KAMPUNG SALOR PUSAT BUDAYA

>> Tuesday, July 30, 2019






KAMPUNG SALOR  PUSAT BUDAYA


                                                       ilustrasi  Pesta 10 Tahun merdeka



Senafas dengan kemunculan Kg. Salor sebagai pusat perdagangan yang maju, kampung itu juga terkenal sebagai sebuah pusat atau pemangkinkebudayaan yang populer.


Sebeluam tahun 1960an kita melihat aneka bentuk seni budaya muncul dan tersebar di kampung tersebut,dan menarik hati orang ramai untuk mengikutinya.


Kegiatan budaya ini digerakkan oleh warga-warga tempatan yang berminat dan diadakan dari masa ke masa sepanjang tahun.

Aneka corak budaya diutarakan, samada diimport dari luar ataupun berupa sumbangan warga tempatan sendiri.






Pusat aktiviti budaya ini hanya berlegar di sekitar.Kampung Kedai Salor, kerana adanya penggiat-penggiat budaya di di situ di samping adanya kemudahan dari segi perdagangan yang membolehkan orang ramai yang berkunjung untuk membeli-belah serta makan minum.


Marilah kita jejaki satu persatu, secara singkat, kalau tidak semunya pun aktiviti-aktiviti budaya yang terdapat di Kg. Salor sepanjang masa tersebut mengjkut sejauh ingatan saya.


Wayang Kulit

Salah satu permainan hiburan yang paling kerap diadakan di Kg, Salor ialah wayang kulit. Setiap beberapa bulan sekali wayang kulit ini dijemputl bermain di pentas yang telah disediakan terletak dekat dengan Bangunan Kedai Salor, iaitu di atas tanah salah seorang penduduk tempataan dikenali dengan panggilan Tok Cik Wan. Saya tidak pasti samada tanah itu disewa atau percuma.


Panggung wayang kulit itu dipagar luas, biasanya dengan menggunakan daun-daun kelapa basah. Setiap orang yang hendak menonton biasanya dikenakan bayaran, kalau tak silap saya 20 sen untuk orang tua dan 10 sen untuk kanak-kanak. Panggung kayu beratasp nipah itu tidak pernah dirobohkan malah ia digunakan dari masa ke masa sebagai panggung wayang kulit.


Pasukan wayang kulit yang sentiasa diundang ialah Wayang Kulit Tok Dalangnya bernama Omar, kerana itu dipanggil Wayang Kulit Omar.. Saya difahamankan ia berasal dari Kedai Buloh atau setidak-tidaknya di sekitar kawasan tersebut.


Mak Yong

Selain wayang kulit mereka juga menjemputl pasukan Mak Yong datang bermain di kampung itu. Mak Yong watak utama atau pramadonanya ialah seorang  muda yang cantik yang berpakaian lelaki. Ia ditemani oleh dua orang pemain lelaki yang lebih mmerupakan badut untuk menggelikan hati penuntun.


Panggung Mak Yong tidak serupa panggung wayang kulit, kerana para penonton boleh melihatnya dari arah hadapan, dan juga dari arah kanan dan kirinya. Panggung atau pentas Mak Yong juga didirikan di atas tapak yang sama.


Pasukan MakYong yang biasa diundang ialah Mak Yong Cik Kemala yang begitu termasyur pada masa itu.


Teketnya sama juga, iaitu 20 sen orang tua dan 10 sen untuk kanak-kanak.


Sandiwara

Pada tahun-tahun tersebut Sekolah Melahu Salor aktif dengan seni pentas yang pada masa itu dipanggil sandiwara, Pertunjukan sandiwara itu diadakan secara percuma untuk penduduk-penduduknya, yang diadakan di bangunan sekolah B yang dinding kelasnya boleh dibuka tutup


Biasanya permainan sandiwara ini dianjurkan  oleh Persatuan  Murid-murid Tua Salor yang aktif pada masa itu yang juga aktif dalam permainan sukan bola tengkis dan bola sepak.


Biasanya setiap kali diadakan sandiwara yang saya mengambil bahagian mencari rezaki dengan menjaja kacang goreng. Kacang-kacang  itu saya pergi membeinya sendiri daripada petani-petani China di tebing  Sungai Kg. Teluk Kandis, membawanya balik ke rumah, membersihnya kemudian menggorengnya dengan pasir, kemudian bila sudah masak dan sejuk lalu saya bongkus dengan kertas akhbar dalam bentuk kon dan dijual dengan harga 10 sen sebungkus kepada penuntun sandiwara dengan disi dalam sebuah bag rotan besar yang terbuka dan menjajanya dari kerusi ke kerusi kepada para penuntun. Alhamdulillah biasanya kacang itu habis, tidak bersisa.


Salah seorang pelakun sandiwara pada masa itu ialah Cik Gu Shafie Saleh. Biasanya para penyanyi dari Kota Bharu idundang untuk menyanyi di majlis tersebuut. Ada seoraang cik gu perempuan yang terkenal sebagai penyanyi pada masa itu turut memberi sumbangan.






Catur

Peminat-peminat catur biasanya bermain catur di kedai kopi Abah, Sayyid Agil sebagai penghabis masa bagi mereka yang mempunyai kelapangan, sambil minum kopi dan menikmati kueh-mueh.


Biasaanya mereka bermain di waktu petang dan malam. Di samping dua orang pemain, ada juga pemain pembantu bagi kedu-dua belah pihak, dan sbeberapa orang  penuntun akan berdiri mengelilingi meja catur dan akan mengeluarkan sorakan kecil serentak tanda puas hati bila terjadi sesuatu yang luar biasa ke atas perjalanan buah catur. itu


Sukan

Pada masa itu pehak Sekolah Salor juga setiap tahun mengadakan acara sukan sekolah secara besar-besaran di arah penghujung tahun.


Biasanya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim berkenan berangkat untuk bertitah danb menyampaikan hadiah kepada para peserta yang berjaya.


Pada sebelah malamnya diadakan upcara unggun api di tengah padang sekolah yang dimeriahkan lagi oleh berbagai-bagai acara menarik seperti berdikir barat di kalangan kanak-kanak sekolah.


Saya pernah ikut serta dalam satu pasukan dikir barat, itu dan saya pernah dihentam teruk oleh juara lawan dengan ejekan yang menyebabkan penuntun ketawa. Biasalah dikir barat pada waktu itu.

Rebana Kercing

Biasanya dimain di atas pentas. Tapi di kampung rebana kercing dimain di atas rumah sahaja,  biasanya di majlis-majlis perkahwinan.


Pada masa dahulu di Kg. Salor atau pasukan rebana kercing,dan seorang guru yang pandai, yang saya lupa namanya. Beliau memiliki pakaian-pakaian khusus untuk para pemai dan juga  rebana kercing itu yang dipalu ketika mereka menari. Pemain-pemian biasanya terdri dari anak-anak muda lelaki tanpa perempuan.


Tapi selepas beliau meninggal dunia pasukan rebana kercing itupun ikut  pergi bersama-sama dengannya.


Zapin

Pemain zapin semuanya lelaki muda berbaju Melayu lengkap. Bisanya ia bermain di dalam rumah untuk berhibur, Tarian zapin diikuti oleh paluan rebana tapi tidak ada nyanyian.


Salah seorang guru zapin yang terkenal di Kg. Salor waktu itu seingat-ingat saya ialah Cik Awang yang terkenal dengan panggilan Abang Awang.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan waktu itu, Sultan Ibrahim pernah berangkat berzapin dengan warga tempatan di rumah Cik Mas binti Othman.  Selain itu ada juga kerabat-kerabat yang lain yang datang berzapin.


Antara pemuda-pemuda pemain zapin pada masa itu ialah Cik Manaf, dan Cik Chek.

Selampit


Selampit sejenis hiburan di mana pemainnya dipanggil Tok Selampit bercerita dengan nada yang tertentu sambil mengesel rebabnya.


Selampit juga pernah diundang bermain di Kg. Salor, dan bangunan kedai itu dijadikan pentasnya dengan para pendengar duduk atas kerusi  atau duduk di atas lantai simin di hadapan Tok Selampit yang duduk di atas gerai kayu...



                                                       Ilustrasi:Pesta 10 Tahun Merdeka
 
Wau

Selepas musim mengetam atau menuai padi, dan jerami dibakar tanah-tanah sawah padi yang luas otui menjadi kosong. Lapang dan luas terbentang menunggu masa mencedung atau menanam padi pula beberapa bulan selepas itu.


Untuk mengisi masa tersebut mereka mengadakan permainan wau atau layang-layang. Biasanya mereka menganjurkan pertandingan wau. Dan biasanya ada dua kategori pertandingan wau, iaitu wau yang cantik rupa parasnya dan wau yang boleh terbang tinggi menjulang angkasa.


Wau cantik itu selain daripada dihiasi cantik, juga dibuat dalam berbagai-bagai bentuk yang menarik, seperti dalam bentuk burung, manusai dan sebagainya untuk diadili oleh para pengadil.
Peretandingan itu trbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menyertainya, terutama dari kampung-kampung berjiran.


Kawasan yang biasa digunakan ialah berhampiran dengan Kedai Salor. Di situ ada beberapa pakar pembuat wau yang handal, yang saya lupa namanya, tapi salah seoerang daripadanya mungkin Cik Awang yang lebih dikenali dengan panggilan Abang Awang [Kak Nik Som]..


Rebana Ubi

Demikian juga selepas musim mengetam padi mereka mengadakan permainan rebana ubi.
Tidak ada penduduk-penduduk di sini yang pandai membuat rebana ubi atau yang pakar memalu rebana ubi. Justeru mereka mengundang pasukan-pasukan daripada kampung lain untuk datang bermain di sini, biasanya diadakan hadiah-hadiah kepada pemenangnya.


Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menguruskan perkaera tersebut.


Sepak Raga

Warga Salor biasanya bermain sepak raga tinggi pada bulan Ramadan. ,Mereka terdiri dari golongan berumur dan mereka bermain ialah di tengah-tengah tanah lapang di hadapan bangunan Kedaai Salor itu, selepas waktu Asar hingga menjelang waktu berbuka.


Biasanya mereka menggunakan sepak raga yang diperbuat dari rotan dan sekali sekala mereka gunakan juga sepak raga yang diperbuat dari bulu ayam.


Seinngat-ingat saya tidak pernah ada pengajuran perlawanan sepak raga yang diadakan di Kg. Salor.


Pemain-pemainnya ramai memenuhi satu lingkungan bulatan yang  besar. Tapi antara pemainnya yang saya ingat ialah Abah Sayid  Agil, Abang Awang, Muhammad [Mamat], Cik Seman, dan ramai lagi yang datang dari kampung-kampung berhampiran dengan Sekolah Salor.


Kertok

Di Kampung Salor kanak-kanak bermain kertok yang tersendiri. Ia diperbuat daripada sebiji buah kelapa kering, diparas bahagian atasnya untuk membuat lubang dan isinkelapaya dibuang. Sekeping daun kertok yang diperbuat daripada buloh tua akan di letak  di atas lubang itu dan dipalu bertalu-talu dengan menggunakan pemalu dari sepotonht  julai kayu yang hujungnya dibalut dengan getah sigret untuk dipalukan ke tas daun kertok itu.


Tapi kepada orang tua kertok mereka lebih kompliketed diperbuat daripada kayu baik   tubuh dan daunnya dengan lebih besar, dan dipalu dengan menggunakan pemalu yag akan mengeluarkan bunyi yang deras. Orang-orang tua biasanya mengadakan pertandingan kertok selepas musim menuai di mana mereka mempunyai banyak masa untuk bercanda.


Pasukan yang bermain itu mewakili kampung-kampung yang berlainan, di mana dua pasukan sekali bermain seperti rebana ubi juga.


Tapi tidak ada pasukan pemain kertok khas di Kampung Salor.

Satu  yang mungkin  masih kekal ialah wanita-wanita Kg. Salor ini terkenal dengan kejelitaannya!


Demikianlah kita lihat Kampung Salor menjadi pemangkin kepada seni dan budaya, malah boleh dianggap sebagai pusat budaya pada waktu itu.


Tapi peranan cemerlang itu mulai malap dan akhirnya terus menghilang bila Kampung Salor kehilangan pusat dagang yang telah dinikmatinya sejak sekian lama itu. Salah satu daripada sebabanya ialah keranan pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi Sungai Kelantan. Demikianlah keadaannya kampung itu menjadi sepi hingga ke hari ini, persis sebuah perkampungan yang ditinggalkan kalau tidak ada penduduknya yang tinggal di kampung itu.. Ia telah bertukar menjadi sebuah kampung yang sepi.

Saya akhiri tulisan ini dengan:

KAMPUNG YANG SEPI
BANGKITLAH!

Tercegak sendirian
Di tebing kali
Airnya cetek
Mengalir lesu
Ratusan batu
Menuju pelabuhan
Masa.

Matahari merayap ke kamar peraduan
Menutup jendela siang
Langit berpancar warna
Kesepian
Angin sepoi membelai
Menerbang ka masa silam
Meniti zaman
Sejuk dan damai
Rindu mengigit hati
Yang hilang dan pergi
Tanpa berganti
Kawan-kawan sepermainan

Di senja yang larut
Hati terasa terhiris
Tidak terbelai
Dengan calar-calar luka
Kerinduan.
Kampung yang damai
Sunyi dan sepi
Tiada apa yang tinggal
Hanya kenangan pahit
Yang meggoris hati.

Selamat tinggal kampung tercinta
Semoga membangun kembali
Dengan restu doa kami yang tidak bertepi.
Sedarkan wargamu
Tertidur lama dalam buaian
Dselimut  mimpi yang panjang
Tanpa kesudahan
Sedangkan masa terus berjalan.

Bangitlah
Jangan dibiarkan masa berlalu
Hanyut dalam kesepian
Yang merugikan.

Bangkitlah
Ukirlah sejarah
Bentuklah kemajuan
Zaman yang gemilang.



Kg. Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan, Darulnaim
Selasa 30 Julai 2019
/27  Zulakedah 1440.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP