KAMPUNG SALOR PUSAT DAGANG

>> Tuesday, July 16, 2019






KAMPUNG SALOR SEBAGAI PUSAT  DAGANG




Latar Belakang
 
Secara tradisinya Kg Salor adalah sebuah kampung yang luas yang dibentuk oleh berbagai-bagai buah kampung kecil. Antara kampung-kampung kecil itu ialah Kg.Kedai Salor, Kg. Jerulung, Kg. Gertak Lembu, Kampung Teluk Kandis, Kg. Selikung Mat Riffin, Kg.Lubok Tahi Ayam [ditukar nama kepada Kg.Baru], Kg.Gua, Kg. Aur Duri, Kg. Langgar dan sebagainya.

                         Hj.Syafie Saleh, salah seorang tertua dari Kg. Salor

Dari segi pentadbiran pula Kg.Salor itu telah diangkatkan jadi sebuah daerah yang mengandungi kampung-kampung tradisi yang sama. Seperti biasa sebagai sebuah daerah di Kelantan ia ditadbirkan oleh seorang Penggawa, iaitu Penggawa Salor dilantik oleh Suruhanjaya Perkhdimatan Awan Negeri Kelantan,


Seterusnya daerah Salor itu  dipecahkan pula kepada tujuh mukim penghulu yang dilantik oleh kerajaan yang memerintah dan lima mukim imam yang para imamnya dilantik oleh Majlis Agana Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.


Lebih jauh lagi pula ia merupakan salah sebuah kawasan Dewan Undang Negeri Kelantan yang diketuai oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dipilih menerusi pilihanraya tajaan Suruhanjaya Piliharan Malaysia.


 
Kedai Salor

Kg. Salor mempunyai sebuah pasar, iaitu market atau kedai mengikut sebutan orang Kelantan, dari situ lahirlah Kedai Salor, seterusnya Kampung Kedai Salor.


Sebelum kedai ini dibina, saya dimaklumkan Kedai Salor terletak di pinggir Sungai Kelantan sejauh beberapa kilometer dari situ arah ke Kota Bharu.Tapi tanah-tanah tapak kedai itu telah runtuh ditelan Sungai Kelantan, maka pasar itu terpaksa dipindahkan ke tempatnya yang ada sekarang. Malah telah berekar-ekar tanah di tebing Sungai Kelantan telah runtuh setiap tahun, dan masuk ke dalam sungai..


Ianya sebuah kedai terbuka yang menjual aneka barangan, basah dan kering.


Bangunan kedaai ini terletak di tepi Jalan Pasir Mas Salor - Kota Bharu.  Ada tiga buah bangunan kedai atau market, iaitu sebuah kedai ibu yang menjual aneka barangan kering.


Ada sebuah kedai khusus untuk jualan ikan  dan sebuah kedai khusus untuk jual daging. Kedua-dua bangunan kedai kecil ini terletak di kiri kanan bangunan kedai besar.


Setiap hari empat atau lima ekor lembu dikorbankan untuk jualan di kedai tersebut. Sementara bekalan ikan  pula,  tong-tong ikannya terpaksa bertabur di luar bangunan untuk jualan kerana dalam bangunannya telah dipenuhi dengan tong-tong ikan.


Cik Gu Man sudah 
berpuluh-puluh menetap di Kampung Salor




Bangunan kedai besar itu dibina di atas tapak simen konkrit setinggi beberapa kaki, dan di atasnya disediakan enam buah gerai kayu panjang  tempat orang berjualan, kueh-mueh, nasi, barang-barang kering  dan sebagainya. Gerai-gerai itu di atur memanjang mengikut bangunan kedai di samping itu ada juga ruangan tempat orang berjualan di atas lantai simin seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

Penjual-penjual kueh yang terkenal di atas gerai waktu itu ialah Wak Mek dan Cik Bidah, sementara penjual nasi kerabu ialah Mak Wok dan penjual nasi belauk pula ialah Mak Nik Yam.


Sementara penjual nasi di kedai kopi pula ialah Mak Cik Wok [isteri Abah, iaitu Sayid Agil], kemudiannya lahir pula Kak Nik Som yang menjual nasi belauk di hadapan pintu rumah kedainya.


Di samping itu ada pulut bakar yang termasyur, bukan sahaja di Kg. Salor, tapi di luar Daerah Salor, diusahakan oleh seorang wanita yang terkenal dengan pangilan Mak Su Munah.


Saya pernah bekerja sambilan menjadi pencuci pasar Kedai Salor. Saya menjalankan kerja tersebut selepas balik sekolah. Dan upahnya saya serahkan kepada emak setiap hari. Walau menjadi penyapu sampah yang berpendapatan hanya RM1 sehari masih juga ada orang berdengki. Mengingat perkara ini membuat saya tersenyum lebar, kerana kerja penyapu sampah sambilan pun diirihati.



                                        Khadijah Dari Kg. Salor meninggal dalam usia tua

Di belakang bangunan kedai itu dibina sebuah bangunan rumah kembar kayu panjang dua tingkat. Sementara di hadapan kedai ada sebidang  tanah lapang yang kosong yang digunakan untuk berjualan, terutama di musim buah-buahan, seperti durian, rambuan, duku dan sebagainya. 

Di musim buah-buahan kawasan tanah lapang itu penuh sesak dengan orang berjualan sambali beridri atau duduk bersila atau mencangkung atas tanah. Saya di zaman kanak-kanak suka berlegar-legar di situ melihat orang ramai menjual dan membeli.

Saya juga kadang kala melihat orang-orang tua yang bermain sejenis “permainan” yang menggunakan buah durian. Beberapa orang yang bersetuju untuk bermain akan berkumpul di hadapan seorang penjual durian kampung yang elok isinya, kemudian setiap orang dari mereka akan membuat andaian jumlah  ulas isi durian yang terdapat  dalam sesebuah durian yang mereka telah pilih dan bersetuju bersama itu. Sesiapa yang tidak tepat andaian jumlah ulasnya dikenakan denda  membayar harga buah durian itu, sedangkan isinya mereka berpakat makan bersama-sama di situ juga.

Sementara di kiri kanan tanah kosong itu juga dibina bangunan rumah kayu panjang juga dua tingkat, hingga sampai ke pingir jalan raya. Sementara di seberang  jalan raya ada sebaris rumah kayu biasa tidak bertingkat.

Bangunan-bangunan kedai itu dibina untuk tujuan berjualan, sementara di tingkat atasnyas untuk tempat tinggal. Semua bangunan itu masih ada sampai sekarang dan dijadikan rumah kediaman oleh para pemiliknya.

Pada masa itu ada tiga buh kedai kopi, kedai kopi Abah, Sayid Agil, Kedai Kopi Mat Bunga, dan di seberang jalan pula ada  sebuh kedai kopi kepunyaan orang China. Seingat saya inilah kedai kopi yang tertua terdapat di Kedai Salor. Pada masa itu mereka mempunyai dua orang anak gadis yang cantik yang wajah mereka seperti orang Melayu. Alhamdulillah kedua-duanya telah memeluk agama Islam dan berkahwin dengan pemuda Islam. Kedai ini termasyur dengan minuman kopi dan roti bakar. Dan saya adalah seorang kanak-kanak peminat roti bakar yang disapu kaya.

Selain itu ada sebuah kedai emas kepunyaan seorang China yang dikenali dengan panggilan Ong yang amat rapat dengan keluarga saya. Ong telah beroprasi di situ sejak belum Perang Dunia Kedua lagi. Dan akhirnya billa perniagaan di Kedai Salor mulai merosot dia berpindah ke Kuala Krai, dan keluarganya masih ada lagi di bandar Kuala Krai hingga sekarang.

Selepas Taukeh Ong berpindah, kedai itu digunakan oleh orang Melayu, Haji Wan Zahid  untuk menjual barang-barang runcit dan alat-alat persekolahan, tapi akhirnya kedai itu ditutup  juga dan diganti oleh kedai kopi Abah Sayid Agil.

Sementara itu di salah sebuah rumah di bangunan dua tingkat di belakang bangunan Kedai Salor itu masih terdapat sebuah kedai seorang China yang berniaga runcit. Ia diurus oleh seorang wanita tua China  yang dikenali dengan panggilan Tok Mek Yu. Kedai ini akhirnya ditutup juga kerana semua keluarga Tok Mek Yu berpindah antaranya ke Kota Bharu, Kuala Krai dan salah seorang daripadanya telah muncul sebagai seorang  peniaga wanita yang terkenal di Kota Bharu..


Kedai kayu Tok Mek Yuitu telah dijual kepada orang Melayu yang dijadikan rumah tinggal sampai sekarang.


Sementara bagunan ibu pasar itu pula  telah diubahsuai untuk dijadikan dewan mesyuarat oleh pihak berkuasa.


Pada masa dulu di bahagian kosong tanpa jajaran gerai bangunan itu juga telah  digunakan oleh UMNO untuk bermesyuarat dengan menggunakan kerusi-kerusi yang dibawa dari kedai-kedai kopi di situ sebagai tempat duduk.


Di samping itu ada juga empat orang wanita berniaga barang-barang runcit secara bergerak, mereka alah Mek Som, Minah, Cik Mas dan seorang lagi yang telah saya lupa namanya, isteri keapda seorang guru al-Quran.

Mereka berniaga di pasar minggu Machang dan Labok setiap minggu dan diangkut oleh seorang pemandu ven tetap, klau tak silap saya daripada Ketereh. Saya sering diminta oleh nenak saya, Mek Som untuk membantunya berjualan di pasar-pasar minggu tersebut setiap bulan Puasa kerana jualannya laku lebih daripada biasa, pada bulan tersebut.


Jalan Sungai

Pada masa itu ada sebuah bot yang berkhidmat membawa penumpang di antara Pasir dan Kota Bharu setiap hari. Bot itu kepunyaan seorang warga Salor yang dipanggil dengan gelaraan  Abang Mat [Motor]. Di Pasir Mas bot itu berlabuh di pengkalan bandar Pasir Mas [dekat air mulih] sementara di Kota Bharu bot berlabuh di Pangkalan Padang Lido.


Di dalam sungai berhampiran Padang Lido itu terdapat banyak rumah-rumah rakit yang menjadi kunjungan para pelancung dari luar negeri.


Saya sekali-sekala menaiki bot ini dari Salor ke Psir Mas  atau dari Salor ke Kota Bharu, pergi balik, hanya untuk melihat keindahan pandangan di tebing-tebing sungai yang cantik.


Angkut Batu

Di samping itu di Kampung Kedai Salor itu ada lagi perusahan-perushahan lain yang populer waktu itu. Salah satunya ialah perusahaan batu pasir. Batu-batu atau pasir-pasir itu dikokok atau disauk dari dasar sungai Kelantan, dengan menggunakan alat khas kemudian dimuat ke dalam perahu besar dipanggil bedal, dan dikayuh dengan menggunakan tangan untuk  mendarat di pengkalannya di  tebing sungai Kedai Salor. Kemudian pengukuk batu itu akan memunggahnya pula naik ke darat dengan mengisinya dalam bekas yang diperbuat dari tin inyak tanah dan dipikulnya mendaki tebing untuk dicurah dan dionggokkan di suatu tempat yang telah disediakan,


Kemudian lori-lori JKR akan datang bergilir-gilir membawa batu-batu atau pasir itu pergi ke destinasi masing-masing. Batu itu diangkut ke atas lori oleh penggauk-penggauk  batu itu dengan menggunakan sejenis alat yang diapnggil “sikul”. Bila penuh lori itu akan membawanya pergi ke tempat di mana jalan-jalan sedang dalam pembinaan.


Salah seorang penggangkut batu yang terkenal pada masa itu ialah “Mamat”, gelarannya “Mat Hitam”.


Waktu hari tidak bersekolah saya dan beberapa orang teman kadang-kadang  menaiki lori batu itu untuk pergi ke mana ia dicurahkan. Tempat yang saya masih ingat ialah di Nilam Puri yang jalannya pada masa itu masih dalam  pembinaan. Kemudian kami ikut balik semula dengan menaiki lori sama yang telah  kosong dengan duduk berdiri dalam lori di bahagian belakangnya.


Entah berapa kali sehari lori-lori itu berulang alik mengambil batu tidaklah saya ketahui.


Kawasan itu dikenali dengan panggilan Pangkalan Batu. Ia dihubungi oleh sebatang jalan kampung yang berbatu hingga sampai ke jalan besar Kota Bharu-Pasir Mas. Sekarang jalan lama. Jalan ini dipanggil oleh orang-orang  kampung “Tembok Lori”, masih digunakan sampai sekarang oleh penduduk tempatan untuk masuk kampung dan keluar ke jalan besar.


Kilang Gergaji Kayu

Kilang ini hanya sebuah  bangunan kayu, beratap nipah dibina memanjang yang boleh digunakan oleh empat  lima orang pengergaji serentak. Di bahagian hujung bangunan itu dibuat sebuah rumah tinggal untuk kediaman penjaganya sekeluarga. Orangnya dikenali dengan panggilan Pak Su Hamzah


Bangunan itu terbuka dan menghadap ke sungai Kelantan. Para pekerja menggunakan gergaji besar dan mengergajinya sambil berdiri dengan menggunakan tenaga tulang empat kerat.


Yang mereka gergajikan ialah kayu balak untuk dijadikan keping-keping papan. Justeru itu sepanjang masa tersebut terdapat kayu-kayu balak yang dibawa dari ulu dilabuhkan di penggkalan  di situ untuk menunggu masa digergaji. Biasanya berpuluh-puluh atau beratus-ratus batang balak yang terikat diletakkan di situ. Biasanya ia dihantar engan feri.


Di atas kayu-kayu balak ini kami kanak-kanak sering bermain dan lumpat-lumpat sebelum terjun ke sungai untuk mandi.


Balak-balak itu dinaikkan ke darat dengan menggunakan tulang empat kerat  juga,  mereka beramai-ramai menolak, mencungkil dan menarik balak-balak itu naik ke darat bila tiba masa untuk digergajikan. Sebuah lorong kecil dibina khas untuk laluan balak dari gigi air menaiki tebing dan diletak berhampiran dengan kilang gergaji itu.


Demikian juga untuk menaiki balak-balak itu ke atas kayu penyambut yang diletak di atas tiang-tiang untuk membolehkannya digergaji secara berdiri. Para pengergaji  bekerjasama sesama mereka untuk menganggkat balak-baak itu dengan menggunakan tenaga tulang empat kerat, dengan mencungkil, mengangkat, menarik dan sebagainya hingga sampai berada di atas penyambut untuk digergajikan.


Papan-papan balak yang telah siap digergaji itu diangkut dengan lori untuk dibawa ke destinasi masing-masing.
Salah seorang pengergaji kayu yang masih saya ingat ialah Pak Nuh Pak Yeh.


Tapi kemudiannya, perusahan kayu gergaji dan perusahan batu pasir itu dihentikan operasinya, dan saya tidak pasti apakah sebabnya dan mana lebih dulu antara kedua perusahan itu yang dihentikan operasinya setelah bertahun-tahun dijalankan.


Rumah orang tua saya tempat kami semua tinggal terletak tidak jauh dari situ, malah bunyi lori yang beroperasi menganggkut batu ataupun pasir itupun dapat kami dengar dengan jelas. Sayangnya rumah kayu tua itu telah roboh menyembah bumi, dan meninggalkan sisa-sisa keruntuhan yang menyayat hati.


Pengkalan Penambang
Berhampiran  situ juga ada sebuah pengkalan penambang yang menggunakan perahu kecil untuk menganggkut penumpang dari Kampung. Salor ke seberang sungai atau sebaliknya dari seberang sungai ke Kg Salor, biasanya untuk meneruskan perjalanan mereka masing-masing ikut jalan darat.


Oleh sebab masa itu jalan darat tidak ada  lagi di sebarang sana, iaitu jalan lama melepasi Kampung Tendung untuk ke Kota Bharu dan sebagainya, maka sebahagian orang yang hendak pergi ke Kota Bharu, ke Pasir Mas atau ke lain-lain tempat akan menggunakan perahu penambang itu untuk brpergian dengan kenderaaan darat di sebelah Kg. Salor pula.


Juru perahu yang terkenal sepanjang masa itu ialah Pak Sin dan kemudian diganti oleh anaknya Pak Mat.


Tambangnya saya rasa 20 sen untuk orang tua. Dan urusan menganggkut penumpang ini bukan percuma tapi ditender dengan kerajaan negeri.


Mereka menggunakan sejenis kertuk yang diperbuat dari buluh yang diketuk jika ada penumpang di sebarang sana yang memerlukan perahu untuk menyebarang ketika perahu berada di sebarang sini. Demikian jugalah sebaliknya. Bila mendengar kertuk dipalu, maka Pak Sin akan bergeggas mengambil perahu dan mengayuh perahu untuk mengambil penumpang tersebut.


Pusat Dagangan

Dengan itu ternyata Kampung Salor ,khususnya Kedai Salor telah terkenal sejak Belum Perang Duna Kedua lagi  sebagai pusat dagangan. Orang-orang khusunya para peniaga  dari  Kg Dewan, Lundang Paku, Seberang Pasir Mas salor,  Pasir Mas, Tendung, serta Wakaf Che Yeh, Pendek, Mulong dan sebagainya akan datang ke Kedai Salor. Peniaga-peniaga dari kampung-kampung tersbeut datang berjualan dan membeli belah di Kedai Salor.


Ada di antara mereka yang datang ikut sungai dan ada juga ikut jalan darat. Mereka dari Tendung atau dari kampung seberang  terpakasa menyeberang sungai datang dengan menaiki perahu-perahu kecil yang mereka kayuh sendiri setiap hari membawa hasil dagangan mereka.


Sepeninggalan mereka pergi berniaga kami kanak-kanak akan mencuri pinjam perahu mereka untuk bermain air.


Sementara ikut darat pula mereka berjalan kaki sejauh berbatu-batu, melintasi sawah-sawah padi, menaiki bas atau kereta pribet sapu kepunyaan persendirian.

Kilang Buat Peralatan Besi

Di hujung sebelah kanan bangunan dua tingat di belakang bangunan pasar itu ada sebuah lagi bungan kayu dua tingkat dan hanya dua pintu, yang dipisahkan oleh sebuah  lorong kecil untuk masuk ke dalam kampung atau menuju ke sungai Kelantan. Lorong itu itu untuk pejalan kaki, basikal, motorsikal dan paling besarnya teksi roda tiga. 

Salah sebuah daripada pintu kedai itu di sisi lorong terdapat kilang membuat alat-alat dari besi, seperti parang, golok, sabit, senjata dan sebagainya.. Semasa saya masih kanak-kanak dapur pembuat bahan-bahan itu masih ada lagi di bahagian belakang kedai itu. Pada masa itu kedai dan dapur tersebut telah ditinggalkan entah berapa lama, Kami sering masuk bermain-main dalam rumah kedai itu yang tidak berkucni. Pada suatu hari kami menemui beratus-ratus duit Jepun yang masih baru-mentah tersembumyi dalam rumah itu, lalu kami mengambilnya berbuat bahan bermain-main sehingga semuanya habis musnah. Satu nilai sejarah telahh musnah.

Lama kemudian bangunan itu baru diduduki orang. Namun demikian akhirnya mereka juga pindah ke Kota Bharu dan menjual bangunan itu kepada seseorang untuk dijadikan rumah tempat tinggal sampai ke hari ini.


Swah Padi

Satu lagi faktor ekonomi Kg. Salor yang penting ialah padi. Kampung Salor mempunyai bendang yang luas, saujana mata memandang, terbentang dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Ia dimilik oleh warga tempatan. Hasil padinya setiap tahun lebih dari mencukupi nntuk menyara makan warganya. 

Sawah padi ini pada masa dulu dapat dilihat dengan jelas sepanjang perjalanan ke Seberang Pas Salor, tapi kemudian tidak dpat dilihat lagi kerana terlindung oleh bangunan yang dibina sepanjang jalan, terutama rumah-rumah kediaman.


Bahana Jambatan Sultan Yahya Petra

Tapi bila Jambatan Sultan Yahya Petra siap dibina, Kg. Salor sebagai  pusat dagangan yang maju itu menjadi lumpuh sepenuhnya Tidak ada apa-apa yang tinggal lagi selain dari poin-poin keruntuhan, pasar yang kosong, dan bangunan perniagaan yang  yang sepi dan bertukar menjadi tempat tinggal sampai ke hari ini.


Dengan siapnya pembinaan  Jambatan Sultan Yahya Petra itu, maka orang-orang dari Pasir Mas, Rantau Panjang, Tanah Merah,Tumpat dan sebagainya tidak lagi  perlu menggunakan feri atau bot penambang dari Pasir Mas ke Seberang Pasir Mas Salor untuk menerus ke destinasi perjalanan mereka masing-masing. Demikian juga sebaliknya.


Jambatan itu mulai dibina dalam zaman pemerintahan Kerajaan PAS di Kelantan pada tahun 1962, dan siap pada tahun 1965. Jambataan yang menghubungi antara Kg. Sirih di sebelah Kota Bharu dengan Pasir Pekan di sebelah Tumpat sepanjang 2800 kaki itu telah dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Kelantan, DYMM Sulltan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim pada 17 April 1965 dengan upacara sambutan yang gilang gemilang dan dibuka kepada para pengguna pada 18 April 1965.


Pada malam perasmian pembukaan jabatan itu saya dan beberapa orang kawan-kawan juga menyertai ribuan orang ramai berlegar-legar di atas jambatan  yang dilimpahkan dengan cahaya lampu yang terang gemilang meliputi  seluruh jambatan baru itu.


Jambatan ini merupakan jambatan utama bagi Negeri Kelantan hingga ke hari ini. Beberapa tahun pada awal penggunaanya, para pengguna yang melalaui jambatan itu dikenakan tol, dan inilah jalan awam pertama di Malaysia yang dikenakan tol untuk membayar balik perbelanjaan pembinaannya berjumlah sebanyak  RM 5 juta.


Tapi pengambilan tol ini telah dihapus oleh  Kerajaan Barisan Nasioanl, yang  memenangi pilihan Negeri Kelantan yang diadakan pada 8 Julai 1978 dan ianya merupakan sebahagian daripada manifestonya untuk pilihanraya tersebut. Pada pagi 9hb Julai sekumpulan penyokong-penyokong Barisan Nasional telah bertindak memusnahkan rumah tol itu sebelum sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan. Waktu kami sampai pagi itu untuk membuat tinjauan, sisa-sisa bangunan itu masih kelihatan berselarak di atas tapaknya d muka jambatan itu  Dengan itu kerajaan negeri kehilangan hasil pendapataan tol kira-kira RM1 juta setahun,


Demikianlah Jambatan Sultan Yahya Petra ini telah meninggalkan kesan yang buruk kepada Kg. Salor, menjadikannya sebuah  kampung  sunyi dan sepi dari kemajuan yang telah dinikmatinya sejak sekian lama, iaitu sebelum Perang Dunia Kedua lagi.


Memang ada pihak-pihak yang pernah berusaha untuk menghidupkan Kg. Salor itu sebagai pusat perniagaan, antaranya dengan mengadakan pasar minggu di tengah-tengah kawasan lapang di hadapan pasar itu, tapi tidak dapat berjalan lama kerana adanya gangguan yang tidak wajar ke atas para penjualnya yang menyebabkan mereka serik untuk meneruskan perniagaan mereka. Demikianlah saya dimaklumkan.


Walau bagaimanapun ia rasa pasar minggu ini boleh dihidupkan semula di Kedai Salor jika mendapat kerjasama penduduk-penduduk tempatan dan dengan kerjasama pihak-pihak yang berwajib.

Sekian.


Saya akhiri tulisan ini dengan:


SALAM SEJAHTERA

Pagi nan damai

Di dada sawah yang permai

Luas terbentang

Sunyi dan lengan

Langit timur bermandikan cahaya

Gilang-gemilang

Angin sepoi bahasa menyapa lembut

Membelai-belai tubuh                                

Menusuk kerinduan zaman silam

Menyucuk hati

Angin basah sepoi mendamai

Pagi yang bening

Bebola merah telah merayap naik

Di kaki langit timur yang indah

Ditingkah nyanyian unggas

Pagi yang kudus

Salam sejahtera desa tercinta

Permai

Untuk selamanya.


-Mohd Zain Saleh


Kg.Parit, PT.Kota Bharu Kelantan
16 Julai 2019/
13 Zulkaedah 1440



2 comments:

lloni July 18, 2019 at 12:03 AM  

Assalam...t.kasih atas coretan nostalgia tersebut...ambo pun lama dah tak masuk blog abe ni...namun coretan ini mengimbau kenangan lalu..yg mana nama2 yg disebut adalah watak2 pewarna kehidupan di Kg. Salor khususnya kedai Salor...

Cikgu Man January 17, 2022 at 11:32 AM  

Saya cari keturunan saya daripada Allahyarham Hj Mat Lebar.No wassap saya 0189828680

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP