Nasib Malang Umat Islam Rohingya

>> Tuesday, November 13, 2012




NASIB MALANG UMAT ISLAM ROHINGYA


Bangsa Rohingya adalah sebahagian bangsa yang malang di dunia kerana menjadi mangsa kekejaman yang telah berlarutan sekian lama tanpa mendapat pembelaan yang sewajarnya, walau pun daripada saudara-saudara seagama dengan mereka sendiri.


Di hari-hari kebelakangan ini,  laporan-laporan mengenai penderitaan orang-orang Rohingya kian menyerlah, baik yang berlaku di bumi tanah air mereka sendiri, ataupun ketika di luar negara dalam arus perjalanan, ketika menjadi pelarian untuk lari daripada kekejaman.


Arakan


Di Myanmar dulunya Burma, bangsa Rohingya  tinggal di suatu kawasan yang luas yang dikenali dengan nama Arakan yang mempunyai lakaran sejarah yang tersendiri dalam sejarah Myanmar. Mengikut sejarahnya, pendatang-pendatang dari luar itu telah datang ke Arakan sejak lebih daripada 1,300 tahun yang lampau. Kebanyakan mereka terdiri daripada bangsa-bangsa Arab, Persi, sekarang Iran, Monggol, Melayu dan bangsa Pathan.



Pendatang-pendatang ini terus menetap di Arakan dan menjadikannya sebagai tanah air mereka. Kemudiannya mengikut sejarah, mereka telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan Islam pada abad ke-7 bila agama Islam sampai ke Arakan pada tahun 670 M.


Selepas itu penduduk-penduduk Arakan itu terkenal dengan nama Rohingya, kerana pada masa itu mereka memerintah di sebuah wilayah yang bernama Rohang [Arakan] selama lebih dari tiga abad setengah lamanya.


Islam telah mula bertapak dengan kukuhnya di Arakan sejak lima abad yang lampau lagi. Agama Islam mulai berkembang dengan pesat di wilayah itu bila Raja Arakan memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada nama Syah Arakan Sulaiman, dan menukar kerajaannya menjadi sebuah kerajaan Islam pada tahun 1404. Ia merupakan kerajaan Islam yang julung-julung kali di wilayah tersebut.


Tapi malangnya, kerajaan Islam Arakan itu mulai terguggat, terutama mulai tahun 1784, di mana kerajaan Arakan yang gemilang itu mulai runtuh bila rajanya, Raja Shah Shuja telah dibunuh. Sejak peristiwa tersebut berlakulah berbagai-bagai pergolakan yang getir yang menjadi ancaman kepada keutuhan negara Islam itu.


Raja Budawpha


Tambah malang lagi keadaan negara Arakan yang kucar kacir itu telah membuka ruang kepada Raja Burma, iaitu Raja Budawpha menakluk Arakan pada tahun 1784. Raja Budawpha adalah seorang raja yang zalim. Dia bertindak kejam terhadap penduduk Arakan, tanpa mereka agama, baik Islam ataupun Budha.


Raja Budawpha juga telah bertindak menghancurkan pusat-pusat keagamaan, seperti masjid-masjid orang Islam, pagoda-pagoda orang Budha dan juga turut memusnahakn pusat-pusat pengajian tinggi yang tidak terlepas daripada kekejamannya,


Kerajaan Budha


Kemudiannya Arakan diperintah oleh kerajaan Budha. Sejak itu berlakulah diskriminasi agama. Mereka sedikit demi sedikit bertindak menafikan hak-hak orang Islam.


Penjajah British


Kerana tidak tahan dengan kekejaman pemerintahan Budha di Arakan, sebahagian besar daripada umat Islam Arakan telah melarikan diri ke Benggaladesh yang pada masa itu terletak di bawah penjajahan British


Tapi pelarian Rohingya itu kembali semula ke tanah air mereka bila penjajah British menakluk dan menjajah Myanmar dan juga Arakan. Walau baaimana pun British telah berusaha memulihkan ekonomi Arakan. Dan berjaya menjalinkan hubungan luar dengan Banggaladesh.


Namun begitu, seperti lumrahnya, British tetap bersikap diskrimanasi terhadap umat Islam di Arakan.
Di samping itu rakyat Myanmar pula tidak menyenangi penjajah British. Mulai tahun 1908 telah muncul golongan Nasionalis Burma menentang penjajah British, dan berjaya mempengaruhi kaum 
Maghis  bangkit bersama-sama menentang penjajah British.


Tapi malanganya, mereka bukan sahaja membenci penjajah British, tapi juga berjaya menghasut kaum Maghis supaya memusuhi orang-orang Rohingya yang beragama Islam di Arakan itu.


Rohingya Dibunuh


Akibatnya pada tahun 1938 beribu-ribu orang Islam Rohingya telah menjadi korban di tangan orang-orang Maghis dan juga penganut agama Budha, dan ribuan orang pula kehilangan tempat tinggal.


Pada tahun 1947, sebelum Burma mengistiyarkan kemerdekaan, kerajaan Burma telah mengadakan pendaftaran kewarganegaraan. Tapi malangnya, penduduk-penduduk Islam di Arakan telah diketepikan dan tidak diterima sebagai warga negara Burma. Menerusi “Citizenship Act” ini orang-orang Rohinghya yang beragama Islam secara automatik menjadi pendatang di tanah air mereka sendiri.


Rancangan jahat ini dilaksanakan dengan kerja sama padu daripada Gerakan Nasionalis Burma.


Persidangan Paniong


Menjelang kemerdekaan Burma dari tangan penjajah British, satu persidangan khusus yang dikenali dengan nama “Paniong” telah diadakan untuk membincang mengenai kemerdekaan Burma. Dalam persidangan itu, ketetapan telah dibuat mengenai masa hadapan Burma dan kedudukan kaum minoriti di Burma. 


Persidangan Paniong itu secara mentah-mentah telah menolak perwakilan kaum  Rohingya dari Arakan, sebaliknya mereka telah membuat keputusan bahawa  Arakan hendaklah diletak secara langsung di bawah pentadbiran Pusat Burma di Ranggon.


Dengan itu pada tahun 1947, Arakan dengan penduduknya seramai 2.2. juta orang telah diistiyarkan sebagai sebuah negeri dalam kesatuan Burma. Tapi bila Burma mencapai kemerdekaan dari tangan British pada 4 Jun 1948, Arakan telah dijadikan sebahagian daripada Wilayah Burma secara tidak adil sama sekali.


Sejak itu, secara terang-terangan kaum Rohingya di Arakan telah dijadikan mangsa penindasan, penganiayaan dan kezaliman kerajaan Burma sendiri yang diperintah oleh junta tentera.


Rancangan Membudhakan


Kerajaan junta tentera Burma ini telah melancarkan rancangan untuk membudhakan seluruh penduduk negara Burma. Justeru untuk merealisasikan rancangan jahat itu, mereka terus bertindak n ganas dan zalim. Akibatnya ramai orang-orang Islam dari kaum bukan Rohingya telah menjadi murtad dan memeluk agama Budha.


Rohingya


Pada umumnya di Arakan terdapat  tiga suku kaum, iaitu kaum Rohingya yang beragama Islam, kaum Maghis yang beragama Budha dan suku kaum Bukit yang animisme


Pada suatu ketika sejumlah orang-orang Islam Rohingya di Arakan ialah 2.1.juta orang. Kaum Rohingya mempunyai perawakan yang unik, kerana mempunyai darah adunan daripada berbagai-bagai bangsa, seperti Arab, Turki, Iran, Benggali, Moghul, Moor, Pathan dan kaum Bukit.


Mereka mengguna bahasa Rohingya, iaitu campuran daripada bahasa Urdu, Arab, Iran dan Banggali, akibatnya mereka telah dianggap sebagai kaum immigran oleh pihak berkuasa. Tapi tuduhan itu adalah dusta semata, kerana sejarah Arakan menunjukkan bahawa kaum Rohingya telah memerintah Arakan lebih dari 350 tahun lamanya.


Namun begitu rancangan mereka untuk membudhakan orang-orang Islam di Arakan tidak berjaya, walau pun dipaksa, ditekan, dikejami dan dizalimi.


Ini menyebabkan mereka bertindak lebih kejam terhdap orang-orang Islam Rohingya. Mengikut lapuran “The Amnesty International -1985/86” berbagai-bagai kezaliman telah dilakukan oleh kerajaan Burma  ke atas orang-orang Islam Rohingya.


Antaranya membataskan pergerakan mereka, dan mewajibkan mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. Orang-orang Islam tidak dibenarkan keluar negara,untuk menunai ibadat haji sekali pun. Malah untuk menunai ibadat korban pun mereka tidak dibenarkan.


Dari segi pentadbiran pula, kerajaan Burma mengenakan cukai yang tinggi ke atas hasil pertanian bangsa Rohingya. Padi-padi simpanan mereka dirampas, tanah-tanah mereka dirampas demikian juga harta wakaf mereka dirampas begitu sahaja.


Tanah-tanah orang Rohingya yang dirampas itu diserahkan kepada kaum Maghis yang beragama Budha yang digalakkan supaya bertindak kejam dan zalim terhadap orang-orang Islam Rohingya. Sementara itu tanah-tanah wakaf, seperti di Masjid Mandow dan Masjid Jamik Akyala telah ditukar menjadi taman permainan kanak-kanak.


Kewarganegaraan


Pada bulan Oktober 1982 pula kerajaan Myanmar telah meluluskan Undang-undang Kewarganegaraan yang tidak mengiktiraf bangsa Rohingya sebagai rakyat Myanmar dan sekali gus menghalang mereka daripada mengambil bahagian dalam politik.


Undang-undang baru ini juga menegaskan majoriti umat Islam Rohingya bukan warganegara Myanmar, kerana mereka memasuki negara itu selepas tahun 1823. Undang-undang baru ini juga berpendapat sesetengah daripada mereka layak menjadi “warga associated” atau “naturalised citizen kongsi” atau “yang dijadikan”. Namun mereka ini juga tidak diberi hak untuk mengambil bahagian dalam politik kebangsaan Myanmar atau politik kebangsaan mereka.


Justeru itu, undang-undang tersebut mengukuhkan lagi kedudukan umat Rohingya sebagai bangsa yang tidak bertanah air, sedangkan sejarah telah membuktikan kerajaan Arakan telah ditubuh sejak abad 15 lagi dan berterusan hingga abad ke-18. Dan sejak tahun 1948 lagi, mereka telah berjuang utnuk mendapat status politik.


Rampasan Kuasa


Rampasan kuasa tentera yang berlaku pada tahun 1988, bukan sahaja nasib orang-orang Islam Myanmar tidak terbela, malah menjadi bertambah buruk.


Kaum lelakinya dijadikan buruh paksa  untuk membaikpulih jalan-jalan di negara itu, mencari buluh dan kayu-kayu di hutan, menjadi buruh di kebun-kebun sayur, menanam padi, menjadi penganggkut menganggkut air sunga. Buruh-buruh paksa in i tidak diberi apa-apa bayaran atau makanan.


Ramai orang-orang Islam telah terkorban. Mengkiut laporan menjelang tahun 1954 beribu-ribu orang Islam Rohingya telah terkorban..


Nama-nama bandar-bandar dan nama-nama kampung halaman mereka telah ditukar sesuka hati oleh pemerintah  supaya nama-nama itu tidak mempunyai pertalian dengan Islam dan juga supaya lebih berbau Budha.


Ramai kakitangan-kakitangan kerajaan yang beragama Islam  telah diambil tindakan buang kerja begitu sahaja, dan tempat mereka diganti dengan orang–orang yang beragama Budha. Justeru itu, kini hampir seluruh kaitangan-kakitangan kerajaan Myanmar adalah terdiri daripada mereka yang Budha.


Segala gerakan Islam di Myanmar telah ditindas  dan ditekan. Para ulama Islam telah ditahan dengan sewenang-wenangnya dan dikenakan tuduhan melakukan aktiviti tanpa mendapt kebenaran pihak berkuasa kerajaan. Akhirnya mereka ini lenyap begitu sahaja, tidak diketahui masih hidup atau telah mati. Kalau hidup di mana mereka, dan kalau mati di mana kuburnya?


Orang-orang Rohingya diusir dari kampung halaman mereka dengan cara yang keji dan hina. Kaum lelaki Rohingya disembelih, kaum wanita mereka diperkosa, malah tidak jarang pula mereka dirogol secara beramai-ramai sekali gus sebagaimana pernah dilakukan ke atas wanita-wanita Islam di Bosnia satu ketika dahulu. Akibat perbuatan kejam yang langsung tidak berperikemanusiaan itu, ada wanita-wanita Islam terus pengsan malah ada yang terus mati.


Mereka menindas ekonomi orang Islam Myanmar. Orang-orang Islam hidup dalam kesempitan dan ini meghalang mereka untuk bergerak cergas. Orang-orang Rohingya hidup dengan bertani, menanam padi. Tapi sebahagian daripada hasil padi mereka telah dirampas  dan hanya sebahagian kecil sahaja yang boleh dijual, itu pun dengan harga yang murah. Ini menyebabkan orang-orang Islam Myanmar hidup lebih tercekek.


Anak-anak orang Islam tidak dibenarkan belajar di sekolah-sekolah Kerajaan Myanmar. Dan kalau ada pun bilangannya amat kecil sekali. Namun begitu, mereka tidak dibenarkan menjalankan segala aktiviti-aktiviti sebagai seorang Islam, seperti sembahayang.  Larangan ini bukan sahaja terbatas di sekolah-sekolah, tapi di tempat-tempat kerja seperti di pejabat-pejabat dan di kilang-kilang.


Tegasnya usaha-usaha  keras telah dilakukan untuk menghalau umat Islam Rohingya dari bumi Myanmar, sebagaimana orang-orang Yahudi berusaha untuk menghapuskan bangsa Palestin dari bumi tanah air mereka yang terus berlanjutan hingga sekarang.


Angkara kekejaman demi kekejaman itu menyebabkan beribu-ribu orang Islam Rohingya telah melarikan diri keluar negara, seperti ke Bnggaladesh, Pakistan, Thailand dan juga negara-negara Teluk dan negara  kita Malaysia.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                            

Menurut anggaran seramai lebih daripada 250,000 orang pelarian  Myanmar terdapat di negara-negara tersebut. Setakat tahun 2008 sahaja terdapat seramai 12, 000 orang Rohingya di Malaysia. Mereka ialah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi orang-orang pelarian  [UNHCR]. Ada di antara mereka telah datang ke Malaysia sejak tahun 1980an lagi. Pada umumnya kehidupan mereka amat dhaif.


Adalah dipercayai, pelarian Rohingya ini akan kembali semula ke tanah air mereka bila keadaan di Myanmar kembali normal, dan orang-orang Islam diberikan hak untuk menentukan nasib mereka sendiri.


Di Banggladesh


Jumlah pelarian yang ramai di Banggladesh itu telah menguggat kestabilan negara tersebut. Satu perjanjian telah dimeteraikan antara kerjaan Banggaladesh  dan kerajaan Myanmar untuk menghantar kembali pelarian Rohingya ke tanah air mereka Myanmar, di mana dalam perjanjian itu, kerajaan Myanmar berjanji akan melayan dengan wajar orang-orang Islam yang dihantar balik ke negara mereka itu.Tapi janji hanya tinggal janji di atas kertas.


Justeru itu orang-orang Islam Rohingya terus meninggalkan negara mereka  dan membanjiri Banggaladesh, salah sebuah negara termiskin di dunia yang pada peringkat permulaannya terpaksa menerima kehadiran pelarian-pelarian tersebut atas dasar kemanusiaan.


Kebanyakan mereka tinggal secara haram di Banggaladesh atau di kem-kem pelarian. Di samping itu ada sebuah kem pelarian yang tidak rasmi terletak di Ledha, dekat tebing Sungai Naf, sepanjang  20 kilometer di sebelah sempadan Banggaladesh dan Myammar.


Biasanya dari Banggaladesh mereka akan mencari negara-negara lain untuk memulakan kehidupan baru yang mereka berharap akan memberi  tuah kepada mereka. Namun demikian, kebanyakan daripada mereka yang berani mengambil risiko berbuat demikian akan hilang ghaib tanpa diketahui nasibnya dalam perjalanan yang tidk menentu atau terpaksa menempuh perjalanan sukar yang memilukan.


Mengikut laporan, sehingga tahun 2009, terdapat kira-kira seramai 200,000 pelarian Myanmar di negara Banggaladesh, dan ini tidak termasuk seramai 21, 000 orang lagi pelarian Rohingya yang tinggal di kem pelarian Pertubuhan Banga-Bangsa Bersatu di Coxis Bazar.


Mereka juga memasuki Thailand dan membanjiri Malaysia. Mengikut sumber UNNCR [United Nations High Commisioner for Refugees] Malaysia sehingga  penghujung tahun 2009 terdapat seramai 46, 000 pelarian dan suaka politik yang berdaftar dengan UNCHCR, di mana 14, 700 orang terdiri dari bangsa Rohingya yang hidup bertaburan di seluruh negara Malaysia.


Di samping itu mereka juga memasuki Singapura dan Indonesia secara haram.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah cuba campur tangan dalam urusan pelarian Islam Rohingya. Tapi kerajaan Myanmar tidak bersedia menerimanya. Dasar penganiayaan  terhadap orang-orang Islam Rohinghya berjalan terus. Kerajaan Myanmar juga enggan menerima pemerhati PBB dalam urusan penghantaran pulang umat Islam ke Myanmar, kerana itu PBB tidak dapat menjalankan tugasnya  dengan sewajar, maka dengan itu tindakan PBB tidak dapat  memuaskan hati umat Islam dunia dan juga kepada mereka yang cintakan keadilan dan keamanaan sejagat.


Justeru mana-mana pelarian Rohingya yang telah dihantar pulang ke tanah air mereka, atas desakan antara bangsa dan juga umat Islam, mereka telah ditempatkan  di kem-kem pemulihan, di mana mengikut laporan mereka telah diberi ganjaran yang pahit, dan tidak dihantar kembali di tempat asal mereka atau ke kampung halaman mereka.


Bangkit Berjuang


Walau bagaimana pun orang-orang Islam di Myanmar tetap bangkit berjuang. Sejak tahun 1942 lagi,umat Islam Rohinghya telah bangkit berjuang, terutama untuk mendapat kuasa autonomi. Tapi gerakan itu telah dihancurkan,dengan berbagai-bagai tindakan kezaliman dan kekejaman.


Menurut laporan di kalangan orang-orang Rohingya itu terdapat kira-kira 160 pertubuhan yang mermperjuangkan hak-hak mereka di Myanmar. Antara pertubuhan-pertubuhan itu ialah  Karen National Union, Shan State Progressive Party, Kaun Independence Army, Pa-O Liberation party, Man Independence  Party, Rohinghya Patriotic Front dan sebagainya.


Mereka dikatakan mampu melakukan perjuangan yang lebih berkesan, namun begitu, mereka tidak mempunyai kemudahan  yang mencukupi, kerana itu tindakan mereka adalah terbatas mengikut kemampuan mereka sahaja. Problam utamanya mereka ialah tidak mempunyai sumber ekonomi yang kukuh untuk melancarkan perjuangan  yang lebih  efektif dalam usaha untuk melepaskan diri dari kezaliman dan penindasan melampau.


Walau bagaimana pun, di Myanmar terdapat beberapa pertubuhan Islam yang khusus memperjuangkan kepentingan umat Islam. Namun begitu, mereka tidak dapat bertindak, kerana sentiasa ditindas dan ditekan kuat oleh pihak berkuasa. Oleh sebab itu kebanyakan parti-parti politik Myanmar bukan berada dalam negara Maynmar, tapi berada di luar negara.


Di Arakan yang mempunyai umat Islam seramai 2.1 juta orang daripada 3.5 juta orang penduduknya itu tidak mempunyai sebuah pun pertubhan politik Islam yang utuh yang dapat memperjuangkan nasib mereka pada umumnya.


Walau pun begitu malangnya nasib  yang menimpa umat Islam Myanmar, tapi amat sedikit berita-berita yang dapat kita ikuti mengenainya, malah hampir tidak ada langsung, kerana sengaja dikawal dan ditutup daripada pengetahuan dunia


Namun begitu sekali sekal terbocor juga keluar negara seperti yang berlaku baru-baru ini. Sesungguhnya bangkai gajah itu tidak dapat ditutup dengan sehelai selimut.


Persoalannya apakah sumbangan kita sebagai umat Islam atau sebagai manusia yang cintakan kedamaian dalam usaha untuk menegakkan keadilan dunia?




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP