlukan makanan, seperti susu, anak-anak juga memerlukan belaian kasih sayang daripada ibu bapanya, kerana kehidupan manusia bukan semata-mata bergantung kepada nasi dan roti, malah lebih jauh dari itu.
Tanpa kasih sayang anak-anak sukar untuk membesar dengan sempurna untuk menjadi seorang hamba Allah yang mulia, beriman dan bertakwa di kemudian harinya. Tapi justeru kanak-kanak itu masih belum sempurna akal fikirannya, maka mereka akan berbuat sapa sahaja yang mereka inginkan tanpa menyedari akibatnya buruk atau baik kepada diri dan keluarganya. Malah kadang-kadang mereka melakukan pebuatan-perbuatan yang boleh dilabelkan dalam kategori nakal atau merbahaya.
Namun begitu banyak juga karenah-karenah mereka yang boleh menjadi kesenangan dan kebanggaan kepada ayah bondanya dengan kata-kata dan perbuatan-perbuatan mereka yang menggelikan hati sebagaimana dapat dilihat dalam gambar dan video yang mengiringi tulisan pendek ini.
Justeru itu kita ibubapa hendaklah banyak bersabar dalam menghadapi karenah anak-anak mereka yang amat memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan daripada mereka- mana yang boleh dan mana yang tidak boleh mereka buat, dan mana yang patut dan mana yang tidak patut mereka lakukan.
Lagi pun hendaknya kita tidak melupakan bahwa salah satu sifat kanak-kanak ialah suka meniru- meniru orang-orang yang lebih besar dan tua daripadanya, seperti saudara-saudara tuanya dan lebih-lebih lagi meniru kedua ibu bapanya yang menjadi idola hidup mereka. Mereka akan meniru apa sahaja yang dilakukan oleh kedua ibubapanya walaupun perbuatan itu terkeluar dari kemampuan mereka yang sebenar sebagai seorang akank-kanak.
Selain meniru kelakuan orang-orang sekeliling mereka, peti televisyen juga menimpakan pengaruh yang besar ke atas anak-anak kecil itu. Mereka suka melakunkan apa-apa adegan yang mereka tonton baik berupa kata-kata atau perbuatan tanpa disuruh atau diajar.
Justeru jangan terlampau ringan tangan memukul anak-anak yang masih kecil yang tidak mengetahui apa-apa, hingga sampai meninggalkan bekas pada badannya, apa lagi mendera dan menyeksanya, seperti yang dilakukan oleh sesetengah manusia hari ini, hingga boleh membawa maut kepada bayi.
Malah ada bapa yang sanggup mencurahkan cuka getah kepada anak-anak mereka yang menimpakan kesan berkekalan yang amat buruk kepada si anak yang tidak mengetahui apa-apa itu. Inilah bahana nafsu amarah yang dinyalakan oleh syaitan yang ingin mencampakkan manusia ke dalam neraka jahnam di akhirat nanti. Itulah ertinya hidup bersama, iaitu bersama syaitan dari dunia hingga akhirat yang kekal dan abadi.
Kalau terpaksa juga memukul anak, tapi bukan anak kecil yang tidak tahu apa-apa, pukul dengan penuh kasih sayang dengan tujuan untuk mendidik, menujuk ajar dan bukan sama sekali kerana ingin melepaskan kemarahan atau dendam kerana perbuatan anak-anak itu tidak menyenangkan. Namun biasanya ibu bapa memukul anak bukan untuk mengajar tapi lebih kepada untuk meluahkan kemarahan mereka, justeru itu mereka melakukan apa sahaja walaupun tidak patut asalkan hati merasa puas.
Di samping itu anak-anak juga tidak patut diancam dengan kasih sayang- jangan ugut anak untuk meninggalkan mereka, membiarkan mereka dan tidak akan disayangi, kerana mereka berbuat sesuatu yang tidak disukai oleh ayah dan ibunya, kerana ancaman itu menimpakan kesan yang amat mendalam terhadap perasaan dan jiwa anak-anak yang masih kecil itu, dan ancaman seperti itu mungkin akan menimbulkan kesan terbalik yang tidak diingini,i tidak kebaikan seperti yang diharap-harapkan.
Anak-anak itu merupakan harta hidup yang tidak ternilai. Layanlah mereka dengan lemah dan lembut, kerana Allah menyukai orang yang bersikap lemah lembut.Baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, “Sesungguhnya Allah mencintai kelembutan dalam setiap perkara”.HR:Al-Bukhari.
Pengertian lemah lembut itu amat luas, ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya yang wajar. Ertinya bersikap keras pada tempatnya dan bersikap lembut pada tempatnya pula. Bertindak sesuai dengan tempat dan keadaan, tidak bersikap keras dan semborono sesuka hati tanpa perhitungan. Lembut pada tempatnya dan keras pada tempatnya.
Didiklah anak-anak dengan penuh kasih sayang. Anak-anak kecil ibarat Malaikat, suci, bersih dan membawa rahmat daripada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
xxxxxx
Bisik pondokrahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.
Video
0 comments:
Post a Comment