Kenangan-kenangan Kg.Lebir

>> Wednesday, November 14, 2012




KENANGAN-KENANGAN KAMPUNG LEBIR


Setelah kira-kira hampir sedekad kami meninggal Kg. Lebir, semalam untuk kali keduanya saya sampai di kampung tersebut, sebuah kampung kecil yang terletak terpencil dalam Jajahan Gua Musang.


Kalau dahulu jalan untuk masuk ke Lebir itu amat sukar, terutama di musim hujan, kerana jalan berselut dan belumpur dan naik dan turun bukit, mengambil masa lebih dari sejam untuk sampai dari Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang yang bermula dari Paloh yang merupakan pintu masuk ke Lebir.



Tapi hari ini semuanya itu telah menjadi sejarah, sebuah jalan bertar menjalar masuk dari Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang sampai ke Lebir, yang hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk sampai dengan motokar.


Kami sampai ke Lebir bersama keluarga pada hari semalam, Selasa 13 November 2012 dengan dua buah kenderaan untuk meraikan majlis perkahwinan sahabat baik kami, sebuah keluarga peneroka di Lebir.



Banyak perubahan fizikal kami lihat telah memperbaharui  wajah Lebir jika dibandingkan dengan kira-kira satu dekad yang lalu. Banyak daripada rumah-rumah peneroka telah bertukar rupa, menjadi rumah batu, bungalow, malah ada yang bertingkat. Besar dan cantik-cantik.


Sekolah Lebir telah mendapat bangunan baru, batu dan cantik dan terletak di atas tapak yang baru. Tersergam indah, macam sekolah di bandar  sana.


Saya menjadi tertanya-tanya, berapa ramaikah sebenarnya anak-anak Lebir yang menikmati kemudahan pendidikan yang begitu mewahnya itu? Kerana saya dimaklumkan, ramai kanak-kanak di situ dari anak generasi yang kedua telah berpindah dari Lebir mengikut orang tua mereka mencari kehidupan.


Kami amat sedih bila melihat bangunan lama Sekolah Lebir itu terbiar begitu sahaja dimamah oleh masa yang begitu pentas berlalu. Tidak adakah usaha untuk menggunakan bangunan-bangunan yang dibina dengan menelan ribuan ringgit itu dan di atas tapak yang begitu luas supaya boleh terus memberi manfaat?


Tapi Masjid Lebir yang berada di bersebelahannya masih juga kekal dengan bangunan lama dan di atas tapak yang sedia, walaupun khabar-khabar untuk membina bangunan baru sama naik dengan rancangan untuk membina sekolah Lebir yang baru itu.



Waktu kami sampai di rumah pengantin itu, kira-kira pukuul satu, kedua-dua pengantin, baru selesai diijabkabulkan dan waktu itu pengantin lelaki sedang bersalin pakaian di masjid yang letaknya tidak jauh dari situ.


Penduduk-penduk Lebir itu, lelaki dan perempuan, masih ramah dan mesra seperti biasa. Bila melihat kami turun kereta, sebahagian daripada mereka yang berada di situ datang menemui kami, bersalam-salaman dan berbual-bual mesra dengan kami.


Kemudian barulah kami menuju ke rumah pengantin yang letaknya berhampiran dengan tempat kami parkir kereta. Waktu itu tetamu-tetamu jemputan juga mulai sampai, penduduk tempatan yang memang telah biasa dengan kami pada masa yang lalu. Mereka semuanya ramah-tamah.


Tuan rumah terkenal dengan panggilan Mak Yah dan Pak Pin, keluarga peneroka. Menu hidangan ialah nasi putih, ayam percik, gulai kawah, paceri buah-buahan dan sambal belacan. Gulai kawah, umbut kelapa sawit, dan bukannya dengan buah ara seperti biasa. Kami makan dengan berselera.


Tradisi gotong royong masa yang lalu ketika mengadakan majlis khawin masih kekal. Mereka bersama-sama menyiapkan tempat dan bersama-sama memasak, mengikut apa yang telah ditetapkan. Baik lelaki atau wanita menjalankan tugas mengikut kesediaan masing-masing.


Ketika tinggal di Lebir dahulu kami suka benar makan masak lemak  kuning pucuk paku. Pucuk-pucuk paku itu pula dikutip oleh saya dan isteri saya [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] daripada semak-semak yang tumbuh subur di tepi Sungai Lebir. Kami pernah membawa balik pucuk-pucuk paku yang kami kutip itu ke rumah di Kota Bharu dan membahagi-bahagikannya kepada jiran tetangga.


Kalau tidak disayur lemak, pucuk-pucuk paku itu dicelur dan dibuat ulam dengan dicicah budu atau sambal lada, cili api.

Selepas mengutip pucuk-pucuk paku itu barulah kami turun ke sungai. Pada masa dahulu air Sungai Lebir itu cetek dan bersih. Air itulah yang kami gunakan untuk mandi manda, membersihkan pakaian, malah air sungai itu jugalah kami angkut untuk kegunaan rumahan bila bekalan air paip putus kerana kerosakan injinnya,


Tapi hari ini, air sungai itu tidak boleh digunakan lagi, kerana airnya telah tercemar, berubah warna menjadi hitam pekat, akibat perlombongan biji besi di bahagian ulunya, Aring. Demikian saya dimaklumkan oleh penduduk.


Sebelum meninggalkan Lebir, kami singgah di kuater guru yang pernah kami tinggal dahulu. Sekarang ia ditinggali oleh keluarga Utaz Zahar. Di belakang rumah itu masih subur lagi pokok-pokok kelapa dan mangga [pauh ringan[ yang kami pelihara dahuu. Masih lebat berbuah. Demikian juga dengan pokok pisang yang kami tanam dahulu masih ada yang hidup dan juga sedang berbuah.


Alhamdulillah tidak sia-sia apa yang kami tinggalkan. Semoga ia akan terus memberi manfaat dengan hidup subur dan mengeluarkan hasil di masa-masa akan datang.


Di belakang rumah guru itulah terletak sekolah Lebir yang lama yang hanya dipisahkan oleh padang permainan sekolah.


Perubahan pesat dari segi fizikal itu telah mengubah wajah Lebir, tapi adakah juga demikian perubahan yang berlaku kepada kehidupan keruhanian penduduknya? Adakah perubahan jasmani yang pesat itu sejajar dengan kemajuan ruhani yang diraih oleh  penduduknya dalam mencari keredaan Allah?


Kami berdoa semoga kemudahan perhubungan itu, jalannya dan telefonnya dan sebagainya yang ada itu dapat  memberi manfaat kepada mereka  semuanya, bukan sahaja dalam segi jasmaniahnya, tapi juga dari segi ruhaniahnya, untuk membina keperibadian yang unggul, kepada mereka semunya.


Kerana hanya kekuatan ruhani sahaja yang dapat menjadi benteng yang utuh untuk mempertahankan diri daripada ancaman bebagai-bagai parasit yang akan menimpakan kerosakan kepada diri dan peribadi seseorang dalam mencari keredaan Allah.


Dalam perjalanan pulang itu, kami singgah solat di Masjid Paluh yang baru siapa dibina dan terletak di pinggir Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang.  Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Kuala Krai dan bermalam di Sungai Durian sebelum balik ke Kota bharu.


Semoga Allah merahmati kita semua.









0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP