GILA-GILA PILIHAN RAYA
>> Monday, March 4, 2013
Setiap kali
menjelang pilihan raya berbagai-bagai penyakit timbul, dan di antaranya yang
paling bahaya ialah penyakit gila-gila. Penyakit gila pilihan raya ini bukan
sahaja menimpa ahli-ahli politik, tapi juga menimpa kebanyakan anggota
masyarakat.
Penyakit gila
ini bukan sahaja menimpa orang-orang yang tidak berpelajaran, malah juga
orang-orang yang cerdik pandai, orang-orang bijaksana pun jadi gila kerana
pilihan raya; demikian juga ia bukan sahaja menimpa orang orang-orang tidak berjawatan,
malah juga orang-orang yang berjawatan tinggi, pun jadi gila juga kerana pilihan raya.
Kegilaan
orang-orang bijaksana, berpelajaran dan berjawatan tinggi, lebih teruk daripada
kegilaan orang-orang yang tidak berpelajaran dan berkedudukan. Malah dalam
kebanyakan hal, mereka adalah menjadi pecetus kepada kebanykan kegilaan pilihan
raya di kalangan masyarakat yang terikut-ikut dengan gelaggat mereka.
Ini berlaku
kerana orang-orang bijaksana dan orang-orang atasan menjadi gila kerana
mempunyai ajenda yang tersendiri, tapi rakyat jelata dan tidak berjawatan,
kebanyakan kegilaannya berupa ikut-ikutan sahaja atau setelah dibatuapikan oleh
pihak-pihak tertentu kerana kepentingan tersendiri.
Pendek kata,
penyakit gila pilihan raya ini menimpa semua orang dari atas ke bawah, dari
bawah ke bawah, iaitu mereka yang senghaja untuk menjadi gila, kebanyakannya
secara sedar.
Gila-gila
Jadi Calon
Ada sesetengah
anggota parti yang merasa dirinya cukup layak menjadi calon pilihan raya, lalu
dengan keras berusaha supaya terpilih menjadi calon nanti. Mereka tidak merasa
segan dan silu bertindak untuk mencapai maksudnya itu.
Biasanya mereka
terdiri daripada ahli-ahli parti yang telah mempunyai tempat dan tapak dalam sesebuah
parti dan juga mempunyai sebilangan penyokong-penyokongnya sendiri.
Andainya rancangan
mereka untuk menjadi calon itu gagal, mereka yang gila-gila menjadi calon ini, tidak
teragak-agak untuk bertindak membalas dendam terhadap partinya yang dikatakan
tidak adil.
Bila tiba hari
mengundi, mereka ini tidak teragak-agak untuk bertindak mengkhianati parti
sendiri, berusaha untuk menumpaskan calon di kawasan mana dia pernah berharap untuk
menjadi calon.
Atau pun dia
dari sejak siang-siang lagi telah bertindak keluar parti, baik dengan kerelaan
sendiri ataupun mendapat upah dari parti lawan yang telah berjaya menangguk di
air keruh, kemudian tidak menunggu lebih lama lalu melancarkan kempen-kempen
memburuk-burukkan pemimpin dan parti jandanya itu dengan berbagai-bagai tuduhan
dan aiban.
Gila-gila
Projek
Ada segolongan
dari mereka bercergas dalam parti dekat pilihan raya dengan harapan yang penuh
untuk mendapat projek segera menjelang hari mengundi daripada partinya. Projek
ini tdaklah besar, dan tidak memerlukan lesen kontraktor, asalkan boleh
melaksanakan tanggungjawab yang ditawarkan.
Projek-projek
kecil ini biasanya berupa penyediaan makanan atau hadiah-hadiah kepada orang ramai, khususnya ahli-ahli parti yang menyertai sesuatu
program yang kerap diadakan oleh sesebuah parti secara berterusan beberapa
bulan menjelang hari mengundi.
Orang-orang
seperti ini juga kalau tidak dapat projek akan merajuk dan beronar, membuat hal
untuk menganggu parti yang sedang bertungkus lumus berjuang untuk memenangi
pilihan raya.
Gila-gila
Berfitnah
Gila-gila pilihan
raya yang paling teruk ialah gila-gila membuat fitnah. Kegemaran membuat fitnah
terhadap parti dan juga anggota-anggota parti lawan yang begitu bermaharajalela
hingga boleh dikatakan telah mencapai peringakt gila-gila.
Berbagai-bagai
fitnah telah direkaciptakan dan ditabur di segenap ceruk rantau. Kebanyakan
fitnah-fitnah itu tidak berasas sama sekali. Daripada sebuah fitnah yang
diucapkan atau digariskan akan menelurkan beribu-rbu fitnah lagi di atas tajuk
yang sama, ada yang berupa salinan, dan pula yang pula yang telah diubahsuai
mengikut selera masing-masing.
Fitnah memfitnah
adalah satu perkara yang lumrah dalam arena politik di negara kita, terutama
bila tiba musim pilihan raya dengan tujuan untuk meraih banyak undi dan
memenangi pilihanraya, menjadi Yang Berhormat dan berkuasa nanti.
Gila-gila Membuat
Janji.
Ada pula para
pemimpin suka menabur berbagai-bagai janji manis kepada rakyat jelata. Buat
janji di sana, buat janji di sini. Janji-janji lama masih terbangkalai, tapi
janji-janji baru ditabur lagi untuk memenangi hati rakyat.
Biasanya
janji-janji yang ditawarkan itu bernilai tinggi, menelan perbelanjaan wang
ringgit yang besar. Maka tiap-tiap hari bertaburlah janji-janji berupa angka-angka
dalam serba bentuk dan serba nilainya di sogokkan kepada rakyat, menerusi lidah
atau media cetak.
Gila-gila Mencerca
Setelah berjaya
mereka-reka fitnah dan berjaya melebar-luaskannya, maka kutukan demi kutukan
dilemparkan pula terhadap mangsa dengan berbagai-bagai label, seperti
pembohong, penjahat, pegkhianat, perasuah dan sebagainya.
Gila-gila
Media Massa
Biasanya selain
daripada menggunakan podium secara langsung untuk menghentam kerumu seseorang
yang dianggap musuh dengan menggunakan lidah, maka media massa-media massa, termasuk
yang bertulis, dipergunakan untuk tujuan menabur fitnah dan menghentam
seseorang.
Sehingga
kadang-kadang hentam kerumu itu terlajak jauh perginya, terkeluar dan tersasul dari
sempadan kebenaran, maka orang yang difitnah pun bertindak mengheret orang yang
menghentam bersama-sama dengan media massa yang menjadi wadah tempat fitnah itu
disebarkan ke mahkamah untuk mencari
keadilan sebagaimana pernah berlaku di
masa-masa yang lalu.
Gila-gila Mengampu
Tidak jarang
pula kian dekat dengan pilihan raya kian banyak melahirkan golongan-golongan yang
suka mengampu, gila-gila membodek ketua-ketua yang gila diampu. Berbagai-bagai bentuk
dan warna ampuan dilakukan untuk mendapat pujian daripada orang-orang yang
diampu dengan harapan mendapat ganjaran yang lumayan.
Gila-gila
Berprovokasi
Ada sesetengah
pihak pula gila mencetuskan provokasi, membuat cabaran hangat, menerusi ucapan,
kata-kata dan juga hujung pena mereka. Dalam hal ini banyak juga lahir pemidang-pemidang
dan sepandok-sepandok, dan poster-poster yang berupa provokasi, mencabar pihak
lawan supaya bertindak untuk memulakan permusuhan dengan harapan untuk
menangguk di air keruh.
Gila-gila
Bermusuh
Jika di satu
pihak ada yang gila-gila membuat provokasi, maka di satu pihak lagi pula ada mereka
yang gila-gila suka bermusuh atau berkelahi. Pantang dicabar, mereka akan bertindak
balas. Kiranya tidak ada cabaran mereka
akan bertindak membuat provokasi, supaya dicabar untuk memulakan perkelahian.
Tidak jarang
pula senjata yang digunakan bukan sahaja lidah dan
pena, tapi juga kekuatan fizikal yang tidak sepatutnya berlaku di khalayak Islam dan juga dalam dunia
tamadun hari ini.
Janganlah kerana
sekeping sepanduk, sehelai poster pilihan raya, kita hendak berbunuh-bunuhan?
Kita hendak bermusuh-musuhan seumur hidup sama sendiri?
Gila-gila
Menghasut
Ada pula mereka
yang suka menghasut-hasut sesuatu pihak atau golongan, untuk bermusuh-musuhan
dan berseteru, berpecah-belah dengan membuat dakwaan yang palsu. Ada suami
isteri yang bercerai berai kerana politik akibat dihasut oleh pihak-pihak
tertentu yang menampil-nampilkan dirinya sebagai orang yang jujur.
Gila-gila
Beri Hadiah
Menjelang
pilihan raya ramai pula mereka yang berkepntingan memakai baju gila-gila untuk
menyampaikan berbagai-bagai cendera hati dan berbagai-bagai hadiah kepada orang
ramai. Rumah-rumah yang tidak pernah dikunjungi pun dilawati untuk menghulurkan bantuan dan hadiah. Orang-orang
malang yang telah menahun menderita sakit, dikunjungi menjelang pilihan raya
untuk titipan kasih dan simpati.
Tapi selepas itu,
tunggulah menjelang pilihanraya sekali lagi barulah rumah tersebut dikunjungi semula
untuk menyampaikan simpati dan hadiah-hadiah musim pilihan raya.
Sebenarnya masih lagi ragam gila-gila pilihan raya yang dilhat oleh setiap orang.
Sesungguhnya, setiap kali menjelang pilihan raya, ramai manusia, dari atas ke bawah menanggung beraneka jenis penyakit gila-gila, dan kebanyakan gila berputar di sekitar untuk mencari kesempatan, memperoleh sesuatu peluang yang bertujuan untuk mengembung perut sendiri. Tapi selepas pilihan raya selesai, keputusan diistiyarkan, kebanyakan mereka yang gila-gila itu menjadi pulih sendiri secara auotmatik tanpa perlu dimasukkan ke hospital gila untuk menerima rawatan.
Sesungguhnya, setiap kali menjelang pilihan raya, ramai manusia, dari atas ke bawah menanggung beraneka jenis penyakit gila-gila, dan kebanyakan gila berputar di sekitar untuk mencari kesempatan, memperoleh sesuatu peluang yang bertujuan untuk mengembung perut sendiri. Tapi selepas pilihan raya selesai, keputusan diistiyarkan, kebanyakan mereka yang gila-gila itu menjadi pulih sendiri secara auotmatik tanpa perlu dimasukkan ke hospital gila untuk menerima rawatan.
Ya Allah jauhkan
kami daripada menjadi gila-gila pilihan raya, dan juga jauhkanlah kami daripada
terpengaruh dengan mana-mana pihak yang gila-gila pilihan raya. Ya Allah, selamatkan
kami, agama kami dan negara kami daripada mana-mana orang-orang yang gila-gila
pilihan raya.
0 comments:
Post a Comment