Masjid Kuala Balah- Masjid Rahmaniah Kg. Tunku Abd. Rahman

>> Tuesday, September 17, 2013




MASJID KUALA BALAH- MASJID RAHMANIAH KG. TUNKU ABD. RAHMAN

Kuala Balah adalah nama sebuah tempat di Jajahan Jeli, Kelantan. Seperti kebiasaannya, kampung-kampung kediaman orang-orang Melayu dilengkapkan dengan masjid atau surau. Demikian juga di Kuala Balah ini terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Rahmaniah.

Saya baru dua kali sampai ke masjid tersebut. Pertama ketika upcara persamian oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, dan kedua ketika Musa Ahmad, berucap di masjid tersebut, setelah beliau keluar dari hutan meninggalkan doktrin perjuangan komunisnya. Teks ucapan beliau pada hari itu masih ada dalam simpanan saya.






Secara kebetulan pula, baru-baru ini anak saya, A. Faris Zaini yang bertugas di Jeli pergi ke masjid tersebut telah memukul gambar masjid itu, dan mengirimkan beberapa keping daripadanya kepada saya. Sebahagian daripada foto-foto itu saya siarkan di blog ini.

Melihat foto-foto beliau pagi tadi, mencetuskan keinginan saya untuk mencari bahan-bahan sekadar yang ada dan menyusun tulisan ini untuk dikongsikan dengan para peminat yang dikasihi. Kebetulan pula saya bertemu dengan buku cendera mata upacara perasmmain masjid tersebut oleh KDYMM Al-Sultan Ismail Petra.

Menyusur sejarahnya, Kampung Kuala Balah ialah sebuah kampung baru yang asalnya terdiri daripada beberapa buah kampung tradisional Melayu yang penduduknya terpaksa berpindah kerana terlibat dalam daruat sekitar tahun-tahun 1952-1953. Ia di namakan Kampung Bharu Pindahan Darurat.

Kampung ini dinamakan Kuala Balah semepena dengan nama Sungai Balah. Ia terletak di pertemuan antara dua buah sungai, iaitu Sungai Balah dan Sungai Pergau. Maka lahirlah Kampung Kuala Balah.









Sekitar tahun tersebut, penduduk Kuala Balah seramai 3, 000 orang yang terdiri daripada 800 keluarga. Semua mereka terdiri daripada orang Melayu, beragama Islam, dan bekerja sebagai penoreh getah.

Keadaan muka buminya yang rendah, menyebabkan sering ditenggelami air bila berlaku banjir. Keadaan ini menyulitkan kehidupan penduduk-penduduknya, kerana setiap tahun ditenggelami air bah.

Selepas banjir besar yang melandakan negeri Kelantan pada tahun 1967, penduduk Kuala Balah telah bersetuju untuk dipindahkan ke kawasan baru yang lebih selamat dan tidak ditenggelami banjir.

Untuk tujuan tersebut satu kawasan tanah seluas 288 ekar, dan 150 depa kepunyaan Kuala Balah Estate, lot 1590 telah diambil balek oleh kerajaan. Tanah tersebut telah dipecah lotkan kepada 800 lot-lot kecil tapak rumah yang setiap satu berukuran 1/6 ekar. Di samping itu 50 buah tapak kedai juga telah disediakan, serta 129 ekar tanah untuk kegunaan awam telah dikhaskan.

Setiap keluarga mendapat satu lot tanah secara undian. Tapak-tapak rumah itu disiapkan oleh kerajaan, sementara rumah-rumah dibina sendiri oleh penduduk secara berkelompok.

Upacara resmi perpindahan penduduk Kuala Balah itu telah disempurakan oleh YBM Tengku Razleigh Hamzah, Menteri Kewangan pada masa itu, dan diberi nama baru, Kampung Tunku Abdul Rahman Putra, mengambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, kerana beliau adalah negarawan Malaysia yang pertama menjejakkan kakinya di kampung tersebut.

Keseluruhan kos untuk membina kampung baru itu ialah RM1,035,600.00 daripada Kerajaan Pusat.

Untuk melengkapkan sebuah perkampungan orang Islam, maka kerajaan telah membina masjid Kuala Balah, yang dinamakan Masjid Rahmaniah Kg. Tunku Abd. Rahman, Kuala Balah.



Kos asal pembninaan masjid itu hanya RM200,000 sahaja, tapi atas hasrat YBM Tengku Razaeigh Hamzah bangunan masjid itu telah diperingkatkan lagi, terutama dari segi keluasaannya untuk menyesuaikan dengan pertambahan penduduknya, maka kosnya telah meningkat kepada RM 1, 080,000.00.

Masjid itu mengikuti reka bentuk Masjid Hashim Yahya yang terletak di George Town, Pulau Pinang yang dapat menampung seramai 1000 orang jemaah semasa. Saya pernah bersolat Jumaat di masjid tersebut pada tahun lepas. Upacara resmi perletakan batu asa Masjid Kuala Balah telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia pada 19 Jun 1981.

Sementara upacara perasmiannya pula disempurnakan oleh KDYM Al-Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almahum Sultan Yahya Petra, pada 6 Rajab 1403 bersamaan dengan 19hb. April 1983.

Kuala Balah letaknya 32 km dari Bandar Jeli, sementara Jeli ke ibu negeri Kelantan, Kota Bharu pula sejauh 145 km dan ke Gua Musang sejauh 85 km. Dulunya sebelum Jajahan Jeli diwujudkan Kuala Balah terletak dalam Jajahan Tanah Merah.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP