SIAPAKAH KARL MAY DALAM AYAT-AYAT CINTA?

>> Saturday, March 9, 2013




SIAPA KARL MAY DALAM AYAT-AYAT CINTA?


Setelah saya menyimpannya selama beberapa hari, saya pun mulai memabca Ayat-ayat Cinta, memulainya dari kulit hadapan hingga ke kulit belakang sebelum membaca kandungannya.

Saya baca semua komentar yang disiarkan di helai-helai awal Ayat-ayat Cinta dan juga di kulit belakangnya. Saya juga baca prolognya oleh Hadi Susanto yang diberi jodol, “Ayat-ayat Cinta; Novel Budaya, Novel Keagamaan atau Novel Cinta”.

Ayat-ayat Cinta yang ada di tangan saya ini cetakan yang ke dua Malaysia pada tahun 2006. Namun begitu ia merupakan sesuatu yang baru kepada saya, kerana saya baru mulai membacanya,

Selepas selesai membaca episod pertama, “Gadis Mesir itu Bernama Maria”, saya teringat nama Karl May yang diungkap dalam porolog oleh Hadi Susanto. Bila saya periksa, ada dua kali beliau menyebut nama Karl May dalam prolognya itu.

Siapa Karl May?

Siapa sebenarnya Karl May itu?

Beliau adalah salah seorang pengarang Jerman yang terohor dan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam barisan sastrawan Jerman  moden.
Beliau bukan sahaja seorang penulis yang terkenal, tapi juga seorang penyair, penulis drama dan juga seorang ahli muzik.

Banyak karya-karya beliau telah difilemkan, dipentas , dijadikan audio drama dan juga dijelmakan dalam bentuk komik.

Karl May dilahirkan pada 25 Febuari 1842 di Hohenstein Enstthal, dan meninggal dunia pada 30 Mac 1912 di Radebenl, dalam usia 70 tahun kerana sakit paru-paru.

Buku-buku hasil karyanya mendapat sambutan yang baik, bukan sahaja di Jerman tapi di seluruh dunia, dan merupakan buku-buku yang laris penjualannya disepanjang masa.

Antara buah-buah tangannya yang terkenal ialah Winnetou, Kara Ben Nemasi. Novel Winnnetaou telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia.

Sehingga kini buku-bukunya telah dialihbahasakan ke dalam lebih dari lima bahasa di dunia. Antara peminat-peminat karya beliau ialah Adolf Hitler, Albert Eiinstein, Herman Hesse dan Berthoven Suttner.

Tapi, pada hakikatnya, Karl May adalah  seorang yang anti Islam dan berusaha merosakkan Islam menerusi karya-karyanya.

Melalui karya-karyanya yang banyak itu, khususnya novel, dia telah melemparkan berbagai-bagai tuduhan palsu dalam pemesongan fakta terhadap agama Islam dan umat Islam. Namun begitu, hasil-hasil karyanya itu telah menjadi sumber kajian  kepada ribuan pembacanya, terutama rakyat  Jerman dari sejak dahulu hingga sekarang dan diterima sebagai hakikat yang benar oleh mereka.

Kehandalannya berkarya telah mempesonakan pembaca-pembacanya dan meletakkan beliau dalam barisan penulis-penulis  yang termasyur di kalangan masyarakat dan bangsa Jerman.

Meracuni Fikiran

Telah berpuluh-puluh tahun lamanya novel penggembaran dan advancer pengarang Jerman, Karl May dari Saxony itu telah meracuni fikiran  beribu-ribu orang pembaca Jerman dengan kebencian dan penghinaan terhadap Islam.

Seorang penulis dan wartwan terkemuka Jerman, Dr. Oscar C, Pfaus pernah mengulas  karya-karya Karl May itu dan secara tegas menuduh Karl May seorang penulis yang dusta dan telah berjaya memesongkan fakta-fakta tentang Islam dan umat Islam.

Saya pernah mengalihbahasakan tulisan Dr. Oscar C. Pfaus itu untuk siaran sebuah media tempatan, dan memandangkan kandungannya masih relevan maka saya perturunkan kembali tulisan itu dengan pindaan yang kecil sahaja untuk disesuai dengan masa tanpa mengubah maksudnya.

Tulisan itu telah saya siar kembali dalam Pondok Rahmat tidak lama dahulu dan saya perturunakan sekali lagi di sini.

Demikianlah caranya orang-orang barat yang anti Islam, khususnya kaum Orientalis mereka merosakan Islam menerusi dakyah-dakyah mereka yang kotor. Marilah kita kongsi bersama perndapat Dr. Oscar C. Pfaus itu.

Menurut Dr. Pfaus, memang patut diakuri pengarang Jerman ini mempunyai pena yang berpengaruh dan khayal yang mengkagumkan. Keindahan seni penceritaan Karl May sejak zamannya sampai sekarang jarang-jarang dapat ditandingi oleh pengarang-pengarang cerita fiksi Jerman yang lain. Demikian juga kejempulan kesenian Karl May dalam tindak tanduk menukarkan fiksi kepada kenyataan, dan menjadikan cerita-cerita yang dusta dapat diterima oleh umum sebagai cerita-cerita benar yang dibaca dengan sepenuh minat.


Hero utama dalam cerita-cerita dunia Arab yang ditulisnya sudah pasti dirinya sendiri, iaitu seorang bangsa Saxony yang bijak bastari. Di samping itu ada pula hero-hero kecil yang kurang penting, yang boleh dikatakan semuanya terdiri dari mubaligh-mubaligh Kristian yang di Timur Dekat dan lain-lainnya, seperti pengembaran fantasi hero Carnodo mencari tujuh buah bandar emas Cebola.

Dalam kesah penggembaran yang mengkagumkan itu, Karl May menggelarkan dirinya Karl Ben Nemsi, dan menurut katanya sendiri dia adalah seorang yang paling cekap sekali menguasai bahasa-bahasa dan loghat-loghat pertuturan di negara-negara Islam. Di samping itu, dia juga mengakui dirinya cukup pintar memperlihatkan tingkah laku yang menawan hati, dan seorang ahli penembak dan pemain gusti yang kehandalannya belum pernah ditonton oleh dunia seumpamanya.

Kecekapannya menunggang kuda dan unta adalah lebih baik dari penunggang Arab yang terhandal. Dia menggembara bukan setakat negara-negara di Afrika Utara, tetapi merata sampai ke negara Sudan, Mesir, Turki, Arab , Farsi dan negara-negara Islam yang lain, dan ke mana sahaja dia pergi, dia mendakwa membawa undang-undang dan peraturan-peraturan Jerman untuk mendidik bangsa-bangsa Jakun yang kasar dan jahil itu, dan dia tidak ragu-ragu menyebatkan mereka dengan cemeti kalau ada yang berani menunjukkan kemarahan terhadap sikap ketuanannya.

Dalam cerita itu dia memakai jubah orang Arab dan memakai tanda kehajian supaya kelihatan persis seperti orang yang telah mengambil Haji dari tanah suci Mekah yang warak dan beriman dengan tujuan untuk mendapat kepercayaan orang-orang Islam. Dan katanya dia berjaya samada dalam usahanya menyakinkan orang-orang Islam bahawa agama mereka agama yang salah, atau dalam perjuangannya melawan orang-orang Islam samada  seorang atau pun berpuluh-puluh orang. Tidaklah  menjadi hal kepada pahlawan Jerman yang sakti ini walaupun seramai mana orang-orang Islam yang cuba menentang sikapnya yang congkak,  bongkak dan menghinakan itu, malah dia tetap menang dalam setiap perlawanan. Kebanyakannya dia mendakwa dengan berjuang seorang diri sahaja, dan ini adalah semata-mata kerana didorong  oleh keinginan mengekalkan perdamaian dan mahabah.

Semua orang Islam yang muncul dalam cerita-cerita fantasi Karl May ini kebanyakannya digambarkan dengan watak-watak bandit, pengecut, pemabuk, lanun dan perompak-perompak padang  pasir, atau pun terdiri dari pengawas-pengawas abdi, perlintih-perlintih yang malas, pengemis atau pegawai-pegawai jahat yang korap, tetapi pada keseluruhannya orang-orang Islam itu berkelakuan suka menipu, suka merusuh, suka berperang, suka menjarah, dan suka menumpahkan darah, dan tidak seorang pun orang Islam itu yang alim tentang al-Quran atau mengetahui sejarah Islam seperti kealiman Ben Nemsi dari Sexony itu.

Namun begitu, andainya orang membaca kisah penggembaran May ke Mekah itu dengan hati-hati nescaya dengan segera dia akan mendapati bahawa karya May itu adalah berupa cidukan daripada laporan lawatan seorang pengarang lain ke Mekah bernama Maltzan.

Walau pun ketika saya masih kanak-kanak sekolah lagi, saya tidak dapat menerima sepenuhnya kenyataan May yang begitu congkak dan begitu gagah berani hingga tidak dapat dikalahkan itu, namun saya tetap gemar membaca cerita-cerita advancer  May yang hidup itu, lebih-lebih lagi guru-guru sekolah dan gerejawan-gerejawan tidak pernah mengharamkan buku Kary May yang penuh kedustaan mengenai Islam, malah dijadikan bahan bacaan sekolah-sekolah, gereja-gereja dan perpustakaan awam di Jerman.

Seperti kanak-kanak dan pembaca-pembaca dewasa lainnya, saya terima penggembaran May yang mengkagumkan itu sebagai satu kebenaran yang mutlak, dan saya mulai bencikan agama Islam dan orang-orang Islam, malah memandang mereka sebagai musuh perdamaian dan kemanusiaan.

Saya tidak mengetahui sebab-sebab sebenarnya, mengapa saya bencikan orang-orang Islam, saya tidak pernah berjumpa dengan seorang Islam pun dan saya tidak pernah mengetahui tentang kebudayaan-kebudayaan tinggi yang dibawa ke Eropah oleh orang-orang Arab melalui negara Sepanyol. Masa di sekolah, kami sedikit benar diajar tentang sumbangan-sumbangan Islam dalam ilmu sains dan peradabaan. Semua pengetahuan tentang Islam adalah didapati daripada sumber cerita-cerita tolol yang tidak berasas karya pengarang Jerman, Karl May ini.

Pemesungan itu berlaku berpuluh-puluh tahun dahulu dan sampai sekarang ini pun masih terus berjalan. Angkatan-angkatan baru Jerman masih tetap membaca karya-karya Karl May seperti yang dilakukan oleh angkatan tua, dan cerita-cerita May masih lagi dianggap karya-karya sederhana yang standard tentang Islam.

Kemudian sesudah dewasa, saya bertuah beroleh kesempatan keluar negara Jerman untuk melanjutkan pelajaran di Amerika, di mana saya berpeluang menambahkan pengetahuan saya sedikit lagi tentang Islam dengan lebih mendalam, dan di sana juga saya bertemu dengan orang-orang Islam yang semuanya sangat peramah dan berbudi baik terhadap saya. Saya sama sekali gagal untuk menemui  orang-orang Islam yang kejam dan zalim seperti yang dihadapi oleh hero Karl Ben Nemsi dalam ceritanya. Sejak itu pandangan saya terhadap Islam berubah. Saya teruskan lagi mencari kebenaran, dan seorang sahabat baik saya telah menghadiahkan kepada saya sebuah al-Quran tua, melalui al-Quran itu saya mengenali falsafah Islam yang dalam dan perbendaharan ilmu pengetahuan yang tinggi yang belum pernah saya ketahui sebelumnya atau kalau adapun sedikit benar.

Runtuh

Akhirnya kepercayaan saya terhadap Karl May telah runtuh sama sekali bila saya bertemu di bandar Chicago dalam tahun 1933 dengan Gustave Koegel, seorang wartawan tua Amerika yang selalu menggembara menggelingi dunia. Beliau pernah bertemu dengan May dan penerbit bukunya, iaitu tuan dan puan Polehn suami isteri di Kota Beirut, Syria dalam bulan Jun 1900. Bila wartawan vetran itu  melihat kegemaran saya kepada karya-karya sastera  May, lalu dia pun dengan terus terang memberitahu saya bahawa  May mendapat pengetahuannya tentang Islam dan orang-orang Islam dengan hanya membaca buku-buku yang ditulis oleh penggembara-penggembara Kristian yang lain dan dengan hanya  memandang keluar menerusi Hotel Allemand di Kota Beirut.

Koegel selanjutnya menceritakan kepada saya bahawa dia berkenalan dengan May di kota Beirut  dan bila May mendengar Koegel akan menggembara melintasi negara-negara Arab dan India, dia pun meminta Koegel agar tolong mengeposkan kertu-kertu pos yang telah siap ditulis dan ditandatangani olehnya dari berbagai-bagai tempat penting yang akan dilalui oleh Koegel dalam penggembarannya itu, Koegel meninggalkan kota Beirut dan dalam penggembarannya itu dia telah menunaikan permintaan May dengan mengeposkan kartu-kartu pos yang sudah bertulis dan beralamat itu, kebanyakannya dituju kepada orang-orang Jerman, namun begitu dari segi akhlak dia tidaklah menganggap tindakannya itu sebagai menolong perbuatan-perbutan yang subahat.

Selain dari itu, Koegel juga menunjukkan kepada saya beberapa keping gambar yang diterimanya dari May di kota Beirut dan sebuah sajak yang  yang ditulis Oleh May dalam buku lawatan Koegel.

Akhirnya Koegel membuat kesimpulan terhadap May dengan mengatakan, “Karl May  tidak pernah melihat negara-negara Islam yang ditulisnya itu. May seorang pembicara yang periang, seorang penulis yang dapat menghidupkan karya-karyanya, tapi seorang pendusta besar”. Tetapi karya-karya Karl May yang pendusta ini dan watak Karl Ben Nemsi yang fantasi itulah yang menjadi sumber pengetahuan  dan pengajian tentang Islam beribu-ribu umat manusia.

Kerosakan terhadap Islam dan kebenaran disebabkan oleh buku-buku May telah dan masih lagi berleluasa, tetapi kita mengharap bahwa generasi-generasi yang lebih insaf dan sedarkan kepentingan mahabah dan kejujuran akan mempunyai cukup kewajaran untuk berlaku adil terhadap Islam dan mengambil pengajaran tentang Islam dari sumber-sumber yang betul, bukan dari sumber-sumber cerita fiksi yang dusta dan tidak berasas itu”.

Demikian Dr. Oscar C, Pfaus menamatkan pembicarannya untuk dijadikan bahan renungan umat Islam hari ini.

Sesungguhnya kita tidak hendak menafikan keunggulan Karl May dalam berkarya, yang telah berjaya menjulang namanya setinggi langit, tapi sebagai seorang Islam, kita tidak juga boleh menafikan Karl May sebagai seorang yang anti Islam dan berusaha menerusi karya-karya untuk membinasakan Islam dan umat Islam.







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP