BILA LELAKI TUA KAHWIN WANITA MUDA

>> Monday, November 26, 2012


BILA LELAKI TUA KAHWIN MUDA


Sejak kebelakangan ini kita sering mendengar dan membaca kisah-kisah lelaki tua yang beristerikan wanita muda. Sang lelaki telah berusia lebih dari lima puluh atau enam puluh tahun, berkahwin dengan anak gadis yang usianya belum mencecah dua puluh atau tiga puluh tahun.


Ada di antara lelaki tua yang berkahwin wanita muda itu melahirkan rasa bangga mereka kerana berjaya menikahi anak gadis yang seusia dengan anak-anaknya malah dengan cucunya sendiri.


Malah ada di antaranya lebih jauh lagi mendakawa dia akan berusaha keras untuk mendapat ramai anak daripada perkahwinannya itu, dan dakwaan ini secara tidak langsung mendakwa dia masih kuat dan mampu memberi kepuasan batin kepada isterinya yang masih muda itu.


Pada umumnya lelaki tua yang berkahwin muda itu telah berkahwin  lebih dari sekali, malah mungkin telah  berkali-kali. Lelaki ini mungkin telah kematian isteri, atau bercerai hidup dengan isterinya, kerana sebab-sebab yang tertentu. Dia mungkin baru menduda, atau telah lama menduda, selama bertahun-tahun.


Perkahwinan itu mungkin atas kehendak dan pencarian lelaki itu sendiri, dan mungkin juga atas desakan keluarga, khususnya  anak-anak, yang merasa tidak mampu untuk mengurus kehidupan ayahandanya yang telah berusia itu, mungkin kerana terlalu sibuk dengan kerja-kerja mereka sendiri.


Walau apa pun sebab-sebabnya, pokok utamanya ianya mestilah mendapat persetujuan daripada lelaki itu sendiri untuk berkahwin lagi dengan mana-mana wanita yang disukainya.


Untuk kahwin semula tidaklah salah. Untuk kahwin dengan mana-mana wanita juga tidak salah. Asalkan kehendak-kehendak syarak dipenuhi, dan tidak melanggar segala ketentuan agama.


Walau bagaimana pun alangkah wajarnya kalau lelaki berusia yang ingin berkahwin itu mengambil masa untuk sejenak merenung-renungkan diri sendiri. Usianya telah lanjut, sedangkan bakal isterinya masih muda, di mana dari segi fizikalnya wanita itu masih subur dan mampu untuk melahirkan keturunan.


Selain daripada mempastikan kemampuan fizikalnya untuk memberi kebahagian kepada isterinya, dia juga sewajarnya mempastikan kemampuan ekonominya untuk menanggung keluarga nanti, bukannya sahaja isterinya, tapi juga anak-anak yang diperolehinya nanti andainya diizinkan Allah.


Adakah dia mempunyai kemampuan bukan sahaja untuk memberi makan minum kepada mereka, tapi juga untuk memberi pendidikan yang sewajarnya kepada mereka?


Lebih jauh lagi, bagaimanakah nanti selepas ketiadaannya? Siapa yang akan mengurus keturunannya itu nanti, andainya dia tidak memiliki kemampuan ekonomi yang hendak ditinggalkannya kepada mereka?


Isterinya yang janda muda itu mungkin mendapat pasangan lain, tapi bagaimana dengan anak-anaknya itu?  Siapa yang akan menanggung mereka?


Adakah anak-anaknya itu akan menjadi beban yang akan dipikul oleh jandanya itu seumur hidup kerana enggan atau tidak mendapat jodoh baru selepas ketiadaannya?


Adakah dia rela membiarkan anak-anak itu hidup menderita, terkatung-katung tanpa pembelaan, dan akhirnya menjadi sampah dan kuman masyarakat yang tidak dikehendaki?


Saya kenal dengan beberapa orang lelaki yang berkahwin dalam usia yang lanjut selepas menduda kerana kematian isterinya. Usia mereka telah menjangaku lebih dari enam dan tujuh puluhan tahun, dan wanita yang dipilihnya ialah anak dara tua, dalam usia tiga puluhan tahun.


Salah seorang dari mereka, selepas berkahwin dia dikurniakan oleh Allah dengan dua orang anak. Tapi kedua-dua orang anaknya itu tidak begitu sempurna, kerana lembam yang terpaksa menjalani pendidikan khas.


Tapi beberapa tahun kemudian, lelaki itu meninggal dunia, dan tidak lama selepas itu diikuti pula oleh isterinya. Tinggallah kedua-dua anak itu yatim piatu.


Anak-anak itu bernasib kerana, kerana abang, iaitu anak kepada lelaki itu  orang yang bertanggung jawab, lalu merelakan diri memikul beban memelihara kedua-dua adiknya dari ibu yang lain itu. Cubalah bayangkan bagaimana sukarnya untuk memelihara dan mendidik anak-anak yang bermasalah seperti itu?


Nasib baik juga lelaki itu ada meninggalkan  harta pusaka yang sedikit sebanyak mampu menanggung ekonomi anak-anak yatim itu walau pun tidak sepenuhnya atau sepanjang masa, andainya mereka mempunyai usia yang panjang nanti?


Kalau tidak apakah yang akan berlaku kepada anak-anak itu, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui?


Lelaki seorang lagi pula berkahwin lain dalam usia yang lanjut dengan seorang wanita muda yang layak menjadi anak kepadanya. Selepas mendapat dua orang anak, isterinya itu meninggal dunia. Meninggalkan dua orang anak kecil yang masih belum bersekolah.


Oleh sebab lekai itu hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, maka dia mengalami masalah yang berat untuk menanggung dan menjaga kedua anaknya itu. Bagaimana untuk menjaga anak dan mencari makan dalam masa yang serentak? Sedangkan untuk berkahwin lain dalam masa yang terdekat tentu sukar dengan kehidupannya yang seperti itu.


Keluarganya, termasuk anak-anaknya sendiri engan untuk mengambil dan memelihara kedua-duanya anak itu. Lagi pun mereka telah melarang beliau supaya tidak berkahwin dengan wanita muda, kalau hendak kahwin juga, kata mereka, boleh, tapi kahwinlah dengan wanita yang usianya tidak mungkin lagi melahirkan anak. Tapi dia tidak mengindahkannya.


Dan akhirnya mahu tidak mahu, anak-anak itu terpaksa dilepaskannya dari jagaannya dan diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat. Sebab cinta dan sayang sahaja tidak mampu memberi kehidupan. Lagi pun manusia bukan semata-mata memerlukan roti atau nasi untuk hidup, malah lebih jauh dari itu lagi.


Oleh itu mana-mana lelaki yang berusia yang ingin berkahwin, kahwinlah, tidak menjadi masalah. Tapi kalau dia tidak memiliki kemampuan ekonomi, carilah pasangan dari kalangan wanita yang sewajarnya, yang tidak akan menjadi beban kemudian nanti. Kita manusia tidak boleh menyerah diri kepada nasib secara membuta tuli tanpa ikhtiar dan usaha untuk mengatasinya.


Oleh itu  lelaki tua seperti ini kalau ingin berkahwin juga dengan wanita yang masih muda, carilah wanita yang bukan sahaja mampu menjadi teman tidur yang selesa dan memberi keturunan kepadanya, tapi wanita itu juga seharusnya mempunyai kemampuan ekonomi dan  bersedia memikul tanggung jawab mengurus keluarga mereka nanti, sewaktu dia masih hidup atau selepas ketiadaannnya  nanti. Dengan itu sudah tentu kehidupan mereka akan menjadi lebih terselamat dan terjamin.


Dan ini hanya satu sudut sahaja daripada berbagai-bagai masalah yang terpaksa dihadapi oleh lelaki tua yang berkahwin dengan wanita muda, masih ada lagi berbagai-bagai problem kehidupan yang terpaksa mereka hadapi sebagai suami isteri, baik dari segi perasaan dan juga keruhaniannya yang terpaksa mereka tempohi setiap hari. Tapi saya tidak bersedia untuk membincangkannya di sini.


Sekian sekadar menungan bersama!
 




3 comments:

Firdaus December 18, 2013 at 3:22 PM  

pendapat yang bernas.tetapi ia cuma pendapat dan nilaian dari kacamata sendiri yang tidak tepat.bagaimana mungkin kita menilai org begitu sahaja.ajal maut serta jodoh semua ditangan tuhan.semua yang berlaku ade sebabnya............itu semua kehendak tuhan.......walaupun kita merasakan tidak patut...siapa mengatur alam ini.......Allah bukan.jadi kita takkan jumpa logiknya kalau itu kehendaknya...........

nurimanja49@gmail.com January 13, 2015 at 12:01 PM  

Sebenranya bermacam kerenah dan cerita bila ada lelaki tua berusteri muda, ada baik dan buruknya juga, apa pun kalau sudah ketentuan takdir Ilahi apa yg boleh kita elakan lagi.

Biasanya kalau isteeri muda dari suaminya selalu si isteri rasa tertekan, malah sering saja naik angin, malah ada yg enggan masuk ke dalam rumah kerana suami tua macam ulat bulu dah naik daun ..

Anonymous,  March 11, 2023 at 11:45 AM  

Sangat bernas pendapat pakcik. Setuju

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP