Warkah Tunku Abdul Rahman Putra Kepada KDYMM Sultan Ibrahim

>> Tuesday, November 20, 2012







WARKAH TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA KEPADA KDYMM SULTAN IBRAHIM


Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah yang terkenal dengan panggilan Tunku atau Tunku Abdul Rahman terkenal sebagai bapak kemerdekaan.


Beliau adalah Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955 dan Perdana Menteri Pertama sejak merdeka pada tahun 1957 dan sehingga 1970 sebagai Perdana Menteri Malaysia.


Beliau berjaya memegang jawatan-jawatan negara yang tertinggi itu menerusi kapasiti beliau sebagai Yang Dipertua  UMNO dan juga sebagai Pengerusi Perikatan, gabungan beberapa buah parti politik, antaranya M.C.A. dan M.IC.

 
Pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan pada 31 Ogos 1955 setelah berjaya berunding dengan kerajaan British dan berikutnya dengan kemenangan PERIKATAN dalam pilihan itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Menteri Persekutuan.


Dalam usaha untuk mendapat sokongan untuk mendapat persetujuan penjajah Britih untuk mengadakan pilihan raya yang pertama itu, Tunku sebagai pemimpin tertinggi UMNO telah berusaha untuk mendapat sokongan daripada Raja-Raja Melayu.


Dalam hal ini beliau telah mengutus sepucuk surat kepada KDYMM Al-Marhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV memaklumkan perkembangan-perkembangan yang berlaku di sekitar usaha untuk mengadakan pilihan raya yang pertama itu.


Inilah surat beliau kepada KDYMM Sultan Ibrahim yang menjadi Sultan Kelantan dari tahun 1944 hingga tahun 1960 itu dalam tuisan tulisan Jawi, dan ditanda tangani oleh beliau, Tunku Abdul Rahman, bertarikh 21 Mac 1954. 


Sayangnya sebahagian kecil dari warkah itu telah koyak dan hilang.


Semoga penyiaran warkah Tunku ini dapat memberi sedikit sumbangan kepada sejarah kemerdekaan tanah air, khususnya berhubung dengan sumbangan Tunku dalam sejarah kemerdekaan tanah air itu.


Beginilah kandungan warkah Tunku itu:


Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Sir Ibrahim Ibu Almarhum Sultan Muhammad
D.K.S.P.M.K. S.J.M.K, K.C.M.G.

Sultan Dan Yang Di Pertuan Negeri Kelantan Darulnaim,

Yang Bersemayam Dengan Amat Kemuliaan dan Kebesarannya,

Di Istana Kota Bharu, Kelantan.


Ampun Tuanku beribu-ribu Ampun


Adalah patik pacal yang hina, Tunku Abdul Rahman Putra Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Syah, bagi pihak Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu  [UMNO] dengan beberapa hormat dan takzim merafa’kan sembah  ke bawah telapak cerpu Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa dua rayuan yang berkenaan dengan pilihan raya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan telah dipersembahkan Ke bawah Cepu Duli-duli Yang Maha Mulia Tuanku. Yang pertama daripada Perhimpunan Kebangsaan anjuran UMNO dan M.C.A. pada 19HB. Mac 1954. Dalam kedua-dua surat itu telah terkandung tanda tangan patik yang hina sebagai salah seorang daripada yang menandatanganinya.


Ampun Tuanku, semenjak dari itu perjumpaan-perjumpaan bantahan dan tunjuk perasaan telah timbul dan berbangkit di seluruh Tanah Melayu, yang bermaksud membangkang  isi penyata yang dikemukakan oleh pihak yang ramai dalam Penyata Jawatan  Kuasa Pilihan Raya Persekutuan itu, dan menyokong dengan kuatnya  akan ketetapan-ketetapan yang telah diambil dalam Perhimpunan Kebangsaan anjuran U.M.N.O –M.C.A. yang telah bersidang pada 14 Febuari 1954 di Kuala Lumpur itu. Tambahan pula setelah diistiyarkan bagi pengetahuan ramai akan “Penyata Rendal Commission” berkenaan susunan Majlis Undangan Singapura yang mengakukan bahawa tujuh puluh lima daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat tersebut hendaklah dipilih oleh orang ramai, maka patik yang hina telah menerima desakan-desakan yang amat hebat dari cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian UMNO di seluruh Tanah Melayu serta juga daripada lain-lain pertubuhan politik.



Ampun Tuanku, pada pandangan dan pendapatan patik hal ini tidaklah dapat patik ringan-ringankan, kerana adalah ianya nyata dan terang merupa dan menzahirkan  perasaan dan hasrat yang kuat rakyat-rakyat Duli Yang Maha Mulia Tuanku mendesak dan menuntut patik  dengan seberapa boleh dan dayanya pada menjalankan sebarang usaha  dan ikhtiar serta mengambil sebarang langkah  bagi mendapat dan menghasilkan perakara-perkara yang tersebut di bawah ini:-


[alif] Sekurang-kurangnya 60 peatus dari Ahli-ahli Majlis Undangan Persekutuan Tanah Melayu itu dipilih oleh orang ramai.


Ampun Tuanku, maksud dan tujuan mengadakan pilihan raya  itu ialah mengikut kuat kuasa yang diberikan keapda Jawatan Kuasa Pilihan Raya Persekutuan yang mencadangkan  perubahan perlembagaan di dalam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Maka perubahan-perubahan perlembagaan sesungguhnya tiadalah  dapat dilaksanakan melainkan Majlis Mesyuarat  Persekutuann itu mengandungi bilangan yang tebanyak ahli-ahli yang dipilih oleh orang ramai.


Hanyasanya, amanah yang telah diletakkan di atas bahu patik oleh ahli-ahli UMNO sekalian dari mula-mulanya adalah menutut tujuh puluh lima peratus  daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan itu dipilih oleh orang ramai, akan tetapi dalam rundingan-rundingan jawatankusa pilihan raya itu patik dan rakan-rakan patik dengan semangat bertolak ansur  dan cara perdamaian telah bersetuju mengurangkan tuntutan yang asal itu kepada 60 peratus.


                                                     [ba]Pegawai-pegawai kerajaan pohon dibenarkan mengambil bahagian bertanding dalam pilihan raya Persekutuan dengan syarat sekiranya  mereka itu berjaya dalam pertandingan itu mereka itu adalah disifatkan bercuti dengan tidak bergaji dalam tempoh 4 tahun.


                                             Ampun Tuanku, permohonan ini, pada pandangan patik yang hina, sangatlah berpatutan kerana kebanyakan orang-orang Melayu yang berpelajaran tinggi di dalam bahasa Inggeris adalah berkhidmat dalam jawatan-jawatan kerajaan, maka oleh sebab perbahasan-perbahasan majlis undangan dan surat menyurat berkenaan dengan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan itu adalah[.koyak dan hilang......] halangan kepada orang-orang Melayu mengambil bahagian dalam Majlis [koyak dan hilang.....] kerajaan itu tidak dibenarkan. Patik pohon maklumkan bahawa [koyak dan hilang.....] negeri itu mengambil bahagian bertanding dalam pilihan raya negeri.


[Koyak dan hilang.........] dalam bulan November 1954.


[Koyak dan hilang....] pendapatan patik dan pacal-pacal  dan hamba rakyat sekalian iaitu jika sekiranya [koyak dan hilang......] kepada pilihan raya Persekutuan itu boleh dijalankan dalam tahun 1954 ini. Di dalam  tempoh selewat [koyak dan hilang....] selepas daripada itu pekerjaan yang berkenaan dengan daftar mendaftar  pengundi-pengundi boleh disempurnakan dalam [koyak dan hilang....] Setelah dihalusi hal ini maka UMNO, M.C.A, Parti Buruh, M.I.C. dan lain-lain pertubuhan-pertubuhan siasah adalah sama pendapatannya iaitu menuntut pilihan Persekutuan dijalankandalam tahun 1954.


Ampun Tuanku,  selain daripada tiga perkara di atas ini maka ada tiga perkara lagi, iaitu:


                                           [Tha] Berkenaan dengan lantikan “menteri”  daripada ahli-ahli yang dipilih  dengan pilihan raya itu  maka UMNO dan M.C.A. ini berasa patut juga diberi kuasa kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi melantik barang siapa pun yang menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan boleh menjadi “menteri” kerana tujuan patik pacal-pacal sekalian adalah supaya “menteri” dilantik daripada orang-orang yang sebenar-benarnya mempunyai setinggi-tinggi kelayakan dan kemahiran serta pengalaman supaya pentabiran negeri ini dijalankan dengan baik lagi sempurna.


                                            [jim] Orang-oang yang diperanakkan di Persekutuan Tanah Melayu bukan rakyat raja atau bukan rakyat Persekutuan yang duduk dalam Persekutuan Tanah Melayu selama 5 tahun tidak putus-putus diberi hak mengundi.


                                            Ampun Tuanku, pada pandangan patik yang hina adalah sekalian orang-orang yang dimaksudkan ini tarafnya sama juga  seperti rakyat Persekutuan melainkan mereka itu kurang dalam pengetahuan Bahasa Melayu dan Inggeris. Akan tetapi mereka itu membayar hasil  dan cukai serta taat setia kepada kerajaan negeri ini. Oleh yang demikian patik berpedapat orang-orang ini patutlah juga diberi hak mengundi.


                                          [cha] Orang-orang yang diperanakkan  di Sigapura yang duduk dalam Persekutuan  Tanah Melayu selama 7 tahun tidak putus-putus pohon dibenarkan mengundi, kerana Singapura pun memberi peluang kepada orang-orang yang diperanakan di Persekutuan dan duduk di Singapura kurang dari 7 tahun boleh mengundi dan juga boleh manjadi calon.
                

                      Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, harap jua akan diampuni sembah patik pacal yang sentiasa mengharapkan sepenuh ampunan dari bawah cerpu duli yang maha mulia Tuanlu. Perdirian patik ini  sebagai seorang yang bertanggung jawab maka patik khuwatir dan bimbang akan harus berbangkit dan berlaku perkara-perkara yang tidak digemari dalam negeri ini terbit dari soal pilihan raya ini. Kerana jika ditilik dripada bantahan-bantahan itu nyatalah bahwa  rakyat-rakyat yang taat setia itu sangat-sangat berkehendakkan kepada pilihan raya bagaimana yang dituntut itu.
               
 
Ampun Tuanku, patik mengambil peluang berikrar bahawa bagi diri patik yang hina dan ahli-ahli UMNO seluruhnya tidak akan berganjak taat setia patik sekalian kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan dipohonkan ke hadarat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan barang berkekalanlah serta bertambah-tambah lagi taat setia patik sekalian selama-lamanya. Pada akhirnya patik sudahi dengan setinggi-tinggi doa bagi keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Allah lanjutkan usia Kebawah Duli Yang Maha Tuanku.
                

Demikianlah persembahan patik, dipohonkan ampun beribu-ribu ampun.

 
Adalah patik dengan berapa hormat dan takzimnya

 
Yang taat setia

 
[Tanda tangan Abdul Rahman Putera]


Termaktub di pejabat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu

 
Johor Bharu


21hb. Mac 1954

 
Bersamaan dengan 16 Rejab Hijrah 1373

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP