Kembara Ilmu Ke Lamongan
>> Thursday, December 2, 2010
Kembara Ilmu Ke Lamongan
[Satu catatan perjalanan]
Kami bertolak dari KL LCCT dengan penerbangan pukul 10.05 pagi, hari Rabu, 25 November 2010 dan sampai di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya pada hari yang sama kira-kira pukul 11.00 jam RRI.
Dakwat Merah
Semasa dalam penerbangan, kami diberi borang untuk diisi oleh setiap penumpang, iaitu borang “Customs Declaration” dan borang “Arrival Card” dan borang “Departure Card” untuk diisi untuk membolehkan kami memasuki negara Repabulik Indonesia itu.
Setelah borang-borang itu lengkap diisi, saya baru menyedari bahawa saya menggunakan ball pen dakwah merah. Menyedari kesilapan itu, saya mencari pen lain dalam beg bimbit saya, tapi dua batang pen yang ada lagi itu kedua-duanya berwarna merah juga. Jadi kesemua tiga batang pen saya bawa berwarna merah.
Untuk mengatasi masalah itu, saya memohon meminjam pen daripada penumpang sebelah, iaitu seorang lelaki Indonesia yang hendak balik kampung dan katanya tinggal jauh dari kota Surabaya. Tapi dia tidak membenarkan saya meminjam pennya dengan alasan warna dakwat tidak penting, merahkah atau hitam, kerana yang penting katanya ialah mengisi borang-borang tersebut dengan lengkap. Saya merasa ragu-ragu dengan penjelasannya itu, tapi terpaksa akur, kerana setahu saya dakwat merah memang tidak boleh digunakan untuk mengisi apa-apa borang pun di negara kita Malaysia, tapi tidak tahu pula di negara jiran Indonesia, kok-kok berlainan dengan negara kita Malaysia.
Tapi sampai di Lapangan Terbang Juanda, borang saya ditolak oleh pehak berkuasa Kastam RRI kerana menggunakan dakwah merah, dan saya diminta menulis borang yang baru. Saya terpaksa meminjam pen dakwat hitam seorang kawan untuk mengisi semula borang-borang tersebut. Justeru itu sayalah orang yang terkemudian melepasi pintu pemeriksaan kastam kerana dakwah merah.
Saya teringat lelaki Indonesia, penumpang kapalterbang yang duduk di sebelah saya dalam penerbangan yang mengatakan dakwah merah atau dakwat hitam adalah sama, yang perlu borang itu diisi lengkap.
Lalu saya tersenyum sendirian. Satu pengajaran juga.
Waktu Yang Berbeza
Saya juga diberitahu waktu RRI dan Malaysia berbeza satu jam, iaitu waktu RRI satu jam lebih cepat dari waktu Malaysia. Justeru kalau di Malaysia pukul 12.00 maka waktu di RRI hanya baru pukul 11.00 pagi.
Waktu solatnya juga lebih cepat, di mana Zohor di RRI kira-kira pukul 11.45, waktu solatAsar 3.45, waktu solat Maghrib pukul 5.30 petang, dan solat Isa pula 6.30 petang, dan diikuti oleh solat Subuh 3.45 pagi. Pada malam pertama kami menginap di RRI itu mungkin ada di antara kami yang terlepas solat Subuh kerana kekeliruan mengenai waktu solat walaupun pemakluman telah diberikan oleh tuan rumah yang menyambut kedatangan kami.
Dari Lapangan Terbang Juanda kami di bawa dengan bas ks Tuban, dan bila sampai ke Tuban kami terpaksa bergegas untuk solat jamak Zohor dan Asar kerana waktunya telah hampir luput, sedangkan solat Zohor pun masih belum ditunaikan.
Sampai pulang ke rumah hari ini pun saya masih belum pasti bagaimana saudara-saudara saya di negara RRI menjalani kehidupan harian mereka berdasarkan waktu solat. Pukul berapa mereka tidur malam, pukul berapa mereka solat malam, Qialmulai, apa mereka buat selepas solat Subuh yang begitu awal, adakah mereka tidur kembali, pukul berapa mereka masuk kerja setiap hari, pukul berapa mereka rehat untuk makan tengah hari dan solat Zohor. Pukul berapa mereka habis kerja?
Saya menjadi tertanya-tanya bila melihat jam baru kira-kira pukul 4.00 pagi lebih sedikit, tapi tanah di daerah Lamongan tempat kami tinggal ini telah cerah?
Saya berharap saya akan mendapat jawapannya daripada beberapa orang sahabat yang tinggal di Tuban dan Lemongan. Semoga mereka turut membaca catatan-catatan saya ini.
Tanjung Kodok
Tempat penginapan kami ialah di Tanjung Kodok Resort, di Lamongan. Hotel ini terletak di Tanjung Kodok, di pesisir pantai yang damai. Nama Tanjung itu mengambil sempena sebuah batu besar berupakan seekor kodok atau katak yang terletak di pesisir pantai, menghadap ke laut lepas.
Sesuai dengan namanya Tanjung Kodok Resort, dalam kawsan hotel dan juga dalam bangunan hotel banyak dihiasai dengan gambr-gambar dan patung-patung kodok. Di mana sahaja ada ruang yang difikir sesuai di situlah terletak gambar dan patung-patung kodok dalam berbagai-bagai ukuran dengan beragam-agam aksi. Hanya satu-satunya tempat yang tidak terdapat kodok ialah dalam tandas.
Apakah fungsi kodok-kodok itu sebenarnya tidaklah diketahui, selain daripada andaian sebagai perhiasan, sesuai dengan namanya kodok?
Di hotel inilah kami bertemu dengan rakan-rakan seagama yang datang daripada beberapa buah negara di dunia, mengeratkan silaturahim dan menghidupkan dakwah dan ukhwah Islamiah selama beberapa hari.
Kami harap selepas ini silaturahim dan Mahabah kami bertambah erat dalam wadah keruhanian yang murni dalam mencari keredaan Allah S.W.T.
Tuban
Dari Lapangan Terbang Juanda kami tidak terus dibawa dengan bas ke Lamongan, tapi kami ke Tuban terlebih dahulu. Selepas solat Isa dan makan malam, kira-kira pukul 1100 malam kami bertolak di Tanjung Kodok, Lomangan untuk menginap di sana selama beberapa hari.
Kami hanya berada beberapa jam sahaja di Tuban dan itupun pada waktu malam. Hasrat kami untuk solat di Masjid Jame’ bandar Tuban, dan mendekati warga Tuban dengan lebih luas tidak kesampaian. Mengikut perkiraan saya, selepas solat di masjid Jame' Tuban saya merancang untuk menziarahi makam ‘Wali Songo, Sunan Bonang, tapi tak kesampaian kerana keterbatasan masa.
Nama sebenar Sunan Bonang ialah Raden Makdum Ibrahim. Beliau gemar memalu bonang, iaitu sebahagian daripada alat gamelan dengan tujuan untuk berdakwah. Kerana kegemarannya memalu bonang itu beliau digelarkan Sunan Bonang. Beliau seorang yang banyak ilmu dan mempunyai kelebihan yang mengkagumkan. Murid-muridnya ramai dari serata tempat di Indonesia. Bila dia wafat, seorang murid beliau berusaaha untuk membawa jenazahnya ke Surabaya utuk dikebumikan di sisi pusara ayahandanya Sunan Ampel, tapi tidak berjaya, kerana kapal yang memuat jenazahnya tidak mahu bergerak, justeru jenazah beliau terpaksa dikebumikan di Tuban dan terletak di sebelah barat Masjid Jame’ Tuban hingga ke hari ini. Makam inilah mengikut rancangan saya sendirian yang ingin saya kunjungi selepas solat di masjid tersebut.
Ada sebuah lagu yang dipanggil tembang-tembang peningalan Sunan Bonang yang masih dinyanyikan oleh sesetengah orang di Tuban sebelum mendirikan solat jamaah . Tembang-tembang itu dalam bahasa aslinya berbunyi:
“Tamba ati iku lima sak warnane,
Maca Quran angen-angen sak maknane,
Kaping pindho shalat wengi lakonona,
Kaping telu wong kang saleh kancanana,
Kaping papat kudu wetheng ingkang luwe,
Kaping limadzikir wengi ingkang suwe,
Sopo wonge bisa ngelakoni, Insya-Allah Gusti Allah nyembadani.
Sahabat-sahabat saya di Tuban yang mungkin membaca tulisan ini tentu akan menterjemahkan makna dari tembang-tembang tersebut. Amin.
Sekian mengenai Sunan Bonang secara ringkas.
Jalan
Pada keseluruhan jalan-jalan yang kami lalui pergi dan balik, dari Lapangan Terbang Juanda ke Tuban dan dari Lamongan ke Lapangan Terbang Juanda kelihatan smat, bersih dan lapang, walaupun jalan-jalan itu sebenarnya sempit dan melewati desa-desa dan kampung-kapung. Saya lihat di sepanjang jalan yang dilalui itu hampir tidak ada tanah yang terbiar kosong, kalau tidak bertanam dengan pokok getah, pokok pisang dan lain-lain, tanah-tanah di tepi jalan itu terdapat rumah-rumah yang membanjari sepanjang jalan. Ada rumah yang kecil, dan ada rumah yang besar, ada yang diperbuat dari batu dan ada yang diperbuat dari kayu.
Kebanyakan rumah kelihatan bersih, selain daripada ditanam dengan pokok-pokok bunga terdapat juga pokok-pokok buah-buahan, seperti pokok mangga, pokok kelapa, pisang dan lain-lain tumbuhan yang boleh dimakan buahnya yang ditanam secara teratur mengikut kreatif masing-masing walaupun laman rumahnya sempit. Ia menimbulkan suasana harmoni yang sedap dipandang.
Bas yang kami naiki itu sebuah bas pelancong. Saya tidak pasti adakah merupakan satu peraturan atau satu keistimewaan yang diberikan kepada bas-bas pelacong untuk membolehkan mereka berjalan dengan laju dan selamat ke tempat yang dituju. Bas yang kami naiki ini diberikan kemudahan istimewa oleh pemandu-pemnadu kenderaan lain di jalanan terutama ketika hendak memotong sesebuh kenderaan di hadapan. Bila supir bas yang kami naiki itu membunyikan honnya, kenderaan di hadapan akan segera menepi untuk memberi laluan, demikian juga dengan kenderaan di hadapan akan memberi ruang untuk bas kami memotong dengan meminggir atau memperlahankan kenderaan masing-masing.Justeru itu hon bas kami selalu kedengaran berbunyi hampir sepanjang masa.
Penungggang-penunggang motosikal pula kebanyakannya tidak memakai topi keledar, terutama dari kalangan muda-mudinya yang kebanyakannya berpakaian seperti kaum belia kita di Malaysia.
Di Tuban kami singgah di rumah seorang sahabat, rumahnya rumah batu tiga tingkat yang terletak di Jalan Tunku Umar, malah sebahagian dari kami yang sampai lebih awal memang menginap di rumah tersebut yang tuan rumahnya amat ramah dan mesra. Isterinya adalah salah seorang yang amat mesra dengan Allahyarhmah isteri saya, Asiah yang memang telah bertahun-tahun merancang untuk bewisata ke Indonesia tapi tidak berkesempatan.[Semoga Allah limpahi rahmat ke atas rohnya]. Kita hanya mampu merancang, tapi yang melaksanakannya adalah Maha Pencipta.
Mengauk Ilmu
Seperti bisa, saya berharap kami dapat menangguk banyak permata bernilai dalam kembara kali ini untuk memenuhi dada-dada kami yang rompong dan kosong, permata-permata murni yang akan bersinar gemerlapan menerangi samudera dada dan lautan hati kami dan akan membimbing kami merenangi buana Ilahi yang murni dan abadi hingga berjaya mendaki ke puncak yang tertinggi sebagai seorang insan.
Sesungguhnya dalam mengejar cahaya Ilahi ini kita hendaklah merangkak dengan hati yang kosong seperti orang jahil tanpa sebarang bekalan, sebaliknya jika kita merasa diri kita seorang yang berpunya, atau berisi, maka sudah tentu ia akan menjadi hijab, menghadang kita daripada melihat pancaran sinar Ilahi, ibarat sebuah gelas berisi penuh dengan air, bagaimana ia boleh dituangi air lagi ke dalamnya, dan kalau dituangi juga ia akan tumpah dan melimpah dan membazirkan.
Dalam kembara begini, ia akan menguak berbagai-bagai pintu untuk memberi ruang kepada kita mengenali diri sendiri, mengenal manusia, mengenal alam dan seterusnya mengenali Ilahi, Tuhan semesta Alam yang Maha Bijaksana yang akan membawa kita kepada keinsafan terhadap kesempitan, kekerdilan, kedungunan dan kebodohan kita sebagai insan yang tidak mempunyai apa-apa dalam maya ini, segala-galanya berupa pinjaman, termasuk diri anda sendiri, dan bila sampai ke satu titik hujungnya akan musnah untuk kembali ke pangkuan Empunyanya.
Andainya anda belum menemui pengalaman seperti ini, cari dan carilah di sepanjang meniti hidup yang fana ini, dan insya-Allah anda akan menemui juga dengan pengalaman yang amat berharga dan tidak ternilai itu. Itulah antara rahsianya kenapa umat Islam digalakkan kembara, termasuklah kembara Haji ke Tanah Suci Makkah untuk mencari kredaan Ilahi Maha Pencipta.
Pada masa itu anda akan menjadi seperti kodok di bawah tempurung, di mana bila tempurung itu tiba-tiba diangkat, sang kodok di bawahnya akan menjadi kebingongan melihat dunia yang luas terhampar dan dengan langit biru luas terbentang. Di mana anda? Carilah! Tapi anda hendaklah ingat bahawa Allah itu ada di mana-mana, ada di timur dan ada di barat, di kejauhan dan di kedekatan, bukan sahaja di Tanjung Kodok, di Tuban dan di Limongan. Cari dan carilah nescaya anda akan menemuiNya dalam ruang yang tidak terbatas.
Amin.
xxxxx
Renunglah:
-“Sebarkanlah salam, berikanlah makan, rapatkanlah hubungan, bersolatlah pada waktu malam semsa manusia tertidur dan kemudian masuklah ke dalam syurga dengan kedamaian”. HR:Ahmad, Ibnu Hibban & AlHakm.
-“Kerjakanlah solat malam walaupun hanya satu rakaat. Sesungguhnya solat malam dapat mencegah dosa, menghilangkan kemurkaan Tuhan dan mendinginkan panasnya api pada hari kiamat”. HR:Ibnu Umar.
xxxxxxxx
Bisiki Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment