KISAH-KISAH RUMAHTANGGA
>> Thursday, November 29, 2012
Perkahwinan adalah suatu alam yang tersendiri yang dibentuk oleh lelaki dan wanita dalam sebuah rumahtangga. Dari sejak dahulu hingga sekarang banyak cerita-cerita dan kisah-kisah yang menarik yang berlaku di sekitar perkahwinan di kalangan umat manusia. Cerita-cerita yang melampaui kedaerahan atau tempatan dan menjangkau ke alam maya.
Sememangnya kisah-kisah tentang manusia, melibatkan percintaan dan rumahtangga merupakan kisah-kisah jagat raya yang tidak pernah kering-kering dan selalu ditimba orang untuk dijadikan hidangan mata dan telinga yang mempesonakan.
Kisah rumahtangga mempunyai segala unsur yang dicanai oleh manusia sendiri yang mengandungi aneka ciri, percintaan, kebencian, kesetiaan, kecurangan, perdamaiyan, peperangan, kekuataan, kelemahan, pengorbanan dan sebagainya daripada perkara-perkara yang membawa simpel kepada perkara-perkara kompleketed yang sukar untuk dipercayai walau pun ianya benar-benar berlaku.
Dalam masa beberapa hari di ibu negara, saya banyak mendengar dan memerhati kisah-kisah manusia dengan perkahwinan mereka, dan sebahagian darinya saya rasa amat menarik untuk dikongsi bersama.
Sebahagian daripada aneka kisah itu saya paparkan di sini untuk dinikmati bersama, supaya memberi manfat kepada kita semua.
Bersama Tapi Berasing
Ada sepasang suami isteri yang telah berada dalam wilayah hujung usia. Mempunyai beberapa orang anak dan ramai cucu, malah juga cicit. Pada masa-masa yang lalu rumah tangga mereka berjalan seperti biasa, tanpa sengketa atau permusuhan yang mengancam..
Kedua-duanya pernah bekerja dan sudah beberapa tahun memasuki alam pencen. Justeru itu masa mereka lebih banyak dihabiskan di rumah dan bersama keluarga.
Tapi hairannya sejak bulan-bulan kebelakangan ini rumah tangga yang berada dalam usia senja itu bergoncang dengan hebatnya. Gegarannya sampai mengoncang seluruh keluarga mereka.
Sang isteri sejak akhir-akhir ini telah berubah lakunya. Dia menjadi terlampau agresif, sentiasa menyerang suaminya dengan kata-kata yang keras, kesat dan menggoriskan hati. Walau pun perkara-perkara yang kecil sekali diungkitnya sampai ke lubang kubur.
Perkara-perkara titik-bengik yang
berlaku di zaman mereka muda-muda dahulu pun diungkit-ungkitkannya dan berjaya
mengeruhkan lagi suasana yang sudah bergelumbang.
Tapi suaminya sehingga ke saat ini masih boleh bertenang dan bersabar. Lebih banyak mendiamkan diri dari bermadah, berhujah menjawab kata isteri. Dia selalu mansihati isterinya supaya bersabar setelah hidup bahagia dalam sebuah rumah tangga yang telah mereka bina sejak sekian lama sejak mereka mendirikan rumah tangga dalam usia muda belia dahulu.
Persoalan yang sering berlegar-legar dalam kepala sang suami ialah kenapakah isterinya berubah sikap begitu drastik? Kenapa perubahan itu berlaku di hujung hayat mereka, setelah berjaya membina supaya kehidupan yang boleh dianggap berjaya?
Dia berharap Allah akan meneguhkan hatinya, tetap dalam kesabaran berhadapan dengan isterinya yang telah berubah perangai. Dia tidak ingin rumah tangga mereka runtuh di hujung senja itu. Bukan sahaja dirinya, malah seluruh keluarganya akan menanggung malu bila perkara yang tidak diingini berlaku.
Dia sering bertanya-tanya kepada diri sendiri apakah yang telah dilakukannya terhadap isterinya itu menyebabkan dia begitu pentas berubah? Apkah yang tidak memuaskan hati isterinya itu?
Namun begitu, isterinya sedang merancang untuk mengubahsuai rumah bunglo kediaman mereka itu. Di antara bahagian yang terlibat dalam pemulihan itu ialah bilik tidur mereka suami isteri. Mengikut rancangan isterinya, selepas itu dua buah bilik tidur berasingan akan dibuat- satu untuk dia dan satu untuk isterinya. Bilik tidurnya ialah bilik tidur yang sedia ada, tapi mengikut rancangan isterinya, sebuah pintu baru akan dibuat menghala keluar halaman, sementara pintu sedia ada yang menghala ke dalam rumah akan ditutup dengan dinding.
Semua anak-anak membantah rancangan ibunya itu, tapi nampaknya tidak berkesan untuk mengubah fikiran isterinya.
Dia tidak tahu apa akan berlaku lagi selepas itu.Apakah tindakan isterinya selanjutnya.
Hanya Allah yang Maha Mengetahui!
Walau bagaimana pun dia masih berharap perkara yang terbaik akan berlaku.
Tidur Berasingan
Saya banyak mendengar cerita-cerita yang boleh diyakini tentang suami isteri yang tidak tidur bersama pada waktu malam. Perkara ini berlaku di kalangan orang muda, dan juga di kalangan orang tua, termasuk warga emas.
Tidaklah diketahui apa sebab yang sebenarnya. Mereka bukan sahaja berasingan, berlainan bantal dan berlainan tilam, tapi tidur dalam jarak yang jauh; jika isteri tidur dalam bilik, suami tidur di luar bilik, jika suami tidur d dapur, isteri tidur di ruang tamu.
Siang hari mereka kelihatan mesra seperti biasa sahaja di hadapan orang. Nampak tidak ada masalah sebagai suami isteri. Mereka berbual, bercakap, dan makan bersama-sama.Tapi bila malam tiba, mereka pun terus berpisah.
Ada di antara pasangan itu telah
beberapa tahun berpencen, dan telah berbelas-belas tahun pula mereka pencen dari
tidur bersama. Seorang tidur di hilir, dan seorang tidur di hulu.
Ada juga pasangan itu masih muda, baru mempunyai seorang anak, tapi sudah mulai tidur berasingan di waktu malam, tapi masih sebilik, jika seorang tidur di atas katil, seorang lagi di bawah katil. Kalau keadaan ini berlanjutan, tidak lama lagi, jika seorang tidur di dalam bilik, dan seorang lagi pula tidur di luar bilik.
Ketika sang isteri masuk ke bilik untuk tidur, si suami mungkin masih leka menonton TV, dan terus terlena di situ hingga ke pagi.
Pasangan ini berpisah tidak, bercerai pun tidak, tapi hanya berasing tempat tidur, di mana terletaknya salah satu sumber kebahagian hidup manusia yang normal sebagai suami isteri. Malah di situlah terletaknya sebahagian daripada tanggung jawab suami dan sebahagian daripada tanggung jawab isteri.
Jika tanggung jawab di bilik tidur ini, diabai oleh suami atau oleh isteri atau oleh kedua-duanya sekali, maka akan pincanglah hubungan rumah tangga. Sebahagian daripada kemesraan hidup bersuasmi isteri telah lesap.
Kehidupan suami isterinya sepatutnya sentiasa bersama, bersatu hati dan jiwa dalam membina sebuah kehidupan yang harmoni dan bahagia. Bersama satu hati dan jiwa dalam kehidupan di rumah tangga dan juga di luar rumah tangga. Bersama dan bersatu di mana-mana dan di sepanjang masa selagi hayat masih dikandung badan.
Saya bersyukur, kerana saya dan isteri semasa hayatnya sentiasa tidur bersama, kecuali kami berada di tempat yang berasingan. Dia tidak akan terlena jika saya tidak ada di sampignya di waktu hendak tidur. Malah bukan sahaja dalam bilik, tapi diluar bilik pun kami tetap tidur bersama.
Oleh itu jika saya ada kerja yang perlu diselesaikan malam itu, saya akan temani dia di tempat tidur dan bila dia benar-benar terlena barulah saya menyambung semula kerja saya yang belum selesai itu. Jika dia terpaksa menyelesaikan sesuatu kerja urgen yang perlu disegerakan, selagi mata saya boleh bertahan, saya akan tunggu belliau hingga dia selesaikan kerjanya barulah kami masuk tidur bersama.
Itulah peraturan kami, dari sejak kami kahwin sehingga berpisah bila beliau tidur buat selama-lamanya meninggalkan saya tidur sendirian.
Kerana Kerja
Sepasang suami isteri yang bukan sahaja berpisah di tempat tidur, tapi juga dalam kehidupan seharian mereka. Tapi dengan sebab-sebab yang diketahui dan boleh difahami.
Tugas atau pekerjaan telah memisahkan mereka untuk bersama dan juga untuk tidur bersama. Suami kerja di Pantai Timur, sementara isteri kerja di Pantai Barat. Atau isteri kerja di utara, tapi suami kerja di selatan. Justeru itu masa dan tempat telah berjaya memisahkan mereka suami isteri yang sepatutnya tinggal bersama.
Oleh itu mereka hanya boleh bertemu dan hidup bersama hanya seminggu sekali, dua minggu sekali, atau pun sebulan kali sahaja. Itulah juga peluang mereka untuk tidur bersama.
Ada pula suami yang pekerjaannya berpangkalan di Malaysia, tapi terpaksa menghabiskan sebahagian besar masanya menjalankan tugas di luar negara. Jika seminggu berada bersama anak isteri di rumah, tapi sebualan atau dua bulan pula terpaksa bertugas di luar negara.
Malah ada kerana pekerjaan, suami isteri hanya dapat berjumpa beberapa kali sahaja dalam setahun, seperti di hari-hari raya atau di hari-hari kebesaran, kerana dibatas oleh tempat, masa dan kemudahan, seperti suami bekerja di Sepanyol atau di Amerka, sedangkan isteri bekerja di Malaysia. Atau isteri tidak bekerja, tapi suami tidak berpeluang membawa isteri dan keluarga ikut bersama-sama kerana mempunyai berbagai-bagai halangan.
Suami isteri yang hidup sentasa berpisah lama seperti ini sudah tentu memerlukan kesabaran yang besar untuk menjaga kebahagian hidup rumah tangga mereka. Suami isteri perlu berkorban dan mempunyai sikap setia yang tidak berbelah bahagi.
Biasanya hidup kesepian yang berpanjangan kepada pasangan yang masih muda bererti membuka pintu yang lebar kemasukan syaitan utuk menembus pintu hati dan menjahanamkan rumah tangga. Oleh itu berhati-hatilah dalam melayari hidup seperti ini baik kepada suami atau isteri.
Air Lebihan
Suatu pagi saya melalui sebuah kaki lima di hadapan sebuah kedai makan kepunyaan orang Melayu. Oleh sebab kedai itu sempit, hanya muat beberapa buah meja sahaja, maka meja-meja makan untuk pelanggan diatur di kaki lima dan juga di tempat parkir kereta di atas jalan di hadapan kedai makan itu.
Ketika saya sampai, saya lihat ada sepasang suami isteri warga emas sedang makan di sebuah meja kecil di kaki lima kedai. Waktu itu mereka berada di penghujung sarapan pagi, dan sedang meneguk mnuman. Waktu saya hampir dengan mereka, wanita itu memberi tahu sesuatu kepada suaminya sambil menunjuk ke arah dalam kedai makan itu. Mungkin dia memohon permisi untuk membeli
sesuatu daripada suaminya yang kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya.
Kemudiannya suaminya ikut bangkit. Sebelum meninggalkan meja dia memerhati gelas air bekas minuman isterinya. Dia lalu mengambil gelas itu, dan menuangkan sisa baki air yang sedikit benar dalam gelas itu ke dalam gelas airnya yang juga sedikit sahaja lagi berbaki. Kemudian dia meneguknya dengan sekali teguk sahaja. Semuanya habis tak bersisa dalam gelasnya.
Berapa ramai kaum isteri boleh berbuat demikian, bersedia minum air lebihan minuman suaminya? Setahu saya ada wanita yang bukan sahaja enggan meminum air lebihan suaminya, malah untuk meminum gelas bekas yang baru diminum oleh suaminya pun mereka jejek?
0 comments:
Post a Comment