Perbezaan Pendapat Dalam Kembara

>> Saturday, December 25, 2010


“Meraikan Perbezaan Pendapat” Dalam Kembara


HARI ini Jumaat 25 Disember 2010 kami sekeluarga berwisata ke Kuala Terengganu. Kami seramai 13 orang terdiri anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu, sahaja berwisata sebagai sebahagian dari gratis dari orang tua mereka untuk anak-anak mereka.

Seperti biasa, kemabara kali ini saya merasa seperti “kembara” bersama dengan isteri saya yang sudah tiada lagi itu. Walaupun telah tiada, tapi terasa-rasa masih ada. Saya dapat merasa bagaimanakah gembiranya beliau jika berada bersama-sama kami dalam kembara seperti ini yang menjadi kegemaran beliau. Ya Allah cucurilah .rahmatMu ke tasnya.

Pagi tadi, ketika bersiap-siap untuk berangkat, terasa-rasa ia ada bersama, dan entah bagaimana timbul kerinduan untuk memanja-manjakannya sebagai biasa, berceloteh dan menyediakan sarapan pagi yang amat digemarinya setiap hari...........Tapi ia hanya merupakan satu cebisan daripada begitu banyak kepingan kenangan manis yang sering berbuai-buai dalam hati.

Sepanjang perjalanan itu pula kenang-kenangan terhadap beliau terus berkembang, di mana sebahagian besar daripada tempat kami berhenti, makan atau membeli-belah masih lagi beroperasi seperti dahulu juga, demikian juga masjid-masjid tempat kami singgah untuk solat masih utuh tersergam di tepi-tepi jalan Kota Bharu-Kuala Trenganu.

Hari ini cuaca agak baik. Hujan yang telah turun sepanjang lebih dari minggu yang lalu telah berhenti, walaupun cuaca mendung, tapi hujan tak turun, dan di sesetengah tempat bila kami sampai, hujan telah teduh dan kesan-kesan hujan lebat masih kelihatan di atas jalan raya dan pokok-pokok di kanan kiri jalan. Cuaca di Kuala Terengganu pun baik, mata hari telah memancar.

Merai Perbezaan Pendapat

Kami menginap di apartmen, Sumai Hotel yang terletak berhamiran dengan Pantai Batu Buruk, dan tidak jauh dari Masjid Al-Muktafi Billah Shah, beberapa minit berjalan kaki sahaja kami akan sampai ke masjid tersebut. Kami sempat berjumaat di masjid tersebut. Khutbah Jumaat hari ini mengenai perpbezaan pendapat dalam Islam dengan tajuk “Meraikan Perbezaan Pendapat”.


Khutbah itu menjelaskan perbezaan pendapat dalam Islam bukan petaka, tapi satu kebaikan atau rahmat, dan menyeru setiap umat Islam supaya menghormati perbezaan pendapat itu demi pepaduan umat Islam sejagat. Kita umat Islam mestilah mempunyai fikiran yang terbuka, berlapang dada dan bertolak angsur dalam batas-batas tertentu demi untuk menjaga keharmonian tersebut.

Apa yang disuarakan oleh khatib dalam khutbahnya itu amatlah tepat, kerana mengikut pengamatan kita salah satu daripada faktor berlakunya perpecahan di kalangan umat Islam hari ini ialah kerana kita tidak dapat menerima perbezaan pendapat, kerana bagi kita semua pendapat orang lain yang tidak secucuk dengan kita adalah salah dan membahayakan, dan kerana itu perlu dikutuk. Dan kita begitu senang menuduh orang yang tidak seiring pendapat dengan kita itu sebagai tidak Islamik, menyeleweng atau kafir walaupun hakiat yang sebenarnya tidak demikian.

Kerana perbezan pendapat dengan pihak berkuasalah menyebabkan ahli sufi yang terkenal, Mansur Al-Hallaj telah dijatuhkan hukum bunuh oleh pemerintah pada masa itu. Para ulama fekah pada zaman itu telah menyatakan persetujuan mereka hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas ahli sufi yang mencintai Allah itu. Justeru kerana cintanya kepada Allah begitu agung, sehingga beliau berani mengatakan bahawa wujud Allah [maksdunya tanda-tanda kebesaran Allah] itu ada di mana-mana termasuk di dalam dirinya sendiri. Ini mencetuskan kemarahan kepada orang-orang yang sependapat dengannya.

Sebenarnya mana-mana golongan yang berani mengeluarkan pendapat yang berbeza tentang cintakan Allah dengan pendapat yang dianuti oleh pihak berkuasa, maka golongan tersebut akan menerima padah, mereka akan ditangkap, dihukum, dibunuh dan sebagainya, kerana dituduh telah kafir sebagaimana yang telah menimpa Al-Hallaj.

Sampai hari ini sikap negatif seperti itu masih berlarutan, justeru itu tidak ada siapa pun secara terbuka berani mendedahkan pendapatnya tentang erti cinta kepada Allah, walaupun pada hakikatnya pendapat mereka itu boleh dipertanggungjawabkan dari segi akidahnya.

Dan sampai hari ini pun perspeksi terebut masih belum berubah, bukan sahaja dalam persoalan cinta kepada Allah, tapi juga mencakup semua ruang dan bidang yang lebih luas, di mana kita umat Islam tdak senang atau tidak dapat menerima perbezaan pendapat yang berbeza dengan pendapat kita, kerana kepada kita hanya pendapat kita sahaja yang betul dan benar, dan semua pendapat orang lain adalah salah.



Masjid Muktafi Billah Shah

Masjid Muktafi Billah Shah itu dapat dilihat dengan jelas dari tingkat atas tempat kami menginap ini. Kubahnya berwarna biru keilhatan dengan jelas, lebih-lebih lagi dalam sinar mata hari yang memancar.

Mengikut apa yang saya dimaklumkan, Al-Marhum Sultan Mahmood Al-Muktafi Billah Shah amat mengambil berat tentang kebajikan masjid tersebut. Ianya merupakan salah sebuah masjid yan amat disenangi oleh baginda. Setiap hari dalam masa hayatnya, bila baginda berada di istana baginda, dan bila menjelang waktu solat, baginda sentiasa menunggu-nunggu untuk mendengar seruan azan yang di kemundangkan dari masjid tersebut.

Andainya beliau tidak mendengar seruan azan, sedangkan waktu solat telah masuk, baginda kelihatan cemas dan terus menghubungi pihak yang berkenaan memaklumkan perkara itu, bertanya sebab-sebabnya dan memerintah mereka mencari sebab-sebab itu, serta meminta mereka segera mengatasinya ataupun membaikinya sekiranya berpunca daripada kerosakan peralatannya supaya azan dapat dikemundangkan tepat pada waktunya.

Demikian perihatinnya baginda sebagai seorang Islam terhadap sembahayang yang merupakan tiang agama Islam yang penting itu. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya. Amin.



Makanan

Sebelum sampai ke Kuala Terengganu, kami singgah di Pasar Batu Enam untuk membeli sedikit kueh-mueh tradisional Terengganu. Setiap kali datang ke Trengganu biasanya kami berhenti di pasar tersebut, biasnya dalam perjalanan pulang untuk membeli sedikit makanan untuk dibawa balik ke rumah. Pagi tadi kami membeli beberapa jenis kueh tradisional untuk dimakan di tempat penginapan bila kami sampai nanti sebelum makan tengah hari.

Antara kueh-kueh tradisional yang kami beli ialah jala emas, kueh bederang, lompat tikam, roti mentega, kueh lapis dan satu dua jenis kueh lagi. Tapi bila kami makan, kueh-kueh itu tidak lagi sedap seperti di masa-masa yang lalu, dan rupanya tidak menepati dengan kueh tradisional yang sebenarnya yang pernah kami makan di masa-masa yang lalu.

Sebagai contohnya, kueh “lompat tikam” yang kami beli itu, air mansiannya bukan sahaja manis tapi juga pahit rasanya, demikian juga dengan jala emas, keadaannya berberai, kering seperti meehu goring bergula sahaja.

Apa dah jadi dengan kueh-kueh tradisional Terengganu ini, kualiti kuehnya tidak lagi terjaga, sedangkan penjual dalam pasar itu kebanyakkannya terdiri orang-orang lama juga.

Sebelah malamnya kami makan malam di sebuah resturan di Batu Burok. Makanan yang kami tempah ikan bawal masam manis, ikan cermin masak pedas, tom yam dan lain-lain. Oleh sebab lauk yang kami minta itu berlebihan, dan pemakannya lebih ramai kanak-kanak, iaitu cucu-cucu yang masih kecil, maka semangkok tom yam tidak sempat dimakan. Melihat makanan itu tidak terusik, seorang daripada pembantu resturan itu dengan wajah kecewa bertanya, “Kenanpa tak habis makan ni? Tak sedapah? Tak cukup masinkah?......”

“Bukan”, jawab anak saya, “Bukan kerana itu, tapi kerana lauk yang kami minta ini terlalu banyak”.

Saya segera teringat pada suatu petang, saya dan seorang rakan makan di sebuah resturan di Jalan Hospital, Kota Bharu untuk memakan mi goring. Oleh sebab mi itu banyak dan kami pun tidak begitu lapar, maka mi yang kami makan itu walaupun sedap, ttidak dapat kami dihabiskan.

Taukeh kedai itu, bila melihat mi goring itu tidak habis kami makan, lalu segera datang menemui kami dan dengan serba salah bertanya kami, “Kenapa tak habis makan ni? Mi tak sedapkah?”.

Cara itu adalah satu cara yang betul dan patut dipuji. Seumur hidup ini itulah baru dua kali pihak resturan atau kedai makan bertanya kenapa kami tak habis makan masakan mereka, sedangkan yang lain-lainnya walaupun ada makanan yang tak disentuh kerana rasanya terlalu merosot, tapi tidak pernah menanya apa sebabnya untuk dibaiki. Mereka tidak kisah asalkan harganya pelanggan bayar, habiskah, tak habiskah, itu bukan urusan mereka. Apa aku peduli, asalkan harganya dibayar.

Pagi esoknya pula kami senghaja tidak sarapan di hotel, dan keluar untuk mencari makanan pagi ala Terengganu yang kami gemari iaitu nasi dagang. Kami mengambil jalan menuju hala ke Kuantan, tidak jauh bermotokar, kami ternampak sebuah kedai makan, yang asap pembakar satainya sedang bergelung-gelung naik ke udara.

Tapi bila kami berhenti, tidak ada nasi dagang dijual di situ, yang ada hanya nasih kerabu, nasi putih dan satai. Namun begitu, oleh sebab kami telah berhenti, kami pun meminta nasi kerabu hitam bersama ayam bakar.

Tapi terekedu kami dibuatnya, kerana nasi itu amat manis rasanya, tumisnya manis, sambal kelapanya manis, ayam bakar pun manis, satai pun manis macam gula. Akibatnya saya yang pemiant nasi dagang ini pun setengah pinggang tak habis memakannya. Ia bukan nasi dagang tradisi Terengganu lagi.

Pada hemat saya, kebanyakan makanan tradisional Terengganu hari ini di usahakan oleh generasi-generasi baru yang ingin jadi usahawan, tapi tidak bersedia untuk belajar rahsia-rahsia masakan tradisonal datok’ nenek mereka yang begitu bermutu, kepada mereka asal jadi dan laku dijual sudahlah. Justeru itu, nampaknya kita tidak boleh dengan mudah beralih kedai makan yang telah lama biasa dengan kita di masa-masa yang lalu dan makan di mana-mana tempat sahaja yang kita sukai, kecuali kita telah mendapat kepastian daripada orang-orang tempatan. Nanti rugi, duit habis, makanan membazir, dan malu tuan kedai sahaja dengan meninggalkan makanan berselerak di atas meja.

Para peniaga patut letakkan kata-kata dalam kedai mereka, "Kalau tak sedap beritahu kami, dan kalau sedap beritahu rakan-rakan anda".

Pesisir Yg. Indah

Pesisir pantai Batu Buruk amatlah indahnya, dan merupakan salah sebuah sebuah pesisir yang terindah di Malaysia. Pasirnya yang memutih memanjar sepanjang pantai, dengan banjaran pokok-pokok ru di belakangnya dengan dedaunnya yang selalu gemersik ditiup bayu laut yang selalu beralun-alun melandai pantai menyimpan rahsia alam yang maha luas ini.

Ketika berdiri memerhati panorama laut yang indah itu, rasa-rasakanlah apakah rahsia yang terkandungan dalam hempasan ombak di pantai itu, rasakan apakah rahsia yang terkandung dalam hembusan bayu laut yang sejuk dan lonak itu, rasakan apakah yang tersembunyi dalam gesiran-gesiran daun-daun ru yang dibelai bayu itu, rasa-rasakan apakah rahsia yang tersembunyi di sebalik alam nyata ini......?

Di pantai Batu Buruk ini terdapat berbagai-bagai kemudahan, tempat makan, tempat penginapan, tempat rekerasi, taman kanak-kanak, masjid dan sebagainya. Cucu-cucu saya tidak melepas peluang untuk bermain di taman kanak Batu Buruk yang cantik ini. Banyak permainan yang menjadi pilihan mereka.

Hanya satu yang tidak dapat kami lihat, BATU BURUKNYA? Di manakah letaknya" Batu Buruk" itu, sehingga pantai yang begitu indahnya itu diberikan nama "Batu Buruk"?
xxxxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah, Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

Sekianlah secebis catatan dalam perjalanan dari KB ke KT sebelum kami berangkat pulang ke KB hari ini.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP