BILA LAMPU PADAM
>> Thursday, March 21, 2013
Kebiasaannya manusia dan haiwan dikurniakan dengan mata untuk memandang
demi kepentingan hidup mereka sendiri. Manusia dan haiwan mempunyai
berbagai-bagai kepentingan dengan mata.
Selain daripada manusia dan haiwan, ada juga benda-benda lain yang tidak
bernyawa pun dikirakan mempunyai mata.
Buah nyur atau kelapa yang sedang bercambah untuk menjadi benih baru dikatakan bermata. Penyakit-penyakit kudis, seperti bisul dikatakan bermata bila kelihatan tumpukan nanah yang berkumpul pada bisul itu dan mungkin akan pecah.
Makhluk-makhluk ghaib juga dikatakan bermata. Mereka percaya matanya sebiji
sahaja. Seperti bangsa jin dan juga Dajjal dikatakan bermata satu terletak di
tengah-tengah dahinya.
Hari-hari yang kita lalui setiap hari juga bermata, dan matanya dinamakan
Matahari. Matahari juga dianggap mata dunia, kerana kewujudannnya terserlah di
seluruh dunia.
Matahari juga dikenali dengan panggilan suria, dan mentari dan kadang-kadang
dinamakan bola angkasa, kerana keaadaannya yang bulat terpampang di dada langit
yang luas terbentang.
Kepentingan Matahari
Mengikut sains matahari, mentari atau suria atau bola angkasa terbina dari hidrogan
dan helium, dan dikatakan matahari itu pusat tatasuria.
Semua planet berputar mengelilingi matahari yang dianggap sebagai pusat
peredaran.
Matahari menjadi sumber pembekal energi atau tenaga kepda semua
hidup-hidupan di dunia ini.
Cahayanya amat penting untuk menerangi alam maya ini dan membolehkan mata
kita dan mata haiwan melihat segala sesuatu. Tanpa cahaya kita tidak dapat
melihat.
Matahari berguna kepada kita untuk melihat, maka dengan itu membolehkan
kita menjalankan aneka tugas, bekerja dan sebagainya. Matahari juga digunakan
untuk menjauhkan diri kita dari segala mara bahaya yang mungkin menimpa.
Matahari membolehkan kita yang celik ini melihat segala-galanya sejauh yang
mampu kita melihatnya.
Oleh itu matahari merupakan makhluk yang amat penting kepada manusia untuk membina
kehidupan mereka.
Wajah matahari panas dan garang, tidak seperti bulan yang tersembol di
langit pada waktu malam, lembut dan tenang, menyamankan.
Pada waktu malam, justeru tidak ada matahari untuk menerangi alam, manusia
menggunakan pelita atau lampu dan sebagainya untuk menerangi sekitar hidupnya
untuk membolehkan mereka berada dalam suasana yang lebih aman, ceria dan selesa
dalam suasana yang terang benderang yang berjaya menumpaskan kegelapan malam tanpa matahari.
Dalam Gelap
Pernahkah anda berpengalaman pelita atau lampu padam atau black out di
waktu malam yang gelap pekat, tanpa sebiji bintang pun yang berkedip di langit?
Kegelapan itu bukan berminit. Tapi berjam-jam lamanya sebelum ia terang
kembali, dan waktu itu pula anda berada sendirian di sebuah rumah terpencil di
kaki bukit yang berhutan rimba, yang jauh daripada manusia yang menambahkan lagi
kengerian kegelapan malam.
Bagaimana perasaan anda dalam suasana yang kesepian sebegitu rupa,
hinggakan unggas-unggas yang sebelum itu berlagu riang bersama dengan pupukan
bayu malam yang menyegar, tiba-tiba bila
lampu padam, kegelapan meliputi bumi semuanya menjadi sepi sunyi dan kaku macam
di tanah perkuburan?
Bagaimana rasanya bila lampu pada malam yang kelam itu padam selama
beberapa jam sebelum kerosakan bekalan elektrik dapat dipulihkan kembali?
Anda akan merasa gelisah resah, tak selesa, malah mungkin diserbu oleh
ketakutan, walaupun anda tahu lampu yang padam itu bila-bila masa sahaja boleh
menyala kembali menyapu kegelapan dan
kecerahan akan muncul kembali bila kerosakan bekalan elektrik selesai
diperbaiki.
Itu baru lampu di rumah anda dan di sekitarnya yang padam dan alam
dibungkus oleh kegelapan, tapi bagaimana kiranya yang padam itu lampu alam,
matahari yang menjadi sumber segala cahaya dan sumber segala kehidupan itu yang
padam?
Pada mula-mulanya manusia
menyangka matahari itu diam membatu, tidak bergerak, demikian jugalah dengan
bulan.
Tapi sebenarnya matahari itu
bergerak, beredar dalam orbitnya mengikut cara yang tertentu.
Al-Quran menegaskan bahawa
matahari dan bulan itu bergerak dalam orbit atau garis edar masing-masing yang
tertentu.
Allah berfirman, “Dan
Dialah yang telah menciptakan malam dan
siang, matahari dan bulan. Masing-masing dari keduanya itu beredar pada garis
edarannya”. Al-Anbiya’[21]: 33.
Mengenai matahari yang bergerak
itu ditegaskan juga dalam ayat lain, “Dan matahari berjalan di tempat
peredrannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Perakasa lagi Maha Mengetahui”. Yasin
[36]: 38.
Dan, “Dan bukan matahari
mendahului bulan dan juga bukan malam mendahului siang. Mereka beredar dalam
orbit sendiri”. Yasin [36]: 40.
Dan seterusnya, “Maha suci Allah
yang menjadikan di langit gugusan-gugusan bintang dan Dia menjadikan juga
padanya lampu dan bulan yang memberi cahaya”. Al-Furqan [25]: 61.
Mengikut mufasir, dalam ayat-ayat
di atas menyatakan matahari seperti lampu. Iaitu jasad yang bercahaya kerana ia
terbakar dan beredar atas orbitnya sendiri.
Fakta Matahari
Mengikut kajian ahli-ahli bintang
usia matahari ialah sekurang-kurangnya 6,000 juta tahun, berbanding dengan umur
bumi kira-kira 4, 600 juta tahun.
Matahari mempunyai garis pusat 50, 000 km.
Luas permukaan matahari ialah 12, 000 kali ganda daripada luas permukaan bumi
yang kita huni ini. Sementara luas daratan
permukaan bumi ialah 148, 326,
000 km persegi [ 57, 268, 700 batu persegi]
merupakn 29 peratus daripada keluasan bumi, sementara lautan pula luasnya
361,740,000 km persegi [139, 667, 810 batu pergi], merupakan 71 peratus daripada
keluasaan permukaan bumi.
Sukataan suhu di permukaan
matahari yang dipanggil photosphere ialah kira-kira 6,000 K.
Di atas photosphere itu
terletaknya kawasan sempit yang dipanggil chromephere.
Sukatan suhu di dalam matahari pula kira-kira 35,000,000
K.
Daerah “sejuk” yang dipanggil sunspot
yang kelihatan gelap jika dibandingkan dengan keadaan sekelilingnya
mempunyai sukatan suhu 3800 K. Kawasan sejuk ini boleh membesar sehingga 5,800
km diameter atau garis pusatnya.
Jarak matahari dari bumi ialah 149, 600, 000 km.[92,868,000 batu].
Isi padunya pula ialah 1,300, 000.
Ketumpatannya ialah 0.25
Kekuatan graviti permukaannya ialah 72.7
Masa pusingan atas paksinya ialah 38.25 hari.
Kelajuan pusingan di atas Khutulistiwa ialah 7092.38 km satu jam.
Kemusnahan
Oleh sebab matahari itu menjadi
sumber hidup kepada semua kehidupan, baik manusia, tumbuhan atau haiwan, maka
ketiadaan matahari bererti semuanya akan musnah.
Mengikut ahli-ahli sains salah
satu cara berlakukan kiamat ialah bila matahari padam atau tidak bercahaya
lagi, kerana bila matahari padam, dunia menjadi musnah, iklim dunia akan
menjadi pincang, tanam-tanaman akan binasa kerana tidak dapat hidup tanpa
cahaya matahari.
Sedangkan ketibaan kiamat itu
memang sudah pasti. Setelah bumi segala isi-isinya musnah porak peranda di hari kiamat, maka
sebelum manusia mendapat tempat yang sesuai
dengan pemilihan mereka semasa hidup di dunia, syurga atau neraka, semua mereka
terlebih dahulu dihimpunkan di suatu tempat yang dipanggil Padang Mahsyar untuk
ditimbangkan segala dosa pahala yang telah mereka lakukan.
Di padang Mahsyar ini keadaannya
tersangat panas. Kerana matahari berada terlalu dekat di atas kepala yang
menyebabkan mereka bermandi dan tenggelam dalam lautan peluh.
Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya
matahari itu dekat pada hari kiamat sehingga keringat seseorang itu dapat
sampai di setengah telinganya”.HR:Imama Abu Daud & Al-Hakim.
Sabda Baginda SA.W. lagi ”.....Maka
ketika itu manusia akan mandi peluh menurut amal perbuatannya, maka di antara
mereka ada yang peluhnya hanya sampai ke mata kaki, dan ada yang sampai ke
lututnya, dan sebahagian dari mereka tengelamam peluh sampai ke mulutnya. Rasulullah
SAW sambil beri isyarat dengan tangannya ke mulutnya”.HR: Imam Muslim.
Demikian serba sedikit tentang
matahari yang bukan sahaja berperanan dalam dunia ini, tapi juga di hari kiamat
ketika manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar untuk menghadapi Allah S.W.T.
Wallahua’lam.
0 comments:
Post a Comment