SETANGGI KOTA BHARU V- WARKAH KEPADA MENTERI- ABDULLAH TAHIR

>> Monday, September 9, 2013



SETANGGI KOTA BHARU V

Dalam ruangan ini Insyallah kami akan siarkan sekumpulan puisi-puisi yang pernah disiarkan dalam akhbar MINGGUAN KOTA BARU di sekitar tahun 1960an-1970an.
 
Saya telah diamanahkan sebagai penerbitnya bagi pihak Syarikat DIAN untuk menguruskan penerbitan mingguan itu oleh Ustaz [Datok] Yusuf Zaky Yaacob tuan punya Syarikat DIAN. Malah saya adalah segala-galanya untuk MINGGUAN KOTA BHARU.

Kami percaya para penyair yang memberi sumbngan-sumbangan  tersebut pada masa itu masih lagi muda, dalam sekitar usia belasan atau puluhan tahun, dan ada di antaranya masih lagi berkarya sampai ke hari ini.

Salah satu tujuan utama kami mengumpul dan menyiarkan kembali puisi-puisi ini ialah untuk mengekalkan segala hasil sumbangan mereka supaya tidak pupus hilang  ditelan masa dan untuk dijadikan tatapan dan nilaian genarasi baru dan akan datang.

Kami harap penyiaran puisi-puisi ini mendapat restu daripada para pengkaryanya, dan sementara itu sambutlah salam hormat dari kami.

Selamat membaca.

Mohd Zain Saleh

Selasa 27 Syawal 1434
-3 September 2013.

Untuk Setanggi Kota Bharu lima kali ini kita siarkan puisi ABDULLAH TAHIR, berjodol WARKAH UNTUK MENTERI

klik ke 4

WARKAH KEPADA MENTERI























Bapak,
Kami laung dan sebut namamu
Ketahuilah
Kami hidup atas tegak anak umat
Paling celaka
Bila
Kami ini anjing-anjing
Yang dijamu makan
Tapi tersepit mulut.

Bapak
Atas reruntuhan ini
Kami perlu bakti
Bahawa dengan bapak
Kami ‘tidak sudi
Sekali berperi
Hidup begini

Hidup anak marhain
Apalah padahnya
Berjangkit dari dahan ke dahan
Bagai tiada tapak tumpanagan.

Lihat,
Itu anak-anak peribumi-anak-anak kami
Itu pusaka bersama
Kapankah tubuh yang telanjang
Bisu dibungkusi.

Bapak kaulah datang
Aku dengar cerita peri dari kader-kader yang jalang
Mereka memuji
Bagai bapak para wali
Bapak bapak para nabi. Ah, bapak sejujur itu
Bapak, kiranya kau para dewa
Bacalah dengan hati dan budi.

Kapankah bisa kami lari
Dari daerah-daerah lapar
Yang mengcekek ini
Kami ijak, atas reruntuhan bara berdarah trajidi

Bapak,
ini kertas merah
dicalit berkurun wajah
atas hidup pada merintih
kami benci
melihat langit runtuh
kerana kita yang tunduk
dan kala itu
ke mana kita nak lari
ke gunung. Apa lagi?

ABDULLAH TAHIR

[Abdullah Tahir dilahirkan di Kubang Kerian, Kota Bharu pada 19 Mac 1945. Kembali ke rahmatullah pada 5 Julai 1997. Seorang cerpenis, dan panyair. Pernah menjadi tutor dan pensyarah di Universiti Malaya. Prof, Madya dan 
Ketua di Jabatan Penulisan Kreatif dan Deskreatif Universiti Malaya].





1 comments:

OSMAN DOL September 10, 2013 at 9:12 PM  

Semoga Allah SWT menempatkan rohnya di sisi roh orang-orang beriman.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP