NORHISHAM MUSTAFA DALAM CEBISAN KENANGAN

>> Friday, September 13, 2013


                                                                       
NORHISHAM MUSTAFA DALAM CEBISAN KENANGAN







Di tengah ialah Rahman B [Abang Raman} dan yang tidak kelihatan dalam gambar di sebelah kanan ialah Asiah Yaacob.


klik:Tanah Seberang



Saya rasa saya mula-mula mengenal sastrawan Norhisham Mustafa pada penghujung tahun 1960-an. Tapi tidak begitu jelas. Saya rasa pada masa itu dia muncul bersama dengan Wadi Leta S.A, atau Wan Adnan berhubung dengan kegiatan penulisan.

Pada masa itu akhbar Mingguan Kota Bharu mulai diterbitkan, dan saya telah diamanahkan oleh [Dato'] Ustaz Yusuf Zaky Yaacob untuk mengendalikannya. Saya rasa pada masa itu beliau dan bersama Wadi juga biasa hadir ke majlis-majlis sastera yang kami anjurkan.

Yang pastinya beliau adalah penyumbang kepada MINGGUAN KOTA BHARU, Majalah DIAN dan lain-lain penerbitan DIAN. Sumbangan-sumbangan beliau berupa cerpen, sajak dan rencana-rencana.

Pada masa itu alamatnya di Gua Periuk, Rantau Panjang Kelantan. Saya hanya sampai beberapa kali ke Gua Periuk kerana urusan kerja,  tapi tidak pernah sampai ke rumah beliau kalau beliau ada di sana pun.

Beliau tidaklah kerap datang ke pejabat seperti Allahyarham Abdullah Tahir, mungkin kerana tempat tinggal beliau jauh daripada pejabat kami.

Aneh juga dalam setiap kali berjumpa yang singkat itu, kami tidak pernah bercakap tentang keluarga atau tentang diri masing-masing, tapi kami hanya berbicara di sekitar dunia penulisan.

Sudah beberapa tahun berlalu kami tidak bersua. Pertemuan kami yang terakhir ialah bila beliau dan Wadi berkunjung takziah ke rumah kami di Sungai Durian, Kuala Kerai kerana kematian isteri saya, Asiah Yaacob. Mereka berdua adalah merupakan sebahagian daripada ramai keluarga, sahabat handai, rakan tolan yang datang mengucap takziah. Terimakasih untuk semua.

Ada dua perkara yang tidak dapat saya lupakan telah berlaku di kalangan kami, Norhisham dan saya, walaupun ia kian memudar dari ingatan saya. Jika fakta ini tidak tepat saya harap beliau dapat memperbetulkannya.

Di atas permintaan Allahyarham [Dato’] Yusuf Zaky Yaacob saya mengundang Norhisham bekerja dengan MINGGUAN KOTA BHARU, sebagai pembantu saya. Dan beliau memang datang melaporkan diri dan terus bertugas.

Pada masa itu, [Dato’] Ustaz Yusuf Zaky bercadang untuk memperluaskan pemasaran Mingguan KB  ke luar dari Kelantan. percetaka Sedangkan yang bertugas untuk menjaga penerbitan MKB hanya saya seorang sahaja, sepanjang beberapa tahun sejak ia mulai diterbitkan. Sayalah segala-galanya, kecuali di bahagian pemasaran, itu pun pada peringkat awalnya saya pun turut mengedarnya juga.

Di antara tugas-tugas beliau, ialah membantu saya memerufkan Mingguan Kota Bharu sebelum dicetak. Pada suatu pagi, tidak berapa lama selepas beliau bertugas, ketika kami sedang membaca pruf di sebuah meja kosong berhampiran dengan pintu untuk masuk ke kilang percetakan, seorang rakan setugas kami menyerahkan sebuah tulisan pendek berupa surat pembaca. Saya mengambilnya dan menyerahkannya kepada Norhisham dan kami membacanya. Saya telah lupa mengenai persoalan apa. Tapi memandangkan perkara itu tidak penting, kami mengkesampingkannya. Biasalah, macam kami mengkesampingkan tulisan-tulisan lain yang tidak sesuai dengan ketentuan kami.
 
Tapi tidak saya duga, perkara ini telah menjadi begitu besar. Ia telah dijadikan satu isu untuk memusnahkan karirer saya. Sahabat saya itu telah mengangkat perkara tersebut kepada [Dato’} Yusuf Zaky dengan dakwaan saya tidak pernah menyiarkan tulisan-tulisan beliau yang diserahkan kepada saya. Sedangkan setahu saya itulah satu-satunya tulisan beliau yang pernah diserahkan kepada saya untuk siaran MINGGUAN KOTA BHARU.

Saya mengetahui hal ini dijadikan isu, kerana tidak berapa lama selepas itu pada suatu petang seperti biasa saya pergi ke rumah [Dato’] Yusuf Zaky. Saya panggil dia Abang Soh sampai ke akhir hayatnya dan saya panggil isterinya, Datin Azizah, Kak Wan. Seperti biasa saya masuk ikut pintu belakang, melalui dapur, kerana dari arah ini pintu pagar dan pintu rumah tidak pernah berkunci, saya boleh terus masuk tanpa menyusahkan pihak tuan rumah untuk membuka pintu.

Sebelum saya menjengah ke ruang tamu, saya terdengar ada orang sedang bercakap-cakap. Saya berhenti sekejap di lorong yang bersambung ke ruang tamu, kerana takut-takut tetamu-tetamu itu dari orang-orang atasan dan kehadiran saya menganggu mereka. Di situ saya sempat mendengar sebahagian daripada apa yang mereka katakan tentang saya. Dan saya kenal suara itu. Namun begitu saya terus keluar juga menemui mereka. Tapi saya hanya duduk sekejap sahaja dan terus meminta diri.

Antara yang hadir di pertemuan itu ialah saudara sekerja saya yang tidak puas hati dengan penolaklan tulisan beliau tersebut, dan seorang kawan saya juga seorang penulis, yang juga membantai saya kerana katanya saya tidak memberi ruang kepadanya untuk berdebat dengan seorang penulis lain. Selain itu ada beberapa  orang lagi yang ikut serta. Perdebatan itu juga melibatkan  sebuah akhbar arus perdana ketika itu.

Saya terpaksa menceritakan hal ini, kerana ianya melibatkan Norhisham Mustafa. Dialah lawan debat  dengan penulis yang di sebelah pihak lagi itu. Dan sebahagian daripada tulisan beliau itu saya siarkan dalam MKB. Tapi saya tidak siar semua artikel yang dihantar pendebat yang seorang lagi, kerana artikel-artikel yang dikirimkannya kepada saya itu hampir semuanya sudah pun disiar terlebih dahulu dalam akhbar arus perdana tersebut itu. Tapi mana-mana rencana yang saya dapati belum disiarkan saya terima dan masukkan dalam MKB.

Perkara ini tidak habis di situ. Petang keesokan harinya, [Dato’] Yusuff Zaky memanggil saya untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan kami, biasanya untuk mengambil angin. Dalam masa-masa berjalan-jalan itulah beliau mengeluarkan perintah supaya saya segera menamatkan penerbitan MKB.

Beliau seterusnya menceritakan rakan sekerja saya itu memberitahu, dia telah menyerahkan banyak tulisannya kepada saya, tapi tidak diterima, sebaliknya saya masukkan tulisan-tulisan yang dihantar oleh penulis-penulis wanita. Dan beliau juga memberitahu tuduhan sahabat saya yang saya tolak tulisannya itu kerana  terlebih dahulu diterbitkan oleh akhbar peringkat nasional, dan beliau juga menuduh saya berat sebelah dengan memberi keutamaan kepada tulisan Norhisham Mustafa.

Saya nafikan tuduhan itu dan saya jelaskan kedudukan yang sebenarnya, tapi tidak bergunakan lagi. Gabungan daripada dua fitnah inilah MKB terpaksa ditutup dengan serta merta. Sebelum itupun memang ada aneka fitnah dalaman yang dilemparkan kepada saya menyebabkan saya kena “tekanan”  tanpa berkesempatan membela diri.

Saya tidak pernah memberitahu perkara ini kepada sesiapa pun. Saya juga tidak pernah memberitahu kepada Norhisham faktor yang berkaitan dengannya itu sampai ke hari ini. Saya terus juga bekerja di Syarikat Dian buat beberapa waktu walaupun berbagai-bagai bentuk cabaran dihadiahkan kepada saya. Walau bagaimanapun pada akhirnya saya mengambil keputusan yang berat untuk meninggalkan Dian.

Saya buat coretan tentang perkara ini bukan untuk melibatkan beliau dalam keributan yang saya hadapi, jauh sekali daripada untuk mempersalahkan beliau, tapi sebagai sebahagian daripada titik-titik realiti sejarah hidup saya, seorang hamba Allah begitu kerdil dalam melakar kehidupan.

Tidak lama lepas saya berhenti itu, seorang kawan memberitahu ada orang-orang tertentu di ibu kota telah menubuhkan sebuah syarikat untuk menerbtikan majalah dan menawarkan saya bekerja dengannya. Justeru masa itu saya tidak berkerja, saya terima dengan segala senang hati. Saya jemput Norhisham bekerja dengan saya bersama dengan seorang lagi.

Sebelum memulakan kerja saya terlebih dahulu menyiapkan kertas kerja mengenai majalah yang dicadangkan itu, saya rasa saya masih menyimpannya lagi. Berdasarkan kertas kerja itulah saya menyiapkan bahan-bahan untuk majalah tersebut.

Pejabat kami terletak di tingkat atas di sebuah bangunan berhampiran simpang empat lampu isyarat ke China Town. Sebahagian daripada alat-alat pejabat yang penting, seperti taip elektrik telah disediakan untuk memudahkan kerja kami dan menunjukkan keseriusan penganjurnya dalam projek tersebut.

Tapi projek itu tidak bertaham lama. Hanya untuk sebulan atau dua bulan sahaja, gaji kami dibayar, selepas itu bukan sahaja gaji kami tidak dibayar, malah sewa pejabat juga tidak dijelaskan. Majalah pun tidak pernah diterbitkan, walaupun kandungannya telah kami siapkan. Setelah dibiarkan kami terkatung-katung tanpa kabar dan berita beberapa bulan, kami, saya dan Norhisham terpakasa meninggalkan perjabat, berhenti bekerja.

Sejak itu saya dan Nohisham berpisah, dan kami hampir tidak bertemu lagi. Membawa haluan masing-masing.

Namun begitu saya pernah sekali bekunjung ke rumah beliau yang terletak tidak jauh daripada Hospital Lati beberapa tahun kemudiannya. Oleh sebab saya tidak aktif dengan mana-mana persatuan, khususnya persatuan penulis, menyebabkan hubungan saya dengan teman-teman penulis, termasuk Norhisham Mustafa menjadi tidak lancar. Faktor lain ialah kerana saya pindah ke KL buat beberapa waktu dan juga lama menetap di kawasan yang agak jauh dari ibu negeri Kelantan hingga ke hari ini.



Sehingga kini sudah beberapa tahun berlalu kami tidak bertemu. Seperti yang saya katakan tadi, kali terakhir kami bertemu ialah ketika beliau dan Wadi berkunjung ke rumah saya beberapa tahun yang lalu.

Demikianlah sedikit coretan saya yang bertali dengan sastrawan Norhisham Mustafa yang saya hormati, sebagai titik-titik hujan dalam kenangan, walaupun sebahagian daripadanya telah diselimuti oleh gerimis masa yang kadang-kadang menebal dan kadang-kadang menipis yang merupakan sebahagain jejak-jejak laluan dalam kenangan saya.

Demikianlah sebahagian daripada cebisan-cebisan kenangan saya terhadap Norhisham. Salam takzim dari saya.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP