Nama Bayi Dirasmi Di Majlis Bercukur

>> Monday, March 18, 2013



NAMA BAYI DIRASMI DI MAJLIS BERCUKUR


Pada pagi Jumaat yang lalu, kami telah menghadiri majlis bercukur bayi di rumah salah seorang jiran kami sekampung.

Majlis berlangsung di selepas Solat Subuh, dan dihadiri oleh kira-kira dua puluh orang jemputan.

Seperti biasa kami duduk bersila dalam bentuk bundaran. Dengan melapangkan bahagian tengahnya.

Salah seorang daripada jemputan yang duduk bersila itu adalah “syikh” yang akan mengendali majlis bercukur tersebut.

Kebiasaan masyarakat Kelantan, mengadakan majlis bercukur kepala bayi ialah sebaik-baik bayi didapati tanggal tali pusatnya.

Pada hari itu yang diadakan hanya majlis bercukur, bukan lagi majlis aqiqah yang biasanya didakan di kemudian hari. Itulah sebabnya ketika mengundang jemputan, majlis itu dikatakan majlis bercukur sahaja.

Setelah semua jemputan mengambil tempatnya, sebuah hidangan khusus yang diletak dalam sebuah dulang kecil untuk upacara bercukur pun diangkat ke hadapan syikh. Biasanya antara lainnya  mengandungi nasi lecek, gula batu, buah kurma dan air zam-zam.

Biasanya buah kurma merupan makanan  yang mula-mula disuap ke mulut bayi, yang terlebih dahulu  dilecek oleh syikh dengan jarinya, kemudian diikuti dengan suapan air zam-zam ke mulut bayi dengan sudu.

Acara ini dikenali dengan nama membelah mulut bayi, di mana bayi buat pertama kalinya diperkenalkan dengan bahan-bahan makanan selain daripada susu ibunya.

Bila upacara membelah mulut selesai, kepala bayi pun dicukur. Ia sebenarnya bukan dicukur atau dibotak kepala bayi, tapi hanya digunting beberapa urat rambut di kepala bayi oleh sekurang-kurangnya tiga atau tujuh orang yang hadir

Kalau kepala bayi memang hendak dicukur botak, maka ia akan dilakukan semula oleh ibu bapanya sendiri.

Selepas kepala bayi dicukur, Syikh membaca doa selamat untuk bayi.

Kemudian kami semua berdiri dan beramai-ramai bersalawat ke atas Nabi S.A.W. dengan suara yang lantang tanda gembira dan bersyukur.

Ketika bersalawat, bayi itu dibawa keliling oleh seseorang yang akan berhenti di hadapan setiap orang yang dilaluinya, yang akan memberinya restu dengan menyentuh ubun-ubun kepalanya.

Biasanya bayi itu dibawa berpusing selama tiga keliling. Bila Salawat selesai, kami semua duduk, dan doa selamat untuk bayi pun dibacakan oleh syikh.

Kemudian syikh akan mersemikan nama bayi itu yang telah pun diberikan namanya terlebih dahulu oleh orang tuanya dengan menyebut nama bayi itu dan diringi dengan bacaan doa.

Apabila mustaid, seperti biasa jamuan pun dihidangkan untuk para jemputan. Ia mungkin nasi, mungkin roti jala, dan sebagainya dari jenis makanan yang menjadi pilihan tuan rumah.

Bila selesai makan, majlis pun selesai dan bersurai. .

Seperti biasa setiap para jemputan dihadiahkan sedikit cedera hati, biasanya berupa pulut kuning untuk dibawa pulang ke rumah.



Rasanya tidak lengkap jika saya tidak menyentuh sedikit tentang aqiqah terhadap bayi, dan yang sering menjadi persoalan ialah bilakah sepatutnya aqiqah itu diadakan?

Maka untuk tujuan itu saya petik pendapat Allahyarham Datok Yusoff Zaky Yacob yang antara lain pernah menegaskan, “Yang afdhal aqiqah bagi bayi lelaki ialah 2 ekor kambing yang hampir persamaan rupa dan umurnya, sedangkan aqiqah bagi perempuan ialah seekor kambing, dan boleh juga dikorbankan seekor kambing untuk bayi lelaki.

“Hari aqiqah hendaklah diadakan pada hari ketujuh jika terdapat kemudahan dan jika tidak, boleh juga diadakan pada hari keempat belas, dan jika kemudahan tidak terdapat juga bolehlah diadakan pada hari yang keduapuluh satu dari kelahirannya dan jika seterusnya tidak ada kemudahan bolehlah didakan pada mana-mana hari sekali pun.

Seterusnya beliau menjelaskan, “Aqiqah itu sah juga dibuat dengan menyembelihkan seekor lembu dengan dibahagi tujuh, setiap bahagian mencukupi bagi seorang bayi.

“Penyembelihan itu bolehlah dilakukan dengan jalan berkongsi dengan orang-oang yang menghendaki dagingnya sahaja.

“Aqiqah ini disunatkan ke atas orang-orang yang menanggung nafkah anaknya, dan tidak harus dibuat dengan harta si anak itu.

“Begitu juga aqiqah ini ini sunat dilakukan untuk bayi yang mati sebelum hari yang ketujuh atau selepasnya apabila seseorang itu mempunyai kemampuan untuk aqiqah.

“Daging aqiqah itu disunat dimasakkan dengan campuran halwa atau gulai manis kerana mengambil sempena dengan kemanisan akhlak anak yang baru lahir itu.

“Bahaigian kaki kambing sunat diberikan kepada bidan dan daging-daging itu disunat tidak dipecah tulang-tulangnya seberapa boleh, bahkan setiap tulang hendaklah dipotong dari sendinya kerana mengambil sempena dengan keselamatan anggota si bayi tetapi jika tulang-tulang itu dipotong juga, maka tidaklah termasuk dalam hukum makruh”.

Sekian, Wabillahi Taufiq.













0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP