Ikan Di laut Asam Di Darat, Bersatu Di Kelantan
>> Saturday, November 17, 2012
Semalam kami menghadiri majlis kahwin-menghantar pengantin perempuan ke
rumah pengantin lelaki. Di Kampung dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh. Pengantin
perempuan berasal dari Sungai Jernih, Pahang.
Kami sebelah pihak pengantin perempuan. Ayahandanya sahabat baik kepada anak saya Ahmad Faris Zaini yang pernah bertugas di Pahang pada suatu ketika dahulu.
Rombongan perempuan dari Pahang datang dengan sebuah bas dan beberapa buah kereta bermalam di rumah tumpangan di Besut, tidak berapa jauh dari rumah pengantin lelaki, di Semerak.
Kahwin Tanpa Kenegeriaan
~~~Ketibaan Pengantin Perempuan Disambut Pengantin Lelaki.Sama Cantik Sama Padan.
Hari ini jalinan perkahwinan tidak seperti di masa-masa yang lalu. Kalau di masa-masa yang lalu, pada umumnya anak gadis Cik Siti Wan Kembang pasangannya teruna anak orang Kelantan juga, dan demikian pula, anak teruna Kelantan pasangannya anak gadis Cik Siti Wan Kembang jua.
Tapi hari ini rangkaian perkahwinan yang sempit itu telah terungkai. Gadis Kelantan bukan hanya mesti untuk pemuda Kelantan.Malah dia untuk siapa sahaja, bukan sahaja anak bumi Malaysia, tapi juga untuk pemuda sejagat raya in. Demikian juga dengan kaum lelaki, sang teruna Kelantan, bukan lagi khusus untuk si dara Kelantan, tapi dia untuk si gadis seluruh dunia ini.
Kita percaya sehingga hari ini sudah terlalu ramai berlakunya perkahwinan antara gadis Kelantan dengan pemuda luar Kelantan, demikian juga sebaliknya, sudah begitu ramai pula pemuda atau lelaki Kelantan melangsungkan perkahwinan dengan gadis luar Kelantan.
Demikianlah orang Kelantan sudah ramai berkahwin dengan orang Johor, orang Selangor, orang Negeri Sembilan, orang Perak dan orang Perlis, malah orang Sabah dan orang Sarawak.
Malah lebih jauh lagi, ada yang pasangannya berasal dari Indoneisa, Saudi Arabia, Bosnia, Jepun, British, Amerika dan sebagainya.
Ertinya tembok perkahwinan iu telah tidak ada lagi, tidak mempunyai sempadan lagi, sebagaimana talian perhubungan hari ini telah bebas lepas tanpa sempadan lagi. Pagar-pagar perkahwinan telah menjadi buruk dan runtuh.
Ikan Di laut, Asam Di darat Bertemu Jua
Demikian kata orang-orang tua, Ikan di laut, asam di darat, akhirnya bertemu juga dalam periuk, bila sudah ditakdirkan.
Ayahanda Pengantin perempuan, Enc.Suhaili bersama Ahmad Faris Zaini
Tembok-tembok kedaerahan atau kenegerian sempit yang menjadi penghalang kepada perkahwinan selama ini telah roboh oleh rempuhan masa yang berubah dengan pesatnya sejajar dengan kemajuan, juga keperluan hidup, serta perubahan zaman.
Dalam bidang untuk mencari peluang rezeki, orang Kelantan memang telah lama terkenal dengan kerajinan dan kedinamisannya. Mereka sanggup merantau, meninggalkan kampung halaman, sanak saudara untuk mencari sumber rezeki yang lebih luas di seluruh dunia ini.
Pada masa-masa yang lalu, mereka berbondong-bodong keluar Kelantan untuk membuka tanah-tanah hutan, menjadikannya kebun-kebun getah, dan hari ini mereka telah hidup senang di perantauan setelah bertungkus lumus selama berpuluh-puluh tahun bermandi keringat dan dibasahi hujan ketika membersih hutan dan menanam anak-anak getah.
Begitulah yang dilakukan generasi tua hari itu, meninggalkan kampung halaman, untuk membuka tanah-tanah, dan sebahagian besar dari mereka terus menetap di negeri Pahang dan lain-lain negeri, bernak-pinak dan berkahwin di sana.
Ada juga di antara mereka. Kaum lelaki. Tidak segan dan silu keluar kampung halaman untuk menjadi buruh-buruh, terutama buruh binaan, sampai ke Johor dan terutamanya ke Singapura.
Di samping itu kilang-kilang perindustrian juga, terutama pada peringkat permulaannya, hanya terdapat di ibu kota dan juga di bandar-bandar besar telah berjaya menarik ramai anak-anak Kelantan berhijrah ke sana. Justeru mana-mana anak muda yang mempunyai cukup syarat, dan ingin mencari kerja, terpakasalah mereka berhijrah, dan ini termasuklah anak-anak gadis-gadis di mana tenaga mereka diperlukan.
Kemudian dengan bertambah luasn dan majuya bidang pendidikan, sedangkan pusat-pusat pengajian tinggi, seperti universiti-universiti pada masa itu hanya terdapat di ibu kota, maka mana-mana anak-anak muda yang berjaya dalam peperiksaan dan ingin melanjutkan pelajaran mereka terpaksa berhijrah ke ibu kota dan sebagainya untuk memenuhi cita-cita tersebut.
Malah ada di antara mereka yang beransib baik, dan mempunyai kemudahan terus berangkat keluar negara, ke Amerika. Britain, Atab Saudi, Mesi, Indonesia dan sebagainya untuk melanjutkan pelajaran.
Sepanjang masa berada di perantuan itu mereka mungkin bertemu dengan kaum yang berlawanan jenis yang menarik hati mereka, bukan sahaja untuk dijadikan kekasih hati, tapi juga untuk dijadikan pasangan hidup yang berkekalan sepanjang hayat. Dan yang menjadi pilihan mereka itu bukan mestinya dari satu rumpun bangsa, Melayu, tapi mungkin daripada berbagai-bagai rupa bangsa di seluruh dunia ini.
Demikianlah berlangsungnya perkahwian di antara pasangan anak Kelantan dan anak luar Kelantan. Maka bertemulah ikan di laut dan asam di darat dalam belanga, atau bertemulah kopi dengan susu dalam gelas kehidupan, walau pun keduanya dari sumber yang berlainan.
Dalam keluarga saya sendiri, ada beberapa orang yang mempunyai pasangan hidup bukan teridir dari orang senegeri, tapi dari keluar Kelantan, ada orang dari utara, ada orang dari selatan dan yang datang dari wilayah tengah Semenanjung.
Ibu Bapa Tidak Bersetuju
Namun begitu, hingga ke hari ini, masih ada lagi sesetengah ibu bapa yang keberatan, malah ada yang menentang untuk mengizinakan anak-anak mereka berkahwin dengan orang yang bukan senegeri, terutama anak perempuan. Mereka menanruh kebimbangan, anak-anak muda ini bila sudah berumah tangga nanti sudah tentu akan membina kehidupan mereka sendiri. Memiliki rumah-rumah sendiri bukan di Kelantan tapi di negeri-negeri lain, mungkin di negeri-negeri pasangan mereka yang akan menjarakkan hubungan mereka dengan keluarga. Walau pun pada hari ini perhubungan telah terlalu mudah dan singkat, ikut jalan darat dan udara.
Dan yang lebih memeritkan lagi di rasa oleh ibu bapa bapa ialah bila tiba hari raya, yang hanya dua sekali sahaja setahun, anak-anak yang berkahwin dengan pasangan orang luar Kelantan itu, masih belum pasti mereka akan balik beraya di rumah ibu bapa, kerana mereka mungkin akan beraya di rumah isteri atau di rumah suami. Setidakk-tidaknya mereka terpaksa bergilir-gilir. Raya Haji di sambut di rumah orang tua isteri, dan raya Puasa pula disambut di rumah orang tua suami. Bergilir-gilir yang menyebabkan ibu bapa tidak merasa puas hati.
Kita berharap nasib malang yang menimpa seorang ibu tunggal yang hanya mempunyai seorang anak, dan anak perempuan pula yang menjadi guru, tidak banyak yang berlaku. Anak gadisnya berkahwin dengan seorang pemuda luar Kelantan. Sebelum berkahwin, beliau telah memberi syarat yang ketat kepada anak gadisnya itu dan juga bakal menantunya, iaitu sudah kahwin nanti mintalah tukar bekerja di Kelantan, sementara itu beliau meminta kedua-duanya selalu menghubungi beliau dari masa ke masa, dan balik ke rumah bila keadaan mengizinkan.
Kedua Pengantin Atas Persada Persandingan
Tapi selepas kahwin, anak perempuan itu pergi mengikut suaminya di mana mereka bekerja di negeri lelaki itu, dan sejak itu kedua-duanya, tidak lagi pernah memijak kakinya di rumah wanita itu, tidak juga menghubungi, baik melalui surat atau melalu telefon. Diam sepi tanpa kabar dan berita, menyebabkan hati si ibu hancur luluh berekcai. Justeru nama anak yang menjadi kesayangannya itu telah dibuang dari hatinya.
Namun saya harap keadaan telah berubah baik, kerana masa telah lama berlalu. Saya pernah berjumpa dengan beliau sekali dua sejak akhir-akhir ini, tapi tidak berani pula untuk bertanya tentang anaknya itu, takut melukakan hatinya kembali
Walau bagaimana pun, jangan lupa, jika kita mencari menantu, baik senegeri atau tidak senegeri, senegara atau tidak senegara, sebangsa atau tidak sebangsa, carilah menantu yang beriman. “Seburuk-buruk” menantu yang beriman, walau pun tidak berharta, dia tidak akan menjadi sejahat menantu yang tidak beriman, walau pun kaya. Anak perempuan akan selamat di tangan seorang lelaki yang beragama, walau pun miskin, daripada di tangan seorang lelaki yang jutawan, tapi tidak beragama.
Tugas utama kita ibu bapa adalah memberi pelajaran dan pendidikan yang sebaik-baiknya kepada anak-anaknya, demi kepentingan dunia dan akhirat, maka selebihnya serahlah ketentuannya kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana. Teman hidup boleh dicari, tapi pertemuan dan jodoh di tangan Allah.
Nasi lemak bersambal lada,
Buat sarapan di waktu pagi;
Harap hati pada kekanda,
Tidak kekanda siapalah lagi?
0 comments:
Post a Comment