BAHASA CITARASA ORANG KELANTAN

>> Friday, July 5, 2019









JENDELA BUDAYA

BAHASA CITARASA ORANG KELANTAN




Bahasa Melayu Kelantan adalah salah satu bahasa yang unit di negara kita Malaysia.
Keunikan itu terdapat dalam bahasa dan juga kata-kata bila bahasa dituturkan oleh orang Kelantan.

Orang-orang China dan India yang menetap di Kelantan juga bila bercakap bahasa Melayu berbicara dalam bahasa lughat Kelantan, terutama orang-orang China. Malah ada diantara mereka yang boleh bercakap Melayu Kelantan, terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung.



Biasanya orang-orang bukan anak Kelantan sukar untuk memahami bila mendengar orang Kelantan bertutur dalam bahasa loghat Kelantan sesama mereka.

Di sini kita utarakan sedikit perkataan dalam bahasa Kelantan tentang citarasa orang Kelantan, khususnya mengenai sesuatu  makanan.

Ianya untuk menguatkan lagi pengertian sesuatu perkataan yang digunakan itu.




-Belender taber:
Dirujukkan kepada makanan yang telah rosak atau basi, menyebabkan rasa dan rupanya juga telah berubah. Tak lalu nak makan.

Kueh talam itu nampak pun dah belendir taber,tak lalu nak makan dah.

-Keras kekun:
 Dirujukkan kepada makanan yang amat keras, sukar untuk dimamah.
Pulut bakar itu keras kerjun,

-Keras kerjun:
Dirujukkan kepada makanan yang amat keras,sukar untuk dimamah. Seperti keras kekun.

Kerjun bererti “menggoruyuk” seseorang menyebabkan dia tidak dapat bergerak dan menjadi keras kaku.

-Kering garing:
Dirujuk kepada makanan, biasanya lauk pauk yang digoreng atau dibakar terlalu mamenyebabkan ia kering kontang, dan keras, tak sedap dimakan.

Ikan goreng itu, kering garing lama duduk atas dapur, tak lemak sedikitpun lagi.

-Lecah leweh
Dirujuk kepada makanan yang tidak mempunyai apa-apa rasa bila dimakan.

Gulai daging tu saya tak suka makan, tak rasa apa-apa, lecah leweh sahaja.
-Lembek lotet:

Dirujukkan kepada makanan yang tidak keras langsung. Menyebabkan rasanya tidak begitu enak dimakan.

Tapi kalau dirujukkan kepada manusia ertinya orang itu tidak berdaya langsung, mungkin kerana terlampau letih.

Kueh bengkeng itu lembek lotet.
-Lembek Jijik:

Dirujukkan khusus untuk makanan dan juga buah-buahan.. Tersangat lembut,hinggakan hendak  pegang dengan tangan pun tak boleh. Kurang enak dimakan.

Kueh cek mek molek itu lembek jijik, pegang dengan tangan pun hancur lebur.

Atau, buah pauh itu lembek jijik, kerana terjatuh dari pokok.



-Manis letin:
Manis sangat atau terlajak manis. Kurang enak dimakan.

Nasi kaya ni rasanya manis letin.
-Masam purit:

Amat masam.Pada umumnya dirujuk kepada rasa buah-buahan.

Buah pauh ni masam purit, kalau makan dengan colek boleh kira sikit.

-Masam rebam:
Seperti masam purit. Biasanya dirujuk kepada makanan. Masam sangat.

Ikan singgan ni rasanya masam rebam, banyak bubuh asam gelugor tu.

-Masin perat.
Mmasin sangat. Biasanya dirujuk kepada makanan.


Perkataan perat itu beererti menggauli ikan, daging atau ayam dengan garam atau rempah dan membiarkannya buat beberapa ketika supaya  terasa masin atau terasa rempahnya bila dimasak. Tapi kalau dibiar lama pula boleh menyebabkan ia terlebih masin.

Cuba awak makan ikan budu ni rasanya masin perat.



-Pahit lepan:
Terlalu pahit.Biasanya dirujukan kepada buah-buahan, obat-obatan dan makanan. Pahit sangat.

Roti tu hangus, tak boleh  makan,rasanya pahit lepan.

-Tawar heber:
Merujuk  kepada makanan, yang tidak merasa apa-apa, manis atau masin dan sebagainya.


Kueh akok itu tawar heber nak makan pun tak lalu.

-Tawar lembar:
Seperti tawar heber. Juga dirujuk kepada makanan. Tidak merasa apa-apa,khususnya manis ataupun rasa masin.

Kueh jala emas tu tawar lembar, tak padan dengan harganya mahal.



Demikianlah sedikit kata-kata bahasa berganda berhubung dengan citarasa yang digunakan oleh orang Kelantan sampai sekarang. Semua ini menununjukkan kekayaan dan keindahan bahasa Melayu Kelantan khususnya Bahasa Melayu kita.
Mungkin ada lagi kata-kata lain yang saya terlepas pandang,terutama dari kawasan-kawasan yang berlainan di negeri Kelantan sendiri pun. Semoga mendapat perhatian jua.

Kg, Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu Kelantan Darulnaim.
5 Julai 2019
/2Zulkaedah 1440

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP