Jalan-jalan Ke Camerron Highland

>> Monday, November 5, 2012





JALAN-JALAN KE CAMERRON HIGHLAND

 



“Saya menjadi tertanya-tanya juga melihat ramai orang-orang Islam membeli buah strawberri cucuk yang berpeyicah “homemade” ini yang dijual oleh orang-orang bukan Islam. Adakah ianya halal dimakan oleh orang Islam, kerana tidak pula ada tanda “halal” di situ”.




Kami tiba di Camerron Highland, pukul 12.30 tengah hari,  Jumaat 2 November 2012. Kami menginap di sebuah apartmen di Tanah Rata. Kesampaian kami disambut  oleh hujan yang turun renyai-renyai. Hujan tidak berlanjutan tanpa henti. Tapi sekejap hujan, sekejap berhenti, dari  petang sampai ke malam.


Hujan yang turun ini, menambah kesejukan memeluk bumi Cameron Highland, tanah tinggi di negeri Pahang yang memang telah sedia sejuk sepanjang masa. Kebiasaannya, iklimnya pada siang hari jarang melebihi 25oC atau 77o F, dan pada sebelah malamnya boleh menurun -0.9oC atau 30.4oF.


Seperti biasa saya terpaksa memakai baju sejuk, dan kaki berbalut stoking,  sepanjang masa, siang dan malam. Jika tidak,  kesejukan alam ini mungkin akan menimpakan kesan yang tidak menyenangkan kepada fizikal saya. Kadang-kadang di waktu tidur, air panas terpaksa diletak di kaki untuk memanaskan badan.



Pada sebelah petangnya kami pergi ke Pasar Malam Tanah Rata yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Camerron Highland. Ramai orang berniaga, dan berbagai-bagai jenis barang yang diperniagakan, dan para penjualnya pula terdiri daripada berbagai-bagai kaum, penduduk Malaysia. Kain baju, pakaian dan aneka makanan terdapat di pasar malam itu. Pnegujung-pengunjungnya juga ramai, kebanyakan nampaknya terdiri dari para pelancung seperti kami.


Menurut pengamatan kami, harga barang-barang di pasar malam ini lebih tinggi daripada yang dijual di pasar-pasar atau di kedai-kedai biasa. Penjual-penjual yang kami temui di gerai-gerai pada siangnya juga mengaku mereka juga menjual barangan mereka dengan harga yang lebih tinggi di pasar malam daripada di gerai-gerai biasa mereka. Sebotol besar madu tualang dijual dengan harga RM28.00 di pasar malam, tapi di tempat biasa ia hanya dijual dengan harga RM20.00 sahaja.



Di antara bahan-bahan yang nampaknya laris dibeli ialah buah strawberry yang memang terkenal di Camerron Hinghland. Biasanya ia dijual dengan harga RM 10.00 satu bekas yang terdiri daripada beberapa biji strawberry. Selain itu ada pula strawberry yang dicucuk pada lidi-lidi buluh yang dijual dengan harga seringgit atau dua ringgit satu cucuk dengan dilumurkan dengan sejenis penyicah yang khusus yang pekat.


Saya menjadi tertanya-tanya juga melihat ramai orang-orang Islam membeli buah strawberry cucuk yang berpeyicah “homemade” ini yang dijual oleh orang-orang bukan Islam. Adakah ianya halal dimakan oleh orang Islam, kerana tidak pula ada tanda “halal” di situ. Pada umumnya orang-orang bukan Islam tahu erti bersih tapi sukar untuk  faham maksud “suci” mengikut Islam, sedangkan makanan yang mereka jual itu untuk semua kaum yang Islam dan bukan Islam.Demikian juga dengan makanan-makanan yang lain.


Oleh itu sepatutnya kita umat Islam berhati-hati dalam membeli makanan-makanan yang tidak pasti halal haramnya, dan pihak berkuasa Camerron Highland pula sewajarnya memberi perhatian kepada perkara ini, demi menjaga sensitiviti umat Islam dan supaya orang Islam tiak tersalah memakan barang-barang yang tidak halal kepada mereka.


Paluh Dan Lebir


Untuk sampai ke Camerron Highland kami melalui jalan Kota Bharu-Gua Musang, dan jalan ini bukanlah laluan yang asing buat kami. Kira-kira satu dekad yang lalu. berturut-turut tahun kami meniti jalan tersebut seminggu sekali atau dua minggu sekali, atau setidak-tidaknya sebulan sekali berulang  alik dari Kota Bharu ke Jajahan Gua Musang.



Sepanjang masa tersebut kami tinggal di Lebir, sebuah kampung di pendalaman dalam Jajahan Guang Musang. Ia terletak ke arah pendalaman, kira-kira dua puluh km dari jalan raya. Untuk sampai ke Lebir, terpaksa melalui Kg. Paluh, yang merupakan pintu untuk masuk ke Lebir.


Paluh adalah tereletak dalam rancangan tanah KESEDAR. Sebahagian daripada rumah-rumah penerokanya terletak  tidak jauh dari jalan Kuala Krai-Gua Musang, yang merupakan sebuah pekan kecil di mana terdapat warung-warung dan kedai-kedai yang menjual berbagai-bagai jenis barang keperluan harian dan warung-warung kopi dan nasi belauk.


Sepanjang masa yang panjang itu, jalan untuk masuk ke Lebir amatlah teruknya. Bukan sahaja terpaksa mendaki dan menuruni bukit, melalui lembah dan ngarai, sebahagian besar daripadanya jalan tanah merah yang berlumpur dan berselut, di mana di sesetengah tempatnya ditabur dengan anak-anak batu atau batu-batu kerikil yang terus tenggelam dalam lumpur bila musim hujan.


Berpuluh-pukuh tahun lamanya sejak rancangan tanah KESEDAR itu dibuka demikianlah keadaan jalan Lebir itu. Di musim hujan atau pun bila hujan lebat sehari dua sahaja, hanya kenderaan yang kuat, seperti Hilux dan seumpamanya sahaja yang mempu melulusi jalan Paluh-Lebir. Justeru itu di musim hujan, Lebir hampir terputus hubungan dengan dunia luar.




Dalam keadaan sebegitu rupa, tidak ada kenderaan biasa yang berani keluar masuk antara Paluh dan Lebir, iaitu bila berlaku hujan dan lebih-lebih lagi dalam musim hujan, kecuali pemandu-pemandu yang teror yang membawa bersama-samanya beberapa orang penumpang yang kuat  dan gagah yang bersedia untuk menjalankan kerja-kerja menolak kenderaan yang mereka naiki itu jika terlekat di mana-mana dalam perjalanan nanti.


Dan andainya mereka tidak mampu menolak kenderaan yang melekat dalam lumpur kerana berlaku di tempat yang mendaki bukit, mereka terpaksa menunggu kenderaan Hilux atau kenderaan-kenderaan lain yang gagah untuk menariknya melepasi kawasan tersebut. Biasanya setiap kenderaan yang gagah seperti itu sentiasa menyediakan seutas rantai besi yang akan digunakan untuk menarik mana-mana kenderaan yang lekat dalam perjalanan yang mereka temui untuk menuju ke Lebir atau ke Paluh.


Biasa juga pada waktu malam, mereka yang melalui jalan Lebir bertemu dengan kumpulan gajah yang melintasi jalan atau sedang duduk-duduk di atas jalan. Bila terserempak dengan gajah seperti itu, mereka terpaksalah menunggu gajah-gajah itu beredar dari itu sebelum mereka boleh meneruskan perjalanan.


Kami, saya dan isteri, Asiah Yaacob pernah tidur di madrasah Paluh kerana tidak ada kenderaaan yang berani masuk ke Lebir, walaupun Hilux  pada hari itu, kerana jalan terlalu teruk baru lepas hujan lebat. Kami sampai awal di Paluh, dan biasanya pada hari biasa, pada awal waktu begitu masih ada kenderaan penumpang yang  sedang menunggu penumpang untuk masuk ke Lebir. Hanya pada tengah hari keesokannya baru kami dapat masuk dengan menumpang  Hilux yang hendak masuk ke Lebir kerana ada urusan.


Saya juga waktu keluar sendirian pada suatu hari, terlekat di Paluh kerana tidak ada kenderaan yang berani masuk. Tapi mujurnya hanya selepas Maghrib ada seorang jiran, yang menunggang motosikal laju yang lasak hendak masuk. Saya memboceng motosikalnya. 





Beliau memandu motosikal mengikut pengalamnya semata. Dia tahu di mana tempat berlubang, berlopak, berselut dan licin. Lampu motornya pun tak hidup. Saya memboceng di belakangnya tidak namapk apa-apa pun, baik di hadapan, di belakang,di kiri atau pun di kanan jalan. Yang nampak hanya gelap semata. Kadang-kadang motor itu ke kanan dan ke kiri, kadang-kadang terasa macam hendak tergelincir kerana menempuh selut dan lumpuryang menghalang jalan. Tidak ada apa-apa yang kami temui di sepnajang jalan, kecuali bila hampir dengan rumah di jalan alternatif dalam ladang getah, ada sebuah anak lori yang terhenti di tengah jalan kerana terlekat dalam lumpur.


Saya rasa kalau saya dapat melihat keliling dan cara motor itu dipandu pada malam itu hati saya akan kecut juga melihatnya, lebih-lebih lagi motor itu terpaksa dipandu agak laju untuk mengelaknya dari melekat dalam lumpur atau tergelicnir di temapt yang licin.


Namun hati saya merasa lebih bimbang terhadap kebimbangan isteri saya terhadap keselamatan diri saya yang masih lagi belum sampai ke rumah walau pun hari telah malam.Akhirnya kami sampai ke rumah dalam keadaan selamat, dengan baju dan seluar yang berlumpur.

Tapi hari ini, keadaan telah jauh berubah, jalan berselut dan berlumpur sudah tidak ada lagi, sejak setahun dua ke belakang ini, jalan itu telah diselimut oleh tar seperti jalan raya. Dari Lebir ke Paluh hanya mengambil masa kira-kira lima belas minit sahaja untuk sampai. Kalau sebelumnya mengambil masa lebih dari satu sejam dengan penuh kesukaran.


Inilah sebahagian daripada nikmat Allah yang bukan sahaja perlu dikecapi, malah juga patut disyukuri, bukan semata dengan sebutan lidah manusia yang tdak bertulang, tapi juga digandingkan dengan hati yang tulus dan ikhlas serta amal dan perbuatan sejajar dengannya.


Iniah yang saya harap-harapkan hamba-hamba Allah di Lebir itu menjadi insan yang beriman dan bertakwa, yang mentaati perintah Allah dan RasulNya yang tidak dengan sewenang-wenangnya melanggar segala perintah Allah dengan sesuka hati.



Saya berharap mereka tidak seperti penduduk-penduduk di sesetengah kawasan lain, mengingkari nikmat Allah dengan melakukan berbagai-bagai maksiat dan dosa-dosa besar dan sikap massa bodoh  mengerjakan perbuatan-perbuatan keji yang meluluhkan iman.


Tapi?????????????????????????????


Saya teringat khutbah Jumaat  di Cameron Highland pada hari itu, di mana khatibnya dalam khutbah yang singkat pada hari itu mengutarakan banyak pengajaran tentang iman dan takwa. Pada penghujung khutbah itu bliau mengingatkan umat Islam supaya sentiasa bertakwa kepada Allah, dan menjelaskan lima jalan yang harus dikikuti untuk mencapai matalamat tersebut.


Pertama orang-orang Islam hendaklah sentiasa membaca al-Quraan, kerana al-Quran itu cahaya.


Kedua, umat Islam hendaklah sentiasa berzikir mengingati Allah yang mempunyai pengaruh yang besar ke atas diri dan jiwa manuisa.


Ketiga mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu untuk menambahkan penggetahuan dan melengkapkan diri menjadi seorang hamba Allah yang sebenarnya.
Keempat mereka hendaklah sentiasa hadir ke surau-surau dan masjid untuk menghampirkan diri kepada Allah.


Dan kelima hendaklah sentiasa mengikuti Sunnah-sunnah Rasulullah untuk hidup dalam keimanan dan ketakwaan.


Demikianlah catatan ringkas kembara ke Camerron Highland.



END.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP